Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

"KAU baru balik dari Vietnam?" soal Linda, terkejut dengan perkara yang disampaikan oleh temannya yang duduk di sebelahnya.

Dia yang masih tekun memandu sesekali memandang ke arah Alisa yang sedang membetulkan rambutnya supaya kelihatan kemas. Geram dengan sikap Alisa yang langsung tidak memberitahunya mengenai perkara ini. Kesudahannya, hari ini Linda terpaksa menjadi pemandu peribadi menghantar Alisa ke pejabat gara-gara kereta temannya itu kena servis di bengkel.

"Yalah... Semalam baru sampai sini. Sorrylah tak inform kat kau dulu. Aku pun tergesa-gesa kena pergi sana dengan Encik Hakimi tu," balas Alisa sambil memandang sekilas ke arah temannya itu yang mula membuat muncung itik. Merajuklah tu!

"Patutlah aku telefon kau tak dapat. Rupa-rupanya dah jadi rakyat Vietnam kat sana," seloroh Linda lagi.

Alisa tergelak kecil dengan kata-kata temannya.

"Wait! Kau pergi dengan Encik Hakimi? Bos kau tu?" Linda inginkan kepastian.

Alisa mengangguk laju sambil tersengih.

"Yalah. Kenapa dengan kau ni? Salah ke kalau aku pergi dengan dia? Lagipun atas urusan kerja kan..."

Dahi Linda berkerut.

"Salah tu taklah. Tapi kau pergi dengan dia, mestilah aku pelik. Dalam banyak-banyak pekerja kat ofis tu, dia pilih kau, kau tak rasa pelik ke?" soal Linda sangsi.

Alisa tersenyum. Memang temannya ini sungguh berprasangka!

"Alah, tak ada apalah. Kami pergi atas urusan kerja. Lagipun bos aku tu dah kahwin. Aku pula dah bertunang. Kau aje yang fikir bukan-bukan." Alisa menjeling ke arah Linda. Dia yakin bosnya itu sangat baik. Langsung tidak ambil kesempatan terhadapnya. Lagipun dah rezekinya dapat ke Vietnam, takkan dia nak menolak?

Alisa tersenyum sendirian mengenangkan kembali momen-momen di Ho Chi Minh itu.

"Aku bukan apa, takut Si Asyraf tu cemburu nanti. Yalah, kau kan tunang dia. Okeylah, dah nak sampai ni. So, mana oleh-oleh untuk aku?" Linda menghentikan keretanya di depan bangunan Impiana.

Alisa menggeleng melihat gelagat Linda seperti budak kecil. Dia mula mengeluarkan bungkusan plastik dari beg tangannya untuk diberi kepada Linda.

"Nah, oleh-oleh untuk kau. Kain satin dari Vietnam. Nanti kau boleh buat baju kebaya. Cantik tau." Alisa menghulurkan buah tangan itu kepada Linda. Linda tersengih melihat kain satin warna ungu itu.

Cantik sangat! Tidak sangka sahabatnya itu mengingati warna kegemarannya.

"Thank you! Thank you, Alisa! I love you so much!" jerit Linda seraya memeluk erat temannya.

Alisa yang terkejut dengan tindakan Linda segera menepis tangan temannya. Habis rosak rambutnya. Linda tersengih melihat gelagat temannya itu yang terus membetulkan rambut sebelum keluar dari keretanya.

Linda terus memecut meninggalkan temannya yang mula mengayunkan langkah masuk ke bangunan Impiana.

"WHAT?! Saya kena pergi rumah Encik Nasih Mikael?" soalnya lagi seakan-akan tidak percaya dengan arahan yang baru diterimanya.

Puan Anita hanya sekadar mengangguk.

Terkejut apabila menerima tugasan daripada Puan Anita yang dia perlu gantikan kawan sepejabatnya Umairah yang tiba-tiba sahaja tidak sihat hari itu. Kenapa perlu rumah dia? Aku tak kesah kalau rumah klien yang lain tapi janji bukan rumah si mamat tu! Bencinya aku! Takkan aku nak cakap tak boleh pula! Mesti Puan Anita pelik. Lagipun Umairah tu dah tolong ganti masa aku di Vietnam tempoh hari.

Argh! Bencinya aku! Takkan langsung tiada pilihan? Hatinya mula membebel.

"Awak ada masalah ke Alisa?" tanya Puan Anita sedikit tegas. Hairan melihat orang bawahannya seakan-akan berat hati menerima tugasan itu.

Mendengar sahaja soalan daripada bosnya itu, laju dia menggelengkan kepalanya.

"Saya terima aje tugasan tu nanti. Maaflah puan, saya bukan apa, cuma terkejut apabila kena pergi rumah Encik Nasih Mikael. Yalah, Encik Nasih Mikael tu bukan calang-calang orang. CEO pula tu." Alisa cuba menyembunyikan hal sebenar.

Bukan calang-calang orang konon! Memang mangkuk itulah yang buat hidup aku merana dulu! kutuk Alisa dalam hati. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa macam nak terkam sahaja leher bosnya itu, nak beritahu yang aku tak nak pergi! Faham bahasa tak? Namun itu hanya mampu diluahkan melalui imaginasi nakalnya sahaja.

"Okey, kalau macam tu awak boleh bertolak sekejap lagi dengan team Umairah. Alamat rumah mereka dah tahu. Cuma awak perlu ambil beberapa dokumen penting tentang klien atas meja Umairah. Dia memang dah letak kat situ. Awak tak perlu tercari-carilah. Okey, awak boleh keluar sekarang," arah Puan Anita.

Alisa mengangguk lemah.

Kemudian dia mengayun langkah keluar dari bilik bosnya itu menuju ke bilik Umairah. Langkahnya terasa longlai. Semangatnya mula hilang. Suka atau tidak dia perlu berdepan dengan Nasih Mikael. Dia perlu buat sesuatu agar Si Nasih Mikael tidak perasan akan dirinya. Alisa mula memikirkan sesuatu setelah menaiki van milik syarikat bersama-sama team Umairah. Macam mana, ya?

Tiba-tiba dia tersenyum sendirian.

"Awak tolong berhenti kat farmasi depan tu ya, saya nak pergi beli barang sekejap," pinta Alisa kepada pekerjanya yang memandu van ketika itu.

Beberapa pekerja lain di dalam van itu memerhatikan sahaja gelagat ketuanya yang berjalan masuk ke dalam farmasi. Mungkin pada hemat mereka Alisa Zahira tidak sihat. Beberapa minit kemudian, Alisa Zahira kembali dengan memakai topeng di mukanya yang baru dibeli sebentar tadi. Nasib baik ada topeng muka yang menutup dari batang hidungnya hinggalah ke dagu.

Ya! Topeng muka menjadi penyelamatnya!

Alisa tergelak kecil melihat para pekerjanya memandang ke arahnya. Yalah! Tiba-tiba pakai topeng muka, bukannya jerebu!

"Saya tak sihat. Batuk dan selesema sikit," jelasnya cuba menyembunyikan fakta sebenar.

Mereka yang lain mula mengangguk faham.

Akhirnya mereka sampai ke destinasi yang dituju. Sambil membetulkan blaus yang kelihatan sedikit selekeh, dia mula membaca doa agar lelaki yang bakal dijumpanya itu tidak perasan akan dirinya sebenar. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

"Guys! Sebelum kita masuk rumah klien kita hari ini, boleh tak saya nak minta tolong daripada kau orang dulu?" pinta Alisa kepada pekerjanya. Mereka yang lain masing-masing berpandangan antara satu sama lain.

"Apa dia Cik Alisa?" tanya Amir salah seorang pekerja lelaki di situ. Alisa tersenyum.

"Saya nak minta kau orang panggil saya dengan nama Senah hari ini. Boleh tak?" Alisa mula membuat rancangan.

Mereka yang mendengar permintaan itu akhirnya mengekek ketawa. Mungkin tidak menyangka dengan permintaan yang diajukan oleh ketuanya itu. Pelik sangat dan melucukan.

"Kenapa Cik Alisa? Nama cik dah cantiklah..." soal Bakri pula. Hairan sungguh sikap ketuanya hari ini.

"Oh, disebabkan saya tak sihat hari ini, mak saya cakap saya kena guna nama lain iaitu nama Senah. Barulah sakit saya ini cepat sembuh. Jadi saya nak kau orang semua panggil saya dengan nama Cik Senah untuk hari ini aje walaupun di depan klien nanti." Alisa cuba menokok tambah cerita.

Harap rancangan ini menjadi. Dia tidak mahu Nasih Mikael tahu akan dirinya yang sebenar. Para pekerjanya mengangguk faham sambil menghabiskan sisa tawa. Alisa langsung tidak mempeduli mereka yang ketawakannya. Fikirannya hanya memikirkan bagaimana dia ingin berdepan dengan lelaki itu. Sudah bersediakah dirinya? Argh! Lantaklah! Dup! Dap! Dup!

"Hai, Nasih Mikael." Nasih Mikael mula memperkenalkan dirinya seraya menghulurkan tangan. Pelik melihat gadis di depannya itu memakai topeng.

"I am Senah. Senah binti Mail." Alisa memperkenalkan dirinya seperti yang dirancang. Dia mula menyambut tangan Nasih Mikael untuk berjabat. Jantungnya berdegup kencang. Seperti baru kali pertama dia berkenalan dengan lelaki itu. Ouch!

Nasih Mikael tersenyum. Pelik! Otai sungguh nama gadis ini. Tengok gaya nampak cantik orangnya walaupun hanya nampak sepasang mata sahaja. Tapi nama macam orang dulu-dulu. Otai! Entah kenapa dia rasa seperti pernah melihat sepasang mata itu? Argh! Lupakan.

Alisa mula perasan yang Nasih Mikael seakan-akan merenung dirinya. Dia mula cuak.

"Maaf Encik Nasih, saya perlu pakai mask hari ini sebab tak sihat. Takut berjangkit pula nanti."

Nasih Mikael mengangguk faham. Dia mula mempelawa gadis itu duduk untuk berbincang. Tapi suara Si Senah ni macam... Sekali lagi dia mula terbayangkan wajah Alisa.

Para pekerja mula mengangkat perabot-perabot yang dipesan ke dalam apartmen lelaki itu.

"So, Encik Nasih... Can we start now?" Alisa mula membelek-belek iPad miliknya. Nasib baiklah semua konsep yang ditunjuk oleh Umairah sebelum ini kepada lelaki itu ada di dalam iPadnya.

"Yep, sure," balas Nasih Mikael sambil mengangguk. Matanya tidak lepas memandang gadis itu. Memandang Si Senah ini mengingatkan dia kepada seseorang. Nasih Mikael tersenyum sendirian. Yang pasti Alisa Zahira pasti lebih cantik daripada Senah ini!

"Well, memandangkan Encik Nasih Mikael memilih apartmen, jadi sesuai sangatlah dengan konsep yang Encik Nasih pilih sebelum ini. Garapan konsep moden kontemporari ini akan menjadikan penataan kediaman kelihatan cukup sempurna. Perabot mahupun aksesori yang dipilih sangat tepat. Ia ringkas namun sangat menarik dengan penggunaan sofa berwarna coklat lembut." Mata Alisa sesekali menjeling ke arah lelaki yang duduk bersebelahannya itu.

Jantungnya masih berdegup kencang. Entah kenapa hatinya terusik memandang wajah lelaki itu? Argh! Bencinya!

Nasih Mikael yang mendengar bait-bait kata itu mengangguk faham. Alisa meneruskan kata-katanya sambil tangannya menunjukkan ke arah mereka yang bertungkus lumus mempersiapkan dekorasi.

Dua orang pekerja mula membawa meja kopi warna coklat keemasan untuk dipadankan dalam mengekalkan ciri-ciri moden yang ingin diterapkan. Keseimbangan pemilihan perabot dan aksesori yang bersesuaian akan tampak lebih menarik. Penggunaan cermin besar di belakang ruang tamu memberi ilusi luas dan sempurna. Kertas dinding melatari hingga ke siling dapat memberi sentuhan ruang yang berbeza. Pemilihan tona warna coklat jelas nampak redup dan menghasilkan suasana mendamaikan.

Setelah berjam-jam menghias, akhirnya ruang tamu dan ruang makan hampir siap. Nasih Mikael tersenyum puas sambil berdiri melihat mereka yang bekerja. Alisa yang melihat reaksi wajah Nasih mula berdiri di sebelah lelaki itu. Suka atau tidak, pandangan klien mesti diambil kira.

"Jadi Encik Nasih Mikael berpuas hati?" Alisa memandang ke arah lelaki itu.

"Okay, good job! Saya cukup berpuas hati." Nasih Mikael tersengih menampakkan baris giginya yang putih.

Argh! Senyuman itu! Dia mula berpaling ke arah lain. Dia tak mahu terus cair! Aku takkan tergoda dengan kau! bentak hati Alisa.

"Kenapa Encik Nasih Mikael pilih apartmen?" Alisa cuba menghilangkan gusar dalam hatinya.

"Kenapa awak tanya macam tu, Cik Senah?" Nasih Mikael mengajukan soalan lain tanpa menjawab soalan yang diajukan. Dia mula mengerutkan kening. Entah kenapa dia merasakan seperti berada pada zaman 70-an apabila membahasakan gadis itu dengan nama Senah. Dia hanya ketawa dalam hati.

"Tak adalah, sudah tentu nanti Encik Nasih akan berkahwin dan ada anak. Mungkin Encik Nasih boleh pilih rumah yang lebih besar seperti rumah dua tingkat untuk keselesaan famili Encik Nasih nanti. Maaflah, saya cuma bagi pendapat aje." Alisa sengaja memancing reaksi lelaki itu mengenai topik keluarga.

Nasih Mikael yang mendengar kata-kata itu mengeluh perlahan. Soal jodoh lagi! Apalah kau ni, Senah. Dah macam mama aku pula! bebel hatinya.

"Buat masa ini saya tak mahu fikir lagi soal kahwin." Hambar sahaja nada suara Nasih Mikael. Alisa yang mendengar bait-bait kata itu cuba meneka lagi. Nampak sangat dia ini tidak pernah serius dalam menjalin hubungan!

"Kenapa Encik Nasih fikir macam tu? Macam pernah patah hati aje..." Alisa cuba mencari kepastian.

Nasih Mikael mengeluh.

"Saya sebenarnya dulu pernah cintakan seseorang. Tapi disebabkan kebodohan saya, kami telah putus. Sekarang saya dapat tahu yang gadis tu telah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi," tutur Nasih tentang perkara sebenar. Hatinya dipagut sayu. Dia terkenangkan kata-kata Linda tempoh hari.

Alisa yang mendengar kata-kata itu tergamam. Dia rasa serba salah dan mula menyesal bertanyakan soalan seperti itu. Melihat Nasih yang berwajah kecewa membuatkan dirinya tertanya-tanya.

Dia betul-betul maksudkan aku ke? Kalau ya, jadi aku memang tidak bertepuk sebelah tanganlah sebelum ini? Tapi semuanya sudah terlambat! Hatinya cuba mengingatkan.

"Encik Nasih tak jumpa dia?"

"Dia yang tak mahu jumpa saya. Kalaulah sekarang ini saya diberi peluang untuk berjumpa dengannya, saya mahu minta maaf dengan dia. Saya kesal dengan apa yang berlaku dulu. Saya betul-betul mahu minta maaf." Nasih Mikael mula bersuara sebak. Matanya berkaca-kaca.

Hati Alisa mula terusik. Entah kenapa dia juga seperti rasa hendak menangis!

"Bersabarlah, Encik Nasih. Mungkin jodoh encik dengan gadis yang lebih baik lagi." Alisa cuba memujuk. Tidak sampai hati untuk dia memandang ke arah lelaki yang pernah mengisi ruang hatinya suatu ketika dulu.

"Terima kasih sebab sudi dengar luahan saya. Sorry sebab terlalu emo..." Nasih mula mengumpul kekuatan. Gadis di sebelahnya dipandang seraya melemparkan senyuman segaris.

"Oh, tak mengapa. Minta maaf Encik Nasih, saya nak minta izin guna bilik air sekejap boleh?" Alisa meminta izin daripada lelaki itu.

"Sure... Tapi awak boleh guna yang dalam bilik saya. Sebab yang kat luar ni saya renovate." Nasih Mikael menunjukkan biliknya.

Segera Alisa mengayunkan langkah ke arah bilik lelaki itu sebelum melangkah masuk ke dalam bilik air. Di dalam bilik air itu dia mula menanggalkan topeng yang dipakainya lalu diletakkan di tepi singki. Rimas! Air matanya juga mula mengalir teringatkan perkara tadi. Dia mula mengumpul kekuatan dan semangat. Dia tak mahu tewas dengan air mata lelaki itu. Dia mula menarik nafas beberapa kali lalu menghelanya perlahan.

Nasih Mikael yang tersedar telefon bimbitnya tertinggal di dalam bilik mula melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia hanya memandang sekilas ke arah bilik air yang digunakan oleh Cik Senah. Dia mula mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas katil dan mula membuat panggilan.

Alisa keluar dari bilik air itu setelah semangatnya kembali. Keluar saja dari bilik air, mereka berdua saling berpandangan. Nasih Mikael tergamam memandang ke arah Alisa.

Alisa yang mula sedar dia tidak memakai topeng terus tersentak. Segera dia menekup mulutnya dengan tangan. Aku tertinggal topeng di dalam bilik air! Nampaknya dia dah tahu aku siapa! Bodohnya aku! Akalnya mengutuk!

"Alisa?" Nasih Mikael bersuara perlahan. Telefon bimbitnya segera dimatikan.

Dia masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Matanya membuntang memandang gadis di hadapannya itu. Baru sahaja dia bercakap tentang gadis itu, rupa-rupanya Senah ialah Alisa Zahira! Gadis pujaan hatinya!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: