Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

◦𝟑◦

Chan masuk ke dalam restoran lalu terus menuju ke arah dapur untuk membuat pesanan.

"Minseok, ada pelanggan buat pesanan jjajangmyeon dengan bibimbap. Dia nak dua set bagi setiap hidangan," beritahu Chan sambil melihat semula senarai hidangan yang dipesan secara dalam talian.

Minseok yang bertugas sebagai tukang masak, mengangguk faham mendengarkan itu. "Tunggu dalam 20 minit tau sebab tengah siapkan order yang lain."

"Okey." Chan menjawab sepatah. Sementara menunggu pesanan, Chan mengambil tempat di meja kosong sambil menyaksikan gelagat pelanggan yang ada di situ. Sepasang suami isteri dengan seorang anak perempuan yang baru melangkah masuk ke dalam kedai, menarik perhatian Chan. Kedua lesung pipitnya muncul apabila dia tersenyum tanpa sedar.

"Baaa!!" Sergah Hyunjae yang membuatkan Chan menjeling tajam. Baru saja dia ingin menikmati adegan mesra keluarga tadi namun terganggu kerana Hyunjae. Pandangan mata Chan mencetus tawa Hyunjae lalu tanpa rasa bersalah, dia menarik kerusi kosong sebelah Chan.

"Janganlah marah. Aku tengok kau beria betul senyum sorang-sorang itu yang aku kacau.. berangan lah tu," ujar Hyunjae.

"Mana ada... Aku suka tengok budak tu, comel. Dengan rambut bertocang dua.. geram aku tengok," jelas Chan. Matanya sedikit pun tidak beralih dari memandang kanak-kanak tadi.

Hyunjae melirik untuk melihat budak yang dikatakan Chan lalu tersenyum nakal. "Bolehlah kau kahwin kalau macam ni. Bercinta lama-lama bukan dapat apa pun. Hyera mesti setuju punya kalau kau ajak dia kahwin."

"Kahwin memang lah senang. Yang susahnya selepas kehidupan kahwin tu. Banyak benda nak kena handle," kata Chan dengan nada serius. Hyunjae pula sekadar mengangguk perlahan. Niatnya hanya untuk mengusik Chan tetapi tidak sangka pula jejaka itu mengambil serius apa yang dikatakan.




Makanan yang siap dibungkus, diletakkan ke dalam beg bersaiz sederhana di bahagian belakang motosikal. Topi keledar dipakai sebelum Chan menghidupkan enjin motor.

Tiba di satu persimpangan lampu isyarat, sebuah teksi memecut laju untuk mengejar lampu hijau tanpa mengambil berat tentang pengguna jalanraya lain. Chan yang kebetulan melintas di simpang yang sama, terkejut apabila melihat teksi menuju ke arahnya. Melihat kenderaan yang hampir melanggarnya, Chan serta merta menghentikan motosikal secara mengejut hingga terjatuh di bahu jalan.

Akibat kemalangan itu, tapak tangan Chan terluka. Lebih menyedihkan lagi, makanan yang dipesan terkeluar dari beg makanan dan berterabur di atas jalan. Pemandu teksi itu pula tidak berhenti untuk melihat keadaan Chan apatah lagi memohon maaf.

Orang awam yang lalu di situ, datang untuk menolong Chan mengangkat motosikal yang terjatuh sebelum kereta melalui jalan itu. Mahu tidak mahu, Chan terpaksa berpatah balik ke restoran bagi menggantikan hidangan yang sudah pun rosak.

●○●○●○●○

Pegawai polis yang menjaga kaunter pertanyaan, bangun memberi tanda hormat sebaik saja Younghyun melangkah masuk. Melihat penghormatan yang diberikan, Younghyun membalas dengan sekadar anggukan sebelum mencari seseorang di pejabat.

Yunho yang sedang menaip sesuatu, mengalihkan pandangan apabila mendengar namanya diseru. Melihat isyarat yang diberikan Youngyun, Yunho terus bangun dari tempatnya.

Selepas memastikan pintu ditutup, Younghyun bersuara. "Aku rasa dalang pembunuhan sekarang ni, psikopat."

"Psikopat? Kau yakin ke, Younghyun?"  Yunho meminta kepastian. Dia sedikit terkejut mendengarkan itu walaupun apa yang dikatakan Younghyun tidak mustahil.

"Aku pasti sebab kalau tengok balik kes lama, psikopat lah yang selalu tinggalkan tanda selepas bunuh orang. Psikopat buat macam tu sebab rasa diri dia hebat. Lagipun, siapa je yang bunuh orang macam tu sekali? Pembunuhan tu terlalu kejam untuk dikatakan balas dendam," kata Younghyun penuh keyakinan.

"Kalau kau cakap macam tu, Choi Haeju bukan lagi suspek utama dalam kes ni? Habis, kau nak aku bebaskan dia?" Tanya Yunho sekali lagi.

Younghyun menggeleng yang mana membuatkan Yunho berasa hairan. "Haeju bukan suspek utama tapi, tuduhan dia akan ditukarkan kepada kes tempat perjudian haram tu. Semalam pasukan polis dah serbu tempat tu tapi hanya beberapa orang saja yang diberkas. Jadi untuk memudahkan kerja, Haeju perlu bagi kerjasama dan dia perlu ditahan lebih lama."

"Baik, aku faham sekarang. Kita nak buat apa selepas ni? Nak tangkap psikopat, bukan mudah setahu aku," ujar Yunho. Mereka berdua perlu bersedia dengan apa-apa saja yang mungkin akan berlaku apabila berhadapan dengan pembunuh psikopat.

"Kita kena buka balik kes sebelum ni untuk cari persamaan yang kita terlepas pandang," jawab Younghyun.

●○●○●○●○

Chan menarik nafas dalam sebelum menekan loceng. Akibat kemalangan tadi, dia mengambil masa 30 minit untuk pesanan baru termasuk kesesakan lalu lintas. Dia berharap agar pelanggan itu dapat bertimbang rasa dan bertolak ansur dengannya. Pintu rumah dibuka dan seorang lelaki yang berbadan besar muncul sambil memeluk tubuh.

"Selamat petang, Encik Kim. Saya minta maaf atas kelewatan penghantaran. Dalam perjalanan ke sini tadi, saya acci-"

"Kau ingat aku nak percaya alasan lapuk tu? Sejam aku tunggu, kau nak bagi alasan yang kau accident??" Lelaki itu memotong percakapan Chan dalam keadaan marah.

Chan hanya menunduk, tidak mampu lagi untuk dia menjawab. Kalaulah pemandu teksi tadi bertanggungjawab, sudah tentu hal ini tidak terjadi. Encik Kim memandang plastik makanan yang dipegang Chan sebelum merampasnya.

"Dah sejuk! Macam mana dengan restoran kau ni?? Hidangkan makanan sejuk untuk pelanggan. Aku tak nak bayar untuk makanan macam ni. Sekarang kau boleh balik." Encik Kim menolak bahu Chan, menghalaunya dari situ.

"Saya tak akan pergi selagi Encik Kim tak bayar makanan ni. Setiap pesanan yang dibuat perlu dibayar," tegas Chan. Dia juga ada hak untuk bersuara apatah lagi semua ini melibatkan prestasinya sebagai pekerja.

Rahang Encik Kim bergerak-gerak kerana menahan marah. Plastik makanan tadi dicampak tepat ke arah muka Chan. Tidak cukup dengan itu, Encik Kim menolak Chan hingga dia terjatuh ke belakang. Berkerut muka Chan menahan sakit akibat hentakan kuat tambahan lagi, dia baru saja terjatuh motor sebentar tadi.

"Aku cakap pergi! Pergi! Tak faham bahasa lagi?? Jangan sampai aku buat aduan tentang restoran kau! Sebelum aku belasah lagi teruk, baik kau berambus!" Herdik lelaki berbadan besar itu lalu menghempas pintu dengan kuat.

Chan perlahan-lahan bangun dari tempatnya. Airmata yang hampir jatuh segera diseka. Ujian apakah yang dia lalui pada hari itu? Bekas makanan yang dicampak Encik Kim, diambil sekali. Sakit hati bagaimanapun, dia tidak mahu menyusahkan tukang bersih yang bertugas di apartmen. Dalam keadaan terhincut-hincut, Chan meninggalkan rumah Encik Kim.



Sebaik saja mengunci motosikalnya, Chan termenung sejenak di tempat parkir sambil memikir nasib yang menimpanya hari itu. Demi pertahankan hak, dirinya tercedera. Satu bunyi dentuman kuat membuatkan Chan tersentak lalu menoleh ke belakang.

Sekelip mata, orang ramai mula berkerumun di satu tempat. Kerana rasa ingin tahu, Chan menghampiri tempat kemalangan yang berlaku. Kereta yang terbabas di penghadang jalan membuatkan jantungnya berdegup kencang. Kaki terus terasa lemah sebaik saja melihat mangsa kemalangan itu. Seorang wanita meraung sekuat hatinya sambil memeluk jasad anak perempuan yang sudah tidak bernyawa. Budak perempuan sama yang diperhatikan Chan di restoran tadi.

"Ayah!!! Jangan tinggalkan Chan!!"

Kejadian 10 tahun lalu kembali menghantuinya. Air mata mengalir laju dan fikiran Chan menerawang jauh sehinggalah bahunya disentuh dari belakang.

"Chan?? Kau buat apa dekat sini?" Tegur Hyunjae yang turut ada di situ. Chan menggeleng lalu melangkah, meninggalkan tempat itu.

Chan membiarkan airmatanya mengalir di pipi. Hyunjae yang duduk bersebelahan Chan, menunggu untuk kawannya bersuara terlebih dulu.

"Hyunjae... Budak tu-" tidak dapat menyambung katanya, Chan menangis perlahan. Entah kenapa dia berasa begitu sedih meskipun kanak-kanak itu tiada hubungan dengannya.

"Ya, aku faham. Tenanglah, Chan. Kita pun tak sangka benda ni boleh berlaku," pujuk Hyunjae.

●○●○●○●○

Yongbok yang sedang menonton televisyen, perhatikan Chan yang baru pulang. Wajah muram sahabatnya membuatkan dia susah hati lalu Yongbok menghampiri Chan yang ketika itu menyusun kasut di rak.

"Kenapa kau nampak sedih Chan?" Tanya Yongbok ingin tahu. Sepanjang Chan bekerja, tidak pernah pula kawan baiknya pulang dengan wajah begitu.

"Tak ada apa, Yongbok," jawab Chan seraya tersenyum sumbing. Malas hendak bercerita tentang kejadian malang yang berlaku padanya hari itu. Kaki Chan berhenti melangkah apabila Yongbok memegang pergelangan tangannya.

"Tipu... Ceritalah kat aku." Yongbok masih tidak puas hati. Tangan Chan yang tercedera itu dipandang sekilas.

"Kau accident?" Soal Yongbok dan kali ini Chan mengangguk. Tidak sampai hati pula membiarkan Yongbok dengan perasaan tertanya-tanya sedangkan sahabatnya itulah yang selalu ada bersama dengannya.

Chan menceritakan semua yang terjadi kepada Yongbok. Dimulai dengan kejadian teksi, ditolak Encik Kim hinggalah kemalangan yang melibatkan budak perempuan dengan sebuah kereta.

"Kau nampak nombor flat teksi tu?" Tanya Yongbok dengan nada geram.

"Tak, masa tu aku pun terkejut. Nasib baiklah terjatuh dekat bahu jalan, kalau tengah jalan... Tidak ke aku yang kena langgar. Cuma aku sedihlah sebab pelanggan tu marah-marah aku. Padahal aku selalu hantar makanan dekat rumah dia. Mana pernah aku lambat," adu Chan.

Yongbok mengetap giginya semasa mendengar keluhan Chan. Tidak mahu Chan menyedari riak wajahnya, Yongbok memandang ke arah tingkap sambil memikirkan sesuatu.

●○●○●○●○

Tepat pukul 11 malam, semua pemandu teksi mula beransur pulang setelah dari pagi bekerja. Hanya dua  orang saja yang masih ada di situ.

"Aku dah mengantuk ni... Aku balik dulu ya, Jaehoon." Seorang pemandu teksi meminta diri. Risau pula terlelap semasa memandu yang mana boleh membahayakan nyawanya serta orang lain.

"Rileks lah Tae Soo... Awal betul mengantuk, aku baru datang." Jaehoon merungut apabila kawannya sudah ingin pulang.

"Banyaklah kau rileks... Isteri aku dekat rumah marah nanti. Okey, jumpa esok." Lelaki yang bernama Tae Soo itu tetap dengan pendiriannya. Melihat kawan kerja berkeras hendak pulang, Jaehoon akhirnya mengalah.

Teksi yang dipandu Tae Soo perlahan-lahan meninggalkan kawasan itu. Oleh kerana tidak tahu mahu melakukan apa, Jaehoon masuk ke dalam kereta untuk mendengar lagu sebelum pulang.

Sedang asyik melayan lagu, seorang lelaki masuk di bahagian belakang teksi. Menyedari hal itu, Jaehoon menutup radio lalu melihat melalui cermin depan.

"Maaf, dik. Saya tak hantar penumpang lepas pukul 11 malam." Jaehoon bersuara.

"Tolong... Saya ada kecemasan, mak saya sakit dan tak ada siapa yang teman dia di rumah. Semua teksi dah balik, pakcik je yang saya boleh harapkan sekarang ni," rayu pemuda itu dengan bersungguh. Terbit pula rasa simpati setelah mendengar masalah penumpangnya.

"Okey tapi, kena bayar lebih sikit sebab dah lebih dari waktu bekerja," beritahu Jaehoon sebelum memulakan perjalanan. Lelaki yang lebih muda tadi mengangguk setuju.


Jaehoon memperlahankan kenderaan sebaik saja melalui tempat yang agak gelap dan sunyi. "Dik, betul ke jalan yang adik bagi ni? Gelap je, rumah pun tak nampak."

"Tidur ke?"Getusnya dalam hati apabila tiada sebarang suara kedengaran.

"Minta maaf..," ujar penumpang tadi. Tangan kanan pula sudah menyeluk poket baju, di mana dia menyembunyikan senjata yang selalu dibawanya.

Jaehoon terpinga-pinga mendengarkan itu. Kenapa dia perlu meminta maaf pula sedangkan dia sudah membawa pemuda itu ke tempat yang dituju. Jaehoon mula rasa tidak sedap hati apabila teringat kes pembunuhan yang berlaku kebelakangan ini lalu pandang ke arah kerusi penumpang.

"Kenapa say- Arghhh!!" Jaehoon menjerit kesakitan apabila lelaki misteri itu tiba-tiba memukul kepalanya. Pandangan menjadi kabur apabila darah mula mengenai kornea matanya.

"Minta maaf..." Sekali lagi penumpang tadi memberi arahan sebelum menjerut leher Jaehoon menggunakan tali. Lelaki itu meronta-ronta minta dilepaskan namun kudratnya tidak dapat melawan lelaki muda yang lebih kuat darinya.

"Ma- maaf..." Suara Jaehoon kedengaran perlahan namun dapat didengari lelaki yang cuba membunuhnya. Mendengar perkataan itu, lelaki misteri tersenyum sinis. Tali yang digunakan untuk menjerut leher Jaehoon, ditarik lebih kuat.

Dalam masa yang sama, Jaehoon cuba membuka pintu kereta untuk melarikan diri. Tangannya meraba-raba mencari pembuka pintu. Jaehoon terus menarik sebaik saja jarinya dapat mencapai lalu pintu kereta terbuka. Di kesempatan itu, dia berjaya melepaskan diri.

Jaehoon terbatuk-batuk kecil, cuba mengambil nafas semula. Dia berpaling ke belakang dan kelihatan pembunuh itu berjalan menghampirinya. Langkah kaki digagahkan untuk berlari namun nasib tidak menyebelahi apabila belakang kepalanya terlebih dulu dipukul. Hentakan kuat itu membuatkan Jaehoon rebah ke tanah.

Pembunuh tadi mengheret tubuh Jaehoon menuju ke kereta semula. Selepas meletakkan lelaki itu ke tempat pemandu, pemuda misteri mula tersenyum sendiri.

"Ma- maaf..," ucap Jaehoon dalam keadaan menahan sakit. Mendengarkan itu, pembunuh mendekatkan wajahnya ke telinga Jaehoon.

"Nak tahu sesuatu? Dah terlambat..," bisiknya sambil tertawa. Wajahnya kembali tegang apabila melihat wajah pucat Jaehoon. Playar muncung tirus dikeluarkan lalu dia memukul kepala Jaehoon beberapa kali untuk menghilangkan rasa sakit hati. Setiap kali darah terpercik ke wajahnya, dia tertawa puas sambil memukul kepala Jaehoon meskipun lelaki itu sudah tidak bernyawa lagi.

"Lain kali, bawa teksi tu elok-elok... Bukan main langgar je lampu isyarat sampai orang lain jadi mangsa," ujar pemuda misteri lalu meninggalkan kawasan itu.

◉𝙱𝚎𝚛𝚜𝚊𝚖𝚋𝚞𝚗𝚐◉

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro