Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Abang janji akan sembuhkan dia, kan?"

Malam itu, Naim tidak keluar bermain futsal. Sebelum-sebelum ini sudah menjadi rutin hariannya untuk menghabiskan masa lapangnya pada waktu malam dengan bermain futsal bersama-sama rakan-rakannya yang lain.

Demi menghilangkan tekanan dan masalah yang membaluti fikirannya, Naim cuba terapi bersukan. Selama dua tahun dia menggantung kerjayanya sebagai seorang doktor, Naim banyak meluangkan masa dengan membina kekuatan fizikal. Pergi gim dan main futsal.

Namun, malam ini Naim harus melupakan seketika rutinnya itu semata-mata mengkaji kes Aisya Farhana.

Dalam bilik studinya, Naim kelihatan sibuk menyelongkar fail-fail lama pesakitnya sebagai rujukan. Hanya fail arwah Najihah yang tidak dibukanya. Dia belum cukup bersedia untuk mengulang kenangannya merawat adiknya.

Secara ringkasnya, apa yang berjaya dia simpulkan melalui kajiannya mengenai kes Aisya Farhana adalah pada usia Aisya lapan tahun, Aisya telah disahkan menghidap penyakit kecelaruan personaliti.

Peringkat pengembangan masalah kecelaruan personaliti atau DID yang dialami oleh Aisya boleh diteorikan seperti berikut.

Pada usia Aisya tujuh tahun, dia telah didera oleh bapa kandungnya sendiri. Dan kes penderaan itu tidak berhenti sampai di situ sahaja. Aisya masih tetap didera oleh bapa kandungnya sehingga umurnya lapan tahun. Oleh kerana hubungan anak dan ayah antara Aisya dan bapanya masih terjalin selama tempoh penderaan itu, maka ingatannya terhadap kejadian penderaan itu bertindih.

Walau takut pada bapanya, Aisya masih terpaksa berdepan dengan bapanya itu hari demi hari. Maka dia telah membesar sebagai seorang pendendam dengan jiwa yang tertekan.

Perasaan marah sentiasa ada dalam diri dan sedikit demi sedikit memori yang penuh dengan penderitaan itu akhirnya telah membentuk satu karakter berlainan daripada karakter Aisya yang asli.

Menurut fail kes, antara karakter atau personaliti yang telah muncul atau Aisya ciptakan terdapat lima kesemuanya.

Amira Natrah.

Ustazah Jamilah.

Maria Mariana.

Bibah Bebel.

Han Ji Ha.

Kelima-lima personaliti atau alter ego ini mempunyai perbezaan dari banyak segi. Mereka berbeza dari segi penampilan, reaksi, emosi, mimik muka malah nadi dan tekanan darah juga boleh berlainan.

Dalam kes Aisya, Amira Natrah merupakan alter yang paling dominan. Kerana karakter itu merupakan karakter yang paling awal Aisya ciptakan dalam mindanya dan itu bermakna Amira Natrah merupakan karakter yang paling banyak menanggung derita yang Aisya Farhana tanggung.

Kerana itulah sikap Amira Natrah sangat negatif dan tidak boleh dibawa berunding langsung. Terlalu sukar memujuk alter itu untuk berdamai.

Amira Natrah muncul sewaktu Aisya berusia lapan tahun. Ustazah Jamilah dan Maria Mariana pula muncul pada usia Aisya 12 tahun. Bibah Bebel wujud setahun selepas itu dan Han Ji Ha alter terakhir muncul sewaktu Aisya berumur 23 tahun.

Fail ditutup. Badan disandar lemah ke kerusi. Sudah penat otaknya dikerah bekerja, Naim menghentikan seketika pembacaannya.

Gambar Aisya bersaiz pasport yang dikepil pada fail ditatap lama. Semakin lama matanya menatap wajah gadis itu, semakin jauh fikirannya menerawang.

"Argh!"

Tanpa sebarang amaran, Naim menjerit kesakitan. Kepalanya tiba-tiba saja diserang sakit yang ngilu. Lelaki itu memicit-micit kepalanya. Rambut diraup-raup untuk menghilangkan kesakitan yang tiba-tiba menyerang.

Apabila sakit kepalanya mulai hilang, Naim kembali menatap gambar Aisya. Bibirnya berkata-kata.

"Aisya... Saya janji dengan diri saya sendiri. Saya akan cuba sedaya upaya untuk sembuhkan awak. Awak layak untuk hidup bahagia tanpa dibayangi oleh penderitaan ni. Awak akan bahagia, Aisya. Awak akan bahagia!"

Kini secara rasminya Aisya Farhana telah menjadi pesakit peribadinya. Maka besar harapannya untuk melihat Aisya sembuh dari penyakit DID ini. Namun Naim juga tahu besar lagi harapan keluarga Aisya untuk melihat Aisya bebas dari cengkaman penderitaan ini.

Teringat pula Naim pada perbualannya dengan Aina di restoran petang tadi. Setelah selesai membeli-belah, Naim mengajak Aina dan Aisya untuk menjamu selera di restoran kegemarannya.

"Adik, along pergi toilet kejap, ya?" beritahu Aisya separa berbisik pada Aina.

Aina hanya angguk.

"Okey."

Aisya langsung tak memandang pada Naim. Kalau boleh dia memang tak sudi menerima pelawaan Naim ini. Tapi lelaki itu beria-ia ingin belanja dia dan Aina makan tengah hari. Untuk tidak mengecewakan lelaki itu, Aisya setuju juga. Sebetulnya dialah yang perlu belanja Naim makan. Ini dah terbalik pula.

"Kita duduk sini, Aina," ajak Naim. Meja makan yang berada di hadapan kaunter menjadi pilihan Naim.

"Abang Naim." Aina memanggil nama Naim setelah melabuhkan duduk ke atas kerusi. Sesekali kepalanya berpaling ke belakang, bimbang kalau-kalau kakaknya sudah keluar dari tandas.

"Ya, Aina. Kenapa ni?" soal Naim.

Aina pamer wajah muram. Dia tunduk.

"Aina takut," ujarnya tiba-tiba.

Dahi Naim sudah berkerut. Takut?

"Aina takut kalau along tak sembuh dari penyakit ni. Aina takut kalau along... Along betul-betul jadi gila."

Naim mengucap panjang. Kini baru dia faham apa yang ingin Aina luahkan.

"Tak baik Aina cakap macam tu. Doalah yang baik-baik untuk Kak Aisya. Insya-Allah dia akan sembuh. Dalam kes DID, pesakit tetap masih berpeluang untuk disembuhkan dengan melalui beberapa prosedur psikiatri. Tapi ya semua tu akan makan masa. Dan sangat memerlukan kesabaran," terang Naim cuba menenangkan hati Aina.

"Abang janji akan sembuhkan dia, kan?" soal Aina setelah berdiam diri beberapa ketika.

Naim menggeleng. Aina terkejut.

"Bukan abang yang akan sembuhkan dia. Tapi Allah yang lebih layak menyembuhkan kakak Aina tu. Segala-galanya atas kekuasaan Allah Taala, Aina. Tapi ya, abang akan berusaha untuk merawat Kak Aisya. Kita sama-sama cuba, okey?"

Wajah Aina masih masam. Masih terlalu banyak yang dia tak faham mengenai penyakit kakaknya ini. Kalau dia tak faham, macam mana dia nak tolong along? Itulah yang menjadi kegelisahan hatinya saat ini.

"Apa yang boleh Aina buat sekarang? Aina belum cukup faham tentang penyakit along. Aina rasa loser sangat sebab tak dapat tolong along." Diluahkan perasaannya yang terbuku itu.

Naim mengangguk lalu mengukir senyum. Syukurlah Aisya punya ahli keluarga yang cukup mengambil berat tentang dirinya. Keprihatinan dan kasih sayang dari ahli keluarga terdekat adalah salah satu kunci utama untuk pesakit sembuh dari penyakitnya.

"Banyak yang boleh Aina buat untuk along. Tapi buat masa sekarang, ada beberapa perkara yang Abang Naim syorkan."

Aina mula kelihatan teruja.

"Apa dia?"

"Aina jangan bagi along stres. Jangan buat along sedih. Dan kalau along berubah karakter, Aina jangan jauhkan diri dari dia. Cuba jadi kawan dia dan selami kisah hidup karakter tu. Sebab dalam banyak kes yang Abang Naim handle, karakter yang muncul itu mempunyai sebab tertentu ia diwujudkan. Jadi untuk tahu punca pesakit wujudkan karakter tu, kita perlu selami hati mereka."

Tak berkelip mata Aina memandang Naim. Seperti burung belatuk dia terangguk-angguk.

"Kalau macam tu, maksudnya ada harapanlah untuk along sembuh?"

Naim angguk dua kali. "Insya-Allah. Semuanya dengan izin Allah juga."

Mata Aina mula berkaca-kaca. Air matanya tak tertahan lagi. Ya Allah, moga along akan cepat-cepat sembuh dari penyakit ni!

"Aina, along dah datang tu," bisik Naim tatkala terpandang pada jasad Aisya yang baru muncul.

Aina pantas menyeka air matanya. Dipaksa bibirnya mengukir senyuman.

"Belum oder ke?" tanya Aisya setelah duduk di sebelah Aina.

Aina dan Naim sama-sama menggeleng.

"La, kenapa belum oder? Erm... Dik, oder!" laung Aisya pada salah seorang pelayan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro