CHAPTER 56
"IBUNDA..."
Nampak figura Permaisuri Marwah, terus aku dapatkan dia. Salam dan terus mendakap.
"Salam takziah, ibunda."
Wanita itu senyum lembut. Bahu aku diusap. "Terima kasih, Ara. Maaflah Alka hancur sedikit. Harap Ara boleh biasakan."
Ketahuilah darah aku berderau saat tiba di Alka. Banyak yang hancur. Bangunan dah serupa gunung. Semuanya hancur. Walaupun sudah banyak kerja-kerja pemulihan, kesannya masih kelihatan.
Sempat tadi kami berhenti di satu dewan besar yang menjadi tempat tinggal rakyat yang kehilangan rumah mereka. Sangat menyayat hati. Apatah lagi melihat bayi-bayi kecil yang merengek. Kasihan ibu-ibu itu hendak menenangkan anak. Tak kurang anak-anak kecil yang kehilangan ibu-ibu mereka. Tangisan menjadi perkara biasa di dewan itu hingga air mata aku gugur jua.
Mereka sangat kuat.
Istana Alka pun hancur sedikit di bahagian luar. Dalam masih elok cuma sedikit sesak. Selain dewan, istana juga menjadi tempat untuk rakyat menetap buat sementara waktu. Kebanyakan yang menetap di istana adalah keluarga yang mempunyai anak.
"Ibunda sihat?"
"Sihat. Mari masuk. Ibunda minta maaf sebab tak mampu sediakan makanan mewah-mewah. Kami masih perlu catu makanan. Kewangan Alka tak stabil untuk import terlalu banyak makanan. Tanaman dan ternakan Alka juga banyak yang mati. Kami semua kebanyakkannya berpuasa." Jelas Permaisuri Marwah.
Sepanjang dia membawa aku, ramai yang bertegur dengan dia. Anak-anak susuannya pun ada juga di sini. Walaupun kami tak kenal rapat namun aku masih ingat lagi wajah mereka. Sayangnya wajah itu nampak kurang sempurna corak senyuman mereka. Setiap seorang aku bawa ke dalam pelukan kecuali yang lelaki yang sudah baligh.
Seperti yang Permaisuri Marwah katakan, memang terhidang tidak banyak. Aku pun tak makan banyak. Sebab aku kesian dekat penduduk di sini, biarlah makanan ini tersalur pada mereka berbanding tetamu seperti aku. Mungkin mulai esok aku akan berpuasa jika kandungan aku mengizinkan.
Azan zuhur, aku lihat Fakeeh menghilang. Sejak tiba lagi hakikatnya. Dia membantu penduduk menukang membina semula penempatan penduduk.
Telinga aku berdesing mendengar suara yang tak asing lagi. Pantas aku ke balkoni dari bilik Fakeeh.
Kaki aku berhenti melangkah melihat si kecil yang memanjat batu dibantu oleh Fakeeh untuk melaungkan azan. Spontan mata aku berkaca.
Itu Mizi!
Adik susuan Fakeeh. Aku masih ingat lagi Mizi pernah cakap dia nak jadi muazzin. Nak jadi seperti Bilal Bin Rabah.
Ya Allah lihatlah sekarang...
Si kecil itu yang mengalunkan azan.
Subhanallah!
Alunan Mizi tiada salah. Semuanya betul dan tepat harakatnya.
Mizi... Kak Ara bangga dengan awak.
Usai azan tamat dilaungkan, Mizi menadah tangan membaca doa selepas azan dengan penuh tertib. Sesudah itu, Fakeeh mengangkut si kecil itu turun lalu membantu rakyatnya mendapatkan belakan air untuk mengambil wudhu.
Melihat Fakeeh masuk ke dalam istana, aku juga keluar dari bilik Fakeeh dan memerhatikan gerak-geri lelaki itu.
Lobi istana Alka menjadi ruangan rakyat-rakyat membentang kain sebagai alas.
Bibir aku terkunci.
Walaupun negara mereka diuji dengan kehancuran, solat tetap tidak dilupakan. Mungkin ini juga yang menjadi asbab negara mereka menang biarpun diserang dua negara syiah.
Tanpa berlenggah aku turut masuk ke tandas untuk mengambil wudhu langsung bersama yang lain menunaikan solat zuhur.
"Allahuakbar!"
Tersentak aku. Terus tak jadi nak angkat takbir.
Itu suara Fakeeh.
Imam kepada ratusan rakyat Istania yang sedang berkumpul di sini. Ya Allah... Aku sebak.
Perlahan-lahan aku tenangkan diri sebelum mengangkat takbir, turut serta menjadi makmum solat zuhur ini.
Hening ruang istana. Hanya bergema suara Fakeeh yang cukup jelas hingga ke belakang ini.
Usai solat, kami menadah tangan mengaminkan doa.
Maksudnya:
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas penghulu para rasul dan ikutan orang-orang bertakwa (Nabi Muhammad), serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.”
“Ya Allah... Ringankanlah ke atas kami semasa sakaratul maut, lepaskanlah daripada api neraka dan kemaafan semasa diadakan perhitungan (hisab). Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah mana Engkau berikan petunjuk kepada kami. Berikanlah kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Maha Pemberi.”
“Ya Allah... Hidupkanlah kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman, serta masukkanlah kami ke dalam syurga bersama-sama iman.”
“Ya Allah... Ampunilah segala dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua-dua ibu bapa kami. Kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa kami masih kecil.”
“Ya Allah... Akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Peliharalah kami daripada azab api neraka. Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga serta sahabat-sahabat baginda. Segala puji itu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh Alam.”
Doa ini menjadi kebiasaan Fakeeh tiap-tiap kali solat. Bahkan di Istania juga ayat yang sama dijadikan doa. Lantas, doa Fakeeh bersambung lagi.
"Ya Allah, Ya Tuhanku... Kami bersyukur atas kemenangan yang kau kurniakan kepada kami. Terima kasih atas perlindungan ini dan kemenangan ini. Ya Allah, ramai antara kami... Anak-anak kami, suami isteri kami, saudara-mara kami, ibu bapa kami dan kaum kerabat kami yang telah gugur dalam medan pertempuran demi agamaMu Ya Allah. Kau kurniakanlah mereka darjat yang terpuji dan sucikanlah mereka daripada azab lantas masukkanlah mereka ke syurgaMu Ya Allah. Tanpa perjuangan mereka tidak akan ada kemenangan hari ini."
"Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim... Limpahkanlah kami dengan rezeki yang melimpah-ruah. Bantulah kami membina semua penempatan kami. Permudahkan segala urusan kami membangunkan semula negara kami Ya Allah. Cukupkan segala rasa kekurangan yang kami rasai ini."
"Ya Allah... Lindungilah bumi Alka ini. Lindungilah rakyat ini Ya Allah. Lindungi keluarga kami, anak-anak kami, ibu bapa kami, suami isteri kami dan semua penduduk Alka yang Allah. Jadikan kami orang yang beringat dan bersyukur kepadaMu atas segala ujian dan rezeki yang kurniakan. Moga ujianMu ini menjadi satu dorongan kepada kami untuk memantapkan akidah dan iman kami kepadaMu."
"Ya Allah... Izinkan Alka kembali pulih seperti sedia kala. Menjadi tempat perlindungan buat mereka yang lemah, menjadi tempat buat hamba yang masih mencariMu. Menjadi tempat selamat untuk hamba-hambaMu yang lemah ini mengenali cintaMu. Ya Allah..."
"Jadikan hidup dan mati kami ini keranaMu..."
Allahumma barik!
Perkenankanlah doa kami semua Ya Allah. Amiin Ya Robbal Alamin!
.
.
"BERAPA bulan ni kak Ara?"
Pertama kali bersua muka semula dengan Rose, kandungan aku yang dia heboh dulu. Dia tak nak tanya aku sihat ke tak. Anak aku yang belum diberi keizinan tengok dunia juga yang dia teruja.
Hailah, ni yang terasa cemburu dengan anak sendiri.
"Masuk tujuh, Rose."
"Tujuh?" Bola mata Rose bergolek ke atas. Tangannya digenggam sebelum satu per satu jarinya berdiri tegak.
Seketika matanya membulat. "Omo! Dua bulan lagi, Kak Ara?! Ah, tak sabarnya! Baby cepatlah keluar. Jom main dengan Aunty Rose!"
Rose ni bercakap seolah-olah aku ni pula budaknya.
Rose sengih hingga ke telinga. Tangannya tak berhenti usap perut aku. Mula-mula dia cuak tambah takut. Risau aku tak bagi sentuh.
Yelah, ibu mengandung ni ada pantang-larangnya. Paling utama, jangan sesekali izinkan sembarangan orang sentuh perut. Takut gerangan itu guna ilmu hitam untuk kecelakaan anak dan ibu.
Tapi kalau Rose ni, aku percaya dia. Dia pun nampak baik walaupun gedik dia tu boleh tahan. Cuma tak adalah sampai tahap menyampah.
"Ya Allah! Kak Ara rasa lelaki ke perempuan? Hah! Entah-entah kembar?"
Dia tepuk tangan.
"Atau mungkin triplets? Quadriplets?" Makin terbuntang mata Rose.
Sedangkan aku dah keruh muka. Oi, janganlah sampai kembar banyak sangat! Aku ni mengandung anak pertama, pengalaman pun tak ada!
Seriau pula Rose cakap macam tu.
Perut aku usap. Tak kot. Perut aku tak nampak besar. Selalu kalau kembar ni perut dah sedepa ke hadapan.
Keluar seorang saja cukuplah untuk permulaan. Janganlah terus mencabar beranak empat. Aduh, tak boleh bayangkan berjam-jam dalam dewan bedah untuk menanti seorang demi seorang untuk dilahirkan.
"Kak Ara! Nanti Kak Ara bahasakan Kak Ara dengan baby ni apa? Kalau Rose... Rose nak dia panggil Rose mama. Mama dan papa! Nampak comel, kan?" Celoteh Rose terus. Tak kisah pun soalan dia tadi aku tak jawab dek dibendung teruja.
Jelas sangat muka Rose ni geram. Kadang-kadang dia tarik nafas tenangkan diri. Tapi tak lama sebelum Rose ni jadi tak betah tengok aku yang sebegini.
Kelakarlah Rose ni.
"Rose..."
"Kenapa Kak Ara? Kak Ara nak beranak ke?! Alamak! Abang Fakeeh mana? Kak Ara jangan beranak dekat sini tau. Rose tak pandai sambut bayi. Lagi parah kalau Kak Ara beranak dekat sini. Nanti bila baby dah besar baby tanya dia lahir dekat mana, serba-salah nanti nak jawab dia lahir dekat pondok berhadapan dengan bangunan yang dah runtuh seribu ni."
Pfftt!
Lantas tawa aku bergema.
Sampai macam tu sekali!
"Jangan jerit dulu Kak Ara! Ya Allah mana orang lain ni?!" Rose terjengah-jengah cari orang yang ada. Pantas aku tarik tangan dia sebelum cuba mengawal tawa.
"Belum masanya melahirkan, Rose. Ara cuma nak ajak Rose berbual aje. Gelabah sangat Rose ni."
Dia pandang aku lama sebelum bibirnya membentuk O.
"Rose dengan Zuhair macam mana?"
Nah, amik soalan!
Bibir aku melengkung membentuk senyuman saat wajah gadis itu mula berbahang. Tudung dikibas-kibas, gelisah.
"Macam tu la."
"Macam mana apa?"
"Macam selalu. Zuhair tak suka Rose tapi Rose suka Zuhair." Luahnya sebelum jongket bahu.
"Kenapa dia tak suka Rose?"
"Mungkin cinta Rose ni terlalu padu sampai dia takut lemas dalam cinta Rose." Diakhiri sengihan.
Amboi kemain ayat!
"Tapikan... Macam mana Rose kenal Zuhair?"
"Ala, Zuhair tu kawan Ajad. Rose ni lepas yatim piatu, abi yang jemput tinggal dengan mereka."
"Abi?" Soalku kurang mengerti.
Kepala Rose mengangguk. "Rose anak angkat abi. Adik angkat Ajad. Tiada pertalian darah. Tapi Rose dah anggap mereka semua tu keluarga Rose. Mereka sudi jaga Rose dari kecil."
Oh macam tu...
Tapi waktu beli Subbah tak nampak pula si Rose ni.
"Nak dijadikan cerita Zuhair ni suka lepak sama. Bukan Zuhair ajelah. Dengan Abang Fakeeh dengan Abang Eilman sama. Cuma itulah antara empat sekawan tu, Zuhair tulah yang mencairkan hati Rose."
"Sebab?"
"Dia terlalu panas untuk dilihat sahaja."
"Eh?" Berkerut dahi aku melihat Rose. Macam pelik je ayat?
"Rose suka suara Zuhair. Dia dahlah mulut emas. Jadi bila sekali dengar suara dia, panas Kak Ara! Rose yang tengah sejuk beku pun boleh cair jadi air tau! Bila sekali dapat, mesti nak lagi punya. Itu yang try hard kacau Zuhair jadi bolehlah dengar suara dia selalu. Mahal tau suara dia!"
Aku angguk faham. Memang diperhatikan antara empat sekawan, Zuhair paling diam. Dan dahsyatnya, Zuhair tak pernah bercakap pun dengan aku. Eilman dengan Ajad tu pernahlah. Ajad tak payah cakap, dengan siput melekat dengan dinding pun dia ajak borak macam member.
"Cuma... Zuhair tak suka Rose. Kenapa dia tak suka Rose? Rose ni pelik ke Kak Ara?" Soalnya dengan bibir tercebik.
"Mana ada. Rose kan cantik. Takkanlah Zuhair tu buta?"
Rose terus gelak besar aku panggil buah hati dia buta.
"Sebab tu dia pakai spec!"
"Eh, spec tu sebab rabunlah Rose." Menggeleng kepala aku.
"Oh ye ke? Tak maco la Zuhair kalau rabun." Komen Rose selamba. Dia memintal-mintal hujung baju dengan bibir terjuih.
"Tapikan... Zuhair tetap maco dengan spec dia dan waktu dia tak pakai spec. Kak Ara tahu tak, Rose rasa macam dekat awang-awangan bila tengok Zuhair tanpa spec. Ya Allah hensem betul makhluk ciptaan Allah yang seorang ni!" Rose dah berguling atas papan pondok ni.
"Rose pernah ke tengok Zuhair tanpa spec?"
"Pernah! Dulu Zuhair suka tidur rumah abi. Dengan Abang Fakeeh dengan Abang Eilman. Hensem Kak Ara! Hensem! Tak boleh hilang memori tu dalam kepala tau! Dah kunci rapat!"
"Oo... Fakeeh dengan Eilman elok panggil abang. Ajad dengan Zuhair tak pula?" Usikku.
Terus Rose bangkit. Wajahnya ketat. Mata bulat.
"Zuhair tak boleh panggil abang. Dia bukan abang Rose. Zuhair tu kesayangan Rose."
Hampeh betul. Macamlah Fakeeh dengan Eilman tu abang dia. Apa-apa ajelah Rose, asalkan bahagia.
Mata aku merayap ke pemandangan pondok ini. Sibuk orang-orang Alka ini menukang kayu sana sini. Dah mula naik kayu-kayu ini membentuk rangka. Dengan kerjasama yang diberi, aku rasa sekejap saja Alka akan kembali seperti selalu.
Senyuman aku melebar saat melihat Fakeeh yang berdiri di atas kayu-kayu yang sudah dicantumkan. Tangan tak henti mengetuk tukul untuk mencantum dua kayu. Bajunya basah. Begitu juga rambut. Sesekali aku lihat dia mengesat dahi dengan lengan baju. Termenggah-menggah nafasnya setelah kerja kecilnya selesai.
Alahai Ya Rohi kesayangan aku ni...
Semua benda dia pandai tau. Urus negara, pandai. Perang, pandai. Cairkan aku, pandai. Manjakan aku, pandai.
Ketahuilah dia pun pandai masak sebenarnya tapi mengada terlebih. Sejak aku mengandung ni, terus dia larang aku masuk dapur. Mula-mula terkejut juga tengok Fakeeh memasak tapi bila rasa masakan dia, peh! Sedap tak boleh bawa bincang! Kalah aku yang memasak setiap hari. Ciskek punya suami.
Apa lagi ya?
Fakeeh pandai mengaji, jadi imam, taranum. Bab-bab komunikasi tak usah kata. Memang dia dah terer sangat.
Okey sekarang ni bagitahu aku apa kelemahan dia? Aku pun tak pernah tahu. Tak apa, nanti kita cungkil.
Buat masa sekarang, Fakeeh cukup sempurna di mata aku.
Sia-sia la aku tolak dia dulu. Konon ada 'cinta sejati' yang tunggu aku. Sekali hampeh kena kelentong.
Apa jadi dengan Aayan ya? Ah, lantaklah. Tak nak ambil tahu.
Cukup aku bazir masa beberapa bulan demi Aayan. Sekarang aku nak habiskan sepenuh hidup aku dengan Fakeeh. Itu sudah memadai. Segalanya sudah lengkap. Dan akan bertambah lengkap dengan kehadiran waris kami nanti.
Fakeeh Al-Attar adalah kurniaan untuk aku yang selalu aku lupa.
Kehadiran jejaka seperti Fakeeh yang mengambil aku sebagai isteri dia, aku seharusnya beruntung.
Fakeeh itu... Idaman ramai wanita.
Bertanggungjawab, baik, setia, amanah, hormat orang tua, manja, penyayang dan soft-spoken.
Fakeeh tak pernah marah aku. Okey, pernahlah dulu di saat tindakan gila aku memerangkap aku di Sulnayah.
Wajah dia ketika itu sangat merah dan berkerut. Timbul segala urat hijau dan biru.
Namun satu sahaja... Bahasa dia masih sopan.
Aku tak tahulah telinga aku ni hilang fungsi atau apa tetapi aku tak pernah dengar dia mencarut. Walhal ramai anak muda dekat luar sana bebas menuturkan kata-kata tidak elok sebagai rutin.
Fakeeh tidak pernah.
Ya Allah... Mendapat suami seperti Fakeeh adalah satu rezeki yang tak harus aku sangkalkan.
Ini nikmat.
Nikmat apa lagi yang harus aku dustakan?
Nikmat yang Allah beri pada aku, belum tentu dimiliki oleh semua wanita di luar sana.
Tak semena-mena mata aku berkaca.
Menyesal pernah mencemuh Fakeeh. Aku terlalu buta menilai Fakeeh di waktu lalu. Aku terlalu asyik dilamun cinta haram hingga tidak sedar kemanisan cinta halal. Cinta yang berlandaskan cara yang benar.
"Eh, Kak Ara! Jangan sedih. Sakit dekat mana? Cakap dengan Rose, Rose tiupkan."
Dengan lawak yang tak berapa lawak Rose ni, terus jatuh air mata aku sebab tergelak. Kacaulah Rose ni!
Aku seka mata yang basah sambil mata tidak henti merenung Fakeeh yang tekun membuat kerja.
Fakeeh... Moga semua kebaikan yang awak lakukan menjadi asbab syurga menjadi destinasi terakhir awak. Saya doakan.
.
.
.
When you realise TBV nak tamat...
Penulis dia pun tak sangka 😭
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro