CHAPTER 31
Terima kasih yang komen di bab lepas. Saya baca semua. Thank you. Nah, ambil hadiah ni.
.
.
EMOSIKU terganggu. Terusik dengan sikap Fakeeh yang mengabaikan aku. Oleh sebab itu, sampai ke sudah aku tidak keluar tandas. Membiarkan diri berendam di kamar mandi. Kulit tubuh juga sudah berkerunyut dan mengecut.
Tadi, aku minta Haniya makanan. Kata aku, aku hanya mahu makan sahaja. Tercongok tiga orang itu menanti aku makan. Biarpun tiga hari berlapar, perut aku seolah-olah menolak segala makanan. Hanya separuh mangkuk saja yang mampu aku habiskan sebelum aku meminta mereka membawa pergi. Walhal bubur sahaja.
Sudah itu aku meminta mereka menyediakan air mandian aku. Sepanjang menanti itu aku banyak termenung memikirkan diri aku. Betapa pendosanya aku terhadap seorang suami yang cuba melenturkan aku daripada sesuatu yang haram.
Masuk ke tandas aku terus selak pintu dan membiarkan air menenggelamkan aku sepenuhnya. Kehangatan air mandian tidak mampu melegakan sekeping sukma.
Entah. Aku hanya mahu Fakeeh saat ini.
Semerta air mata tumpah lagi. Bibir digigit.
"Jangan sampai orang yang banyak sabar dengan kau ni tawar hati. Saat itu berlaku, kau akan hilang arah. Kau akan menyesal nanti."
Teringat pesan Fakeeh sebelum ini, makin menjadi-jadi esakan aku.
Fakeeh dah tawar hati dengan aku ke? Masakan tidak setelah aku buat onar paling besar. Membiarkan diri masuk ke perangkap musuh dan diculik. Mengakibatkan Istania jadi runsing dengan perjudian nyawa aku.
Semua itu pasti membebankan. Juga menjadi keputusan yang berat hendak dibuat demi kemaslahatan keluarga dan negara.
Kanan ada agama.
Kiri ada aku.
Dua-dua penting. Namun syukurlah Istania tidak melatah. Aku lagi sanggup dibunuh daripada jadi mangsa perjudian agama. Biarlah agama menjadi nombor satu meskipun perlu bertukar ganti dengan nyawa aku.
Mengenangkan tiga hari aku di Sulnayah, sememangnya mimpi ngeri. Tiap kali aku terjaga dari lena yang terganggu, aku mengharapkan itu semua mimpi.
Ayaan tipu aku. Auch. Sakitnya tak usah dikatakan.
Tetapi... aku tak mahu berlama-lama marahkan dia. Alasan dia dah cukup kukuh biarpun aku bukan keutamaannya.
Anak dia sakit apa?
Kepala aku gelengkan. Malas nak fikir lebih lanjut. Soal Ayaan, cukup sampai sini. Sudah-sudahlah aku kenangkan lelaki yang tak akan mampu menjadi milik aku. Setelah kepercayaan yang aku beri dihancurkan, tiada makna lagi untuk bersama. Biarlah Ayaan fokus pada anaknya semata-mata manakala aku...
Bibir dikemam. Aku bagaimana? Apa harus aku lakukan?
Aku rendahkan tubuh lagi, membiarkan separuh kepala berada di bawah paras air.
Penjelasan apa yang patut aku beri pada Fakeeh?
Sungguh, aku takut. Raut wajahnya tiada secalit senyuman. Pasti dia sedang berperang dengan diri sendiri. Sepanjang aku tiada pun, aku tidak pasti apa yang ditempuhinya.
"Fakeeh..." Nama itu aku sebut perlahan sebelum mata dipejam.
Fakeeh dah tahu ke Ayaan tu berkhidmat untuk Sulnayah? Sebab itu dia tak suka aku bercakap tentang Ayaan? Betul ke?
Kata Fakeeh, aku akan kecewa dengan Ayaan.
Ya. Teramat sangat.
Ayaan tak pernah jujur dengan aku. Hinggakan nyawa aku menjadi taruhan barulah dia menyingkap hakiki. Ah! Bodohnya aku!
Tok! Tok! Tok!
"Ampun tuanku. Lama lagikah tuanku di dalam? Sudah lebih setengah jam tuanku di dalam." Suara Janna menyapa telinga namun aku hanya bungkam tidak menjawab.
Aku malu. Malu dengan semua orang. Mahu saja aku hilang dari pandangan orang lain.
Aku ni memang tiada guna. Membebankan orang lain sahaja. Tsk.
"Tuanku!" laungnya lagi.
Aku terus lemaskan diri ke dalam air mandian. Saat seluruh tubuh bemandikan air, hilang segala suara yang aku dengar. Hilang juga segala kata buruk yang bermain di fikiran.
Nafas ditahan dengan mata terpejam. Lama. Sehingga hidung aku memedih dek tujahan air yang tak bertepi. Tiada keinginan untuk kembali mencari oksigen. Aku hanya mahu tenang seperti air bersih ini.
Tangan meraup tubuh. Menyental keras.
Tubuh ini pernah menjadi pandangan kepada yang haram. Pernah disentuh orang yang tidak layak. Diperlakukan seperti wanita yang tiada maruah.
Jijik.
Mungkin... kelahiran aku hanya sebagai bala kepada negara Islam seperti Istania.
Dush!
Tak semena-mena tubuh aku terasa ditarik keluar. Tubuh memberi tindak balas untuk kembali menghirup udara segar. Nafas aku jadi pendek. Mengah.
Celik mata, kelihatan Fakeeh di depanku. Tubuh aku dibawa keluar dari kolah mandi. Dia dudukkan aku.
"Kau dah kenapa? Nak bunuh diri?"
Wajah itu aku tenung. Bibir dikeman.
Di depan aku bukanlah Fakeeh yang baik-baik melayani aku. Di hadapan aku lebih nampak kasar. Tiada senyuman seperti kebiasaannya. Ini bukan Fakeeh yang aku mahu.
Serentak itu tubir mata menjadi hangat. Dalam sekelip mata juraian air mata semakin laju menuruni pipi. Sedikit pun hati tak tergerak menyapu kesan air mata. Hanya membiarkan Fakeeh melihat aku yang seperti tiada harapan hidup.
"Arabella, get your head straight!" tegur Fakeeh namun tersisa ketegasannya.
Kepala aku geleng tanpa henti. Tangannya pada tubuhku aku tepis. Aku menolak-nolak tubuh ke belakang biarpun sudah bertemu dengan dinding.
"Arabella!"
Seketika Fakeeh mengeluh sebelum haba tubuhnya terasa berpindah kepadaku. Sedar-sedar aku berada dalam pelukannya. Tangan cuba mencipta jarak antara kami. Fakeeh memperkemaskan lagi pelukannya. Dibiarkan aku bersandar pada dadanya.
Lambat-lambat aku jadi lembik dalam pelukannya. Di situ juga aku hamburkan tangisan. Bajunya aku cengkam erat. Terhincut-hincut bahu menyambut kepiluan diri.
Buat seketika kami dibiarkan begitu. Sedikit pun Fakeeh tidak bersuara. Membiarkan aku melayani melodi lirih hati.
Selepas puas, aku masih kekalkan kedudukan aku begitu. Malah, erat aku membalas pelukannya. Meligih tubuhku dalam kesejukan.
Melihat aku mulai tenang, Fakeeh lepaskan pelukan. Mahu saja aku larang tetapi melihat wajahnya yang statik beku, aku mengalah jua. Kepala menunduk. Bibir dikemam, menahan esakan seterusnya.
Aku rasa terlalu kerdil di mata Fakeeh.
"Dah okey?"
Angguk kecil.
"Aku panggilkan Haniya untuk bagi baju baru. Kau kena tukar baju. Anya nanti akan rawat segala luka kau. Aku keluar dulu."
Lengan bajunya aku tahan. Dia menoleh ke arahku, menanti bicaraku.
"Fakeeh..." Menyebut nama lelaki itu saja sudah buat hati aku dihempas ombak pedih.
"Kenapa realiti itu menyakitkan?"
Khali.
Aku lepaskan baju Fakeeh bila tiada ura-ura dia hendak menjawab. Lelaki itu terus melangkah sebelum terhenti di pintu tandas.
"Sebab diri tak pernah redha menerima takdir Tuhan. Lupa kita hanya hamba yang harus tunduk pada ketentuan Ilahi." Dan lelaki itu berlalu pergi.
Aku cengkam dada. Sakitnya.
.
.
SEHARIAN aku menanti Fakeeh datang menjengku tetapi hampa. Tidak nampak batang hidung dia.
Selepas makanan dan berehat, bonda dengan ayahanda datang menjenguk aku. Memang puas aku qadha tidur. Berjam-jam. Katil yang embuk menambah lena aku.
Bonda saat bertembung mata dengan aku, mesti dia nangis. Aku buka mulut, dia nangis lagi. Aku cerita, dia menangis. Sampai aku tak tahu apa patut aku buat.
Yang aku tahu, aku telah buat hati kecil wanita itu terusik teruk. Mesti dia kecewa dengan aku.
Mungkin kalau aku cerita yang aku hampir diperkosa, mahu dia meraung-raung. Jadinya, aku tak buka mulut soal itu. Enggan bonda jatuh sakit disebabkan aku.
Ayahanda pula membisu. Aku tak berani nak berkata lebih. Tetapi kebisuan ayahanda pasti ada makna. Mungkin belum tiba masa yang sesuai untuk dia maklumkan padaku. Yang pasti, wajahnya tegang saja sepanjang menemani bonda melihat aku.
Malam sudah menjelma, Isyak sudah aku solat tanpa imam. Tak larat lagi tubuh ini hinggakan aku solat secara duduk. Memang satu hari aku di dalam bilik. Pintu berkali-kali diketuk dan digunakan orang untuk menjaga aku.
Beberapa detik lagi akan masuk tengah malam namun tiada tanda Fakeeh bakal datang ke sini.
Dia dah tak sudi ke tidur dengan aku?
Aku mainkan jari. Gelisah.
Aku takut dengan penerimaan lelaki itu. Lebih kepada malu disebabkan semua kata-kata Fakeeh kini menampar wajah aku. Memang sesuai sangat dengan aku yang maha degil ni.
Lelah menanti Fakeeh, aku betulkan pembaringan. Mata merenung ke siling menanti Fakeeh. Takkan mampu aku lelap tanpa tahu keadaan Fakeeh.
Seketika, pintu terbuka. Mata yang kuyu langsung segar. Toleh, memang benar Fakeeh yang masuk.
Tanpa buka lampu aku lihat gerak-geri lelaki itu. Dia capai tuala sebelum aku lihat baju di tubuhnya dicabut. Seluar turut dilurutkan, berganti dengan tuala yang dililit. Sesudah itu tangan mengapai kain pelikat sebelum tubuh itu hilang di balik tandas.
Keluhan aku lepaskan.
Seinci pun mata Fakeeh tak tertarik melihat aku.
Aku menanti kemunculan Fakeeh dengan sabar. Lama. Kira-kira 15 minit mengikut pengiraanku.
Kuak pintu, lelaki itu masih bertuala. Satu tuala kecil dibawa mengelap rambut yang basah. Setelah yakin tubuhnya kering, ditukar tuala dengan kain pelikat. Sudah itu digantung tuala.
Fakeeh raup rambut sebelum dia mengorak langkah ke katil. Pasti mahu tidur.
Aku kemam bibir. Fakeeh setia menunduk. Baring sebelah aku pun, dia letak lengan menutup dua belah mata.
Erm... Bagaimana harus aku mulakan?
"F... Fakeeh?"
Diam.
Aku panggil lagi nama dia.
Juga sepi tiada balasan.
Kali ketiga aku panggil, dia mengeluh.
"Apa lagi Arabella? Aku penat. Aku nak rehat. Aku nak tidur." Tiada nada.
Mengecut hati aku dengan balasannya. Bibir dikemam-kemam rapat. Digigit bahagian bawah bibir.
Fakeeh dah tak sayang aku ke?
"Fakeeh..."
"Aku minta maaf, Arabella. Kalau kau nak cakap, bukan sekarang waktunya. Aku nak tidur. Tolong hormat aku." Dari terlentang, Fakeeh mengiring membelakangi aku.
Serta-merta mata berpasir. Laju jari menyeka, enggan meninggalkan kesan. Buku lima aku genggam erat.
Keluhan kecil terlepas dari bibirku.
Biarlah dia berehat. Aku buat keputusan untuk biar Fakeeh dibawa ke alam mimpi. Sedang aku masih menatap siling, memikirkan hari-hari yang bakal mendatang.
Entah bila kelopak mata aku melayu sebelum aku juga dibawa hanyut mimpi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro