Bab 8
"Maaflah kalau soalan saya ni awak anggap macam busybody. Tapi saya... Saya terpaksa juga tanya. Saya tanya sebab saya ambil berat."
Aisya berjalan di belakang. Naim pula berjalan di hadapan. Mereka berdua tidak berjalan beriringan. Tembok besar dibina. Masing-masing masih kelu untuk memulakan kata. Aisya yang sememangnya jarang berkomunikasi dengan lelaki sangat kekok untuk memulakan perbualan. Naim pula yang entah kenapa disampuk segan, membisu dari tadi.
Hanya Aina yang banyak bercakap. Pot pet pot pet mulut budak tu berbunyi.
"Along! Popular!" Aina berlari ke arah pintu masuk kedai buku yang sangat kena dengan namanya. Kedai Buku Popular. Kalau singgah ke AEON Mall Shah Alam, memang Popular akan menjadi serbuan wajib Aina. Aisya yang kurang minat membaca hanya mengikut dan mengeluarkan duit. Jarang dia membeli bahan bacaan di sana.
"Awak suka baca buku genre apa? Novel? Macam Aina tu? Hantu novel betul dia, kan?" Akhirnya Naim melontarkan 'mata kail'. Harap-harap Aisya termakanlah umpannya.
"Saya suka baca buku pelbagai genre. Tak spesifik sangat." Dengan agak kepayahan, Aisya terpaksa juga membuka mulut menjawab soalan Naim. Mereka masih berjarak. Aisya berdiri di hadapan lambakan buku keagamaan dan Naim pula berdiri di hadapan rak buku-buku terbitan luar negara. Dua rak menjadi pemisah.
Aduh, ringkasnya jawapan dia. Dalam hati Naim dah mengeluh kecewa. Kecewa sebab 'umpan'nya dah terlepas. Okey, kena pancing lagi. Pancing perbualan dengan si gadis pemalu bernama Aisya Farhana ini.
"Maaflah kalau soalan saya ni awak anggap macam busybody. Tapi saya... Saya terpaksa juga tanya. Saya tanya sebab saya ambil berat."
Dahi Aisya berkerut. Apa maksud Naim ni?
"Kenapa awak boleh pengsan hari tu? Awak... Awak sakit ke? Demam?"
Mata Aisya terus tertala pada wajah Naim. Buat sesaat, mereka berpadu pandangan.
Aisya segera melarikan anak matanya. Dia menunduk. Soalan Naim terasa amat sukar untuk dijawabnya. Dia belum cukup bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan lelaki yang baru dikenalinya ini. Tapi kalau dia tak jawab, apa pula kata Naim nanti? Aisya mula berada dalam tekanan.
"Erm... Saya... Saya sakit kepala sangat hari tu. Tu yang pengsan," jawab Aisya setelah beberapa detik membisu.
Naim angguk. Tangannya membelek-belek kosong buku Inggeris yang diambilnya dari rak.
"Awak memang selalu sakit kepala ke? Ada migraine?" Naim giat bertanya.
Aisya mula tak selesa. Matanya tercari-cari kelibat Aina. Aina ni mesti sengaja tinggalkan dia dengan Naim. Nak kenenkanlah konon. Ingat ni macam kisah dalam novel ke? Perempuan dengan lelaki jumpa terus jatuh cinta. Lepas tu kahwin. Tak semudah itulah.
"Kejap, ya? Saya nak cari adik." Aisya bijak menyelamatkan diri sendiri. Dia mengundur diri dan mencari jasad Aina di sebalik rak-rak buku.
Usai Aisya pergi, Naim menghembus nafas kuat.
"Fuh!" Peluh dingin pada dahinya diseka dengan tapak tangan.
Apa pasal dengan aku ni? Nak nervous bagai dengan Aisya. Naim... Kau jangan cakap kau setuju dengan cadangan abah dan Puan Murni tu. Kau... Kau dah ubah fikiran kau?
"Boleh ke aku rawat dia dan sembuhkan dia? Mahu ke dia benarkan aku untuk lakukan semua tu?" Naim berkata-kata seorang diri. Dia berpaling mencari batang tubuh Aisya. Melihat Aisya sedang giat memiat telinga Aina dan membebel sakan pada adiknya itu, tawa kecil muncul di bibir Naim.
Namun tawa itu muncul hanya seketika. Kerana dia cukup tahu di sebalik wajah ceria Aisya itu terpalit dengan seribu satu cerita lara dan derita.
Melihat Aisya Farhana secara lebih dekat dan mengenali serba sedikit tentang wanita itu membuatkan hati Naim terasa mahu bersetuju sahaja dengan permintaan penuh pengharapan dari abah dan Puan Murni, mama Aisya.
Ya, memang ada sesuatu yang Puan Murni minta daripadanya. Sesuatu yang sangat besar tanggungjawabnya. Pada mulanya Naim tidak mahu bersetuju dengan ini semua namun setelah dipaksa dan dipujuk oleh abah, hatinya tergerak untuk bertemu dengan Aisya.
Bertemu untuk melihat sendiri serba ringkas keadaan bakal pesakit yang akan dirawatnya nanti.
"Apa ni, abah?" Naim memandang wajah abahnya dengan renungan serius. Fail pesakit yang dihulurkan oleh Dr. Hanafi diambilnya dengan berat hati.
"Baca dan buat keputusan," ujar Dr. Hanafi juga dengan nada serius.
"Aisya Farhana?" Nama itu meniti di bibir Naim. Rekod kesihatan milik Aisya Farhana dibelek-belek secara rawak.
Namun apabila matanya terpandang pada nama penyakit yang dihidapi oleh Aisya Farhana, membuatkan Naim menatap wajah abahnya dengan pegun. Fail biru itu terus diletak ke atas meja. Dia menggelengkan kepala.
"No. Kalau ini penyakit dia, Naim tak nak."
Sudah menjangkakan reaksi dan jawapan si anak, Dr. Hanafi tenang-tenang saja. Kopi panas buatan sendiri itu dihirup perlahan-lahan. Dia hanya tersenyum.
"Seorang doktor yang menganggap dirinya doktor perlu terima apa saja kes pesakit yang diberikan kepadanya. Bila-bila masa, di mana-mana saja dan walau bagaimana cara sekalipun, seorang doktor akan berusaha untuk menyelamatkan pesakitnya."
Kata-kata itu tidak memberi kesan pada Naim. Dia tetap membisu. Hatinya menolak keras kes pesakit bernama Aisya Farhana ini. Ya, memang kata-kata dari abahnya itu adalah prinsip kedoktoran yang dipegang olehnya selama lima tahun dia berkecimpung dalam bidang penuh tanggungjawab dan pengorbanan ini.
Dr. Aiman Naim, pakar psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya. Dia sangat disegani oleh doktor-doktor dalam bidang yang sama. Naim telah berjaya menyelesaikan banyak kes berkaitan psikiatri dan psikilogi walaupun dengan pengalaman setahun jagungnya dalam dunia kedoktoran.
Namun setelah satu peristiwa besar melanda hidupnya, Naim langsung tidak memandang apatah lagi berasa bangga dengan segala kejayaan dan pengalaman yang dia ada. Baginya dia tetap seorang doktor yang gagal! Gagal kerana telah gagal menyelamatkan insan yang paling bererti dalam hidupnya.
Kerana peristiwa hitam itulah Naim nekad menjauhkan dirinya dari bidang psikiatri ini. Baginya, tiada guna lagi dia menjadi seorang doktor psikiatri sedangkan adiknya sendiri gagal untuk dia selamatkan.
"Dah dekat 20 tahun Aisya Farhana menderita penyakit ni. Ada lima personaliti berbeza yang muncul dalam hidup dia setelah trauma yang dia hadapi. Dia didera oleh ayah kandungnya sejak berusia tujuh tahun. Satu penderaan yang mengakibatkan penderitaan yang amat sangat dalam hidupnya sehinggakan dia mencipta watak baru dalam mindanya untuk membantu dia membuang derita yang dia tanggung." Dr. Hanafi meringkaskan kes Aisya Farhana pada Naim. Moga hati anak lelakinya itu tergerak untuk bersimpati dan mengambil kes ini sebagai kes pertamanya setelah dua tahun menggantung lesen kedoktorannya.
"Naim boleh ambil kes ni," ujar Naim tiba-tiba. Dr. Hanafi terus mengoyak senyuman. Alhamdulillah.
"Tapi Naim akan bagi kes ni pada Bob." Naim tetap dengan pendiriannya. Dia memang tak layak untuk merawat sesiapa. Dia takkan rawat sesiapa pun!
Senyuman Dr. Hanafi kembali mati. Dia menggeleng lemah. Nampaknya dia tetap gagal.
"Baiklah. Kalau itu keputusan Naim, abah tak boleh paksa. Abah tak nak paksa kalau Naim tak nak terima kes ni. Tapi satu aje abah minta pada Naim. Boleh tak kalau sekali aje Naim jumpa dengan Aisya? Tengok dari jauh pun cukuplah. Tengok keadaan dia. Rasai penderitaan dia. Kerana penderitaan yang dia tanggung adalah sama dengan penderitaan yang pernah arwah Najihah lalui."
Bahu si anak ditepuk-tepuk. Dr. Hanafi sudah habis modal untuk memujuk. Moga dengan menyebut nama Najihah, Naim akan terbuka hati untuk bersetuju dengan permintaannya itu. Ya, cukuplah Naim melihat dari jauh keadaan Aisya Farhana. Kerana dengan pengalaman yang Naim ada, Dr. Hanafi percaya anaknya itu akan dapat menemui sesuatu dalam kes Aisya Farhana yang telah menjadi kes peribadi baginya selama hampir 20 tahun ini.
20 tahun dia mencari penawar untuk Aisya. 20 tahun dia menjadi doktor psikiatri peribadi Aisya Farhana. Dari gadis itu kecil sampailah dah dewasa. Namun belum ada rezekinya, dia tetap gagal menyembuhkan gadis itu. Kerana itulah dia ingin menyerahkan kes peribadi ini kepada anak lelakinya pula. Dengan izin Allah S.W.T, mungkin saja Aisya Farhana akan sembuh di bawah rawatan dan jagaan Naim.
Naim memandang tajam pada fail biru yang terdampar sepi di atas meja kaca di hadapannya. Disandarkan tubuhnya di sofa sambil menyilangkan tangan ke dada.
Kotak memorinya mula terbuka. Ingatannya pada arwah adik kesayangannya, Najihah sedang menari-nari dalam benaknya saat ini.
Betapa arwah Najihah menderita dengan penyakit ini. Belum sempat dia berjaya menyembuhkan adiknya seratus peratus, Allah S.W.T lebih menyayangi Najihah. Najihah pulang ke pangkuan Sang Penciptanya pada usia 25 tahun. Pada saat Naim masih cuba mencari penawar untuk merawat Najihah, Najihah meninggal dalam keadaan yang cukup menyayat hati.
Semuanya berpunca dari salah seorang alter yang muncul dalam hidup Najihah. Alter yang paling dominan wataknya yang bernama Hana Suraya itulah yang menyebabkan Najihah bertindak ingin membunuh diri.
Hana Suraya acap kali mahu membunuh diri dan menamatkan segala penderitaan Najihah. Namun mujurlah Naim seringkali berjaya memujuk Hana Suraya supaya tidak meneruskan niatnya itu. Andai Hana Suraya mati, hakikatnya jasad Najihahlah yang akan menanggung kematian itu.
Namun, pada tanggal 25 hari bulan September 2014, Hana Suraya tidak lagi mampu dikawal oleh sesiapa termasuk Naim sendiri. Dia telah berjaya menguasai minda Najihah 100%. Memujuk gadis itu untuk membunuh diri dan menamatkan segala penderitaan ini. Akhirnya Najihah pergi juga. Pergi bersama alter-alternya. Pergi buat selama-lamanya.
Takkan kau sanggup biarkan orang lain menanggung penderitaan yang sama seperti Najihah tanggung? Kau sanggup biarkan hidup seseorang musnah kerana mindanya sudah dikuasai oleh alter yang jahat lagi merosakkan tu?
Naim! Sedarlah, Naim! Pesakit DID berhak untuk memiliki kehidupan normal seperti orang lain. Dan kau! Kau ada tanggungjawab untuk itu!
Fail biru itu pantas Naim capai. Perasaan simpati merajai jiwanya saat ini.
Namun, dia masih belum membuat apa-apa keputusan muktamad. Naim sekadar ingin membaca fail kes Aisya dan melihat gadis itu dari jauh terlebih dahulu.
Kerana itulah Naim membuat keputusan untuk menjejaki Aisya di Tesco tempoh hari. Melalui bantuan Puan Murni, Naim mendapatkan lokasi terkini Aisya.
Dia sebenarnya sudah memerhatikan Aisya sejak gadis itu turun dari keretanya lagi. Hatinya cukup sayu melihat wajah Aisya. Wajah polos itu benar-benar mengingatkan dia pada arwah adiknya.
Dari sebuah keputusan yang tidak pasti, muncul keinginan dalam hatinya untuk membantu gadis itu sembuh dari penyakitnya.
Melalui perhatiannya secara rahsia itu, beberapa kali juga Aisya diserang sakit kepala. Keadaan itu biasa bagi pesakit DID. Apabila dalam keadaan tertekan, pesakit akan mengalami sakit kepala dan akan jatuh pengsan. Sesedar dari pengsan, 90% pesakit akan sedar dalam keadaan bukan dirinya yang asal. Mindanya sudah dikuasai oleh alter. Personaliti yang pesakit cipta dalam mindanya akan terbawa-bawa ke alam realiti. Pesakit akan menjadi orang lain.
Dalam kes Aisya, Naim perasan tentang sesuatu. Bermula dari detik ada seorang lelaki botak memarahi dan memukul anaknya, tindak balas Aisya terus berubah. Dengan panik dia melarikan diri dari kaunter sehinggakan ada barang yang dia tinggalkan.
Ya, Naim menjadi saksi semua itu. Dia segera mengekori jejak Aisya dari jauh. Dia melihat sendiri betapa menderitanya Aisya menanggung kesakitan dan perasaan takut yang menghuni hatinya.
Dan dia juga menjadi saksi pada saat gadis itu rebah tidak sedarkan diri.
Kerana itulah terlalu mudah dia membantu gadis itu dan menghantar Aisya pulang. Naim bertindak menelefon Puan Murni dan memberitahu keadaan yang menimpa anaknya. Naim sendiri yang menawarkan diri untuk menghantar Aisya pulang.
Difikirkan semua itu akan berhenti setakat itu. Entah kenapa dia menjadi ragu-ragu untuk menyerahkan kes ini kepada Bob. Sejujurnya melihat wajah Aisya Farhana memberi perasaan yang amat sukar untuk dijelaskan.
Yang dia tahu, dia perlu membantu gadis itu untuk sembuh dari penyakit ini.
Seperti kata Puan Murni, anaknya Aisya Farhana layak untuk bahagia. Sebagai tanda persetujuan darinya untuk menjadi doktor psikiatri peribadi Aisya, Naim menelefon Puan Murni untuk datang melawat Aisya pagi tadi. Dia muncul ke rumah itu setelah mendapat keizinan daripada Puan Murni sendiri.
Puan Murni sangat bersyukur kerana Naim sudi membantu merawat Aisya. Aina juga sudah tahu akan kemunculannya dalam keluarga itu atas dasar apa. Yang belum tahu apa-apa adalah Aisya Farhana. Sesungguhnya Naim sebolehnya tak mahu Aisya tertekan dengan kehadirannya sebagai seorang doktor psikiatri. Kerana sejujurnya musuh ketat bagi alter adalah seorang doktor psikiatri!
"Abang Naim! Jom makang!"
Suara ceria Aina membangunkan Naim dari lamunan panjangnya. Habis terjatuh buku bertajuk When Man Loves A Woman dari tangannya. Naim membongkok untuk mengambil buku itu. Namun tak sangka pula Aisya dengan ringan tangan juga ingin membantu Naim mengambil buku tersebut.
"Satu, dua, tiga!" Aina mengira detik bersejarah itu. Dia tersengih melihat Aisya dan Naim yang saling berpandangan selama tiga saat itu.
Tiga saat yang cukup lama rasanya yang pernah Aisya lalui. Aisya terlebih dahulu bangun menegakkan tubuh. Buku itu dibiarkan saja. Aisya memaut laju lengan Aina untuk menapak pergi dari situ. Debaran dalam hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Saat ini tiada lagi kesakitan yang menguasainya. Yang ada hanyalah... Perasaan bahagia.
Naim tersenyum. Senyumannya hadir tak semena-mena. Hatinya terasa sesuatu pula melihat wajah Aisya Farhana sedekat tadi.
Tiga saat. Dia juga mengira detik bersejarah itu dalam hatinya.
Tiga saat yang membuat hatinya merasa sesuatu.
Tiga saat yang teristimewa.
"Pursuing her heart." Kapsyen yang terdapat pada kulit buku karya James Ford yang dipegangnya dibaca sambil menahan senyum.
Langkah Aisya dan Aina yang semakin jauh diperhatikan oleh Naim.
"Mengejar hatinya? Atau merawat hatinya?" Naim terkeliru dengan perasaannya sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro