Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"ABANG Nasih tu sebelum ini memang kerja kat overseas ke bang?" soal Ima kepada suaminya. Dia tekun memakaikan tali leher suaminya itu.

Tidak sabar dia ingin bertentang mata dengan abang iparnya semasa makan malam nanti. Dia kecewa tidak dapat ke majlis kesyukuran sebelum ini kerana demam. Banyak maklumat yang dia dapat melalui Jay tentang lelaki bernama Nasih Mikael itu.

"Tak payah sebut pasal dia!" tegas Rizki. Dia geram apabila nama abangnya itu keluar dari mulut isterinya.

Ima yang mendengar jawapan itu mengerutkan keningnya. Pelik, aku tanya macam itu pun nak marah? Ini mesti ada sesuatu antara mereka yang aku tidak tahu, desis hatinya.

"Abang balik jam berapa hari ini?" Ima cuba mengembalikan mood suaminya.

"Entahlah, mungkin lepas maghrib kut. Nanti awak bersiap cepat-cepat, kita terus bertolak ke rumah mama." Rizki menyarungkan kot hitamnya. Segak dan kemas.

Ima tersenyum melihat suaminya itu.

"Ima sebenarnya nak minta izin dengan abang. Ima nak keluar jumpa kawan pukul tiga petang nanti. Boleh tak?"

"Jumpa siapa? Abang kenal dia tak?" Giliran Rizki menyoal isterinya tanpa memberi jawapan.

"Alah... Jumpa Tasya. Kawan masa kat tempat kerja dulu. Masa kita kahwin dulu dia ada datang. Hari tu Ima tak sempat nak perkenalkan dia kat abang. Lagipun dia singgah sekejap aje masa tu." Ima cuba menipu.

Risau jika suaminya itu dapat hidu dia menipu. Arghhh! Rizki takkan tahu aku nak jumpa dengan siapa.Pandailah aku buat ayat. Hatinya mula berkata-kata.

"Okey. Tapi... jangan balik lewat tau sayang. Malam ni kita nak pergi rumah mama. Okeylah, abang pergi dulu. Bye, sayang." Rizki menghulurkan tangan dan mengucup dahi isterinya itu. Kasih sungguh dia terhadap isterinya itu yang dikenali hanya dua bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Okey... Bye. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam..." jawab Rizki. Hatinya gembira kerana ditakdirkan bertemu dengan isteri yang cantik dan solehah. Dia tidak sabar hendak kenalkan isterinya itu kepada Nasih Mikael. Dia tahu abangnya itu memang terkenal dengan sikap kaki perempuan. Mesti terbeliak biji mata Nasih Mikael apabila melihat isterinya nanti, fikirnya sambil tersenyum.

"Helo Jay... I jumpa you petang nanti," tutur Ima setelah memastikan kereta Rizki keluar dari pekarangan rumahnya.

"Okey, good! Tempat biasa," jawab pemuda dalam talian itu sebelum mematikan panggilannya.

Ima mula ke bilik bacaan suaminya untuk menggeledah apa-apa maklumat yang boleh diberikan kepada Jay nanti. Lama dia di dalam bilik itu, namun tidak ada sebarang maklumat yang dijumpai. Dia segera berlalu dari bilik itu sambil melepaskan keluhan.

"Lantaklah... Aku tunggu aje arahan daripada Si Jay nanti," bebelnya sambil menuruni anak tangga menuju ke ruang dapur.

Beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej diterima. Segera jari-jemarinya bertindak membuka mesej tersebut. Ima tersenyum melihat mesej daripada Jay. Dia tidak dapat membayangkan habuan yang bakal diterimanya nanti. Jika tidak kerana habuan yang bakal diterima, dia tidak sanggup berkahwin dengan Si Rizki. Bagi Ima, dia tidak pernah mencintai lelaki itu walau sekelumit. Dia bersetuju mengikut aturan Jay kerana Rizki merupakan adik Nasih Mikael dan ini adalah 'tiket' buat mereka untuk menghancurkan keluarga Nasih Mikael. Sambil menyuap yogurt ke dalam mulutnya, dia teringatkan pertemuan dengan Jay di apartmen mereka beberapa bulan lalu sebelum dia berkahwin dengan Rizki.

"What?! You nak I kahwin dengan dia? That is too much, okay! I tak sangka you sanggup suruh I kahwin dengan Rizki semata-mata you nak balas dendam terhadap Nasih Mikael! I ni girlfriend you tau, Jay! Takkan you sanggup nak pergunakan I?" marah Ima kepada lelaki itu.

Jay yang tidak berbaju dan masih baring di atas katil hanya merenung teman wanitanya itu. Ima menyilang tangannya sambil melemparkan pandangan ke arah panorama di hadapannya. Hatinya sakit. Permintaan Jay benar-benar melampau.

"Hei... You dengar sini. I buat semua ni untuk kepentingan you juga. You akan mendapat banyak habuan melalui rancangan ni. You nak tahu berapa habuan you akan dapat nanti?" Jay cuba memancing perhatian kekasihnya itu.

Namun Ima masih mencuka. Baginya rancangan Jay benar-benar keterlaluan. Tidak mungkin dia akan tinggal bersama-sama lelaki yang dia tidak kenal hanya semata-mata duit dan rancangan dendam terhadap keluarga Tan Sri Akhtar Firdaus. Jika terbongkar segala-galanya, dia mungkin akan dipenjarakan nanti.

"I tak beranilah, Jay..." Ima masih ragu-ragu.

"Sayang... You jangan risau. Nanti lepas semuanya beres, kita tinggalkan Malaysia. You jangan risau, plan yang I buat ni bukan melibatkan kita aje tau. Ada orang lain juga yang berdendam dengan keluarga Tan Sri Akhtar Firdaus tu. Nanti you akan tahu juga, okey... Habuan untuk you lima juta ringgit." Jay cuba mempengaruhi kekasih hatinya itu.

Wajah Ima sedikit terkejut mendengar habuan itu. Kemudian dia mula berlagak biasa.

"Kalau kantoi macam mana?" soal Ima namun dalam diam dia mula menunjukkan minat.

"I akan pastikan mereka tidak tahu siapa dalang di sebalik semua ni. Kalau mereka tahu pun, mungkin kita dah tak ada di Malaysia masa tu," jawab Jay cuba meyakinkan Ima.

Lama termenung mengenangkan perancangan yang dibuat antara dia dengan Jay, Ima melepaskan keluhan. Risau jika apa yang dirancang tidak menjadi. Apapun dia perlu yakin dengan Jay. Alang-alang dia sudah berkahwin dengan Rizki, dia perlu teruskan rancangan ini. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera menjawab apabila tertera nama suaminya, Rizki.

"Helo, assalamualaikum abang..." jawab Ima. Pelik apabila suaminya tiba-tiba telefon walhal baru sahaja bertolak ke tempat kerja.

"Waalaikumussalam, sayang. Tadi mama ada call abang, dia minta kita ke Restoran Bora Kasih untuk makan malam nanti," ujar Rizki sambil memandu.

"Oh... Ingatkan kita makan kat rumah mama. Kalau macam tu abang nak jemput saya jam berapa?" Dia mula berfikir pakaian yang akan digayakan nanti agar dapat menarik perhatian abang iparnya itu.

"Lepas solat maghrib abang jemput sayang, okey. So, abang nak sayang pakai cantik-cantik biar Si Nasih Mikael terpegun tengok isteri abang nanti. Okeylah, bye sayang." Rizki ketawa. Dia segera mematikan telefon.

Well, padan muka, kau Nasih Mikael! Girlfriend kau dulu habis semua lari! Dasar kaki perempuan! ejek Rizki dalam hati.

"Pelik? Apa kena dengan Si Rizki ni? Macam benci betul kat abang dia." Ima mula tertanya-tanya. Malas dia nak fikir tentang perkara itu. Dia terus menuju ke biliknya, mencari pakaian yang sesuai untuk makan malam nanti. Petang nanti dia perlu berjumpa Jay untuk rancangan mereka seterusnya.

"YOU nak makan apa-apa tak?" tanya Jay sambil membuka peti sejuk. Dia mengeluarkan Coke kemudian dihulurkan kepada kekasihnya itu. Ima yang baru sahaja menanggalkan tudung terus membetulkan kedudukan rambutnya. Rimasnya pakai tudung! Habis rosak rambut aku! bebelnya dalam hati.

"Habis tu you ada masak ke?" perli Ima sambil membuka penutup minuman tersebut.

"Adalah sikit. Tapi dah habis. Sorry..." balas Jay sambil tersengih. Ima mencebik.

Lama benar Jay tidak jumpa kekasihnya itu. Sejak perkahwinan Ima dengan Rizki, mereka tidak boleh berjumpa buat sementara waktu bagi mengelak hubungan mereka dapat dihidu oleh sesiapa terutama keluarga Tan Sri Akhtar Firdaus. Perasaan rindu mula menerjah di dalam dirinya. Ekor matanya mula memerhati segenap tubuh kekasihnya itu. Jika diikutkan hati, ingin sahaja dia memeluk tubuh kekasihnya itu ke kamar beradu. Namun perasaan itu cuba ditolak jauh-jauh memandangkan mereka ada misi yang perlu dilaksanakan.

"So... Next plan? You nak I buat apa? Oh, lupa I nak inform kat you. Nasih Mikael dah balik Malaysia. Jadi malam nanti I akan bertentang mata dengan dia. Kami ada dinner di Restoran Bora Kasih." Ima cuba mengalih perhatian Jay mengenai perkara yang baru disampaikan.

Geram melihat Jay yang sedari tadi memerhatikannya. Bukan dia tidak perasaan, tetapi dia sengaja buat tak tahu. Baginya, kalau melibatkan bab kerja cubalah profesional. Argh... Profesional ke? Bukankah dia juga mabuk rindu terhadap kekasih gelapnya itu? Hatinya mengutuk.

"You nak tahu ke apa motif I buat semua ni? Dendam! I buat semua ni sebab dendam dengan keluarga Tan Sri Akhtar Firdaus." Serius sahaja suara Jay ketika itu. Melopong Ima mendengarnya.

"Dendam? Kenapa you berdendam dengan mereka?" tanya Ima tidak sabar ingin mengetahui cerita sebenar. Dia berdiri di sebelah Jay sambil melemparkan pandangan ke luar balkoni.

"Dulu papa I dan Akhtar Firdaus bekerja dengan Datuk Salleh Ridzuan, pengasas Golden Global Holdings. Papa adalah antara orang kepercayaan Datuk Salleh Ridzuan. Setiap kali syarikat tu dapat tender, papa I yang akan menjadi leader untuk handle setiap projek yang mereka dapat. Datuk Ridzuan Salleh ketika itu memang memberi sepenuhnya kepercayaan kepada papa. Sebab dia yakin dengan kebolehan papa. Akhtar Firdaus pula ketika itu hanyalah orang bawahan papa. Hinggalah suatu hari tu papa difitnah kerana melesapkan duit syarikat. Walhal semua tu bahagian kewangan yang uruskan dan papa memang tidak tahu menahu langsung perkara itu. Disebabkan perkara itu, papa diberhentikan kerja," jelas Jay tentang perkara sebenar.

"Oh... Jadi yang fitnah papa you Tan Sri Akhtar Firdaus?"

Ima cuba mencari kepastian melalui riak wajah kekasihnya itu. Namun tekaannya tidak tepat. Jay menggeleng, menidakkan tekaan yang dibuat.

"Not him. But his wife..." Wajah Jay bersahaja.

Ima melopong seraya menggeleng. Tidak sangka ibu mentuanya yang kelihatan lemah lembut dan baik hati itu rupa-rupanya seorang yang busuk hati ketika muda.

"I can't believe this... Oh, what a drama queen!" tutur Ima sinis. Sungguh dia tidak sangka!

Jay mengeluh. Memang dia akui pada mulanya dia juga kurang percaya mengenai cerita ini. Tetapi memandangkan orang yang menceritakan perkara tersebut ialah papanya sendiri, dia harus percaya. Lagipun papanya juga telah menceritakan sebab sebenar anak perempuan tunggal Datuk Ridzuan Salleh itu bertindak sedemikian.

"Mesti you nak tahu kenapa Aisyah bertindak macam tu, kan?" Jay tergelak melihat reaksi wajah kekasihnya. Dia malas untuk menyebut gelaran Puan Sri.

Ima pantas mengangguk.

"Kalau you nak tahu, ibu mentua you tu dulu kaki jantan. Dia dah tidur dengan ramai lelaki. Sebab dia rasa dirinya cantik dan satu-satunya pewaris Golden Global Holdings, dia fikir dia boleh beli apa sahaja termasuk cuba goda papa I. Tetapi papa I tak pernah layan sebab mama I ketika itu baru sahaja meninggal dunia akibat kemalangan. Arwah mama meninggal masa I berusia setahun. Memang Aisyah ketika itu sangat nakal, kaki minum dan kaki kelab. Yang menarik kat sini, walaupun ramai lelaki terkejar-kejar untuk menjadi suaminya, dia hanya tergila-gilakan papa I. Namun papa tak pernah melayannya."

"Datuk Ridzuan Salleh ketika itu risau memikirkan nasib anak perempuannya. Memang pada mulanya dia minta papa berkahwin dengan anak perempuannya itu, tetapi papa tolak. Datuk Ridzuan Salleh akhirnya cuba memujuk Akhtar Firdaus yang ketika itu orang bawahan papa. Masa tu Datuk Ridzuan dah nampak potensi Akhtar Firdaus dalam syarikat itu. Itu semua tunjuk ajar daripada papa I," ujar Jay dengan panjang lebar. Namun matanya masih terpaku ke arah Ima, mengharapkan kekasihnya itu memahami cerita yang disampaikan.

"Seterusnya?" tanya Ima tidak sabar.

"Akhtar Firdaus masa tu memang setuju sebab dia sebenarnya dah lama menaruh hati kat Aisyah. Yalah, ibu mentua you tu dulu selalu datang ke syarikat hanya semata-mata nak goda papa, bukan dia datang untuk bekerja pun. Tetapi masa tu Akhtar Firdaus dah jatuh hati kat dia. Masa Datuk Ridzuan Salleh mencadangkan untuk kahwinkan anaknya dengan Akhtar Firdaus, Aisyah ketika itu membantah kerana tidak pernah ada perasaan cinta terhadap lelaki itu dan memandang rendah dengan jawatan Akhtar Firdaus. Namun Datuk Ridzuan Salleh percaya Akhtar Firdaus boleh mengubah sikap anaknya. Dia bertegas dengan keputusannya. Melihatkan keputusan yang dibuat Datuk Ridzuan, Aisyah mula akur. Namun dalam masa yang sama dia mula berdendam dengan papa I kerana menolak cintanya."

Jay menguak rambutnya ke belakang. Menanti reaksi daripada kekasihnya.

"Oh... Jadi sebab itulah ibu mentua I fitnah papa you?" Ima mula bersuara.

"Ya... Dia upah orang supaya kerja melesapkan duit syarikat tu papa I yang rancang. Tetapi dalam masa yang sama, dia mahu tunangnya Akhtar Firdaus mengambil alih jawatan papa sebagai orang kanan Datuk Ridzuan. Apa lagi? Tanpa usul periksa dan dengan bukti palsu tu, Datuk Ridzuan mempercayainya. Papa diberhentikan kerja serta-merta. Papa I cuba merayu tapi Datuk Ridzuan langsung tidak bersimpati."

Masa tu papa I syak Akhtar Firdaus punya angkara kerana tiba-tiba sahaja Akhtar Firdaus ambil alih jawatan papa. Tapi beberapa hari kemudian, Encik Khalid, kawan papa di dalam syarikat tu datang jumpa papa. Dia minta maaf kerana menganiaya papa. Dia beritahu yang dalang di sebalik semua tu ialah Aisyah anak Datuk Ridzuan Salleh. Memang Akhtar Firdaus tidak tahu langsung perkara ni. Aisyah masa tu sangat berdendam dengan papa kerana tolak cintanya." Jay menerangkan perkara sebenar. Masa semua itu berlaku, dia masih kecil lagi. Setelah mamanya meninggal, Jay dijaga oleh neneknya.

"Jadi kiranya famili you bukan berdendam dengan Nasih Mikael atau Tan Sri Akhtar tapi isterinya, kan? Puan Sri Aisyah, right?" Ima cuba meneka lagi. Mungkin kalau kita telah benci seseorang, setiap keturunannya juga kita benci. Boleh jadi Jay jenis orang yang begitu, telahnya lagi.

"Setelah papa diberhentikan kerja, kehidupan kami begitu mencabar. Papa tidak boleh bekerja dengan syarikat lain di negara ini kerana nama papa telah diblacklist akibat pengaruh kuasa daripada Datuk Ridzuan Salleh. Nenek ketika itu sering sakit kerana tidak dapat rawatan yang terbaik dari hospital. Papa tidak mampu menanggung kos perubatan nenek. Nenek meninggal pada usia I ketika itu tujuh tahun. Setelah itu, I dijaga oleh ibu saudara I yang baru sahaja habis belajar. Ibu saudara I tu adik perempuan papa. Kami rapat sangat. I panggil dia Aunty Nisa."

"Papa I pula dapat kerja kat Filipina. Setiap bulan dia kirimkan kami duit. Memang dia dapat pekerjaan yang baik di sana hinggalah dapat buka perniagaan sendiri di Filipina. Papa I tak mahu Aunty Nisa bekerja. Baginya, biarlah dia seorang sahaja bekerja untuk kami sekeluarga. Namun suatu hari tanpa pengetahuan papa, Aunty Nisa telah ke Syarikat Golden Global Holdings untuk temu duga kerja. Aunty Nisa mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Aunty Nisa diterima bekerja di syarikat itu. Berita gembira itu dimaklumkan kepada papa yang ketika itu berada di Filipina." Jay terdiam seketika sebelum menyambung lagi.

"Tetapi papa menentang keras keputusan Aunty Nisa. Papa cakap Aunty Nisa akan menyesal suatu hari nanti. Memang Aunty Nisa tidak tahu hal sebenar mengenai cerita papa dengan syarikat itu dulu. Papa I tak mahu cerita sebab dia mahu melupakan semua itu. Setelah hampir tiga bulan Aunty Nisa bekerja di syarikat itu, Aunty Nisa didapati telah hamil dua minggu. Akhtar Firdaus telah merogolnya kerana tertarik dengan Aunty Nisa sejak hari temu duga lagi. Dia tidak mahu bertanggungjawab dan telah memberi sejumlah wang kepada Aunty Nisa untuk gugurkan kandungan."

"Berita kehamilan Aunty Nisa mula tersebar di syarikat itu kerana Aunty Nisa bertengkar dalam ofis Akhtar Firdaus. Aunty Nisa berhenti kerja kerana malu kepada staf lain yang mula mengatanya. Papa I yang tahu mengenai hal ini segera pulang ke Malaysia. Pada mulanya dia ingin berjumpa sendiri dengan Akhtar Firdaus dan ingin mendakwa, tetapi memandangkan pengaruh Akhtar Firdaus semakin kuat setelah Datuk Ridzuan Salleh bersara, papa terpaksa melupakannya. Papa tekad nak bawa I dan Aunty Nisa menetap di Filipina." Hatinya sebak mengenangkan ibu saudaranya itu.

"So, macam mana keadaan Aunty Nisa sekarang?" tanya Ima. Dia mula bersimpati dengan nasib keluarga Jay. Memang kejam sungguh keluarga mentuanya itu. Ingatkan aku seorang sahaja yang berperwatakan jahat dalam keluarga itu, tetapi keluarga suami aku lagi teruk! herdik hatinya.

"Dia dah jadi gila akibat kemalangan. Anak di dalam kandungannya keguguran. Aisyah yang tahu mengenai hal ini sengaja melanggar Aunty Nisa yang ketika itu berjalan kaki menuju ke klinik untuk dapatkan rawatan kandungannya. Papa nampak kejadian itu berlaku sebab dia yang menghantar Aunty Nisa ke klinik ketika itu. Tapi apapun, I bersyukur sangat sebab dia selamat. Biarlah anak dia mati pun I tak kesah. Sekurang-kurangnya tiada keturunan keluarga Tan Sri Akhtar Firdaus dalam keluarga I. Sekarang Aunty Nisa berada di Filipina. Rumah kami di sana. Dia selalu meracau dan menyebut tentang anaknya itu. I sedih sangat, Ima. Disebabkan hal inilah I berdendam dengan keluarga Nasih Mikael."

"Papa ceritakan semua ni masa I umur 15 tahun. So semua ni rancangan kami anak-beranak. Papa hantar I ke Malaysia masa umur I 17 tahun. I bersekolah di sini dan berkawan rapat dengan Nasih Mikael. Hubungan kami akrab hinggalah sama-sama belajar kat Melbourne, Australia. Beza usia kami hanya dua tahun. I lebih tua daripada dia. I tak pernah ceritakan pasal keluarga I kat dia. I cuma cakap famili I menetap di Filipina. Sampai sekarang Nasih dan kawan-kawan I yang lain tak pernah tahu siapa I sebenarnya," sambung Jay lagi seraya mengambil tempat untuk melabuhkan punggung di atas sofa. Ima juga mengambil tempat di sebelah Jay.

"Mereka dah tahu ke yang Aunty Nisa tu adik papa you?" tanya Ima kembali.

"Yang tu I tak pasti. I tak kesah, janji mereka tak tahu siapa I sebenarnya. I tak mahu rancangan ini gagal, Ima. Sebab tu I harapkan pertolongan daripada you. I harap sangat you dapat bantu I untuk rancangan seterusnya. I bukannya nak sangat duit mereka. I cuma nak balas balik apa yang mereka dah buat kepada famili I." Terbit nada sayu. Dia mula bermain-main jari-jemari kekasihnya itu.

"Don't worry, honey. I will help you. Trust me, okay. Lagipun I dah jadi sebahagian keluarga mereka."

Ima berkata sambil mengusap pipi Jay. Jay tersenyum dan mengangguk. Dia percaya rancangan ini akan berjaya dengan sokongan dan bantuan daripada teman wanitanya itu merangkap kekasih gelapnya.

"Okey... Next plan, I nak you bekerja dengan syarikat itu. You pujuk Rizki nanti. Boleh?"

"Tapi... I nak kerja sebagai apa? I bukannya ada kelulusan pun. Setakat SPM aje. Itupun cukup-cukup makan," jawab Ima. Tak logik pula aku nak kerja kat syarikat macam tu, fikirnya kembali.

Sudah nasibnya dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Cukup sahaja umur 18 tahun, dia perlu keluar dari rumah kebajikan itu dan belajar untuk hidup berdikari. Namun akibat desakan hidup, dia mula bekerja di sebuah kelab malam. Dia mula melayan pelbagai golongan lelaki tak kira bangsa apa. Dari segelas wain hinggalah ke katil! Di situlah dia mula mengenali Jay. Lelaki yang berwajah kacukan Belanda dan Melayu. Jay merupakan pelanggan tetap dan sentiasa memerhatikan Ima. Gaya Ima yang seksi dan menggoda sentiasa menarik perhatian mereka di kelab itu. Pesona yang dimiliki Ima membuatkan Jay tertarik lantas memikat wanita itu dengan kemewahan. Lama-kelamaan tanpa mereka sedari, hubungan mereka disulami perasaan cinta yang hanya bukan sekadar nafsu semata-mata.

"Please Ima... You jangan jadi bodoh sangat. Husband you tu anak pemilik syarikat tu. So, tak salah kalau dia nak ambil you kerja kat sana. You tu wife dia. Nanti dia bagilah kerja apa-apa untuk you. Takkan dia nak bagi you jadi cleaner, malulah dia nanti. Maybe dia akan ambil you sebagai setiausaha dia. You balik nanti, pujuk dia minta kerja kat sana."

Ima hanya mengangguk. Mereka saling berpandangan dan seterusnya hanyut dalam gelora asmara yang mereka cipta. Mereka melepaskan perasaan rindu yang bersarang dalam diri masing-masing. Ima terus memeluk erat Jay ke dalam dakapannya. Dia lupa akan status dirinya sebagai isteri orang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: