Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

"Han Ji Ha, ahjumma naik dulu, ya? Nanti kalau Han Ji Ha dah siap makan, Han Ji Ha terus tidur ya, sayang?"

"Ahjumma, nak lagi boleh?" Han Ji Ha tersengih comel sambil menghulurkan pinggan kepada Puan Murni. Matanya dikerdip-kerdipkan.

"Boleh. Han Ji Ha nak ahjumma masak apa-apa lagi ke?" soal Puan Murni melayan saja kehendak anaknya. Walaupun gadis itu membahasakan dirinya sebagai Han Ji Ha dan menganggap Puan Murni sebagai ahjumma (mak cik), hakikatnya mereka tetap anak dan ibu. Han Ji Ha tetap anak kandungnya.

"Han Ji Ha nak ahjumma masak ramyun boleh tak? Hehe..."

"Boleh, sayang. Kejap ahjumma pergi masak. Sekarang Han Ji Ha makan nasi goreng ni dulu, ya?"

Han Ji Ha mengangguk. Mulutnya sudah penuh dengan makanan. Dia makan tanpa pandang kiri kanan.

"Ma..." Kelibat Aina muncul di ruang dapur itu. Dengan automatiknya Han Ji Ha berhenti mengunyah. Dia menjeling pada Aina.

Aina buat bodoh. Sejujurnya dia cuak melihat kakaknya seperti itu namun dia tabahkan diri. Dia tak mahu alongnya tertekan. Kerana apabila along tertekan, personaliti lain pula yang akan muncul. Aina belum cukup bersedia untuk berdepan dengan karakter yang baru. Untuk malam ini cukuplah dia berdepan dengan Han Ji Ha sahaja.

"Ma, boleh adik cakap dengan mama?" Aina berbisik ke telinga mamanya.

Puan Murni yang sibuk memasak mi segera, menoleh sekilas pada Aina.

"Cakap pasal along ke?" tanyanya perlahan. Aina mengangguk.

"Jumpa mama dekat bilik adik." Aina melangkah pergi dari situ. Wajah Han Ji Ha langsung dia tak tengok. Sumpah dia seram!

Puan Murni menyudahkan segera kerjanya. Semangkuk ramyun dihidangkan untuk Han Ji Ha.

"Han Ji Ha, ahjumma naik dulu, ya? Nanti kalau Han Ji Ha dah siap makan, Han Ji Ha terus tidur ya, sayang?"

Han Ji Ha angguk. Matanya membulat melihat wap yang keluar dari ramyun yang baru dimasak itu.

"Komawo ahjumma. (Terima kasih, mak cik). Ahjumma memang daebak (hebat)! Okey nanti siap makan, Han Ji Ha terus naik bilik. Han Ji Ha janji!"

Puan Murni mengangguk. Dia ukir senyum. Rambut Han Ji Ha dibelai. Dia segera menapak pergi dari situ menuju ke bilik Aina. Puan Murni yakin Aina pasti ingin bertanyakan tentang alter alongnya yang bernama Han Ji Ha ini.

Aina mundar-mandir di dalam bilik. Sekejap dia duduk, sekejap dia berdiri. Serba-serbi tak kena jadinya.

"Han-Ji-Ha." Disebut nama itu satu per satu.

Otaknya bekerja keras mengingati semua apa yang telah mamanya ceritakan kepadanya. Sedikit demi sedikit kini dia mulai faham tentang penyakit alongnya.

Sehari yang lalu...

"Apa punca along jadi macam ni, ma? Adik... Adik tak pernah tahu pasal penyakit macam yang along kena ni. Adik tak percaya along ada masalah jiwa macam tu."

Puan Murni mengusap bahu anaknya.

"Bertenang, dik. Anggap ajelah semua ni sebagai ujian daripada Allah untuk kita. Untuk along terutamanya. Mama dan arwah abah dah lama reda dengan apa yang berlaku pada diri along. Dah hampir 20 tahun along melalui semua ni. Menurut psikiatri yang merawat along, along jadi macam ni kerana menghadapi trauma akibat penderaan yang ayah kandung along lakukan pada along sewaktu along masih kecil dulu."

Aina hanya diam mendengar penjelasan dari mamanya. Ya Aina tahu mengenai ayah kandung Aisya yang suka mendera Aisya dan mama mereka. Menurut cerita mama, setelah berpisah dengan bekas suaminya itu, dia bertemu jodoh dengan arwah abah. Mereka berkahwin dan berpindah jauh dari bekas suaminya itu. Mama memulakan kehidupan barunya bersama abah dengan cukup bahagia. Lahirlah Aina Tasneem dari perkahwinan itu. Mereka berempat hidup bahagia dan gembira. Namun dua tahun yang lalu, abah pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Mama mula pincang dalam merawat Aisya keseorangan.

Aina ada mencari maklumat mengenai penyakit Kecelaruan Identiti Terpisah (Dissociative Identity Disorder: DID) yang dihidapi oleh alongnya itu.

DID adalah salah satu daripada penyakit psikologi yang menerangkan keadaan di mana seseorang itu memaparkan identiti yang berbeza atau personaliti yang berbeza. Dalam maksud mudah, DID adalah apabila seseorang mempunyai dua atau lebih personaliti dalam masa yang berbeza. Kadangkala mereka akan muncul baik dan tanpa sebarang amaran mereka akan berubah menjadi seseorang yang negatif.

Menurut maklumat lain yang Aina cari, punca utama gangguan mental ini adalah daripada trauma yang terlampau teruk yang dihadapi oleh pesakit sewaktu pesakit masih kecil. Trauma yang berlaku mungkin saja berpunca daripada penderaan fizikal, emosi atau seksual terhadap pesakit. Trauma itu membuatkan individu berkenaan mencipta personaliti-personaliti tertentu berdasarkan umur-umur tertentu. Personaliti ini lebih dikenali sebagai alter ego atau 'aku yang lain'.

'Aku yang lain' ini dicipta kerana pesakit si tuan rumah tidak tahan menanggung derita yang diakibatkan oleh trauma yang dialaminya. Karakter 'aku yang lain' ini muncul untuk mengambil beban derita yang dialami oleh pesakit. Ia juga bagaikan salah satu cara pelarian si pesakit daripada terus menderitai traumanya sendirian. Setiap kali peristiwa baru yang mengejutkan berlaku, alter baru boleh dilahirkan.

Bermakna seorang pesakit kecelaruan personaliti ini boleh memiliki beberapa personaliti yang berbeza. Dalam laman sesawang yang Aina Google, terdapat kes pesakit DID yang memiliki 16 personaliti yang berbeza. Seperti kisah Sybil.

Sybil atau nama sebenarnya Shirley Ardell Mason disahkan oleh psikiatri menghidap DID akibat trauma zaman kanak-kanaknya kerana sering mengalami penyeksaan oleh ibunya. Antara alter yang muncul adalah Clara, Helen, Marcia, Ruthi dan Vanessa serta 11 alter yang lain. Dan jangan terkejut, di antara 16 alter milik Sybil terdapat juga personaliti berperwatakan lelaki yang bernama Mike dan Sid.

Dalam kes along pula, menurut mama, terdapat lima alter atau 'aku yang lain' yang muncul sepanjang 20 tahun Aisya Farhana menderitai penyakit ini. Amira Natrah, Ustazah Jamilah, Maria Mariana, Bibah Bebel dan Han Ji Ha.

"Mama..."

Aina kembali ke alam nyata. Tangan Puan Murni digenggam kemas.

"Along... Along akan sembuh kan, ma?" Sayu hati Aina saat ini. Terasa sangat berat beban yang dipikul oleh kakaknya. Mengapalah dia tidak perasan tentang keadaan kakaknya ini sebelum ini? Mungkinkah kerana dia selalu tiada di rumah? Sejak dari sekolah rendah lagi Aina sudah bersekolah asrama penuh. Hinggalah sekolah menengah dia juga tinggal di asrama dan kebanyakan masanya diisi di sekolah dengan melakukan aktiviti kokurikulum.

Dia memang jarang-jarang balik ke rumah kalau cuti. Mungkinkah ini penyebabnya dia gagal mengesan perubahan personaliti kakaknya itu? Betapa dia gagal menjadi adik yang lebih prihatin. Aina merasa kesal dengan sikapnya yang agak teruk pada along.

Selama ini dia sedar antara dia dan along, kakaknya itulah yang lebih banyak berusaha untuk merapatkan hubungan mereka adik-beradik. Yang dia tahu cuma merajuk dan naik berang apabila kakaknya membuat sedikit kesalahan padanya. Maafkan adik, long...

"Insya-Allah, sayang. Akan sentiasa ada harapan untuk sesiapa yang bergantung harap pada Allah. Moga Allah sembuhkan along dari penyakit dia."

Puan Murni turut diserbu rasa sebak. Namun senyuman tetap terpamer di wajahnya. Dia tidak ingin menampakkan kesedihannya pada Aina. Saat ini mereka harus kuat berdepan dengan cubaan ini. Kerana kekuatan dari mereka akan menjadikan Aisya Farhana lebih kuat untuk menghadapi ujian dari Tuhan ini.

"Kita sama-sama doakan along. Kita sama-sama usaha rawat along. Kita sama-sama bagi along kekuatan. Bagi along perhatian. Jangan sesekali tinggalkan along. Walau sesiapa saja yang muncul lepas ni, personaliti apa yang mengubah along... Kita tetap layan along dengan baik dan anggaplah seperti tiada apa yang berlaku. Along tetap along. Tetap kesayangan adik dan mama. Janji, dik?"

Mereka sama-sama tenggelam dalam kesedihan. Air mata jatuh berlinangan. Puan Murni dan Aina berpelukan erat.

"Adik janji, ma. Adik janji," balas Aina dengan suara yang bergetar.

Puan Murni senyum dalam kesedihan. Moga mereka terus diberi kekuatan oleh Allah S.W.T untuk menghadapi semua ini. Kerana jika Allah S.W.T mencintai hamba-Nya, maka Allah S.W.T pasti akan memberi ujian kepada hamba-Nya itu. Bertabahlah wahai diri.

Blurrrppp.

Han Ji Ha menekup mulutnya. Dia tergelak comel dek bunyi kuat sendawanya. Kenyang sungguh perut ni. Masakan ahjumma memang daebak! Malam ni bolehlah tidur lena. Lalala...

Bagi menepati janjinya pada ahjumma, usai makan Han Ji Ha terus naik ke bilik. Baru nak menapak pergi dari meja makan, muncul Aina dari muka pintu. Han Ji Ha sempat menjeling pada gadis itu sebelum dia meneruskan langkah. Kalau tak mengenangkan ahjumma dah pesan padanya dulu jangan berbual dengan Aina, confirm dia dah sembur budak perempuan ni cukup-cukup.

"Hai." Aina menyapa. Dalam cuak, dia beranikan diri untuk menegur kakaknya. Eh, bukan. Maksud Aina, Han Ji Ha. Ah, pening!

"Makan tak ajak pun, eh?" Aina tetap bersuara walaupun Han Ji Ha tidak membalas sapaannya. Aina dah buat rancangan. Kalau boleh dia ingin menjadi kawan kepada gadis yang 'sebaya' dengannya itu. Walaupun hakikatnya dia kini berdepan dengan jasad alongnya tapi realitinya, pahit yang perlu dia hadapi kerana gadis bertubuh kecil molek yang sedang berdiri di hadapannya sekarang ini adalah personaliti lain yang muncul dari dalam diri kakaknya. Satu personaliti yang mempunyai karisma yang berbeza dengan kakaknya, Aisya Farhana. Gaya, pemakaian, solekan, tutur kata, bahasa tubuh. Sangat berbeza dengan along. Muka aje sama.

"Boleh kita jadi kawan?" Dengan berani Aina menghulurkan salam perkenalan. Tangannya dihulur panjang. Dia senyum.

Han Ji Ha mencebik. Dia tarik muka.

"Saya tak berkawan dengan orang yang cuba-cuba nak rampas oppa (abang) saya!" Keras dan tegas Han Ji Ha bersuara.

Aina terkedu. Dia cuba bawa bertenang. Relaks, Aina. Depan kau sekarang bukan along tapi Han Ji Ha, minah K-pop yang dah declare kau sebagai musuh ketat dia!

"Oppa yang mana satu maksud awak ni? Oppa saya ramai," balas Aina dengan nada selamba.

"Cit cit." Han Ji Ha menggelengkan kepala seraya menjeling Aina.

"Buat-buat tak tahu pula. Gambar oppa yang paling banyak tertempek dalam bilik awak Lee Min-ho, kan? Berani awak sukakan dia!" Gadis itu mendengus. Perlahan-lahan dia mendekati Aina. Mukanya beriak garang.

Aina dah kecut perut. Dia bukan apa, dia cuma takut Han Ji Ha memukulnya kerana terlalu taasub pada Oppa Lee Min-honya itu.

"Awak suka Oppa Min-ho, saya pun suka dia. So, apa kata kita sama-sama sukakan dia? Kita kumpul gambar dia sama-sama. Kita tengok drama dia sama-sama. Setuju?" Rasanya itulah jalan yang terbaik untuk mereka berdua. Berdamai!

Han Ji Ha mengeluarkan jari telunjuknya. Berpusing-pusing jarinya bagaikan berfikir.

Berdebar Aina menanti jawapan Han Ji Ha. Mungkinkah gadis itu sudi menjadi kawannya? Dia ingin sekali menjadi kawan Han Ji Ha kerana dia punya misi untuk mengorek rahsia Han Ji Ha. Bagaimana personaliti ini boleh muncul, atas sebab apa dan apa ceritanya di sebalik kisah seorang Han Ji Ha? Pasti ada kisahnya.

"Cool? Setuju?" Aina menyoal.

Han Ji Ha menjulingkan mata ke atas.

"Andwaeyo! Andwae! Andwae! Andwae!" Han Ji Ha membuat tanda pangkah dengan menggunakan kedua-dua tangannya. Tubuh Aina sengaja dirempuh. Han Ji Ha melangkah keluar dari ruang dapur sambil mulutnya membebel seorang diri.

Erk. Aina tersentap di situ. Mukanya dikibas-kibas. Minah ni betul-betul nak isytihar perang dengan aku gamaknya. Hmmm! Nampaknya bukan mudah nak jadi kawan minah K-pop ni!

"Hey! Sejak bila along suka K-pop hah?!" Grrr. Pening kepala Aina dibuatnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro