EPILOG
Lima bulan kemudian...
"YA Allah! Sebagai orang gaji yang menjaga makan minum berak Subbah ni, aku sangat berbangga sebab kau bagi aku cucu. Terima kasih Subbah!" Ajad mendakap Subbah lalu dicium-cium kuda itu.
Aku geleng kepala dengan perangai tiga suku kawan Fakeeh ni.
Anak kuda Subbah itu aku tatap penuh minat. Comelnya!
Kalau anak aku ada ni... mesti seronok mereka membesar sama-sama.
"Subbah pun menyampah tengok kau tergedik-gedik macam ni, Ajad. Dia yang beranak, kau pula yang terlebih bahagia. Sudah, biarkan Subbah tu." Fakeeh heret Ajad pergi.
"Eh, aku yang jaga Subbah dari kecik tau. Kau tak faham perasaan jadi bapak-bapak ni."
"Merepek banyaklah kau ni. Itu kuda, kau manusia. Kalau nak merasa jadi bapak-bapak, ada baiknya kau kahwin cepat." Dihempuknya bahu Ajad hingga memyeringai dia.
"Kau ni, sakit do! Aku bukannya tak nak kahwin, orang tu yang tak sudi. Kalau dia sudi rasanya aku lagi awal naik pelamin daripada kau." Tangan Ajad terkial-kial mengusap bahunya. Dahlah pendek, kena tampar dengan orang yang tinggi dan telapak tangan besar.
"Siapa yang tak sudi tu?" Eilman menyoal. Dia yang bersandar di pagar kandang mula berminat dengan soalan Ajad.
"Adalah. Kau tahu apa? Obses sangat dengan hospital kau."
"Eleh. Sekurang-kurangnya aku menyelamatkan nyawa orang ramai tau."
"Argh! Argh! Tolong!" Secara tiba-tiba Ajad mengerang sambil tekan dada. Dirinya sudah terkulai jatuh.
Eilman memandang dengan hujung mata saja melihat Fakeeh menepuk-nepuk pipi Ajad tu. Seketika terbias cebikan di wajah Eilman.
"Mengada." Komennya.
Aku pandanglah pula si Ajad. Dia sudah berdecit. Ditolaknya Fakeeh ke tepi. Terkebil-kebil Fakeeh melihat Ajad boleh berdiri elok. Aku gelak kecil melihat kepolosan Fakeeh. Dia tak tahu ke Ajad tu main-main aje? Sekilas pandang boleh tahu.
"Weh, kalau aku mati tadi macam mana? Kau cakap menyelamatkan nyawa orang. Aku ni bukan orang ke?"
"Tak! Kau pun sama kuda!" Rose menyampuk. Dia datang beriringan dengan Zuhair di sisi. Melihat aku, Rose terus menerpa.
"Kak Ara! Rindunya!"
"Kau sedar tak yang kau tengah ulang scene semalam waktu kita datang sini?" Ajad menyebek. Siap golekkan bola mata lagi.
"Biarlah orang nak fefeling. Penyibuk la kau!"
Tangan Rose yang terhulur aku sambut salamnya dengan cermat. Sudah itu dia nak peluk aku tapi cepat-cepat aku halang. Jari sudah menunjuk ke arah perut aku yang masih memerlukan masa untuk tumbuh tisu baru.
"Opss! Sorry Kak Ara!"
Aku geleng kepala. Tak kisah pun.
Fakeeh aku pandang sedang berbual dengan Zuhair. Yang banyak buka mulut si Fakeeh dengan Eilman. Zuhair tu asyik angguk, geleng, angkat bahu. Kening, hidung, pipi, pelupuk mata serta bibir saja yang banyak bergerak-gerak memimikkan sesuatu rasa.
Memang betul-betul berat mulut Zuhair ni. Kalau orang tak kenal, ada yang cop Zuhair ni kuat mengelamun padahal telinga dia cekap mendengar. Suaranya saja yang disimpan selagi perlu.
Dengar cerita daripada kawan-kawan Fakeeh ni, Alka sudah kembali seperti biasa. Bangunan dan rumah-rumah sudah siap sepenuhnya. Tinggal tunggu untuk bersihkan dan masukkan perabot. Kemudian, bolehlah semua rakyat Alka hidup seperti sedia kala.
Syukur alhamdulillah.
Mereka ke sini pun kerana teruja untuk mengkhabarkan hal tersebut. Ajad juga bersyukur sebab kuda-kudanya ada tempat tinggal baru. Zuhair tak dapat kedai baru sebab katanya kafe dia tak terjejas sangat. Hanya perlu lakukan beberapa pembaikan.
Secara keseluruhannya, aku bersyukur Alka sudah kembali pulih. Mesti lega hati ibunda di sana.
.
.
DESIRAN angin pantai lincah meniup pakaianku hingga beralun. Aku masih teguh berdiri menghadap laut yang terbentang luas.
Aku suka pantai. Udaranya terasa nyaman dan bersih sekali. Sekali-sekala datang ke sini usai banyak perkara yang menekan jiwa sangatlah asyik. Kalau boleh mahu duduk hingga aku betul-betul tenang.
"Ya Qalbi..."
Panggilan itu buat aku senyum makin melebar.
Pelukan di pinggang aku hanya biarkan. Ditindih tangan aku dengan pemilik sebelah lagi hati aku.
"Kenapa berdiri aje dekat sini?" Tepi kepalaku terasa dikucup. Fakeeh sememangnya suka memberi aku hujan kucupan lebih-lebih lagi di dahi. Aku pula tidak menolak kerana itu cara Fakeeh menzahirkan sayangkan.
"Ara... Teringat semua yang telah berlaku. Rasa terlalu pantas. Macam baru semalam kita berkahwin tapi nak masuk tahun kedua perkahwinan kita, Ya Rohi."
Fakeeh tidak menjawab. Barangkali sama mengenangkan hidup kami.
"Tak akan tiba hari kiamat selagi tidaklah terasa pantasnya waktu berlalu."
Itu satu perkara yang aku suka tentang Fakeeh. Acap kali mengingatkan aku tentang akhirat. Memantapkan lagi iman aku. Menyedarkan aku dari kelekaan dunia.
"Ara teringat, dulu Ara pernah berjanji pada diri sendiri."
"Ya Qalbi janji apa?"
Aku usap tangan Fakeeh sebelum memalingkan tubuh menghadap Fakeeh. Dia hadiahkan aku senyuman.
"Ara pernah janji untuk tidak jatuh cinta pada Fakeeh Al-Attar."
Fakeeh makin melebarkan senyuman. Nampak tanda-tanda apa yang aku katakan itu menarik perhatiannya.
"Ya Rohi mesti ingat yang Ara ni degil sangat dulu. Ara suka nak buat Ya Rohi marah walaupun Ya Rohi tak pernah marah. Semua tu sebab Ara dah janji untuk tak jatuh cinta pada Ya Rohi."
"Sekarang mana pergi janji tu?"
"Mati. It's a broken vow now, Ya Rohi."
"Kenapa?" Masih lagi ditanya aku.
"Because of the broken vow, I found my other half." Luahku tulus dari hati terdalam. Makin hari, makin membuahnya cinta aku pada lelaki ini. Juga menjadi pemangkin menjadi muslimah yang baik.
"A self-vow can easily be broken, but my vow to Allah, I will take it for the rest of my life." Fakeeh jatuhkan dahinya pada aku.
Aku, amanah dia pada Allah dan akan aku sedaya upaya meringankan segala tugasnya. InshaAllah.
"Terima kasih sudi ikutkan permintaan Ya Rohi yang satu ini." Fakeeh usap pipi aku namun dilapisi satu kain.
Aku mula berniqab. Fakeeh minta, aku tunaikan. Dan aku mula jatuh cinta dengan pakaian ini. Pakaian Fatimah Az-Zahra. Terhindar dari pandangan ajnabi lain.
Syukur.
Fakeeh Al-Attar, awaklah imam buat saya setelah ayahanda. Awak tak pernah gagal dalam tugas awak. Dalam turun naik perkahwinan kita, awak suka menjadi air dan setia memberi peluang kepada saya dan diri sediri untuk berubah.
Terkadang saya terfikir kalau awak ini bukan manusia. Awak nampak sempurna sekali.
Mungkin benar kata orang. Kita akan jadi sempurna di mata orang yang benar.
Saya tak akan sia-siakan awak, Fakeeh.
Semua sudah selesai buat masa sekarang. Aku dan Fakeeh masih setia bersatu biarpun ada waktunya ujian menyapa.
Ayahanda dan bonda pula terus menetap di rumah yang diberi Fakeeh. Satu daerah kecil di Istania juga. Dekat dengan alam sekitar semula jadi. Sekali-sekala sewaktu Fakeeh tiada urusan, ke sanalah kami meluangkan masa.
Faharin sudah dijatuhkan hukumannya. Aku tidak pergi pada hari hukuman Faharin namun Fakeeh pergi menemani ayahanda. Aku pula duduk bersama bonda pada hari itu.
Bonda memang sedih di hari itu. Hinggakan esoknya bonda demam panas!
Anak sulungnya pergi atas pembalasan dunia yang dilakukan. Biarpun bonda tidak membantah, aku yakin hatinya sedikit berat untuk membiarkan anaknya pergi. Makan minggu juga sehingga demam bonda tu kebah.
Kata Fakeeh, Faharin ada kirim salam maaf pada aku. Dia minta aku halalkan semuanya dan aku dengan penuh rasa rendah diri memaafkan. Bila Fakeeh kata Faharin ada sebut tentang anak kita, tipu aku tak menangis. Berjuraian air mata aku depan Fakeeh.
Aku sedih tapi aku juga sebak.
Maaf Faharin aku terima seikhlas hati. Bak kata Fakeeh, bukan rezeki kami. Aku belajar untuk redha. Lagipun, aku enggan Faharin pergi dengan dosa yang masih membukit. Biarlah urusan dia dipermudahkan. Hidup dengan Fakeeh banyak mengajar aku untuk memaafkan orang tanpa sekelumit dendam. Syukur sikapnya itu mula berjangkit denganku.
Berita Faharin dihukum mati tersebar dengan sangat cepat. Mendengar mereka bersyukur dengan nasib Faharin, aku pula sedih.
Bukan apa. Adik-beradik itu satu hal. Yelah, dia satu-satunya keluarga yang aku ada.
Kedua, sebagai seorang muslim. Sekurang-kurangnya Faharin sudah tahu tarikh ajalnya. Dia dapat beribadah sepenuh masa dengan bimbingan dari ayahanda. Sempat juga mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar sebelum riwayatnya tercabut.
Aku... Lebih kepada cemburu.
Belum tentu waktu aku, aku dalam keadaan bersedia.
Kalau Fakeeh aku cemburu dengan ketakwaannya, Faharin pula aku cemburu dengan waktunya.
Cemburu aku ini tidak membuah dendam tetapi lebih kepada pengajaran. Dua orang keluarga aku mempunyai sejarahnya sendiri dan pengakhirannya sendiri yang mampu menampar aku tentang realiti kehidupan manusia.
Fakeeh yang dahulunya jahil boleh sebegini tunduk kepada agama dan Faharin yang berdendam mampu bertaubat dan beribadah sebelum kematian.
Siapa saja tidak cemburu?
Namun... Aku hanya boleh belajar daripada mereka. Masa kita di dunia ini bukanlah panjang sangat. Kena sentiasa beringat. Dan segala peristiwa yang berlalu membawa hikmah yang penuh cantik jika dihayati.
Syukur.
Semuanya berakhir.
Haniya menunjukkan perubahan positif. Sudah tidak sedih terlalu lama. Bahkan dia belajar cara hasilkan susu badan dan menyusukan bayi-bayi yang tiada ibunya. Aku nampak dia bahagia. Senyumannya ikhlas hingga air mata aku tumpah dek gembiranya. Syukur sangat!
Tentang masa depan aku dan Fakeeh, kami tidak mahu terburu-buru. Fakeeh mahu aku sihat sepenuhnya dahulu sebelum merancang anak seterusnya. Kata Fakeeh, rezeki akan datang pada masa yang tepat. Kita hanya perlu sabar dan bertawakal.
Dan hingga ke saat ini, aku tetap gembira hidup berdua bersama Fakeeh. Mungkin ini rezeki untuk kami buat saat ini. Saling meluangkan masa bersama diri kami sendiri.
Lakaran takdir Allah itu... Indah sekali menurutku.
Tuhan itu maha baik. Perancangan dia selalu yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Benar kata Allah, nikmat mana lagi yang harus didustakan?
Kerana setiap saat, rezeki itu ada. Namun keegoan sebagai manusia membutakan mata menilai rezeki Allah. Walhal, masih diberi hidup itu juga rezeki yang harus disyukuri.
Ya Allah, aku hambaMu yang sangat lemah namun kau tetap membahagiakan aku dengan takdir yang cukup dahsyat. Kehadiran orang-orang di sekelilingku banyak menghambat iktibar untuk diri ini. Membantu aku dalam menjadi seorang muslimah yang lebih baik.
Terima kasih, Allah.
.
.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro