Bab 10
"HAI, baru aje tiga bulan lepas awak buat renovate untuk kabinet dapur, sekarang nak ubah suai ruang tamu pula? Tak payah nak membazir sangatlah Cik Aisyah... Ni set sofa Itali awak tu nak campak kat mana?" bebel Tan Sri Akhtar kepada isterinya. Pening melihat gelagat isterinya yang mula memilih konsep di dalam majalah yang ditatapnya.
"Alah, apa salahnya kalau mampu? Saya buat semua ni pun untuk keselesaan awak juga," balas Puan Sri Aisyah sambil matanya masih menatap majalah yang dipegangnya.
"Tahulah mampu, tapi kalau terlalu membazir tak elok juga. Awak ni bukannya setakat perabot dalam rumah ni saja nak bergaya dan eksklusif, tapi pakaian awak dalam almari tu... Tak tahulah saya... Semuanya nak eksklusif. Orang lain tak pakai lagi, awak dah tempah awal-awal. Habis semua designer kat sini awak cuba, awak cari pula designer luar. Tak ke membazir namanya?"
Baginya walaupun dia dan keluarga mampu untuk merasai semua itu, pengalaman hidup susah dulu banyak mengajarnya. Sememangnya Tan Sri Akhtar Firdaus sangat merendah diri dan tidak pernah membangga diri dengan apa yang dimilikinya. Cukup sahaja dengan makan, pakai dan ada tempat tinggal, dia sudah bersyukur.
Walau bagaimanapun, dia tidak pernah menyalahkan isterinya bersikap demikian. Mungkin isterinya itu sudah terbiasa sejak kecil lagi kerana terlalu dimanjai oleh arwah bapa mentuanya. Namun begitu, dia dan isterinya tidak pernah lupa untuk menyalurkan sumbangan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan, menghantar mereka yang tidak berkemampuan menunaikan haji dan umrah, sentiasa menziarah rumah orang-orang tua, anak-anak yatim dan mereka yang OKU. Dia sendiri kagum dengan isterinya yang aktif berpersatuan dan banyak melakukan program amal untuk mengumpul dana kebajikan.
"Abang, tengok ni... Cantiknya. Gabungan konsep dan warnanya nampak elegan dan eksklusif. Saya ingat nak dekorasi rumah kita dengan konsep macam inilah. Abang macam mana?" Puan Sri Aisyah menunjukkan konsep di dalam majalah itu ke arah suaminya itu.
"Terserah kepada awaklah. Saya ikut aje," jawab Tan Sri Akhtar acuh tak acuh.
"Okey... Kalau macam tu, saya nak hubungi merekalah. Nak jemput datang rumah kita dulu untuk discuss. Malas saya nak pergi tempat mereka." Puan Sri Aisyah terus menghubungi Impiana Corporatian. Tan Sri Akhtar hanya memerhati gelagat isterinya itu.
HARI yang dinanti telah tiba. Puan Sri Aisyah tidak sabar menanti kedatangan perunding dekorasi yang dijemputnya itu. Sesekali matanya melirik ke arah jam tangannya. Suaminya telah lama menghilang. Katanya keluar bermain golf dengan kawan-kawannya.
"Kak Timah, kalau tetamu tu datang nanti panggil saya tau. Saya nak ke atas sekejap," arah Puan Sri Aisyah kepada orang gajinya yang sedang menatang dulang minuman untuk dihidangkan.
Puan Sri Aisyah terus berlalu pergi.
"Baiklah, Puan Sri," akur Kak Timah mengangguk faham. Kak Timah tekun mengatur cawan di atas meja untuk dihidangkan kepada majikan dan tetamu yang datang. Wanita yang dipanggil Kak Timah itu usianya lebih kurang sama dengan Puan Sri Aisyah. Sudah dua puluh tahun dia berkhidmat dengan keluarga itu.
Tidak lama kemudian, tetamu yang dinanti-nanti telah tiba. Kereta Alisa Zahira mula masuk ke pekarangan vila itu. Dia terpaku memandang rumah yang tersergam indah di depannya. Mak ai, kat luar pun dah cantik, inikan pula kat dalam nanti, puji hatinya.
Dia masih terpegun melihat taman bunga yang menceriakan pemandangan luar vila. Kak Timah yang melihat kedatangan gadis itu, tersenyum dan berjalan ke arah Alisa Zahira.
"Cik ni perunding dekorasi tu, ya?" tegur Kak Timah kepada gadis itu.
Alisa Zahira tersenyum dan mengangguk.
"Jemputlah masuk," pelawa Kak Timah menjemput gadis itu masuk.
Alisa menuruti langkah wanita itu. Apabila kakinya mula melangkah masuk, dia tergamam sebentar melihat konsep di dalam rumah itu. Cantik dan mewah. Nak ubah suai apa lagi? Dah orang kaya, memang adatlah kalau berkali-kali tukar perabot pun, bebel hatinya. Matanya masih tidak lepas memandang setiap sudut rumah itu.
"Jemputlah duduk, cik... Siapa nama, ya?" Kak Timah bertanyakan nama gadis itu. Alisa mula melabuhkan punggungnya di atas sofa klasik rekaan Itali.
"Nama saya Alisa," jawab Alisa memperkenalkan dirinya sambil tersenyum. Manis.
Kak Timah mengangguk sambil meletakkan secawan teh yang dibancuhnya tadi di hadapan gadis itu.
"Cik Alisa jemput minum dulu ya. Saya nak panggil Puan Sri sebentar." Kak Timah terus berlalu dari situ untuk memaklumkan kepada majikannya mengenai kedatangan tetamu yang dinantikan sejak tadi lagi.
Tidak lama menunggu, Puan Sri Aisyah mula berjalan menuruni tangga. Sesekali matanya memandang ke arah tetamu yang dijemput. Entah kenapa, dia seperti mengenali seraut wajah gadis itu. Tiba-tiba hatinya dapat meneka. Ya! Gadis itu Alisa Zahira! Tidak sangka dapat berjumpa dengan gadis itu lagi. Hatinya berbunga gembira.
"Cik Alisa, kan? Tak sangka kita dapat berjumpa lagi," tutur Puan Sri Aisyah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan gadis itu.
Alisa yang terpinga-pinga dengan ungkapan itu tergamam sebentar. Berjumpa lagi? Bila masanya pula dia bertemu dengan wanita itu? Otaknya mula ligat berfikir. Entah kenapa dia langsung tidak mengingati wanita itu. Mungkin terlalu banyak berjumpa dengan klien. Namun dia cuba mengamati wajah wanita di hadapannya itu. Ya! Dia akui macam pernah lihat wajah itu tapi di mana ya?
Puan Sri Aisyah tersenyum-senyum melihat Alisa yang seakan-akan memikirkan sesuatu.
"Maaf Puan Sri, saya rasa macam pernah lihat Puan Sri. Tapi lupa kat mana?" Alisa terkebil-kebil mengamati wajah Puan Sri Aisyah.
Puan Sri Aisyah menarik tangan gadis itu untuk duduk bersama-sama.
"Alah, ingat tak masa kat Restoran Bora Kasih tu? Awak tolong kembalikan jam tangan saya yang tertinggal di ladies malam tu." Puan Sri Aisyah cuba memutarkan memori sebulan yang lalu.
"Oh ya, saya dah ingat. Maafkan saya, Puan Sri," ucap Alisa sambil tersenyum manis.
Dia mula mengeluarkan iPad miliknya dari beg tangan jenama Guess itu. Sesekali tangannya menguak anak rambut ke belakang. Rasa selekeh pula aku hari ini nak dibandingkan dengan Puan Sri kat depan aku ni! Malunya aku! bebelnya dalam hati.
Menyesal pula tidak pernah dengar nasihat Linda. Nak buat macam mana, tak tahu pula yang kliennya hari ini berpangkat Puan Sri. Lagipun dia dapat tugasan mengejut daripada bosnya.
"Tak apa, saya faham. Kerja macam awak ni memang kena berjumpa dengan ramai orang. Alisa dah minum?" Puan Sri Aisyah masih memandang wajah itu.
Tidak tahu kenapa dia terlalu menyukai gadis itu. Cantik dan manis sangat. Kalaulah anak lelakinya yang bujang itu ada di rumah sekarang, dah lama dia perkenalkan mereka berdua, fikirnya lagi.
"Oh... Sudah, Puan Sri." Alisa memandang sekilas ke arah Puan Sri Aisyah.
"Tak payahlah panggil saya Puan Sri. Panggil aje aunty. Saya tak kesah," ujar Puan Sri Aisyah dengan lembut. Alisa yang mendengar hanya mengangguk dan tersenyum.
"Okey, jadi aunty nak jenis konsep yang macam mana untuk ruang tamu ni? Saya tengok yang ada sekarang pun dah cukup cantik," puji Alisa mengenai susun atur perabot di ruang tamu itu. Memang besar sungguh rumah ini sehinggakan ada tiga ruang tamu berlainan gaya.
"Oh, saya ingatkan nak pilih konsep gaya moden tapi nampak eksklusif. Lepas tu kalau boleh dekorasi yang dipilih tidak mahu terlalu menonjol," ujar Puan Sri Aisyah mengenai konsep yang dimintanya.
Mendengar butiran dari mulut kliennya, segera Alisa membelek imej konsep di dalam iPad. Puan Sri Aisyah melihat sahaja gerak-geri gadis itu.
"Baiklah, kalau macam tu saya cadangkan Puan Sri Aisyah pilih konsep ini. Macam mana?" Alisa menunjukkan salah satu gambar konsep ruang tamu di dalam iPadnya itu.
Puan Sri Aisyah segera meneliti setiap sudut ruang di dalam gambar itu.
"Okey, yang ni pun cantik," puji Puan Sri Aisyah sambil tekun meneliti konsep itu. Bibirnya menguntum senyum.
"Sebab konsep ini tidak terlalu menonjol. Set sofa yang kita pilih nanti rekaan dari Jerman. Gabungan warna pula sangat sesuai sebab tidak terlalu garang. Kita hanya menggunakan warna-warna pastel sahaja dan ia masih mengekalkan ciri-ciri yang moden dan eksklusif," jelas Alisa Zahira mengenai konsep yang dirujuknya itu.
Puan Sri Aisyah mengangguk faham. Dia tekun mendengar bait-bait kata yang keluar dari mulut gadis itu. Matanya masih menatap wajah Alisa. Entah kenapa dia merasakan gadis itu terlalu istimewa. Lama dia menatap wajah Alisa Zahira. Sesekali dia mengangguk faham bersetuju dengan kata-kata gadis itu.
Alisa Zahira yang sedar dirinya diperhatikan mula berasa tidak senang duduk. Tidak suka apabila wajahnya ditenung lama.
Pelik pula Puan Sri Aisyah ni, fikirnya.
"Aunty, aunty okey ke? Kenapa pandang saya macam tu?" tegur Alisa Zahira sambil memandang Puan Sri Aisyah.
"Awak dah kahwin, Alisa?" soal Puan Sri Aisyah tanpa menjawab pertanyaan gadis itu. Tidak sedar tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulutnya.
Alisa sedikit tersentak dengan soalan tanpa diduga itu.
"Belum lagi, aunty. Kenapa?"
"Oh, tak ada apa-apa... Saja nak tahu," balasnya sambil tersenyum. Namun dalam hati dia lega dengan status gadis itu. Dia mula merancang ingin perkenalkan gadis itu kepada anak lelakinya.
Setelah lama mereka berbincang, akhirnya Alisa meminta izin untuk pulang.
"Okeylah aunty. Nanti dua hari lagi saya datang dengan team saya untuk menghias ruang tamu rumah aunty. Pasal bayaran, aunty boleh buat masa kami datang nantilah ya." Alisa sudah mula berdiri sebelum melangkah keluar.
"Yalah, saya faham. Terima kasih sebab sudi datang," balas Puan Sri Aisyah sambil tersenyum.
Alisa juga turut tersenyum dan mengangguk. Mereka berdua bersalaman dan berpelukan sekejap.
Dalam hati Puan Sri Aisyah berdoa agar gadis itu dapat dijodohkan dengan anaknya, Nasih Mikael. Puan Sri Aisyah mengiringi Alisa Zahira hingga ke luar rumahnya. Kereta Nissan Teana milik gadis itu mula berlalu pergi sehingga hilang dari pandangannya. Tidak perlu terburu-buru. Masih ada masa lagi mengenali gadis itu untuk dijadikan menantunya nanti. Mujurlah gadis itu belum berkahwin lagi. Suka atau tidak, Nasih Mikael mesti berkahwin dengan gadis itu, tekad hatinya!
"SORRY! Abang tidak izinkan. Abang nak sayang betul-betul jadi isteri abang. Bukannya sibuk dengan kerja kat ofis tu..." bantah Rizki dengan lembut sambil memeluk erat belakang isterinya yang mula merajuk. Dia sendiri pelik isterinya itu tiba-tiba sahaja minta izin untuk bekerja.
"Alah abang, lagipun Ima bosanlah asyik duduk kat rumah aje. Tak tahu nak buat apa. Kalau kat ofis nanti Ima bolehlah tolong mana yang patut." Ima cuba memberi alasan.
Wajahnya masih tidak berpaling ke arah suaminya itu. Perlahan-lahan Rizki mengangkat wajah itu supaya memandangnya. Mereka saling bertentang mata. Ima mula menunjukkan muncung itiknya itu.
"Sayang, isteri yang baik dan solehah ialah isteri yang patuh kepada suaminya. Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Abang nak sayang jadi isteri yang terbaik buat abang. Jaga pakai dan makan minum abang, jaga maruah abang... Lagipun abang mampu untuk menyara kehidupan kita. Abang tak mahu sayang leka bekerja. Nanti sayang lupa segala tanggungjawab sebagai seorang isteri. Dahlah, abang tak mahu kita bincang pasal ni lagi. Abang ada meeting tengah hari ini. Nanti malam abang bawa sayang jalan-jalan okey... Kita pergi tengok wayang," ujar Rizki sambil mengucup dahi isterinya itu. Sayang sungguh dia terhadap isterinya itu. Langsung tidak sedar akan kecurangan isterinya.
Ima terus mencium tangan suaminya sebelum lelaki itu berlalu pergi. Setelah memastikan kereta suaminya itu hilang dari pandangan, dia terus menelefon Jay. Jay mengeluh apabila mendengar kata-kata daripada kekasihnya itu. Rancangannya kali ini gagal. Nampaknya dia terpaksa ubah rancangan lain. Damn it! keluhnya dalam hati.
"I am sorry Jay. I dah cuba tapi Rizki tetap tidak izinkan," tutur Ima mula rasa bersalah.
"It is okay, honey. At least you dah cuba. Nanti I fikir cara lain. Thanks, honey. I love you... Bye," ucap Jay mengakhiri perbualan.
Panggilan telefon terus dimatikan. Dia berkira-kira ingin menelefon papanya yang berada di Filipina untuk memberitahu segala perkembangan.
"Helo papa," sapa Jay.
"How's that?" tanya Tuan Fadzil sambil matanya menikmati panorama di sekitar rumahnya.
"Ima tak boleh kerja kat sana. Rizki tak bagi..." jawab Jay hambar.
"Tukar plan! Papa mahu kamu kerja kat sana. Lepas tu kamu follow saja plan sebelum ini. Pastikan kamu berbaik dengan mereka yang bekerja di bahagian kewangan syarikat. Okey, bye." Terus panggilan dimatikan.
Jay mengeluh. Nampaknya terpaksalah dia berjumpa dengan Nasih untuk bekerja di sana.
Manila, Filipina...
TUAN FADZIL leka memerhati gambar wajah arwah isterinya dan gambar anak lelaki mereka semasa kecil. Entah kenapa hari itu dia terlalu merindui arwah isterinya. Air matanya mula bergenang apabila mengingati kembali memori bersama isterinya ketika baru sahaja melahirkan anak lelaki mereka. Suasana ketika itu sangat ceria dengan kehadiran orang baru di dalam rumahnya di Malaysia pada 32 tahun yang lalu.
"Abang gembira sangat hari ini..." ucap Tuan Fadzil sambil memeluk erat isterinya. Isterinya yang masih lemah itu menggenggam erat tangan suaminya.
"Abang nak namakan anak kita dengan nama apa?" tanya Puan Rohana sambil tersenyum.
"Mungkin dengan nama..." Belum sempat dia mengungkapkan sebaris nama untuk anaknya itu, tiba-tiba ibunya datang ke arah mereka berdua.
"Fadzil, Mak Peah dah datang. Mak nak Ana ni bertungku. Kamu duduk kat ruang tamu dulu, ya," pinta ibunya. Fadzil mengangguk faham sambil tersenyum. Dia mengucup dahi isterinya sebelum berlalu pergi.
Lama dia termenung mengenangkan kembali memori bersama arwah isterinya itu. Tiba-tiba dia tersentak dengan bunyi seakan-akan barang pecah di sebelah biliknya. Segera dia berlari keluar dari biliknya. Dia terkejut melihat adiknya Nisa meracau-racau setelah membaling pinggan ke dinding. Kemudian wanita itu mencapai kaca pinggan itu dan cuba mencederakan dirinya.
"Nisa!!! Buang kaca tu!" Tuan Fadzil cuba menghalang adiknya itu. Segera dia mencapai tangan adiknya.
"Jangan ambil! Ini barang Nisa!" bentak Nisa sambil menghalang tangan abangnya. Tanpa diduga, setelah Tuan Fadzil berjaya merampas kaca dari tangan adiknya itu, tapak tangan kirinya terluka.
Nisa yang terkejut melihat darah keluar dari tapak tangan abangnya itu terus menjerit dengan reaksi wajah ketakutan.
"Padan muka!!! Salah abang!!!" hambur Nisa kemudian berlari meninggalkan abangnya yang kesakitan itu.
Tuan Fadzil hanya memandang sekilas Nisa yang berlari menuruni anak tangga. Tangan kirinya pedih menahan kesakitan. Dia segera menuju ke bilik air untuk membasuh luka. Pembantu rumahnya yang terkejut melihat majikannya itu cedera segera menyapu ubat dan membalut luka di tapak tangan itu.
Malam itu Tuan Fadzil ke bilik Nisa. Lena sungguh adiknya itu tidur. Sedih melihat nasib adik perempuannya. Dia masih ingat lagi ketika adiknya itu mengalami keguguran akibat dilanggar lari oleh seseorang. Nisa meracau-racau sambil menjerit atas kehilangan anak yang dikandungnya itu.
"Anak aku tak mati! Anak aku ada lagi! Aku dapat rasakan di dalam perut aku!" jerit Nisa sambil menarik tangan doktor wanita itu lalu diletakkan di atas perutnya.
Doktor wanita itu menggeleng sambil menunjukkan riak wajah bersimpati. Nisa yang melihat wajah doktor itu segera menepis tangan doktor wanita itu. Benci.
"Argh!!! Kau semua bodoh! Kau semua yang bunuh anak aku! Pembunuh!!!" Nisa menjerit sekuat hati. Dia terus meracau-racau lalu cuba menarik dan mencekik leher jururawat yang berada di situ. Mereka yang ada di situ cuba meleraikan kedua-dua tangan Nisa.
"Nisa! Tolong lepaskan!!!" Tuan Fadzil menarik tangan adiknya itu.
Setelah berjaya menghalang, jururawat itu terus dibawa keluar. Doktor wanita itu mula memberi suntikan ubat pelali kepada pesakitnya. Nisa mula tidak sedarkan diri sambil mulutnya masih terkumat-kamit.
"Tuan Fadzil, sila ke bilik saya sebentar untuk berbincang," pinta doktor wanita itu sebelum berlalu.
Tuan Fadzil mengangguk setelah memastikan adiknya mula lena. Kemudian dia terus ke bilik doktor wanita itu.
"Beginilah Tuan Fadzil... Saya dapati adik tuan mengalami trauma yang teruk akibat keguguran kandungannya itu. Mungkin selepas ini dia mengalami tekanan jiwa atau lebih teruk lagi akan alami masalah mental. Dia tidak dapat terima hakikat atas kehilangan anak yang dikandungnya itu. Saya sarankan tuan bawa adik tuan untuk temui pakar yang bertauliah," jelas doktor wanita itu.
"Maksud doktor ada kemungkinan adik saya akan menjadi gila?" Tuan Fadzil mula bertanya. Doktor wanita itu mula memikirkan jawapan yang sesuai untuk soalan itu.
"Macam inilah Tuan Fadzil. Seperti yang tuan maklumkan kepada saya sebelum ini, tuan mengatakan adik tuan dirogol. Biasanya gadis seusia Nisa itu akan mengalami trauma yang teruk akibat insiden itu. Tetapi Nisa seorang gadis yang tabah. Walaupun dia hamil akibat daripada insiden itu, dia tetap ingin menjaga anak yang dikandungnya. Mungkin sesetengah gadis lain akan menggugurkan kandungan mereka. Saya tidak boleh katakan yang adik tuan akan terus menjadi gila, tetapi saya percaya jika dia sentiasa dipantau, bagi sokongan dan bercakap dengan dia, mungkin dia akan pulih seperti biasa. Semua ini bergantung kepada jenis trauma yang dialami. Namun begitu saya percaya dengan sokongan Tuan Fadzil sebagai abang, dia pasti akan pulih sedia kala," terang doktor wanita itu dengan yakin.
Tuan Fadzil mengangguk perlahan. Lemah.
"Tak apalah doktor, saya akan cuba sentiasa bersama dia. Lagipun saya adalah satu-satunya saudara yang dia ada. Saya akan bawa adik saya pulang ke Filipina nanti," tekad Tuan Fadzil.
Memang dia terlalu sayangkan adiknya itu. Entah kenapa api kemarahannya mula membuak-buak terhadap keluarga Akhtar Firdaus. Hingga sekarang dia masih berdendam dengan keluarga itu.
"Abang tak tidur lagi?" tegur Nisa sambil memegang tangan abangnya itu. Di sebelah tangan kirinya pula memeluk anak patung Barbie.
Dia terkebil-kebil memandang abangnya yang berdiri dalam cahaya suram. Tuan Fadzil yang sedang mengelamun tersentak dengan teguran adik perempuannya itu. Dia tersenyum memandang Nisa. Wanita yang berusia lewat 40-an itu menarik tangan abangnya untuk duduk dengannya di birai katil.
"Sorry pasal tadi. Nisa jahatkan abang? Selalu susahkan abang," tutur Nisa manja.
Dia membelek-belek tangan abangnya yang berbalut itu. Sesekali bibirnya tersenyum. Tuan Fadzil hanya memandang sahaja gerak-geri adiknya itu.
"Tak, Nisa tak salah. Abang yang salah." Perlahan dia mengusap rambut Nisa yang kelihatan sedikit berserabai. Nisa yang mendengar ayat-ayat dari mulut abangnya itu perlahan-lahan melepaskan tangan abangnya.
"Nisa janji tak buat lagi. Tapi abang juga kena janji esok abang belikan Nisa anak patung Rapunzel. Rambut dia panjang tau. Tengok yang ni dah tak ada rambut," rengek Nisa manja.
Nisa menunjukkan anak patung Barbie yang berkepala botak itu kepada abangnya. Tuan Fadzil hanya memandang sahaja.
"Okey, esok abang belikan. Sekarang abang nak Nisa tidur."
Tuan Fadzil mula merebahkan badan adiknya itu. Nisa menurut. Kemudian dia menarik gebar untuk membaluti tubuh adiknya. Setelah memastikan adiknya itu betul-betul terlena, dia terus berlalu keluar meninggalkan bilik itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro