CHAPTER SEVEN
PERSIAPAN semakin lengkap. Ruang istana jadi meriah dengan kehadiran orang ramai yang masuk keluar untuk mempersiapkan hari penyatuan dua insan.
Aku pula hanya memandang sepi. Setiap kali melintasi ruang dewan itu, hatiku terasa dicarik-carik. Aku tak ingin pun la semua ni! Perkahwinan ni mengarut saja! Demi kuasa, anak pun sanggup diperdajalkan. Fakeeh pun sama, dasar tamak kuasa!
Bengang!
Penat aku cuba keluar dari istana tetapi sejak kes aku keluar malam untuk merayu pada Ayaan, ayahanda semakin berwaspada. Tiap lima belas minit akan diminta orangnya melihat keberadaan aku. Pergerakanku jadi terbatas.
Laju kaki aku mengusung langkah ke taman The Botanica untuk lepaskan rasa kusut. Semuanya aku tak masuk campur. Aku serahkan pada bonda kerana aku tak rela bersuamikan Fakeeh. Nak aje aku cabut semula cincin ini dan campak tepat pada Fakeeh. Memikirkan air muka dua orang tuanya, tak sanggup aku nak buat sedemikian.
Melihat langit pagi, rindu mula memercikkan air mata. Ya Allah, aku mahukan Ayaan di saat ini...
Bangku di The Botanica aku labuhkan punggung. Bahu menjatuh sementara mata masih menatap kapas-kapas awan yang tenang bertiupan di atas sana. Tidak seperti jiwaku yang kacau-bilau.
Kata ayahanda aku, sebulan tempoh pertunangan ini. Kira-kira sudah tiga hari berlalu namun ayahanda aku nampak bersemangat. Bonda tak kurang juga. Sama-sama gembira.
Fakeeh... Aku tak jumpa dia buat masa sekarang. Serabut. Kalau aku jumpa, memang segala kemarahan aku akan dihamburkan padanya. Kerana dia dan game bodohnya, Ayaan mula berjauh hati.
Sekarang apa yang boleh aku buat? Ayahanda dah pandai curiga pada anak daranya. Mesti ada pengawal dia yang maklumkan aku menangis depan rumah lelaki. Semua nak sibuk hal aku.
Hmm... Sehari tanpa Ayaan rasa tak lengkap. Rindu aku nak lihat wajah polos dan tampannya. Mata yang tak pernah lupa untuk memancarkan sinar kasihnya. Budinya yang budiman dan juga tingkah yang menyenangkan aku.
Masih ada peluang ke untuk aku bertemu dengan dia?
Jari manis tempat terletaknya cincin permata halus aku tilik lama. Aku sudah bertunang. Bakal dinikahkan tapi hati membisikkan nama lelaki lain.
"Istikharah."
Satu suara garau menyapa aku, mematikan lamunan aku. Mendongak, wajah Fakeeh yang berdiri di hadapan aku. Dia ambil tempat di sebelah aku, mengizinkan ruang terbina antara kami.
"Manusia itu hanya mampu merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya rancangan Allah itu yang terbaik untuk hamba-hambaNya."
Aku pandang arah bertentangan dengan Fakeeh. Tak sudi pun nak bercakap dengannya.
"Kalau kau beriak begini, tak mustahil Raja Muttaqin akan panggil lelaki itu menghadap baginda. Lebih baik kau terima semua ini dan hidup lelaki itu selamat."
"Senanglah kau cakap. Kau tak ada dekat tempat aku." Bahasku semula berserta dengusan. Tubuh aku peluk.
"Dia dah gagal pun ujian ayahanda kau."
"Semua disebabkan kau, Fakeeh. Kalau kau tak mengada-ngada teruskan majlis pertunangan, sekarang ni aku patutnya bergelar tunangan Ayaan. Bukannya kau!" Aku rasa nak meletop aje lihat wajah bersahaja Fakeeh. Memang tak ada rasa empati.
"Dia tak akan mampu untuk menggantikan Raja Muttaqin."
"Teruskan berlagak. Teruskan riak dengan diri sendiri. Silap hari bulan, kau juga yang terngadah untuk jadi Raja Istania. Saat itu, kau pun rasa nak jilat ludah kau balik."
"Tak... Kalau kau terima aku seadanya dan kita berdua galaskan tanggungjawab sebagai suami isteri dan pasangan raja permaisuri, tiada apa yang mustahil. Susah ya, mustahil tidak."
"Berlaku dalam mimpi kau sajalah!" Aku berura-ura untuk pergi. Setiap satu yang keluar dari bibir lelaki itu semuanya aku rasa nak tampar.
"We will see. You know, only the king can attract the queen. And those king and queen are us in the future. You can't run away from your destiny."
Pergi matilah dengan angan-angan kau!
Kasar langkah yang aku ambil. Sengaja. Tanda protes dengan semua ini. Biarlah aku buat perangai begini supaya pihak lelaki rasa aku ni tak layak untuk keluarga mereka. Rasakan. Nak sangat kahwinkan aku, kan? Jangan peliklah muncul segala perangai pelik aku!
.
.
SEMUA surat yang aku hantar pada Ayaan tidak berbalas. Awalnya merpati aku pulang ke sangkar tanpa surat. Beberapa hari kemudian, merpati aku pulang bersama surat aku sendiri. Bermaksud, merpati aku tidak menemui Ayaan.
Aku jadi runsing. Ke mana hilangnya Ayaan? Surat aku tak berbalas. Bahkan, kini dia menghilang.
Tak putus tangan aku mencapai pen untuk menulis surat kepadanya namun sia-sia. Ayaan tak peduli lagi seperti dahulu.
Pasti lelaki itu terluka. Perit berdarah hatinya menyaksikan aku menerima pinangan orang lain. Sedangkan kami berdua berjanji saling setia, aku telah lakukan tindakan bodoh. Menyangka Ayaan tidak akan datang untuk pertahankan jodoh kami. Argh!
"Tuanku puteri." Tepukan di bahu menyedarkan aku dari lamunan. Aku berpaling dan kelihatan Haniya yang tersenyum tipis.
"Ampunkan patik, tuanku puteri. Apa yang tuanku puteri lakukan? Tuanku puteri banyak termenung. Patik risau."
Aku mengeluh. Kaki menapak ke arah katil sebelum dilabuhkan duduk. Kaki digoyangkan tanpa tujuan dengan mata setia merenung lantai.
"Kerajaan Inabah sudah berangkat tiba ke istana untuk mengambil saiz tubuh tuanku puteri. Izinkan patik menjemput tetamu masuk."
"Madiah?" Soalku seketika. Kerajaan Inabah memang terkenal dengan kehandalan kemahiran sulam mereka. Antara satu negara yang sibuk dek permintaan bergunung. Kebiasaannya keluarga diraja akan menempah dengan mereka.
"Benar tuanku puteri. Tuanku puteri Madiah datang hendak menghadap."
"Panggillah dia masuk."
"Patik menjunjung perintah, tuanku."
Haniya langsung berlalu pergi, membukakan pintu untuk Madiah. Ternganga saja daun pintu, gadis itu teriak.
"Sayangku Arabellaaa!"
Oh dah mula dah.
Sesaat, Madiah sudah mendakap aku. Tersembamlah aku ke dadanya.
"Tak bernafas aku woi!" Hampir putus nafas nak menolak tubuh Madiah yang sedikit gempal tetapi manis dipandang.
"Hehe, maaflah kawan. Aku dah lama tak jumpa kau." Dia betulkan tubuhku. Bahu aku diurut seketika. Bibir tertayang sengihan.
"Jadi, apa cerita?"
"Cerita apa?" Aku buat-buat tak tahu. Tak rajin nak berbual soal itu.
"Alaaa, kau ni. Kenapa tak cakap yang kau dah nak kahwin? Terkejut beruk aku tahu tak bila datang surat daripada permaisuri Istania."
Kepala aku garu. "Kau datang sini nak ambil ukuran aje, kan? Cepatlah. Aku penat ni."
"Ee, tak baik abaikan soalan aku. Siapa lagi kawan kau selain aku? Patutnya bila aku dah sampai ni, kau luah apa yang terbuku dalam hati kau. Perasaan ni memang boleh simpan tapi kalau yang negatif tu, lebih afdal kalau kau lepaskan. Bukan apa, aku risau jadi rawan. Kita ni perempuan, cepat sensitif. Bila dah melarat, kau juga yang pilu." Dalam becoknya mulut Madiah nak berkata-kata, tangan laju mengeluarkan tali pita pengukur dari poket jubah.
"Aku malas nak bercakap."
"Kau tak gembiralah dengan perkahwinan ni?"
Aku kerli Madiah. Dia memanggil Haniya yang memegang papan kayu dan helaian kertas di atasnya. Seketika Madiah mencapai pensel lalu diconteng ke atas kertas sebelum kembali mengukur tubuh aku. Diperlakukan diriku bagaikan patung. Memusing-musing anggota tubuh tanpa permintaan.
"Aku tak kenal dia pun."
"Eh, bukan bakal suami kau tu yang lelaki yatim piatu tu ke?"
Aku tersentak. Mata merenung ke arah Madiah yang sibuk.
"Tak..." Suaraku mengendur. Serentak itu bilik menjadi melodrama. Aku jatuhkan pandangan. Jemari kaki menguis sesama sendiri.
"Laa, dah tu siapa yang meminang kau?"
"Fakeeh..." Sebut sebaris nama itu saja buat aku meluat.
"Fakeeh? Itu bukan ke putera kedua Kerajaan Alka? Ke Fakeeh lain ni?"
"Yelah. Siapa lagi?" Aku berdengus. Tubuh dipeluk erat. Sempat anak mata naik ke atas, tanda memang aku anti betul dengan mamat nama Fakeeh ni.
"Laa? Kenapa pula? Yang si yatim piatu tu macam mana pula? Siapa main kayu tiga ni? Kau ke? Kau terima dia kenapa?"
Semua soalan Madiah buat aku rasa macam nak halau dia keluar. Sabar ajelah. Nafas dijujut dalam. Tangan bergerak seiring, atas bawah. Segaris senyuman aku ukir.
"Wahai tuanku puteri Nur Madiah Syaffana, sesungguhnya bukan patik yang teringin hendak bernikah sama tuanku putera. Bahkan, patik sendiri tidak terniat ingin mengenali tuanku putera. Namun, tuanku putera dan keluarganya yang datang meminang. Patik terpaksa terima kerana bonda dan ayahanda patik rimau orangnya. Patik sudah cuba untuk menolak secara baik tetapi tuanku fahamlah hubungan patik sama kekasih patik. Kami ini sekadar pasangan secara sembunyi-sembunyi. Hubungan kami sulit untuk dimaklumkan kepada keluarga patik. Kerana sebab itu juga, keluarga patik berhajatkan patik menerima tuanku putera. Adakah tuanku puteri faham maksud patik?"
Nah, ambillah bahasa istana aku yang entah betul entah tidak.
Madiah jelas menahan tawa. Bibir dah tersenget dan terkemam-kemam. Spontan aku tarik juihan bibirnya. "Beranilah gelak!"
Dah beri amaran pun Madiah ketawa pecah perut. Siap landing atas katil aku lagi.
Aku tayang riak bengang. Malas nak layan, aku suruh Haniya bawa alatan Madiah ni. Buku lukisan dia kemudian pita pengukur dari genggaman Madiah aku cungkil dan hukur pada Haniya.
"Buat sajalah, Haniya. Nak tunggu puteri seorang ni habis gelak, memang berzaman."
Haniya ukir senyum. Ditekup sebelah tangannya pada bibir.
"Baiklah tuanku puteri. Patik menjunjung perintah."
"Eh, janganlah begitu tuanku puteri Arabella. Sesungguhnya patik hanya bergurau." Madiah laju bangkit. Dadanya berombak mengejar nafas yang kehilangan. Bibir masih menyengih.
"Kalau kau nak gelak lagi, baliklah tu Diah oi. Nanti lima puluh tahun akan datang kau ke mari semula untuk ambil ukuran aku." Perlian aku beri.
"Janganlah merajuk. Aku terhibur lihat kau berbicara dalam bahasa istana. Nampak aneh tetapi ayu!"
Aku mencebik. Yelah tu ayu. Aneh tu aku setujulah. Ayu tu macam auta saja.
"Haniya, berikan pita itu." Madiah hulur tangan. Pita pengukur kembali ke tuannya.
Seraya itu aku depakan tangan. Madiah terus jalankan tugas.
"Kau tak nak bantah ke perkahwinan ni?" Soal Madiah sambil-sambil mengambil ukuran.
"Macam mana lagi Diah? Rakyat Istania dah maklum, bahkan sudah meraikan. Semua bersemangat mahu menyiapkan upacara."
"Tak apa kah dengan lelaki yatim itu?"
"Aku sudah lama tidak bertemu dengan dia. Aku tidak pasti keberadaan dia. Dia pasti berjauh hati namun, aku tiada daya Madiah. Bagaimana aku hendak melawan permintaan empat orang tua itu? Ini belum ambil kira kegembiraan rakyat Istania. Cuba kau bayangkan jikalau aku membantah. Pasti Istania akan suram dengan kesedihan. Sedang mereka bergiat keras menyediakan kelengkapan, aku dengan senang hati ingin membantah. Walaupun aku tidak rela, aku tetap kasihan pada mereka." Aku buang keluh.
"Nanti bila dah sah, macam mana kau nak terima dia?"
Soalan Madiah mengelukan aku. "Itu satu benda yang menambah pening aku."
Sejujurnya... Aku tak tahu hala tuju perkahwinan ini. Jikalau demi kuasa semata-mata, bahagiakan sebuah mahligai itu? Dapatkah dua hati bersemi? Atau kepuraan mendominasikan.
Aku dan Fakeeh. Aku tak nampak keserasian kami. Lagi memikirkan Fakeeh, lagi menambah rasa aku untuk merenjam dia.
Semua ni puncanya daripada dia!
"Bila dah jadi isteri orang, kau tak boleh macam ni lagi Ara. Sebenci mana pun kau pada dia, dia sudah jadi syurga kau. Dia tu lubuk pahala kau."
Madiah benar. Jikalau aku bergaduh sampai nak balik pada pangkuan keluarga pun, aku perlukan keizinannya. Sekiranya dia tidak mengizinkan, berdosalah aku. Dosa tetap dosa biarpun hati kami tak pernah saling mencintai. Kerana kami disatukan dengan nama suci agama, hukum hakam tetap utama. Yang disoalkan di akhirat kelak juga tentang dosa pahala kita.
"Runsing..."
Madiah turunkan tangan aku. Dia ajak aku duduk ke katil. Barangnya semua diberi pada Haniya sebelum gadis itu meminta diri.
Toleh, Madiah usap lembut bahu aku.
"Kalau perkahwinan ini tak dapat dibatalkan, didik hati kau untuk terima dia. A little try won't hurt, right? Mana tahu Allah sememangnya kirimkan Fakeeh untuk pimpin kau dan bukannya lelaki yang kau sayang?"
"Hati aku tak ada dekat sini, Diah. Dia merayu untuk kembali pada pelengkapnya di sana."
"Dosa kalau kau masih menyimpan perasaan pada lelaki lain saat bergelar isteri. Ara, lepaskan lelaki tu. Aku faham kau berdua senang berduka lara tetapi Allah itu Maha Adil lagi Mengetahui. Dia lebih tahu perkara terbaik buat kau dan lelaki itu. Mungkin pernikahan ini adalah salah satunya. Jodoh kau mungkin sudah tertulis bersama Fakeeh. Selama ni, kau sekadar menjaga jodoh orang semata-mata Ara. Kau fikirkanlah apa yang aku cakap ni. Sekarang, kita keluar. Aku ada bekalkan makanan dari Inabah. Lagipun dah lama kau tak datang Inabah, mesti kau suka makanan ni." Ajak Madiah. Dia melompat turun dari katil lalu didorong aku ke luar bilik.
Sepanjang makan tu, fikiran aku melayang mengenangkan bicara Madiah.
Fakeeh tertulis untuk aku?
Mustahillah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro