Bab 1
PEMANDANGAN di tepi pantai yang indah dan mengasyikkan itu membuatkan gadis berbaju kurung itu terus mengayunkan kakinya berjalan di persisiran pantai. Sambil tangan kanannya memegang sepatu, gadis tersebut tersenyum riang bersaksikan keindahan pantai ketika itu. Sesekali kakinya dipukul ombak kecil. Gadis itu kelihatan gembira sambil menguak rambutnya ke belakang. Alisa Zahira ialah nama secantik dirinya. Memiliki wajah bujur sirih dan berkulit cerah menjadikan gadis ini bersyukur dengan kurniaan yang diberi oleh-Nya. Baginya, kecantikan yang dimiliki oleh seseorang individu tidak hanya terletak pada luaran sahaja, malah perlu diiringi dengan kecantikan dalaman.
Namun hari ini Alisa memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dia bakal mendirikan masjid tidak lama lagi. Masih terbayang-bayang lagi apabila dia menerima kunjungan bakal mentua di rumahnya tengah hari tadi.
"Kalau Kak Zah dan Abang Mad setuju, apa kata kalau kita buat akad nikah pada hujung tahun ini? Kenduri pula tiga hari kemudian. Hah, macam mana? Setuju ke tidak cadangan saya ni? Lagipun benda baik tak elok ditangguhkan lama-lama," ujar Puan Asmah sambil menghabiskan sisa minumannya.
"Saya sebenarnya tak kesah sangat, tapi apapun kena tanya tuan punya badan dulu. Lagipun saya setuju benarlah kalau mereka ni kahwin cepat-cepat. Yalah, budak- budak sekarang ni tak sama seperti kita dulu, ada aje masalah kalau bertunang lama-lama. Macam mana, Alisa? Setuju ke tak kalau kamu dinikahkan hujung tahun ni?" soal Encik Ahmad Lutfi terhadap anak perempuan tunggalnya yang berada di sebelahnya.
Alisa hanya tersenyum dan mengangguk. Hatinya berbunga riang. Matanya melihat wajah ibunya yang kelihatan tersenyum tanda setuju.
"Oh ya, Asyraf memang dah tahu ke pasal ni?" tanya Puan Norazah kepada bakal kedua-dua besannya itu.
"Apa pula tak tahu? Dia sendiri yang minta dipercepatkan. Katanya dia mungkin akan berangkat ke Australia mulai tahun depan, kena transfer kat sana tiga tahun. Itu sebab minta dipercepatkan," balas Encik Ilyas sambil tersenyum.
Dia bangga dengan pencapaian anak lelakinya. Pada usia yang masih muda, anak lelakinya diberi kepercayaan menjawat jawatan penting di syarikat terkemuka. Kini anak lelakinya itu bakal berhijrah ke negara orang.
"Kalau macam tu, kena buat persiapan sekaranglah, ya bang? Hai, tak sabar rasanya saya nak bermenantukan Asyraf. Baik budaknya, hormat orang tua. Sejuk perut awak Asmah mengandungkan Asyraf tu," ujar Puan Norazah sambil matanya menjeling ke arah anaknya Alisa Zahira.
Lama Alisa di situ. Kemudian dia segera meminta izin untuk berlalu dari situ. Hatinya girang. Impiannya ingin berkahwin dengan lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya buat kali kedua itu akan termakbul tidak lama lagi. Asyraf Kamil bin Ilyas. Lelaki itulah yang akan menjadi suaminya nanti.
Bunyi mesej dari telefon bimbit menyebabkan lamunan Alisa terhenti. Dia segera membuka mesej tersebut. Bibirnya mengukir senyuman. Alangkah gembiranya apabila kekasih hati yang menghantar mesej itu.
Hai sayang. Buat apa tu? Macam mana? Setuju tak kita dinikahkan hujung tahun ni?
Segera Alisa menaip jawapan terhadap pertanyaan kekasih hatinya itu.
Amboi... Tak sabar nampak? Hehe... Setujulah. Tapi takkan tak nak balik kampung dulu? Banyak persiapan nak kena buat ni. Takkan awak nak biarkan saya buat sorang- sorang?
Tidak lama kemudian, mesej daripada Asyraf segera dibuka oleh Alisa.
Yalah, sayang... Saya balik nanti. Sabar, ya. Saya nak siapkan kerja-kerja saya dulu. Tengoklah bulan depan. Saya minta cuti nanti demi tunang saya tercinta ini. Okeylah... Saya ada meeting sekejap lagi. Take care, ya... Tunggu saya balik tau.
Alisa tersenyum. Sayang sungguh Asyraf kepadanya. Kali ini dia yakin Asyraf ialah jodoh terbaik buatnya. Dalam diam dia bersyukur. Besar hikmahnya selepas hatinya hancur akibat cinta yang pernah ditolak oleh seorang mahasiswa semasa menuntut di universiti suatu ketika dahulu. Selepas tamat universiti, dia tekad untuk melupakan lelaki itu dan tidak mahu jatuh cinta lagi.
Namun tiada sesiapa yang boleh melawan takdir. Kehadiran Asyraf Kamil dalam hidupnya telah banyak memberi sinar baru. Hidupnya kini ceria setelah bergelar tunang kepada Asyraf Kamil. Baginya Asyraf Kamil adalah segala-galanya.
Okey, saya tunggu. Nanti bolehlah kita balik KL sama-sama sebab permohonan kerja kat Bangsar tu dah lulus. Kali ni saya janji akan kerja sungguh-sungguh. Sayang awak.
Setelah selesai membalas mesej, Alisa segera mengayunkan langkahnya menuju ke arah kereta Pesona milik abahnya. Jam di tangannya telah menunjukkan pukul lima. Dia sedar yang dia perlu pulang kerana belum menunaikan solat asar lagi. Dia bersyukur kerana permohonan kerja sebagai Perunding Dekorasi Hiasan Dalaman di Impiana Corporation telah diterima.
Hmmm... Rezeki nak kahwin kut, desis hatinya.
Otaknya mula membayangkan kemeriahan perkahwinannya nanti. Semua saudara-maranya akan bertungkus lumus melakukan persiapan. Tidak sabar pula memilih busana pengantin bersama tunangnya untuk hari bersejarah mereka nanti. Seronoknya! Alisa berteriak kecil. Hatinya berbunga girang. Tanpa dia sedar, kereta yang dipandunya itu telah memasuki pekarangan rumahnya.
KEMEWAHAN Villa Teratai yang dimiliki oleh Tan Sri Akhtar Firdaus dan isterinya, Puan Sri Aisyah amat dikagumi oleh sesiapa sahaja yang memandangnya. Vila yang tersergam indah itu mempunyai kawasan pekarangan rumah yang amat luas dan mempunyai identiti tersendiri. Semua itu menggambarkan kemewahan yang dimiliki oleh pemiliknya. Puan Sri Aisyah amat mementingkan konsep dan gaya di dalam rumah mewah miliknya. Sesiapa sahaja akan terpukau melihat perabot-perabot mewah yang terdapat di dalam rumah tersebut. Kedua-dua suami isteri ini memiliki dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
"Abang... Jadi tak anak sulung kita balik pada hujung minggu ni?" soal Puan Sri Aisyah sambil matanya menatap majalah Wanita.
"Entahlah, saya pun tak pasti. Cuba awak call dia nanti. Hari tu dia ada cakap kat saya. Katanya nak balik. Mungkin hujung minggu ni. Dia cakap nak kerja dengan saya terus," balas Tan Sri Akhtar. Matanya tidak lepas menonton rancangan kesukaannya di televisyen.
"Laaa... Baguslah tu. Saya lebih suka dia duduk di Malaysia dan tinggal dengan kita. Lagipun rumah ni sunyi. Tak ada orang. Rizki dah kahwin. Mila pula kat Paris. Kalaulah Rizki dan menantu kita tinggal serumah dengan kita, taklah sunyi sangat rumah ni," ujar Puan Sri Aisyah.
Dia geram dengan sikap anak keduanya yang mengambil keputusan untuk berpindah. Katanya ingin berdikari. Kali ini dia tekad, jika suatu hari nanti anak sulungnya itu Nasih Mikael bertemu jodoh, dia akan pastikan anak dan menantunya itu akan tinggal bersama mereka.
"Hai, awak ni... Takkan tak kenal dengan anak awak tu? Jangan yakin sangat anak awak tu nak tinggal dengan kita. Dia tu mesti nak tinggal berasingan. Nak privasilah katakan... Awak tunggulah dia balik nanti... Mesti dia cakap dia dah beli apartmen. Sudahlah! Awak tak payahlah paksa mereka. Kalau mereka tak nak tinggal dengan kita, nak buat macam mana? Awak boleh aje pergi rumah mereka kalau sunyi sangat. Tak pun ajak aje menantu awak tu temankan awak pergi shopping. Taklah boring sangat."
"Abang ni... Kalau bercakap dengan dia sikit pun tak nak menyebelahi kita. Kali ini saya tak peduli, Nasih Mikael mesti ikut cakap mamanya. Muktamad!"
Puan Sri Aisyah menghempaskan majalah yang dibacanya ke atas meja sambil diperhatikan oleh suaminya itu. Kemudian dia terus berlalu meninggalkan ruang tamu.
Tan Sri Akhtar hanya mampu menggeleng. Pening melihat kelakuan isterinya sejak akhir-akhir ini. Terlalu sensitif. Mungkin isteri kesayangannya itu terlalu inginkan cucu. Tan Sri Akhtar mula membayangkan alangkah gembiranya jika rumahnya ini dipenuhi gelak ketawa anak- anak dan cucu-cucunya. Tidak sabar rasanya menunggu kehadiran cucu pertama daripada Rizki. Anaknya itu telah berkahwin pada enam bulan yang lepas. Namun apabila persoalan ini diajukan kepada Rizki dan Ima, mereka segera menukar topik. Seperti tidak selesa apabila diajukan soalan sedemikian.
Tan Sri Akhtar sentiasa berdoa semoga anak dan menantunya itu segera mendapat cahaya mata yang akan menambahkan seri hubungan kekeluargaan mereka. Lagipun dia mungkin akan bersara tidak lama lagi. Tiba masanya syarikat itu diambil alih oleh anak-anaknya. Dia berkira-kira akan melepaskan jawatan sebagai CEO kepada Nasih Mikael jika dipersetujui oleh ahli-ahli lembaga pengarah yang lain. Dia yakin Nasih mampu menggalas tanggungjawab itu.
Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Nama anak perempuan bongsunya, Mila tertera di skrin. Dia segera menjawab panggilan anaknya itu.
"Assalamualaikum papa..." teriak Mila. "Waalaikumussalam. Anak papa ni sihat?" "Sihat, papa. Papa dengan mama sihat tak?"
"Kami kat sini sihat aje. Ni kenapa call? Rindu kat papa dengan mama ke?" tanya Tan Sri Akhtar dengan riak gembira.
"Yalah... Mila rindukan papa dengan mamalah... Tadi cuba call mama tak dapat. Mama dah tidur kut," jawab Mila sambil matanya menikmati keindahan kota Paris.
"Oh... Mama baru aje masuk bilik tadi. Papa kat ruang tamu bawah ni." Lama dia tak dengar suara anak perempuannya itu. Rasanya sudah seminggu anaknya itu tidak menghubunginya. Mungkin sibuk dengan tugasan yang diberi.
"Oh... Papa dengan mama tak nak datang sini ke? Melawat Mila. Boleh jalan-jalan kat Paris ni. Jomlah papa. Ajak mama sekali."
"Tengoklah macam mana. Papa tak boleh janji sebab ada banyak perkara yang papa nak selesaikan. Well... I think it's time for me to think about my retirement. Papa nak minta Nasih take over syarikat tu nanti," ujar Tan Sri Akhtar.
"Abang Nasih nak balik Malaysia ke papa?" Wajah Mila seakan-akan tidak percaya. Lama benar merantau di negara orang, baru sekarang ingat nak balik Malaysia, fikirnya.
"Entahlah, papa pun tak yakin sangat. Tapi kita tengoklah macam mana... Lagipun papa harap dia tak main- main kali ini. Papa dah ada perancangan untuk dia."
Agak lama kedua-dua beranak itu berbual, akhirnya Mila meminta izin untuk mematikan talian. Tan Sri Akhtar tersenyum puas kerana dapat bercakap dengan anaknya itu. Dia tersenyum riang sambil menuju ke dapur untuk mencari minuman.
PAGI-PAGI lagi Tan Sri Akhtar Firdaus bersiap-siap ke pejabat. Banyak perkara yang tertangguh perlu diselesaikan dengan segera sebelum mengambil keputusan untuk bersara.
Lama dia meneliti fail di atas mejanya. Tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan pintu.
"Come in..."
Tan Sri Akhtar mula bersuara. Dia sudah mengagak anak keduanya Rizki Faris yang mengetuk pintu biliknya itu. Tanpa berlengah, Rizki terus menuju ke arah meja papanya dan menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di situ.
"Betul ke papa nak minta Abang Nasih take over tempat papa? Papa ni... Yakin sangat dengan dia. Selama ni dia mana ada peduli pasal syarikat ni. Tapi papa terus bagi kepercayaan kat dia. Rizki ni dah empat tahun kerja dengan papa. Kenapa papa tak nak serahkan kepada Rizki aje? Rizki pun anak papa juga. Mentang-mentanglah Abang Nasih tu anak sulung. Baru sekarang ingat nak balik Malaysia... Huh!" Rizki memuntahkan segala ketidakpuasan hatinya mengenai abang sulungnya itu.
Dia memang tidak pernah rapat dengan abangnya sejak kecil lagi. Apabila bertemu mereka sering kali bergaduh. Sejak kecil lagi mereka tinggal berasingan. Nasih diambil oleh arwah datuknya untuk dijaga manakala Rizki tinggal bersama mama dan papanya. Walau bagaimanapun, kasih sayang Tan Sri Akhtar dan Puan Sri Aisyah tidak pernah pudar. Mereka sentiasa melawat Nasih apabila ada kelapangan. Namun sejak arwah datuknya meninggal, Nasih tinggal bersama mama dan papanya.
"Kamu ni, Rizki... Cuba bawa bertenang. Kamu ingat ini keputusan papa sorang aje ke? Kalau kamu nak tahu, ini melibatkan amanat arwah datuk kamu. Dia yang minta papa serahkan jawatan ini kepada Nasih selepas papa bersara nanti. Apapun kita tunggu dan lihat apa kata ahli lembaga pengarah yang lain. Kita kena bagi peluang kat abang kamu juga. Mungkin ada sebab kenapa arwah datuk kamu memberi sepenuh kepercayaan kat abang kamu tu. Sudahlah... Papa tak nak bertengkar dengan kamu lagi. Sekejap lagi kita ada meeting. Papa nak siapkan kerja papa dulu."
Tan Sri Akhtar kembali meneruskan kerja-kerjanya. Malas dia hendak bertekak dengan anaknya itu. Dia tahu anak keduanya itu selalu cemburu terhadap abang sulungnya. Walau apapun, bagi Tan Sri Akhtar Firdaus, amanat arwah bapa mentuanya, Datuk Ridzuan Salleh akan dilaksanakan sekembalinya anaknya ke tanah air.
"Yalah, papa... Arwah datuk kan sayang sangat kat Abang Nasih tu. Sebab tu tak kesah nak bagi apa saja. Okey, tak apa. Kita tengok nanti macam mana cucu kesayangan arwah Datuk Ridzuan Salleh nak handle empayar Golden Global Holdings ni."
Rizki tersenyum sinis seraya mengetuk jari- jemarinya di atas meja papanya. Matanya melirik jam tangan Omega di tangan kirinya sebelum meminta izin berlalu dari situ.
HARI ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh keluarga Tan Sri Akhtar sekeluarga. Kediaman mewah mereka telah dikunjungi saudara-mara dan juga kenalan yang terdiri daripada rakan-rakan rapat dan beberapa ahli syarikat korporat. Majlis kesyukuran ini diadakan bagi meraikan kepulangan anak sulung kesayangan mereka iaitu Nasih Mikael. Majlis kesyukuran itu dimulakan dengan bacaaan doa selamat seterusnya ucapan daripada Tan Sri Akhtar. Kelihatan Nasih Mikael berbaju corak batik tersenyum memandang tetamu yang hadir. Segak dan tampan. Tanpa disedari, beberapa pasang mata anak gadis kenalan bapanya memandang ke arahnya. Mungkin mengagumi kekacakan yang dimiliki Nasih Mikael. Wajah lelaki itu maskulin. Tampak seksi apabila Nasih melemparkan senyuman kepada sesiapa yang memandangnya. Aduhai!
"Sebenarnya majlis hari ini bukan sahaja untuk meraikan kepulangan anak saya tetapi untuk mengumumkan persaraan saya daripada menerajui Golden Global Holdings yang akan berkuat kuasa esok. Saya telah berbincang dengan semua ahli lembaga pengarah syarikat yang saya akan melepaskan jawatan kepada anak sulung saya iaitu Nasih Mikael." Tan Sri Akhtar tersenyum memandang anak sulung lelakinya itu yang kelihatan sedikit terkejut.
Beberapa orang tetamu yang hadir turut terkejut memandang sesama sendiri selepas mendengar pengumuman itu. Kelihatan beberapa orang bercakap sesama mereka. Usai sahaja ucapan daripada Tan Sri Akhtar Firdaus, Nasih terus meluru ke arah papanya.
"Papa! Kenapa papa tak inform kat Nasih dulu pasal ni? Nasih memang nak kerja dengan papa, tapi bukan terus pegang jawatan ni. Nasih tak beranilah nak pegang jawatan ni... Nasih tak banyak pengalaman. Banyak lagi yang Nasih kena belajar," rungut Nasih.
Tan Sri Akhtar hanya mampu tersenyum. Dia teringat akan dirinya ketika muda dulu apabila diberi mandat oleh bapa mentuanya untuk memegang jawatan tersebut. Datuk Ridzuan Salleh hanya mempunyai seorang sahaja anak perempuan iaitu Puan Sri Aisyah Ridzuan.
"Kamu jangan risau... Kamu akan dibantu oleh adik kamu dan ahli lembaga pengarah yang lain. Apapun keputusan yang kamu nak buat nanti, kamu boleh rujuk kepada papa. Papa boleh bagi pandangan nanti. Papa percaya kat kamu, Nasih. Papa yakin kamu boleh uruskan syarikat kita. Lagipun keputusan ni amanat daripada arwah datuk kamu juga. Dialah peneraju utama Golden Global Holdings dan sifu papa. Papa percaya mesti ada sebab kenapa dia pilih kamu. Kamu jangan risau. Terima sahaja tawaran ini. Esok kita akan ke pejabat untuk uruskan dokumen penyerahan kuasa," ujar Tan Sri Akhtar sambil menepuk-nepuk bahu anaknya itu.
Nasih Mikael hanya mengangguk perlahan. Dalam hati dia terlalu rindukan arwah datuknya. Besar sungguh harapan dan kepercayaan arwah datuk kepadanya. Dia berjanji akan memberi komitmen sebaik mungkin untuk syarikat itu.
Rizki yang berada tidak jauh dari situ memandang sinis terhadap abangnya. Api cemburu mula menyelinap ke dalam dirinya.
"Well, tahniah. Untunglah, baru saja balik dari overseas, dah dapat pegang title CEO. Aku yang kerja siang malam ni pun papa langsung tak pandang aku. Tiba-tiba kau yang naik nama," luah Rizki tidak puas hati. Dia berdiri di sebelah abangnya.
"Come onlah, Rizki... Kau ingat abang nak sangat ke title ni? Abang sendiri tak tahu langsung pasal ini. Kalau kau nak sangat title ni, kau cakap kat papa. Abang langsung tak hairan," balas Nasih tegas dan serius. Dia menjeling tajam ke arah adiknya itu. Dia tidak tahu kenapa adiknya itu terlalu membencinya.
"Kau tak payahlah nak tunjuk baik sangat. Sudah berubah konon. Papa tu buta sebab pilih kau! Terlalu manjakan sangat anak kesayangan dia ni. Huh!" Rizki masih lagi tidak berpuas hati. Sengaja mahu menaikkan api kemarahan abangnya itu.
"Kalau kau kata papa tu buta sebab pilih abang, kau pergilah celikkan balik mata dia. Biar dia tarik balik kata-kata dia tadi. Jangan kau nak lepaskan perasaan tidak puas hati kau tu kat sini!" Nasih segera berlalu. Kesal dengan sikap adiknya itu. Nampaknya masih tidak ada lagi tanda-tanda untuk mereka berbaik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro