CHAPTER 32
PERITNYA bilamana Fakeeh tak ambil peduli tentang aku. Bangun pagi, dia hilang. Seharian aku tak bertembung dengannya. Memang dia betul-betul lesap!
Keluhan aku lepaskan. Kaki mengusung langkah ke bilik pengurusan Fakeeh. Mungkin, lelaki itu di situ.
Jari jemari dilagakan sesama sendiri. Aku masih tidak tahu ayat yang harus katakan kepada Fakeeh jika bertemu dengan dia.
Nak ke dia dengar penjelasan aku?
Bahkan malam semalam dia sempat menghalang aku bersuara. Tidur pun tidak ajak aku. Satu lagi, pagi tadi dia bangun awal. Selepas Subuh, aku ingatkan dia akan masuk bilik untuk mandi dan sebagainya tetapi tiada. Ibarat lelaki itu lesap.
Aku yakin lelaki itu memang sedang beremosi dengan tindakan berani mati aku.
Keluhan dilepaskan. Pintu bilik Fakeeh aku ketuk dua kali sebelum salam diberi.
Tiga kali beri salam, tiada yang menyahut. Bibir aku kemam. Lambat-lambat aku pulas tombol pintu. Sudah kalau orangnya tak nak menjawab, redah sajalah.
Kosong.
Bahu aku jatuh. Dia tiada di sini.
Ke mana lagi Fakeeh berada? Ah, susahnya mencari dia. Tubuh aku ni pun bukannya sihat sepenuhnya. Masih tersisa rasa lenguh di serata tubuh.
Kerusi Fakeeh aku tuju lalu dilabuhkan punggung. Jari dilalukan di bucu meja, membazirkan masa yang ada.
Kata mereka, aku dilarang keluar istana buat masa sekarang. Nak ke kelas perubatan juga ditegah. Tidak mengeruhkan keadaan, aku akur. Masalah ini berpunca daripada aku, seharusnya aku terima segala hukuman.
Apa jadi dengan Sulnayah bila tahu aku sudah diselamatkan ya?
Mata aku tertancap pada satu timbunan di sisi meja Fakeeh. Gatal kaki melangkah ke arah itu. Duduk di lantai aku selongar timbunan kertas-kertas tersebut.
Satu per satu aku ambil dan baca. Spontan wajahku memucat.
Macam mana tuanku puteri boleh hilang? Tuanku memang tak reti jaga isteri ke?
Ya Allah... Surat apa ni?
Satu lagi aku ambil.
Tuanku tahu tak, sejak tuanku masuk ke dalam keluarga diraja Istania... Banyak benda buruk yang berlaku. Tuanku ni diibarat bala!
Tuanku Raja Zahin boleh jaga tuanku puteri lagi bagus daripada tuanku. Sejak kecil, tuanku puteri tak pernah kena culik and you make it first!
Patik tak tahulah apa kena dengan Tuanku Raja Zahin kerana masih bela tuanku. Sepatutnya tuanku ni tak layak jadi pendamping tuanku puteri. Isteri seorang pun susah nak jaga. Kalau tak nak, biar patik sajalah yang kahwin dengan tuanku puteri.
Punyalah berlambak pengawal diraja yang diupah, seorang pun tak sedar kehilangan tuanku puteri. Kalian memang makan gaji buta ke?
You're not worth to be her husband, tuanku. Tuanku mengecewakan. Tak sampai dua bulan, satu Istania huru-hara. Kalau patik tahu, patik rela jadi pembangkang perkahwinan tuanku!
Dalam banyak-banyak lelaki, patik masih pelik mengapa keluarga tuanku puteri memilih tuanku. Ramai lagi yang berkelayakan dan ramai lagi yang boleh jaga tuanku puteri lebih baik daripada tuanku! Mungkin patik lagi layak daripada tuanku. Walaupun patik ni hidup kais pagi makan pagi untuk hidup, patik pun tahu nak jaga isteri. Patik pun berani untuk minta persetujuan isteri pertama patik untuk bernikah kalau tuanku ni dah tak reti nak jaga bini. Punya lawa tuanku puteri pun tak jaga. Tak nak jaga, bagi patik.
Tuanku tak patut berada di sini. Kedatangan tuanku mengancam seluruh Istania.
Aku tahan diri daripada membaca lagi segala cemuhan terhadap Fakeeh. Sesak dada aku meneliti setiap intipati surat-surat ini.
Terdiam aku di situ. Tidak menyangka rakyat juga sudah pandai memboikot kerajaan.
Wajah aku raup.
Apa kau dah buat ni, Arabella?
.
.
BERLARI-LARI aku menuju ke bilik di aras bawah. Kata Haniya, Fakeeh berada di situ bersama kedua-dua ibu bapaku. Mencuak aku bila mendengar. Janganlah ayahanda hukum lelaki itu sudahlah. Yang bersalah itu dia, bukan Fakeeh.
Sampai di depan pintu, telinga dapat menangkap butir bicara. Aku mendiam mahu mendengar kerana yakin di saat aku masuk akan terhenti segala perbualan serius itu.
"Bagaimana keadaan dengan sempadan Istania-Sulnayah?" Suara ayahanda bergema.
"Teruk. Tak terkawal."
Aku gigit bibir.
"Rakyat dekat sana macam mana?"
"Fakeeh dah arahkan mereka berpindah. Ada yang mendengar kata, ada juga yang membangkang. Buat masa sekarang, Fakeeh terpaksa letak tentera di sana untuk berjaga. Demi keselamatan rakyat Istania."
"Fakeeh tahukan Sulnayah mencemuh Istania dalam keratan akhbar. Bahkan dicetak dengan banyak untuk disebar ke negara-negara lain. Kedudukan Istania sangat terancam sekarang disebabkan hal ni." Tegas ayahanda bersuara.
"Fakeeh cakna perihal itu, ayahanda. Tapi Fakeeh tak boleh nak tutup mulut orang. Bukan Fakeeh nak selamatkan diri tapi sebagai seorang muslim yang baik, mereka patut selidik kenyataan itu. Mendengar dari dua pihak yang berlaga. Bukan dengan mempercayai khabar-khabar angin. Soal Arabella diculik pun mereka tidak tahu tetapi menghukum kita seolah-olah mereka sudah fasih segalanya." Ada kedengaran nada marah dari bahasa Fakeeh namun bijak dia mengawal intonasi.
"Ayahanda tak kisah kalau orang nak bercakap soal kita tetapi melibatkan maruah agama, kita tak buat main-main. Nak tak nak kita kena selesaikan perkara ni dengan Sulnayah. Nama Islam tak boleh tercemar. Fakeeh fahamkan maksud ayahanda?"
"Faham. Fakeeh sedang cuba. Paling tidak, Fakeeh sedang raih kepercayaan kerajaan Islam. Untuk minta mereka bersatu untuk tegakkan semula agama. Jangan izinkan puak Syiah ini mempermainkan agama Allah."
"Bila meeting seterusnya diadakan?"
"Esok pagi di Alka."
Aku yang mendengar mula menahan rasa di dada. Fakeeh nak pergi Alka? Kenapa dia tak ada nak bercakap dengan aku?
Ah, mengenangkan salah sendiri buat aku rasa nak hantuk kepala dekat dinding. Aku keluar rumah pun tanpa kebenaran, siapa aku nak halang Fakeeh?
Hmm... berapa lama Fakeeh akan ke sana? Kalau aku rindu bagaimana?
"Barang semua dah siap, Fakeeh?" Suara bonda pula kedengaran.
"Sudah, bonda."
"Fakeeh nak bawa Ara ke?"
Bonda bagaikan tahu isi hati aku. Aku juga mahu tahu sekiranya dia ingin membawa aku ke sana.
"Tak..."
Auch. Tangan cengkam baju di bahagian dada. Kiranya aku kena berpisah dengan dia buat kali kedua.
"Ara perlukan rehat dan Fakeeh harapkan ayahanda dengan bonda untuk tengokkan Ara. Fakeeh cuba selesaikan masalah di sana secepat mungkin."
"Kalau Fakeeh nak bawa Ara, bawalah. Diakan dah jadi isteri Fakeeh. Fakeeh berhak nak bawa dia hingga ke hujung dunia sekalipun." tegur bonda.
Aku di balik pintu meramas jemari sendiri. Apa yang Fakeeh fikirkan? Memang anti betul dia dengan aku sekarang.
"Fakeeh minta maaf, bonda. Fakeeh akan berkelana sendirian bersama Ahmad."
Lelaki itu sudah tekad.
"Kamu bergaduh dengan Ara ke?" Ayahanda meneruskan perbualan.
"Tak ada, ayahanda. Fakeeh hanya tak mahu masalah ini melarat." Ketenangan masih dijaga rapi.
"Atau... Ara sebenarnya larikan diri sebab kamu?" serkap ayahanda. Menjadikan aku di balik pintu mula gelabah. Aduh, jauh betul ayahanda fikir. Bukan begitulah, ayahanda!
"Mungkin Fakeeh masih mentah dalam menguruskan rumah tangga Fakeeh. Fakeeh minta maaf andai Fakeeh mengecewakan ayahanda dengan masalah yang timbul ni."
Kenapa Fakeeh salahkan diri sendiri? Kan aku puncanya. Aku yang degil. Aku yang ego melangit. Tak pernah fikirkan orang lain. Kenapa hingga ke saat ini pun Fakeeh masih mahu letakkan beban ke atas dirinya.
Hujung mata aku mula membasah. Rasa sendat di pekung dada dengan rasa bersalah. Fakeeh tak harus buat semua ni. Ayahanda berhak tahu yang benar.
Tak betah, aku ketuk daun pintu dan meluru masuk. Aku abaikan saja wajah terkejut tiga orang itu. Tak ambil pusing. Tempat kosong di sebelah Fakeeh aku duduk. Tangan mencengkam kain. Mata memandang dua orang tua aku.
"Ara buat apa dekat sini? Ara patut berehat." Bonda mula bicara. Juga mengawal air muka. Aku perasan sesekali mata bonda terjeling ke ayahanda.
"Macam mana Ara nak rehat kalau ayahanda, bonda dengan Fakeeh dekat sini berbincang soal Ara tanpa ada Ara?"
"Ara tak sihat lagi. Pergilah rehat."
Wajah aku yang tersedia keruh menjadi lebih mendung. Kenapa semua orang suruh aku rehat ni?
"Ara dah sihat, bonda. Argh, cukuplah fasal Ara."
Aku jujut nafas dalam. "Sekarang ni, Ara nak minta maaf sebab Ara dah curi-curi dengar perbualan ayahanda, bonda dan Fakeeh. Tapi, Ara rasa Ara ada hak untuk cerita apa yang terjadi dan untuk pengetahuan ayahanda dan bonda, bukan salah Fakeeh pun semua ni terjadi."
Kerling ke sisi, Fakeeh menunduk. Makin diri ini dihimpit rasa berdosa.
"Ara yang bodoh sangat pentingkan diri."
"Tak. Fakeeh salah, ayahanda. Fakeeh gagal sebagai seorang suami." Orang tengah bercakap, Fakeeh menyampuk. Aku jeling Fakeeh. Apa yang susah sangat nak buka cerita sebenar ni?
"Fakeeh culas menjaga amanat daripada ayahanda dan bonda. Juga culas menjaga amanah Allah. Semua yang terjadi berpunca daripada Fakeeh dan jikalau kata Fakeeh perlu dihukum... Fakeeh sedia, ayahanda. Demi kemaslahatan semua."
Kalau bukan depan ayahanda dan bonda, memang aku cepuk Fakeeh ni. Celah mana salah dia pun aku tak tahu.
"Ayahanda, Fakeeh tipu. Yang sebenarnya..."
"Fakeeh yang bersalah." Fakeeh tepuk paha aku seraya menghadiahkan satu pandangan yang sukar untuk ditafsir. Nampak serius tapi di sebalik mata itu bagaikan ada satu rasa yang terbuku untuk dijelaskan.
"Ayahanda peninglah. Mana satu yang betul sebenarnya?"
"Maaf, ayahanda. Ara mungkin tak sihat sebab tu dia salah cakap."
"Ayahanda..." Baru aku nak selar kata Fakeeh, ketukan di pintu menokhtahkan pergaduhan mulut kami. Terpampang Ahmad yang berdiri tegak.
"Ampun tuanku. Patik ke mari hendak bertemu dengan tuanku Putera Fakeeh. Ada seorang rakyat tercedera di sempadan Istania-Sulnayah akibat daripada rusuhan yang dilakukan oleh pihak Sulnayah. Patik perlukan tuanku untuk tindakan selanjutnya."
Bibir bawah aku gigit. Macam makin teruk aje.
Keluhan terlepas. Fakeeh pandang ayahanda dan bonda. "Maafkan Fakeeh ayahanda, bonda. Fakeeh tangguhkan dulu penjelasan. Fakeeh perlu minta diri dulu."
Bangun, Fakeeh menyalam ayahanda dan bonda. Sikit pun lelaki itu tak pandang aku, bahkan juga tidak sudi menghulur tangan pada aku walhal lelaki ini paling pantang jika berpisah. Mesti dia paksa aku salam dia biarpun aku berdegil. Paling teruk, dia yang tolak kepala aku supaya bersalam. Kali ini tiada.
Dek hati yang terusik, aku juga bangkit lalu memeluk Fakeeh daripada belakang. Dapat aku rasakan tubuh itu menegang sebelum kembali mengendur. Mungkin tidak menjangka tindakan aku. Malu aku tolak tepi. Tak kisahlah apa orang nak kata.
Lerai pelukan aku berdiri di hadapan Fakeeh. Menunduk, tangannya aku capai. Bibir aku labuhkan ke situ sebelum tak semena-mena air mata aku tumpah. Lama aku menyalam dia hinggakan bahu aku mula terhincut-hincut.
"Ara..."
Mana hilang panggilan Ya Qalbi untuk aku? Aku nak dia panggil aku Ya Qalbi.
"Ara, aku kena cepat." Fakeeh tarik tangannya sendiri. Aku mendongak melihat matanya yang merayau ke arah lain. Tak sudi nak pandang aku.
Fakeeh melintasi aku sebelum keluar bersama Ahmad.
Tutup pintu, makin menjadi-jadi tangisan aku.
"Sayang bonda..." Panggilan bonda menggerakkan kaki aku ke arah bonda. Melihat bonda menghulur tangan, terus aku peluk bonda. Kaki juga naik ke atas sofa sebelum aku lepaskan semuanya pada dada bonda. Bauan wangi kasturi bonda aku hirup berkali-kali. Bila kali terakhir aku peluk bonda ya?
"Bonda, Fakeeh tak salah. Ara yang salah. Ara yang salah." Serak habis suara aku demi nak bagitahu kenyataan. Aku jadi sedih melihat Fakeeh masih lagi nak tutup aib aku sedangkan memang jelas-jelas salah aku.
Usapan bonda pada bahu aku lagi menyemarakkan tangisan aku.
"Ayahanda dah pesankan. Redha Allah kepada seorang isteri terletak pada redha seorang suami."
Makin haru hati aku dengan perlian ayahanda. Memang betul. Allah tak redha dengan aku. Dia bagi aku susah demi nak sedarkan aku yang Fakeeh adalah yang terbaik untukku.
"Kanda... sudahlah. Kasihan sikit pada anak kita ni."
"Tak perlu, bonda. Ara anak yang teruk. Ara isteri yang teruk. Kalau ayahanda dengan bonda nak marah, tolong marah Ara. Jangan marah Fakeeh. Dia tak salah." rayuku siap menarik tangan ayahanda dan bonda. Berulang-kali aku menatap bonda dan berkalih pada ayahanda. Lencun wajah sudah tidak dihiraukan. Yang penting, bukan Fakeeh diletakkan segala bebanan.
"Sedar dah salah sendiri?"
Aku angguk menjawab soalan ayahanda. Jemari mengesa air mata yang menjadi penyeri wajah.
"Lepastu nak buat apa? Ulang lagi kesilapan?"
Geleng berkali-kali.
"Ara tahukan nak buat apa?"
Pujuk Fakeeh. Itu jawapannya.
"Ara, jodoh itu di tangan Allah. Dah cantik tertulis untuk Ara. Jangan sebab Ara tak kenal dengan Fakeeh, Ara cop dia bukan suami terbaik Ara. Bonda dengan ayahanda pun awal-awal tak kenal sesama sendiri. Waktu taaruf, waktu tunang dan waktu kahwinlah kami cuba belajar mengenali sesama kami."
Teguran bonda penuh kelembutan. Aku tersedu-sedan. Bibir dikemam.
"Ayahanda..." panggilku merenung ke arah tuanya. Baru aku perasan bawah matanya gelap. Dia berjaga kerana risaukan aku ke? Toleh ke bonda, juga sama. Aku menyebek, menahan esakan terletus lagi.
Ah, anak tak gunalah aku ni!
"Semua akan baik-baikkan?" Ragu-ragu aku bertanya.
Ayahanda berdeham. "Ayahanda percaya Fakeeh boleh uruskan negara."
.
.
Doakan saya sihat dan diberi idea melimpah-ruah. Sejak tak sihat lupa pula idea dia hilang ke mana. Sakit kepala. Huhu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro