Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

"Errr... Abang saja datang sini. Nak... Nak jenguk orang yang dah abang tolong. Nak tanya khabar dia."

"Sorry mama, along tak tolong mama sediakan sarapan. Along sakit kepala sangat semalam." Aisya menyapa mamanya sambil mengucup pipi Puan Murni penuh kasih.

Puan Murni senyum saja. Dia faham kerisauan yang tergambar pada wajah anaknya itu.

"Tak apa, sayang. Lagipun pagi ni mama masak simple-simple aje. Eh, along tak turun sekali dengan adik ke? Mana dia? Ke belum bangun?" soal Puan Murni.

Tak sempat Aisya nak menjawab, muncul suara ceria Aina di ruangan itu. Ditarik kerusi di sebelah mamanya. Aina duduk sambil menguntum sengihan pada kakaknya.

"Good morning, everybody. Jom makang!" Nasi goreng yang terhidang di atas meja dicedok. Dia sengaja hidupkan mood ceria pada pagi hari. Kalau boleh dia tak nak nampak janggal sangat bila berdepan dengan alongnya. Eh, maksud dia 'Han Ji Ha'. Eh, along sebetulnya. Ah, pening!

Aisya dan Puan Murni saling berpandangan. Mengerti kerisauan dari anaknya, Puan Murni gelengkan kepala seraya menggamit tangan Aisya.

"Tak ada apa yang jadi semalam, along," ujarnya perlahan.

Mendengarkan itu barulah Aisya dapat tarik nafas lega. Jadi selepas dia pengsan semalam, dia tidak berubah menjadi seseorang yang lain?

Senang cakap, pesakit DID akan mengalami hilang ingatan jangka pendek setelah mereka sedarkan diri. Sesungguhnya Aisya gagal untuk mengingati apa yang sudah berlaku, siapa yang muncul dan apa yang telah dilakukan oleh 'aku yang lain' itu sepanjang alter itu mengambil alih jasadnya.

Kerana itu pada awal Aisya menghidapi penyakit ini, acap kali dia tertekan melihat perubahan dirinya setelah dia sedarkan diri dari pengsan. Dia akan berpakaian lain, berada di tempat lain, mengenakan solekan yang agak melampau dan kadang-kadang banyak masalah yang dia timbulkan. Keadaan itu benar-benar buat Aisya sangat tertekan dan dia selalu menganggap dirinya sudah gila.

"Along fikir apa lagi tu? Kenapa tak jamah nasi goreng tu?" Soalan Aina memecahkan lamunan Aisya.

Aisya senyum terpaksa. Tangannya dipaksa juga menyuapkan nasi goreng ke dalam mulut.

"Sedap nasi goreng mama buat," pujinya dengan kekok. Sehingga ke saat ini dia masih belum dapat menatap wajah Aina. Dia takut untuk bertentang mata dengan adiknya itu. Tapi menurut mama tadi, tiada apa-apa yang berlaku semalam. Jadi Aina tak dapat tahu apa-apa, kan?

Aina yang perasan kakaknya tidak langsung berani membalas renungan matanya cuba mencari idea untuk membuang rasa kekok kakaknya itu. Mesti along ingat aku tahu apa-apa.

Teringat dia pada kejadian yang berlaku selepas dia dan Han Ji Ha berbual dia dapur. Dua jam selepas itu, Puan Murni mengajak Aina masuk ke bilik Aisya.

"Ma, kenapa kena salin pakaian along ni?" soal Aina kebingungan. Memang sangat pelik dia melihat mamanya sibuk menukar uniform sekolah yang dipakai oleh Han Ji Ha ditukar semula dengan pakaian tidur milik Aisya.

"Sebab kalau along masih pakai baju adik, bila dia bangun esok dia mesti dapat tahu yang dia dah berubah jadi Han Ji Ha. Setiap personaliti yang pernah mama tengok, semuanya memiliki gaya pakaian yang berbeza. Contohnya Han Ji Ha. Han Ji Ha suka sangat pakai baju-baju adik. Lagi tiga orang tu pun pakaian mereka berlainan, dik. Sangat berbeza mereka semua."

Aina hanya mampu mengangguk. Dia memang tak mampu berkata apa-apa. Lidahnya kelu melihat dan melalui sendiri keadaan alongnya yang menghidap penyakit DID. Jujur dia masih amat canggung untuk menerima semua ini.

"Along dah call Abang Naim, kan? Along borak apa dengan dia, ek? Mesti along borak panjang dengan dia. Ceritalah!" Aina kembali ke alam nyata. Dia sengaja mengajukan soalan itu bagi menutup kisah semalam.

Mendengar nama Naim disebut, Aisya diserang sakit kepala. Namun dia cuba bertahan. Puan Murni yang risau, dalam diam memberi isyarat mata pada Aina. Aina yang faham mula ditimpa rasa bersalah. Aduh, dia dah salah topik ke?

"Erm... Along dah call dia. Dah ucap terima kasih pun. Itu ajelah yang kami borak." Aisya berusaha kuat untuk tidak kalah dengan sakit kepalanya. Dia ukir senyum. Dia bertahan sedaya mampu.

Mindanya kini teringat pada kata-kata Naim sebelum dia tak sedarkan diri semalam.

"Kalau tak keberatan, boleh tak saya nak jumpa awak?"

Naim ada ajak dia berjumpa. Entah sebab apa lelaki itu ingin bertemu dengannya. Untuk apa kiranya mereka bertemu? Untuk berkawan? Menjadi sahabat? Atau Naim sudah tahu akan penyakitnya? Ah! Aisya tak boleh banyak berfikir. Selama Aina masih berada di rumah, Aisya sebolehnya tidak mahu berubah identiti. Dia tak nak adiknya tahu akan rahsianya ini.

"Along... Errr... Jom kita keluar. Keluar shopping. Esok adik dah nak balik hostel. Along belanjalah adik baju baru ke, novel baru ke, atau DVD drama Korea terbaru. Hehehe..." Aina tukar topik 360 darjah. Selepas ini insya-Allah dia akan lebih berhati-hati dalam berkata-kata. Along tak boleh menghadapi tekanan. Ingat tu, Aina!

Aisya angguk beberapa kali. Secara sembunyi-sembunyi dia memicit kepalanya. Ajakan Aina dipersetujui tanpa ragu.

"Okey. Along on aje."

"Daebak! Mama, jomlah ikut kita orang sekali," ajak Aina beria-ia.

Puan Murni menggeleng.

"Mama nak jumpa kawan mama hari ni. Adik dengan along ajelah yang keluar. Tapi adik jangan pau along banyak sangat. Kesian along, dik."

Aina sengih. Takkanlah dia sanggup pau along? Kalau dulu sebelum tahu keadaan kakaknya memang dia suka paksa kakaknya itu memenuhi segala kehendaknya. DVD Korealah, novel barulah, baju barulah, kasut barulah. Semuanya nak baru. Tapi sekarang bila dia sudah tahu mengenai masalah kakaknya itu, dia bukan bodoh untuk mengulang silapnya. Hati along semampu Aina ingin Aina ceriakan. Tidak lagi ingin membebankan.

Naim meramas-ramas tangannya. Sesekali dia mengetuk stereng kereta. Argh! Apa yang harus dia lakukan sekarang? Nak masuk ke tak? Nak bagi ke tak buah tangan ni? Tak ke macam menyibuk? Pagi-pagi dah menempek dekat rumah orang.

"Relaks, Naim. Relaks." Nafas panjang ditarik lalu dihela kuat. Matanya mengerling pada pintu pagar rumah teres dua tingkat di hadapannya.

Entah magnet apa yang menariknya kembali ke rumah ini. Rumah milik gadis yang telah dibantunya dua hari yang lalu.

Dia kembali ke sini semuanya bersebab. Sebab utamanya adalah kerana jeritan yang didengarinya dari Aisya Farhana semalam.

Kaget dia mendengar Aisya menjerit seakan-akan menahan kesakitan. Selepas itu gadis itu cepat-cepat memberi salam. Perbualan mereka terputus seperti itu sahaja. Adakah setelah panggilan itu dimatikan, Aisya sekali lagi pengsan tak sedarkan diri?

Adakah gadis itu seperti itu kerana ajakannya untuk mereka bersua muka?

Aisya terkejut sangat ke aku ajak dia jumpa? Takkan sampai macam tu sekali? Hati kecil Naim berbisik.

Sedang dia ralit berfikir, tiba-tiba muncul seseorang dari laman rumah menapak ke arah pintu pagar. Pintu pagar yang dimangga dibuka oleh gadis yang memakai blaus labuh warna pastel dipadankan dengan shawl plain warna yang senada.

"Aisya Farhana."

Hati Naim diserbu rasa cemas. Akhirnya dapat jua dia menatap jasad gadis itu 'hidup'. Tidaklah kaku seperti yang dia tengok sebelum ini.

Sesungguhnya Aisya Farhana memang punya magnet rahsia. Kaki Naim terasa seperti ditarik untuk keluar dari perut kereta. Buah tangan dibawa sekali.

"Assalamualaikum," ucap Naim sebelum sempat Aisya melangkah semula ke keretanya. Kelihatannya seperti gadis itu terburu-buru nak keluar.

"Waalaikumussalam," jawab Aisya seraya berpaling ke belakang. Dia yang memang murah dengan senyuman, menghadiahkan senyuman selamat pagi kepada Naim.

"Ya, encik. Ada apa yang boleh saya bantu?" soal Aisya ramah. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya kini kelihatan bingung menatap wajahnya. Aisya diserbu rasa tak selesa.

"Encik?" Aisya pandang ke sekeliling. Lelaki berbaju T kolar bulat dan berseluar jean lusuh ini ada apa-apa muslihat ke? Astaghfirullah. Tak baik kau buruk sangka, Aisya.

"Abang Naim!"

Baru saja Naim nak membuka mulut, dia agak terkejut apabila namanya dipanggil. Kuat dan nyaring. Naim dan Aisya sama-sama berpaling pada Aina yang baru keluar dari rumah. Meluru laju gadis itu mendapatkan Naim dan Aisya.

"Abang Naim buat apa dekat sini pagi-pagi ni? Ayok, tak tahu."

Naim? Hati Aisya dah berdebar semacam. Jadi inilah lelaki yang telah membantunya di Tesco tu? Dan lelaki yang telah mengajaknya keluar semalam?

"Hai, Aina. Ingat lagi ya Aina dengan abang." Naim cuak dalam diam. Alamak, jangan adik Aisya ni banyak mulut tanya macam-macam sudah.

Aina dah jeling semacam pada Naim. Naim tayang muka selamba.

"Abang Naim nak jumpa along ke? Eh, tu buah tangan ke? Untuk Aina ke, untuk along?" Bising mulut Aina bercakap.

Aisya yang keseganan hanya mendiamkan diri. Naim yang memang sudah terperangkap sebab sengaja cari pasal datang sini pagi-pagi siap bawa buah, dengan berat hati menjawab juga semua soalan Aina.

"Errr... Abang saja datang sini. Nak... Nak jenguk orang yang dah abang tolong. Nak tanya khabar dia." Semakin lama semakin perlahan suara Naim. Segan gila!

Aisya dah terbatuk-batuk. Apa kes nak jenguk aku bagai? Kan semalam aku dah cakap aku okey.

"Oh, I see. Jadi kiranya abang datang pagi ni semata-mata sebab alonglah, eh?" Aina dah mahu tergelak. Dia bukan tak nampak kegugupan lelaki itu. Sengaja dia mengusik.

"Eh, jomlah ikut kita orang pergi shopping. Bolehlah Abang Naim dengan along kenal-kenal lebih dekat. Yalah, kutlah boleh jadi kahwin lepas ni, kan? Eh, silap. Kawan!" Aina giat menyakat. Tapi di sebalik dia menyakat, dia mengajak ikhlas Naim untuk mengikut mereka berdua keluar. Dia nak bagi chance kepada Naim untuk mengenali alongnya.

"Adik!" Aisya mencubit lengan adiknya. Tak selesa dia dengan pelawaan Aina itu. Tidak akan sesekali dia bersetuju!

Naim pamer wajah senang hati. Tapi demi ego punya pasal, dia buat-buat berfikir. Buat-buat malu kucing.

"Eh, betul ke ni? Aina nak keluar shopping dekat mana? Tak ganggu kau orang berdua ke?"

"Eh, tak adanya nak ganggu. Kejap eh Aina pergi bagi tahu mama. Abang Naim masuklah jumpa mama. Mama mesti happy dapat jumpa bakal menantu dia ni." Aina tergelak sakan. Dia tahu dia dah dijeling tajam oleh alongnya. Ah, apa ada hal? Paling sakit pun kena cubit manja dengan along. Tak takut pun.

Dengan sopan, Naim membuntuti langkah Aina untuk bertemu dengan Puan Murni. Izin Puan Murni diminta. Puan Murni mengizinkannya dengan senang hati. Namun ada syarat. Kena balik rumah sebelum pukul 2 petang.

Okey, set!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro