Chapter 3 | The Arcane Beast: Puma
2 SEPTEMBER 2024,
BANDAR DISTRICT 12.
Langit malam di District 12 diselubungi oleh awan tebal, menutupi bulan yang suram seperti tabir kegelapan yang sedang menyimpan rahsia gelap. Hutan tebal yang mengelilingi kubu rahsia The Arcane Hunter tampak mencekam, seolah-olah mengandung bahaya yang tidak dapat dilihat. Angin dingin menyusup masuk, membawa bisikan misteri yang menggoncang kesunyian malam. Di tengah-tengah hutan ini, tersembunyi dari pandangan manusia biasa, The Arcane Hunter menjalankan misi mereka dalam senyap.
Namun, pada malam ini, mereka tidak lagi menjadi pemburu. Mereka yang diburu.
Tariq, seorang Beast User yang mampu mengawal puma, melangkah dengan penuh yakin ke dalam kegelapan malam. Hatinya sarat dengan dendam dan ketakutan yang mendalam terhadap kehadiran The Arcane Hunter. Selama ini, dia merasakan ancaman dari organisasi tersebut dan malam ini, dia telah membuat keputusan untuk menyerang mereka terlebih dahulu, sebelum mereka sempat menangkapnya.
Di sekelilingnya, puma-puma yang dipanggilnya muncul dari bayangan, mata mereka berkilau merah seperti api. Mereka mengelilingi Tariq dengan penuh ketaatan, siap sedia untuk menyerang bila-bila masa. Kuku-kuku Tariq berubah menjadi cakar tajam yang memancarkan cahaya kelabu kehijauan seperti senjata yang dipinjamkan oleh alam untuk melindungi pemiliknya.
Dengan senyuman sinis terukir di wajahnya, Tariq melangkah ke hadapan, menuju kubu rahsia yang kini menjadi sasaran dendamnya. Setelah berbulan-bulan dia dan pengikutnya menjejaki kubu itu, malam ini bakal menjadi malam terakhir untuk The Arcane Hunter di District 12.
Di tengah-tengah kubu rahsia The Arcane Hunter, suasana tegang menyelubungi ruang bilik mesyuarat utama. Taiga dan Amara sedang duduk di meja, mata mereka tertumpu pada skrin besar yang menayangkan laporan dan analisis tentang pergerakan Tariq dan kultusnya. Mereka telah berhari-hari mengkaji setiap langkah Tariq, cuba memahami motif di sebalik tindakannya yang semakin hari semakin agresif.
"Tariq semakin berani. Dia telah melancarkan serangan di beberapa kawasan terpencil di District 12, menyebarkan kekecohan dalam kalangan penduduk," kata Amara. Suaranya tenang namun penuh dengan kewaspadaan. Dia mengerling ke arah Taiga yang sedang memerhatikan peta yang penuh dengan tanda-tanda merah, menandakan lokasi serangan Tariq.
"Dia guna ketakutan sebagai senjata. Meteor yang terhempas 24 tahun lalu jadi alasan baginya untuk meyakinkan orang ramai bahawa hari kiamat sudah dekat," balas Taiga dengan nada serius. Matanya yang tajam menyorot skrin, mencari sebarang petunjuk yang boleh digunakan untuk menjejak Tariq.
Amara menghela nafas panjang, memikirkan betapa bahaya jika kepercayaan Tariq terus merebak. "Jika kita tidak bertindak cepat, District 12 akan jatuh ke dalam kekacauan. Orang ramai akan hilang kepercayaan kepada apa-apa selain ajaran gila Tariq."
Taiga mengangguk setuju. "Dia perlu dihentikan. Tapi, Tariq bukan orang biasa. Dia Beast User. Kita perlu berhati-hati."
Tiba-tiba, bunyi gemuruh yang mengerikan kedengaran dari luar. Dinding kubu bergetar hebat dan skrin besar di hadapan mereka sekejap berkelip sebelum terpadam. Suasana yang tenang tadi kini berganti dengan ketegangan yang tidak terjangka. Jeritan dari anggota-anggota The Arcane Hunter yang berada di luar mulai kedengaran, memecah kesunyian malam.
Taiga dan Amara segera berdiri, bersiap sedia untuk menghadapi apa jua yang datang. Taiga menggenggam pedangnya dengan erat, sementara Amara mengambil tongkat kayu yang bersinar dalam cahaya suram bilik tersebut.
"Mereka dah datang," kata Taiga, suaranya rendah tetapi penuh dengan tekad.
Mereka melangkah keluar dari bilik, menuju ke halaman kubu. Pemandangan yang menyambut mereka sungguh mengejutkan. Puma-puma menyerang dari pelbagai arah, melompat dengan kecepatan yang mustahil dan merobek tembok-tembok pertahanan dengan mudah. Di tengah-tengah kekacauan itu, Tariq berdiri dengan tenang, seolah-olah dia adalah raja kepada semua makhluk buas ini.
"Kau tak sepatutnya campur urusan kami, Taiga," suara Tariq bergema di udara malam, dipenuhi dengan kemarahan yang mendalam. "Kau fikir kau boleh melawan takdir? Kiamat semakin dekat dan kau cuba untuk menghalangnya? Itu hanya sia-sia."
"Kami takkan biarkan kau menghancurkan apa yang telah kami bina. The Arcane Hunter di District ni ramai terkorban disebabkan fahaman bodoh kau tu," balas Taiga dengan tegas. Dia melangkah ke hadapan, bersedia untuk bertarung sementara Amara bergerak di sebelahnya, bersedia untuk bertindak.
Tidak teragak-agak, Tariq mengarah beberapa ekor puma menyerang dua Arcnae Hunter itu. Taiga dan Amara melawan puma-puma yang menyerang dari semua arah. Puma-puma itu bergerak dengan kelajuan yang sukar diikuti oleh mata manusia biasa. Pada masa yang sama, Tariq menyerang Taiga dengan cakar yang tajam. Setiap serangan Tariq mendekati Taiga dengan kecepatan kilat, memaksa Taiga mengelak dan menangkis serangan dengan kemahiran pedangnya.
Amara, di sisi lain menggunakan kekuatan sihirnya untuk melindungi Taiga dari serangan puma-puma yang lebih agresif. Dia mencipta perisai-perisai sihir yang berkilauan, menahan gigitan dan cakaran puma-puma itu. Namun, Tariq terlalu kuat. Serangan-serangan mereka seperti tidak memberikan kesan besar kepadanya.
"Kau takkan menang, Tariq," kata Amara dengan suara yang tegas namun penuh dengan amaran. "Kami tahu kelemahan kau!"
Tariq hanya tertawa, suaranya bergema dalam kegelapan. "Kelemahan? Kau fikir kau kenal aku? Aku adalah kuasa alam yang kau takkan pernah faham!"
Dalam satu pergerakan pantas, Tariq menyerang Taiga. Cakar di tangannya hampir merobek perut Taiga, tetapi Taiga berjaya mengelak pada saat-saat terakhir. Walaupun begitu, dia tidak sempat untuk menangkis sepenuhnya serangan itu, menyebabkan luka panjang di sisi badannya.
Amara segera datang membantu, melepaskan serangan sihir yang memaksa Tariq untuk berundur seketika. Mereka berdua tahu, mereka perlu mencari cara lain untuk menundukkan Tariq.
"Kita perlu pergi dari sini," kata Amara dengan nada terdesak. "Dia terlalu kuat kat sini! Kekuatannya akan bertambah kalau dia berada dalam hutan!"
Taiga mengangguk, wajahnya penuh dengan keseriusan. Mereka berundur meninggalkan kubu yang kini telah menjadi medan pertempuran. Amara menggunakan kuasa sihirnya untuk menyeru kabus pekat sebelum dia dan Taiga menghilang. Tariq pula masih berdiri tegak. Dia berdecit dengan muslihat dua Arcane Hunter itu.
"Lari pula ya? Pengecut! Apa-apapun, aku dah berjaya serang kubu mereka."
***
Selepas serangan itu, The Arcane Hunter di District 12 mengalami kerugian besar. Kubu mereka rosak teruk dan ramai anggota mereka cedera parah. Namun, Taiga dan Amara tidak pernah berputus asa. Mereka tahu bahawa ini adalah lebih daripada sekadar pertarungan fizikal. Ini adalah peperangan antara kebenaran dan penipuan, antara harapan dan ketakutan.
"Kita tidak boleh biarkan Tariq terus berkuasa," kata Amara dengan nada tegas, sambil menekan kain bersih ke luka di sisi Taiga. "Dia guna ketakutan terhadap hari kiamat untuk memanipulasi ramai penduduk kat sini. Jika kita tidak menghentikannya, kita mungkin akan kehilangan distrik ni."
Taiga meringis kesakitan tetapi tetap tenang. "Dia perlu dihentikan, tetapi kita perlu faham lebih lanjut pasal kekuatan dia. Dia bukan sahaja mengawal puma, dia juga mampu kawal minda semua pengikut dia."
Amara terdiam seketika, merenung jauh. "Mungkin ada sesuatu yang lebih dalam pasal Tariq. Sesuatu yang kita belum jumpa. Kita perlu mencari akar kekuatan dia. Kita dah hilang ramai ahli The Arcane Hunter disebabkan serangan mengejut dia. Dia pandai kesan identiti kita. Sekarang, hanya tinggal kau dan aku saja yang jadi tunjang utama District 12. Kalau salah seorang daripada kita tewas, semuanya akan berakhir."
"Betul tu. Kita perlu buat sesuatu."
Dengan tekad baru, mereka berdua memulakan penyiasatan. Dengan bantuan teknologi canggih dan risikan The Arcane Hunter, mereka memeriksa setiap jejak yang ditinggalkan oleh Tariq dan pengikutnya. Mereka mencari petunjuk dalam dokumen-dokumen lama, berbicara dengan penduduk tempatan yang pernah menjadi saksi kepada beberapa siri serangan kultus di bandar dan menyelidik setiap lokasi yang pernah diserang oleh Tariq.
Penemuan mereka membawa mereka kepada sebuah kuil lama yang terletak jauh di dalam hutan. Kuil itu adalah tempat di mana meteor dipercayai telah terhempas 24 tahun yang lalu, peristiwa yang kini menjadi punca kepada kepercayaan fanatik Tariq dan kultusnya. Kuil itu telah lama dilupakan oleh penduduk District 12, tetapi bagi Taiga dan Amara, itu adalah kunci kepada misteri kekuatan Tariq.
Mereka tiba di hadapan kuil tersebut ketika matahari mulai terbenam, menyinari dinding-dinding kuil yang ditutupi oleh lumut dan dedaunan liar. Udara di sekelilingnya terasa tegang, seolah-olah kuil ini menyimpan rahsia yang tidak pernah seharusnya diketahui.
"Kita berada di tempat yang betul," kata Amara perlahan sambil meneliti ukiran-ukiran purba yang terpahat di dinding kuil. Ukiran-ukiran tersebut menggambarkan kejadian meteor yang terhempas, diikuti oleh kemunculan makhluk-makhluk buas yang seakan-akan puma. Mata mereka menyala dengan cahaya yang sama seperti mata puma yang dikawal oleh Tariq.
"Meteor ni bawa sesuatu dari luar dunia ni. Selepas meteor ni terhempas, Beast User muncul. Apa yang pelik hanya orang-orang tertentu yang jadi Beast User. Tapi ... kenapa?" soal Taiga, matanya tertumpu pada ukiran yang menunjukkan seorang lelaki sedang menerima 'sesuatu' daripada makhluk buas tersebut.
"Kuasa yang kini diwarisi oleh Tariq. Tak pernah lagi aku tahu kebolehan Beast User boleh diwarisi atau diberi oleh 'binatang' yang diorang kawal."
Mereka berdua terus menyelidik ke dalam kuil, melangkah dengan berhati-hati di atas lantai batu yang retak. Suasana di dalamnya semakin sunyi dan gelap, hanya diterangi oleh cahaya lentera kecil yang mereka bawa. Pada akhirnya, mereka menemui sebuah altar kuno yang terletak di tengah-tengah kuil, dihiasi dengan kristal-kristal yang memancarkan cahaya samar-samar.
Di atas altar itu, terdapat sebuah buku kulit hitam yang kelihatan usang dan penuh dengan ukiran simbol-simbol aneh. Amara berhati-hati menyentuhnya, merasakan keanehan yang meresap dari permukaan kulit buku tersebut. "Sepanjang aku belajar sihir sebelum sertai The Arcane Hunter, ada banyak jenis buku-buku sihir yang dah dicuri. Tapi ni tak nampak macam buku shir. Ini mungkin juga punca kepada kekuatan Tariq sampai The Arcane Hunter pun susah nak menang," katanya dengan suara yang bergetar.
Taiga meneliti buku itu sebelum membukanya perlahan-lahan. Setiap halaman dipenuhi dengan tulisan-tulisan aneh yang kelihatan seperti gabungan antara bahasa kuno dan simbol mistik. Tetapi di antara tulisan-tulisan itu, mereka menemui sesuatu yang lebih penting, satu perjanjian.
"Dia dah buat perjanjian dengan sesuatu ... sesuatu yang tidak seharusnya berada kat dunia ni," kata Taiga dengan tegang, matanya tidak lepas dari halaman yang menceritakan tentang perjanjian antara manusia dan makhluk luar dunia ini. "Meteor ni bukan sekadar batu dari angkasa, tapi objek yang membawa kuasa yang gelap."
Amara menggenggam tangan Taiga dengan cemas. "Jika ni betul, kita perlu segera menghentikan Tariq sebelum dia menjadi semakin kuat. Kuasa yang dia dapat bukan sekadar untuk mengawal puma, tapi juga untuk menguasai minda manusia."
"Hmm ... perjanjian dengan kuasa lain dari dunia ni? Kenapa pihak atasan tak pernah beritahu kita sebelum ni. Mereka dapat kuasa dari perjanjian bukan 'virus' yang merebak seperti penyakit," fikir Taiga.
Dengan perasaan yang bercampur-baur antara kegelisahan dan tekad, mereka meninggalkan kuil tersebut, membawa bersama pengetahuan baru yang mereka harap dapat digunakan untuk menghentikan Tariq. Mereka tahu, pertembungan seterusnya akan menjadi lebih sukar dan berbahaya, namun mereka juga tahu bahawa mereka tidak boleh berhenti sekarang.
***
Kembali ke markas rahsia baharu mereka, Taiga dan Amara segera mempersiapkan diri untuk pertembungan. Mereka telah mengkaji segala yang ada dalam buku kulit hitam itu, termasuk simbol-simbol yang digunakan untuk memanggil dan mengawal makhluk buas. Mereka menyedari bahawa Tariq tidak hanya menguasai kekuatan fizikal, tetapi juga kekuatan minda yang mampu mempengaruhi orang lain dengan mudah.
"Kita perlu memecahkan ikatan antara Tariq dan kuasa gelap ni," kata Amara sambil menunjukkan salah satu simbol yang ditemui di dalam buku itu. "Jika kita boleh memutuskan hubungan ni, Tariq akan hilang kuasanya."
Taiga mengangguk, bersetuju. "Kita juga perlu melemahkan pengaruhnya ke atas pengikutnya. Mereka tak sedar bahawa mereka sedang dikawal oleh sesuatu yang lebih besar daripada apa yang mereka fikirkan."
Dengan strategi baru, The Arcane Hunter mula bergerak dalam senyap. Mereka menyebarkan maklumat kepada penduduk District 12 melalui poster iklan tentang bahaya yang sebenar di sebalik ajaran Tariq. Mereka menunjukkan bukti-bukti perjanjian gelap yang telah dibuat oleh Tariq, dan bagaimana kuasa tersebut mempengaruhi minda manusia.
Pada masa yang sama, Taiga dan Amara merancang serangan langsung terhadap kubu Tariq. Ketika malam menjelang, Taiga, Amara, dan pasukan The Arcane Hunter yang terpilih bergerak ke kubu Tariq. Hutan di sekeliling mereka sunyi, hanya diselingi oleh bunyi-bunyi haiwan liar. Mereka tahu ini adalah malam penentuan.
Mereka tiba di kubu Tariq dengan senyap, bergerak melalui bayangan untuk mengelakkan dari dikesan oleh puma-puma yang berkawal. Namun, ketika mereka hampir sampai, mereka dikejutkan oleh bunyi gemuruh yang menggoncang tanah di bawah kaki mereka.
"Dia tahu kita datang," kata Amara dengan tenang, walaupun hatinya berdebar kencang.
Tariq muncul dari kegelapan, dikelilingi oleh puma-puma dengan mata yang bersinar terang. Namun kali ini, ada sesuatu yang lebih aneh tentangnya. Matanya sendiri bersinar dengan cahaya yang sama, seolah-olah dia telah menjadi satu dengan kuasa gelap yang dikawalnya.
"Kau fikir kau boleh menghentikan aku?" suara Tariq bergema, penuh dengan kebencian dan kekuatan yang mengerikan. "Kau tak boleh melawan takdir. Kiamat dah dekat, dan aku adalah pembawanya."
Taiga melangkah ke hadapan, bersiap sedia dengan pedangnya. "Kami akan hentaikan kau, Tariq. Kuasa yang kau ada bukan milik kau. Itu adalah kejahatan yang tidak sepatutnya ada di dunia ni."
Amara, di sisi Taiga, memfokuskan mindanya pada simbol-simbol yang telah dipelajari. Dia mula mengucapkan mantera, mencipta lingkaran sihir yang berkilauan di sekitar mereka. Puma-puma yang mengelilingi mereka mula mundur, terhalang oleh kuasa yang lebih besar.
Tariq marah, mengerahkan seluruh kekuatannya untuk melawan mereka. Pertempuran yang tercetus adalah lebih ganas daripada sebelumnya. Taiga menghadapi Tariq secara langsung, pedangnya bertemu dengan cakar-cakar tajam yang dipenuhi dengan tenaga gelap. Setiap serangan Tariq lebih kuat daripada sebelumnya dan Taiga merasakan tekanan yang semakin kuat.
Namun, Amara berjaya memusatkan kuasanya, memutuskan satu demi satu ikatan yang menghubungkan Tariq dengan kuasa gelap itu. Setiap kali satu ikatan diputuskan, Tariq semakin lemah. Puma-puma yang dikawalnya mula kelihatan resah dan cahaya di mata mereka mula pudar.
"Kau tidak akan menang!" jerit Tariq, suaranya semakin lemah tetapi masih penuh dengan kemarahan. Namun, kekuatan yang pernah menguasai dirinya kini mula meninggalkannya. Puma-puma yang dulunya setia kini lari ke dalam hutan, meninggalkan Tariq sendirian.
Dalam detik-detik terakhir pertempuran, Taiga mengumpulkan seluruh kekuatannya untuk serangan akhir. Dengan satu hayunan, pedangnya menebas ke arah Tariq, memutuskan hubungan terakhir antara dirinya dan kuasa gelap itu.
Tariq terjatuh ke tanah, nafasnya terengah-engah, kuasa mistik yang pernah menguasai dirinya hilang sepenuhnya. Amara segera mengunci sisa-sisa kuasa gelap itu dalam satu lingkaran sihir yang kuat, memastikan kuasa itu tidak akan melekat pada Tariq lagi.
"Dah tamat, Tariq," kata Taiga dengan suara rendah. Dia mengangkat pedangnya, namun kali ini bukan untuk menyerang, tapi untuk menunjukkan bahawa pertarungan ini telah berakhir.
Tariq memandang mereka dengan mata yang penuh kesakitan dan kekalahan. "Kau ... takkan pernah faham ... apa yang aku buat ... menyelamatkan mereka ... dari kehancuran..."
Namun, sebelum dia sempat berkata lebih lanjut, Tariq pengsan akibat kecederaan dan kehilangan kuasa. The Arcane Hunter segera menangkapnya dan membawanya kembali ke markas mereka. Dia akan dipenjarakan dan diawasi dengan ketat agar kuasa gelap itu tidak lagi membangkitkan ancaman.
***
District 12 kembali tenang selepas kekalahan Tariq. Namun, kesan dari pertempuran itu masih terasa dalam kalangan penduduk. Langit yang sebelum ini selalu diliputi awan kelabu kini mulai cerah, meskipun bayangan peristiwa yang telah berlaku masih menghantui hati mereka. Di setiap sudut jalan, bisikan-bisikan tentang kejadian itu masih kedengaran, tentang seorang lelaki yang mengaku membawa pembebasan, akhirnya membawa kemusnahan.
Di markas The Arcane Hunter, Tariq kini dipenjarakan dalam bilik khas yang dilindungi oleh sihir Amara. Setiap hari, dia terkurung dalam keheningan, dikelilingi oleh empat dinding yang dipenuhi dengan jampi-jampi yang menghalangnya dari menggunakan sebarang kebolehan Beast User.
Amara berdiri di luar sel Tariq, matanya menatap lelaki yang dulu begitu digeruni. "Apa yang kau fikirkan, Tariq?" suaranya lembut, tetapi penuh dengan rasa ingin tahu. "Adakah kau menyesal?"
Tariq tidak segera menjawab. Dia memandang Amara dengan pandangan yang dalam, seolah-olah sedang menilai sesuatu yang tidak dapat dilihat. "Penyesalan ... adalah untuk mereka yang tidak memahami tujuan mereka," katanya perlahan. "Aku tahu apa yang aku buat dan aku akan buat lagi kalau diberi peluang."
Amara menggigit bibirnya, merasakan kebencian dan simpati bertempur dalam dirinya. "Kau hampir menghancurkan District 12 dengan kepercayaan palsu kau. Banyak nyawa anggota kami dah terkorban."
Tariq menghela nafas panjang. "Mereka tak faham ... aku tak hanya bercakap tentang kehancuran fizikal. Aku bercakap tentang sesuatu yang lebih besar. Kehancuran dunia ... tak semestinya bermula dengan api dan kehancuran, tapi dengan kelalaian, kejahilan ... dan ketakutan."
Sementara itu, Taiga berada di bilik kawalan markas, memantau keadaan sekitar District 12. Terdapat satu perasaan aneh yang dia rasakan, seolah-olah pertempuran mereka dengan Tariq hanya permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Meteor yang terhempas 24 tahun lalu bukan sekadar batu angkasa, bahkan kunci kepada rahsia yang lebih dalam.
"Kita telah menghentikan Tariq, tapi ancaman sebenar mungkin masih ada di luar sana," kata Taiga kepada Amara ketika dia menyertai Taiga di bilik kawalan. "Meteor itu membawa sesuatu ... sesuatu yang masih kita tak faham sepenuhnya."
Amara mengangguk, wajahnya serius. "Kita harus terus berjaga-jaga. Tariq mungkin telah ditangkap, tapi ideanya, ajarannya ... mereka tak akan hilang begitu sahaja. Pengikutnya masih ada di luar sana, menunggu masa yang tepat untuk muncul balik."
"Aku tertanya-tanya, kuasa yang ada pada Beast User ... adakah sama seperti Tariq? Mereka membuat perjanjian dengan 'binatang' yang bukannya dari dunia ni?" soal Taiga.
"Semasa aku meneliti buku kuno tu, aku tahu sesuatu. The Arcane Beast seratus peratus berasal dari hempasan meteor 24 tahun yang lalu. Bumi bergelap selama tiga hari dan selama tiga hari itu, kuasa daripada meteor itu merebak dan membuat perjanjian dengan manusia. Kuasa mereka diwarisi dan boleh berpindah selepas perjanjian dibuat."
"Kalau begitu ... The Arcane Beast bukannya penyakit tapi mereka ialah kuasa gelap yang datang dari luar angkasa."
"Ya ... mungkin pihak atasan tahu pasal ni lepas mereka kaji dan pindahkan meteor tu ke HQ di District 1. Cuma, mereka tak pernah beritahu anggota The Arcane Hunter."
"Hmmm..." Taiga terdiam.
Di luar markas, langit malam District 12 dihiasi dengan bintang-bintang yang bersinar terang. Namun, di tengah-tengah keindahan itu, sebuah bintang yang lebih terang daripada yang lain menarik perhatian. Bukan bintang biasa, cahayanya berdenyut, seolah-olah membawa mesej yang tidak diketahui.
Di dalam selnya, Tariq tersenyum kecil ketika merasakan getaran halus di udara. "Kau fikir kau dah menang. Pertempuran sebenar baru sahaja bermula," bisiknya perlahan, matanya tertutup merasakan kuasa lama yang mulai kembali, jauh di dalam hatinya.
Malam itu, walaupun District 12 nampak tenang, ada sesuatu yang mengintai dari kejauhan. Sesuatu yang menunggu untuk bangkit. Tariq mungkin telah dikalahkan meskipun kegelapan yang dibawanya tidak pernah benar-benar padam. Masih ada, mengintai, menunggu masa yang tepat untuk muncul kembali, membawa bersama rahsia dan misteri yang lebih besar daripada yang dapat difahami oleh The Arcane Hunter.
Di markas The Arcane Hunter, Taiga dan Amara bersiap sedia untuk malam yang panjang. Mereka tahu, tugas mereka belum selesai. Kegelapan yang pernah menghantui District 12 masih belum lenyap sepenuhnya. Mereka berdua tahu, mereka perlu terus berjaga-jaga kerana ancaman itu mungkin akan datang kembali, lebih kuat dan lebih mengerikan daripada sebelumnya.
Langit District 12 mungkin cerah malam ini, kendatipun di balik sinarnya, bayang-bayang mula bergerak sekali lagi, membawa bersama sebuah janji yang tak terucapkan: Perjuangan antara kegelapan dan cahaya belum berakhir.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Amara - penyihir
Taiga - pahlawan pedang
Macam mana Amara boleh guna sihir lak? 🤔 Ingatkan cerita ni pasal manusia biasa yang cuma ada kelebihan (Arcane Beast) 😌 It's more than that.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro