CHAPTER FOURTEEN
"IBUNDA pergi dulu tau. Ara tengokkan anak lelaki ibunda ni. Dia ni nakal sikit."
Terherot-herot bibir aku nak tersenyum. Bukan nakal sikit, ibunda. Nakal banyak. Fakeehlah yang layak merangkul segala sinonim kepada nakal.
"Ala ibunda risau apa? Isteri Fakeeh ni semua tahu. Jangan risau." Terus Fakeeh letak lengan dia pada leher aku sebelum ditarik aku merapat. Orang nampak macam kamilah pasangan paling bahagia tapi aku masih belum reda lagi kemarahan dengan Fakeeh.
"Manalah tahu. Kamu tu kuat mengusik."
"Usik-usik manja tak salah."
Ingatkan dengan aku aje dia ni nak menang. Dengan mak sendiri pun sama.
"Melayan kamu tu bila aje nak habis. Ibunda gerak dulu. Assalamualaikum."
Lepas selesai salam-menyalam, kami hanya memerhati kereta kuda milik kerajaan Alka berlalu pergi diiringi beberapa pengawal yang hanya berkuda. Dalam diam aku meniti doa moga selamat tiba dua orang tua itu.
"Ah, rindunya dengan ibunda."
Aku kerutkan dahi. Baru tadi Permaisuri Marwah ada depan mata, tak sampai seminit dah rindu. Ee, manjanya!
"Pergilah ikut balik kalau rindu sangat."
"Tak naklah. Aku lagi tak tahan nak merindui Qalbi aku ni." Kepala aku ditarik menyebam ke dadanya. Terus aku berdengus. Susah payah aku tolak tubuh sasa si Fakeeh ni tapi sia-sia. Dia lagi ketatkan pelukan.
"Bilanya kamu berdua ni nak keliling Istania?"
Laju Fakeeh lepaskan aku. Pusing belakang, bonda dah tersengih lain macam. Ayahanda dekat sebelah pun sama aje. Aku pura-pura tak nampak saja.
"Tengoklah lepas asar nanti."
"Jangan balik lewat sangat. Tak elok keluar waktu Maghrib."
"Tak adalah ayahanda. Kami keluar naik Lizaz je nanti."
"Laa, tak nak naik gerabak?"
"Ara ni yang nak naik Lizaz. Katanya nak belajar naik kuda."
Kepala aku memaling ke sisi lalu mendongak. Mata aku kecikkan. Mamat ni kan, susah sangat jual nama aku. Sejak bila aku cakap aku nak belajar naik kuda? Tak teringin pun. Lagi tak teringin kalau ada Fakeeh.
"Aik. Dulu ayahanda nak ajar tak mahu. Sekarang lain pula?"
"Orang dah ada suami, kanda. Biarlah dia bermanja dengan suami. Untung-untung kita boleh dapat cucu awal."
"Kan, bonda! Rezeki kita tak tahu!" Galak Fakeeh menyambut seloroh bonda.
Aku dekat sini dah macam patung tiada siapa kisah walhal wajah aku dah rasa bahang. Buku lima aku kepal-kepal. Nasib ada ayahanda dan bonda, jikalau tidak...
"Dah dah! Jom jom Fakeeh. Kata tadi lapar." Aku paut lengan dia dan tarik dia pergi. Tak boleh jadi ni. Semua pakat nak kenakan aku. Ayahanda pun sama masuk air. Dengan anak sendiri bukan main tegas, menantu semua dilayan. Auch, aku ini hanyalah anak tersakiti.
"Fakeeh gerak dulu ayahanda, bonda. Isteri Fakeeh ni mengada sikit. Dia kena orang suapkan baru lalu nak makan!" laung Fakeeh sambil melambai ke arah orang tua aku.
Sampai di selekoh, aku terus siku perut dia. Wajah dah panas dan merah padma. Nafas pun deras aje terlepas.
"What is wrong with you, Fakeeh?"
"Apa? Betullah aku cakap. Anak tu kan rezeki."
"Kita takkan sampai ke tahap itu, okey."
"We'll see."
"Fakeeh please."
"Istania perlukan pewaris juga. Kau mesti tak nak Istania jatuh pada tangan orang-orang munafik dan tak boleh dipercayaikan? Oleh disebabkan perkara itu, kitalah yang kena didik anak kita supaya dia dapat mentadbir negara dengan baik." ulas Fakeeh mudah.
Bungkam. Keluhan kecil dilepaskan. Tiba-tiba rasa kepala ni sakit. Tak terasa awal ke untuk aku dan Fakeeh nak fikirkan pasal anak? Hala tuju perkahwinan ini saja masih samar, bagaimana pula kami nak fikir tentang keturunan?
"Dah, tak perlu fikir pun. Soal anak itu rezeki dari Allah."
Tangan aku ditariknya menuju ke ruang makan.
.
.
"FAKEEH AL-ATTAR!!!"
Aku tekup mulut aku daripada melepaskan isi perut. Sumpah laju gila Lizaz ni lari. Fakeeh pula makin hempas kaki kekang kuda itu menyebabkan si Lizaz hanya menurut.
Gelak tawa Fakeeh menambah geram aku. Nak pukul, tak larat. Serius lemau gila tekak ni. Ya Allah ada aku termuntah atas kuda ni.
"Fakeeh..." Bajunya aku tarik-tarik, meminta dia berhenti. Pandangan aku dah berpinar. Rasa berat aje kepala ni nak jatuh. Pegangan aku pada baju dia makin kejap.
"Okey, okey. Kita berhenti."
Barulah aku boleh bernafas sekejap. Lizaz dah berhenti. Celik mata, adalah berada di tepi sungai. Fakeeh turun dulu sebelum dia angkat aku turun. Seperti biasa.
"Ya Qalbi okey tak?"
Aku berpaut pada Lizaz. Nafas diatur moga stabil. Berkali-kali aku pesan pada diri untuk tahan rasa loya. Janganlah muntah dekat sini.
"Mual ke?" Soalnya lagi. Dipaut bahu aku lalu didudukkan aku. Aku hanya turutkan saja dengan mata terpejam. Tak terdaya nak marah lagi sebab kepala aku berdenyut lain macam.
"Marilah aku urut kepala kau." Tahu-tahu aku dibaringkan. Jari-jemari Fakeeh bergerak ke pelipis aku sebelum diurut kecil. Berkerut-kerut dahi aku menahan rasa mual.
Untuk beberapa ketika posisi kami sama. Fakeeh pun tak berhenti mengurut.
"Wah, manisnya tuanku putera bersama isteri."
"Terima kasih."
"Sama cocok. Kata pepatah melayu, bagai pinang dibelah dua. Patik doakan tuanku putera cepat-cepat dapat anak. Meriahlah istana kelak dengan kehadiran anak kecil."
Suara gelak bergema. "Doakanlah kami."
Dek penasaran, aku buka kelopak mata. Wajah Fakeeh mula-mula menjamah pandangan. Golekkan mata ke sisi, ada seorang makcik yang aku agak dalam umur 50-an baya bonda sedang menjinjit bakul rotan yang penuh baju. Barangkali nak pergi basuh.
"Percayalah cakap patik, sejak Istania maklum tuanku puteri bakal bernikah... Satu Istania bergembira. Tak sabar nak menanti pewarisnya. Harapnya tuanku puteri dapatlah beri anak ramai seperti moyang-moyang dia. Tak seperti tuanku permaisuri yang kini. Dahulu, kami bimbang jikalau tiada pewaris dari mereka. Syukurlah tuanku puteri Nuraisya Arabella selamat dilahirkan. Moga tuanku berdua tidak terkena sumpahan yang sama."
Telinga aku berdesing mendengar makcik yang satu ini mengata bonda aku. Depan-depan anak dia pula tu. Terus datang radang di hati.
Baru aku nak bangun, tangan Fakeeh tahan dahi aku sebelum dia tekup telinga aku.
"Rezeki tu daripada Allah. Jikalau Allah tak izinkan, bukan kerana sumpahan. Tak guna juga anak ramai-ramai kalau kualitinya semua hancur. Betul tak?"
Anak mata aku terpaku pada wajah Fakeeh. Walaupun dia dah tutup telinga aku, sedikit sebanyak masih boleh dengar perbualan mereka.
"Anak ramai boleh mendoakan kita bila kita tak ada nanti, tuanku. Jadi saham akhirat."
Gelak sinis terlepas dari bibir Fakeeh. "Takkan nak mengharap pada anak semata-mata? Kita sendiri boleh cari saham akhirat kita. Hulur duit untuk pembinaan masjid pun akan mengalir pahala kita. Sumbang Al-Quran dekat masjid, setiap yang baca kita dapat juga pahalanya. Hatta, kita bersihkan longkang yang tersumbat pun mengalir saham kita. Tak perlu pun kita nak persulitkan benda yang mudah. Kadang Allah tak bagi pasangan itu nikmat anak-anak, dia beri nikmat kebahagian dan rezeki lain. Tak ada anak itu boleh jadi ujian dan rezeki. Ada anak pun ujian dan rezeki."
Semerta hujung bibir aku terjongket. Suka dengan jawapan Fakeeh. Orang asyik pandang sinis wanita yang tidak mampu hamil walhal rezeki itu hadirnya dari Tuhan yang satu.
"Tak apalah tuanku. Patik minta izin dahulu. Ada banyak baju nak bilas."
"Hati-hati jalan tu."
Fakeeh geleng kepala sebelum matanya jatuh pada aku. Buat seketika kami bertentang mata sebelum aku yang larikan dahulu.
"Dah okey?" Soalnya.
"Kenapa kau tak bagi aku balas balik makcik tu? Berani dia mengata bonda."
"Perempuan ni memang mudah beremosi, kan?"
Ewah. Makin banyak kerutan pada wajah aku sebelum aku menyebek.
"Kalau kau nak balas dia dengan kata-kata yang berpandukan emosi, tak ada bezanya kau dengan dia. Sebab tu aku tak izinkan kau bersuara."
"Hmm... Terima kasih backup bonda." Malu aku nak sebut tapi aku tetap gagahkan. Sekurang-kurangnya ada juga yang akan jaga maruah bonda. Bukan salah bonda pun tak bisa hamil. Allah nak uji, siapa boleh halang?
"Makcik tu patut faham perasaan bonda sebab dia sama wanita."
"Tak kena dekat batang hidung sendiri bolehlah." Aku mengeluh.
"Don't worry. Aku tak izinkan sesiapa nak cakap buruk tentang bonda. Dia bonda yang sangat pengasih dan penyayang. Jikalau la rakyat Istania tahu pengorbanan dia, pasti mereka terkelu. Orang akan terus bercakap, Ara. Kita saja yang perlu bijak kawal emosi untuk hadapi mulut orang. Berpandukan emosi, binasa. Berpandukan akal, Insha'Allah tiada yang sangkal."
Aku senyum tipis. Ya, orang akan tetap jaja cerita. Sampaikan aku dah besar panjang pun ada saja berita tak enak berkaitan bonda.
"Ni dah tak loya ke? Atau sedap sangat baring atas riba aku sampai tak nak bangun?" Fakeeh sunggih senyum nakal.
Aku tersentak. Laju aku bangun dan berpaling. Laa, aku baring atas riba dia? Padanlah lembut semacam!
"Nak baring lama-lama pun aku tak kisah, Ya Qalbi. Sweet juga." Lengan aku ditariknya hingga aku jatuh kembali ke ribanya. Terlepas jeritan kecil dari bibir.
"Tak nak, Fakeeh. Tak nak!"
Fakeeh ketawa.
Terus aku bangkit dan berdiri. Pinggang dicekak. Sempat aku tinjau sekeliling. Memerah wajah bilamana sedar adalah beberapa mata menumpu ke arah kami. Terus aku rasa nak menyorok. Aduh, malu!
"Fakeeh, jom gerak."
"Ala, view dekat sini cantiklah. Angin pun sempoi aje. Apa kata kita bulan madu dekat sini? Ada tak mereka sewa rumah dekat sini?"
"Hah?" Terpinga-pinga aku. Bulan madu? Tak pernah wujud dalam senarai perkara yang akan aku buat bersama Fakeeh.
"Marilah Ya Qalbi. Asyik duduk istana aje, tak bosan ke? Sesekali kita cubalah duduk rumah-rumah marhaen dekat sini." Cadangnya lagi, langsung tak berganjak dari tempat dia.
"Merepeklah, Fakeeh. Mana ada orang buat sewa rumah dekat sini?"
"Iya? Mungkin lepas ni aku boleh cadangkan. Kawasan ni nampak berpotensi. Pemandangan dekat sini boleh jadi penarik. Sungai pun jernih, tak ada pencemaran. Ada sawang, kandang ternakan. Sesuailah kalau kaum kerabat nak cuba nikmati situasi kampung."
Makin pening kepala aku dengan Fakeeh. Ayahanda pun tak pernah sibuk-sibuk nak bangunkan kawasan pendalaman di sini, dia punya angan-angan tu tinggi semacam.
"Nanti-nanti ajelah. Kita geraklah. Orang tengok tu." Aku cuba nasib lagi.
"Biarlah orang tengok. Kita dah sah suami isteri, ya Qalbi."
"Kesian tau orang yang single kat luar sana."
"Siapa suruh dia single? Itu bukan masalah kita." Selamba Fakeeh gelak.
Aku berdengus. Hampeh punya laki.
"Tadi kau cakap dengan ayahanda aku nak ajar aku naik kuda." Aku tarik topik lain.
"Memanglah tapi susahlah kalau kau nak belajar Lizaz. Dia dah biasa aku bawa pergi perang. Nanti aku belikan kuda lain untuk kau." Akhirnya Fakeeh bangkit. Mendekati aku lalu diusap-usap kepala Lizaz.
"Kuda lain?"
"Lizaz dah biasa lasak. Nanti kau terkejut pula. Jadi, ada baiknya aku belikan kuda baru. Kau jaga dan sayang dia. Insha'Allah dia akan dengar kata kau."
"Bila aku boleh dapat kuda?"
"Nantilah dekat Alka. Kawan aku ada ternak kuda. Kita tinggal pilih aje."
Fakeeh sudah naik Lizaz. Dia hulur tangan lalu aku sambut. Duduk di belakangnya aku sempat tegur dia. "Janganlah bawa laju-laju. Kau buat lagi nanti aku muntah atas Lizaz ni."
"Alahai isteri aku ni. Kesian dia mabuk. Yelah suami ya Qalbi menurut perintah."
Dan kami pun melangkah pergi. Fakeeh berpegang pada kata-katanya untuk tidak membiarkan Lizaz berlari. Perjalanan kali ini lebih sempoi. Sempatlah aku jelaskan tentang kawasan Istania ni lepas dia desak aku cerita. Banyaknya aku garu kepala la sebab aku tak ingat sangat geografi Istania ni. Silap-silap aku sendiri boleh sesat.
Menjelang langit layung, kami pun pulanglah ke istana. Mandi dan bersiap untuk Maghrib. Penat memang penat tetapi puas juga dapat keliling Istania. Aku pun kagum dengan pembangunan Istania.
.
.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro