Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

"Kau cakap apa dengan dia? Siap ber... Abang Naim. Kau menyamar jadi aku ke tadi? Kenapa kau tak panggil aku?"

"Perlu ke aku call dia?" Telefon bimbit tak lepas dari tangan. Nama Naim yang terdapat dalam senarai kenalan telefon menjadi santapan matanya dari tadi.

"Call dia atau SMS aje?" Aisya Farhana terus bercakap seorang diri. Kepalanya jadi serabut pula memikirkan soal Si Naim ni. Entah kenapa perasaan segan perlu wujud dalam hatinya. Sedangkan lelaki itu wajar dihubunginya untuk dihadiahkan kata-kata terima kasih. Bukan nak mengurat pun.

"Tak payah pening-pening, along. Call ajelah." Hampir terjatuh telefon yang dipegang Aisya Farhana. Dia mengurut dada sambil menjeling ke arah Aina yang sedang berdiri di hadapan pintu sambil tersengih-sengih. Gadis itu menapak masuk lalu duduk di sebelah kakaknya. Telefon Aisya Farhana diambil.

"Meh adik call," ujar Aina dengan selamba.

"Eh, jangan!" Aisya Farhana merampas laju telefonnya. Dia menggeleng.

"Buat apa nak call? Sekarang dah lewat malamlah," ucapnya acuh tak acuh.

Aina jongket kening. Jam di pergelangan tangan ditilik berkali-kali. Biji mata pula digosok-gosok.

"Kalau adik tak salah tengok, sekarang baru pukul lapan malam kut."

Erk. Aisya Farhana gigit bibir bawah. Dia mendengus. Yalah, yalah. Dia yang lebih-lebih.

"Confirm abang tu tengah tunggu panggilan along. Yalah, dia mesti nak tahu juga keadaan orang yang dah dia selamatkan."

"Kalau macam tu, dia ajelah yang call aku dulu," bisik Aisya Farhana perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.

"Masalahnya, dia tak mintak pun nombor along dengan mama!"

Erk. Aisya Farhana pandang muka Aina sekilas.

"Dengar aje, kan?!" Ingatkan Aina tak dengar apa yang dia bisik tadi. Budak ni memang telinga lintah betul.

"Hihihi... Adik baru aje korek telinga ni tau." Ditayang muka poyo pada si kakak.

Aisya Farhana buat-buat geli. Mereka sama-sama tergelak.

Untuk beberapa detik, masing-masing mendiamkan diri. Krik krik krik.

"Cepatlah call abang tu!" Aina terus-terusan memujuk.

Aisya Farhana buat tak layan.

"Malas. Esok ajelah," jawab dia.

"Hey, mana boleh esok. Mama dah keluarkan arahan. Along kena call dia malam ni juga!"

Mata Aisya Farhana dah terjegil.

"Mama suruh along call malam ni juga? Tipu!"

Aina bangun sambil bercekak pinggang. Nama mama dilaung beberapa kali. Muncul mengejut Puan Murni dari balik pintu.

"Ya, adik. Ada apa?" Dia yang buat-buat tak tahu apa-apa terus melangkah masuk. Sebetulnya dia dan Aina dah berpakat. Berpakat untuk membuat Aisya Farhana menghubungi Naim malam ini juga. Sebab tu dia dah standby depan pintu tadi. Bila Aina panggil, terus Puan Murni terjah masuk.

"Ni along ni. Dia tak percaya cakap adik. Betul kan mama nak along call Abang Naim malam ni. Kan?"

Dua kali Puan Murni mengangguk kepala. Aisya Farhana dah melopong.

"Tapi kenapa malam ni? Esok-esok ajelah, ma. Along seganlah nak call dia." Jujur Aisya Farhana memberitahu. Dia tak faham kenapa mama dan adiknya memaksa dia menelefon Naim malam ni juga.

Puan Murni pandang Aina. Aina pandang mamanya. Dia menjongket bahu. Adakah rancangan mereka akan gagal?

"Erm... Tapi mama rasa lagi sopan kalau along call Naim secepat mungkin. Ucapan terima kasih dari along lebih penting," pujuk Puan Murni lembut. Aina di sebelah cepat-cepat mengeyakan.

"Mama tak ada niat nak paksa along. Tapi bila mama teringat balik wajah risau Naim sewaktu hantar along ke rumah, mama yakin selagi dia tak dengar khabar berita dari along, mesti dia masih risau sekarang. Sekurang-kurangnya bila along call dia dan cakap terima kasih, dia akan tahu along dah okey. Kan, dik?"

Aina terus angguk.

Untuk sedetik dua, Aisya Farhana mendiamkan diri menghadam kata-kata mamanya itu. Ada benarnya juga. Sekurang-kurangnya terlunas hutang budinya terhadap lelaki baik hati itu. Lebih cepat dia cakap terima kasih, lebih tenang hatinya.

"Hmmm... Okey."

"Apa yang okey?" Serentak dan seiring Puan Murni dan Aina bersuara.

"Hah? Erm... Okey, along call dia."

"Bila?" Sekali lagi Puan Murni dan Aina serentak bersuara. Aisya Farhana naik pelik. Amboi, seia sekata pula mama dengan adik malam ni.

"Errr... Malam ni insya-Allah."

"Alhamdulillah!"

"Yes!"

Buat sekian kalinya mereka berdua masih tetap serentak bersuara. Aisya Farhana tak mampu lagi menahan tawanya. Dia tergelak. Akhirnya mereka sama-sama tergelak.

"Okey, ma. Jom kita keluar tengok TV. Dengar kata malam ni berita dilaporkan best." Aina menarik lengan mamanya. Puan Murni yang faham, bangun mengikut. Namun saat itu Aisyalah yang paling bingung. Sejak bila Aina suka tengok berita? Malam ni berita dilaporkan best? Apa ke aneh sangat budak Aina ni.

"Call jangan tak call!" Sempat Aina melaung sebelum daun pintu bilik kakaknya ditutup. Aisya Farhana tersenyum saja. Dia menggeleng melihat telatah adiknya itu. Yalah, yalah. Along call.

"Naim! Naim!" Jeritan dari Bob tidak didengari oleh Naim yang sedang bersemangat menunjukkan skilnya bermain futsal. Mengelecek ke kiri, mengelecek ke kanan. Permainannya bersahaja namun cukup bertenaga. Memang macam pemain bola sepak profesional.

"Naimmm!!!! Naimmm!" Bob naik geram bila panggilannya tak diendahkan. Telefon Naim yang berdering dari tadi akhirnya dijawab. Siapa entah yang call dari tadi. Mungkin urgent.

"Hello. Assalamualaikum."

Mendengar suara perempuan memberi salam, mulut Bob dah tersengih-sengih. Wow! Ada 'awek' call Naim?

"Waalaikumussalam. Siapa ni?" tanya Bob tersangat ingin tahu.

"Ni Encik Naim ke?" soal Aisya Farhana di hujung talian.

Bob sembunyi senyum. Oh, minah ni cari Naim rupa-rupanya. Patutkah aku berpura-pura jadi Naim? Hehehe, dia tergelak dalam hati.

"Errr... Ya, saya. Ni siapa, ya?"

"Erm, saya Aisya. Aisya Farhana."

Duh!

Aisya Farhana? Adakah perempuan ni yang Naim ceritakan padanya tadi? Ya, sebelum permainan bermula tadi, Naim ada borak-borak dengan Bob. Diceritakan kepada Bob perihal Aisya Farhana, gadis yang telah diselamatkan oleh dia dekat Tesco. Bob memang sedia maklum Naim sedang ternanti-nanti panggilan dari gadis bernama Aisya Farhana ini.

"Hello, Encik Naim?" Aisya Farhana memanggil nama Naim buat sekian kalinya. Kebisuan berpanjangan dari Naim membuatkan Aisya Farhana makin gugup.

"Ya, ya saya dengar. Maaf-maaf. Apa awak cakap tadi?" Bob mula menapak mendekati pintu masuk ke gelanggang futsal. Dia sengaja mahu menarik perhatian Naim yang sedang rancak bermain. Kalaulah Naim tahu Aisya Farhana call, confirm lelaki tu berlari sepantas The Flash untuk dapatkan panggilan ni.

"Maaf sebab ganggu Encik Naim malam-malam ni. Saya call ni nak cakap terima kasih dekat Encik Naim sebab dah tolong saya. Tolong hantarkan saya balik semalam. Terima kasih. Terima kasih sebab sudi tolong saya," ucap Aisya Farhana tanpa tersekat-sekat.

Dari dalam gelanggang futsal, mata Naim terpandang pada Bob yang berdiri di tepi pintu masuk sambil berbual melalui panggilan telefon. Semakin diamati lebih dekat, tangan Bob rupa-rupanya sedang memegang telefon bimbitnya. Kenapa Bob bercakap guna telefon aku? Hoi, Bob! Kalau Aisya Farhana call aku, tak ke melepas aku nak jawab panggilan dia nanti?! Naim menjerit dalam hati.

Sebaik saja wisel dari pengadil berbunyi, Naim bergegas mendapatkan Bob di tempat rehat. Perkataan terakhir yang dia dengar dari mulut Bob sebelum lelaki itu menghentikan perbualan adalah...

"Take care, Cik Aisya Farhana. Moga lepas ni awak tak pengsan lagi. Kalau pengsan juga, call aje Abang Naim. Anytime Abang Naim jadi Superman dan pergi selamatkan awak! Assalamualaikum."

"Azizul bin Osman!!!" Naim menjerit kuat. Dirampas laju telefonnya dari tangan Bob.

"Hahaha... Kesian kau, Naim. Melepas nak dengar suara merdu Aisya Farhana," ujar Bob mengusik sahabat karibnya itu.

Naim terduduk. Dia menjeling tajam pada Bob sebelum matanya meliar mencari nombor telefon milik Aisya Farhana. Anehnya tak ada panggilan diterima dari nombor baharu.

"Mana nombor dia?" Naim cemas bertanya. Takkan Bob kejam sangat padam nombor tu?

Bob gelak. Semakin lama semakin kuat. Tak berhenti dia ketawa melihat pada wajah Naim yang panik sampai macam tu sekali. Sah Naim fikir dia dah padam nombor tu.

"Relakslah. Aku siap tolong kau save nombor dia tahu?"

Mendengar kata-kata Bob itu barulah Naim boleh tarik nafas lega. Dicepuk sekali kepala Bob. Geram sungguh dia dengan mamat sorang ni.

"Kau cakap apa dengan dia? Siap ber... Abang Naim. Kau menyamar jadi aku ke tadi? Kenapa kau tak panggil aku?"

"Wowww!" Bob angkat tangan lalu dilekapkan ke dada Naim.

"Dap dip dup. Eh, kau dengar tak?"

Kening Naim berkerut.

"Dengar apa?"

"Dengar degupan cinta dari abang doktor."

"Bob!" Perut buncit Bob ditumbuk kuat oleh Naim. Dia berdesit menahan geram. Tangannya terus sibuk mencari nama Aisya Farhana di dalam senarai kenalannya. Tak ada pun nama Aisya Farhana. Si Bob ni letak nama Aisya apa, eh? Nak tanya nanti karang macam terdesak pula.

"Kau suka dia ke?"

"What?" Naim tak menyangka soalan itu muncul dari bibir Bob.

"Yalah. Aku nampak kau lain macam aje ni. Macam Aisya Farhana tu spesial aje dalam hati kau. Kau ni dalam diam-diam eh? Cakap tadi dia tu setakat gadis yang kau tolong. Tolonglah sangat. Tolong jodohkan kau dengan dia!" Bob gelak lagi. Riuh suaranya menggelakkan Naim. Kawan-kawan yang turut berada berdekatan hanya menggeleng dan senyum melihat telatah Bob. Bob memang cukup terkenal dengan gelak besarnya.

"Malas aku nak layan kau. Hoi buncit, pergi baliklah. Bini kau dekat rumah tengah tunggu kau tu. Kesian dia. Dahlah mengandung. Kau boleh eh tinggalkan dia sorang-sorang?" Naim sengaja membebel. Sebenarnya dia nak lari dari menjawab soalan Bob. Tiada guna dia menjawab soalan lelaki itu kerana sesungguhnya dia sendiri belum punya jawapan. Aisya Farhana... Gadis itu baru sangat muncul dalam hidupnya. Takkan dah jadi spesial kut. Mengarut! Drama sangat!

"Inilah saja kan modal kau. Tazkirah pendek untuk insafkan aku. Huh! Yalah, yalah aku balik sekarang. Tapi kau tetap rugi tau, Naim. Sekurang-kurangnya aku dah dengar suara Aisya. Dia dah borak dengan aku. Kau hadeee?" Bob tersengih. Dia bangun lalu mengemas begnya.

"Eleh, aku boleh call dialah nanti. Tapi apa nama yang kau save ni? Tak ada pun nama Aisya Farhana. Kau saja kan nak aku tanya juga soalan desperate ni?" Naim angkat bendera putih. Baik dia tanya terus sajalah pada Bob. Biarlah Bob nak fikir apa pun. Dah memang sungguh dia terdesak nak tahu. Seharian suntuk kut dia tunggu Aisya Farhana call. Bila Aisya Farhana dah call, Si Bob pula perdajal dia. Hampeh punya kawan!

Mendengar soalan dari kawan baiknya itu, Bob buat acuh tak acuh saja. Digalas beg ke bahu. Dia bersedia untuk pulang.

"Bob!" Naim tarik lengan Bob. Langkah Bob terhenti. Dia ketawa lagi.

"Hahaha... Tahu takut." Bob duduk semula bersebelahan Naim. Bahu Naim ditepuk-tepuk.

"Kesian aku tengok muka abang desperate ni. Meh adik buncit nak beritahu. Cuba kau search dekat huruf M. Confirm jumpa nama Aisya Farhana. Baik kan aku beritahu kau rahsia ni." Bob sengih jahat. Usai mengucap salam, dia terus pulang. Namun dari kejauhan, suara ramahnya masih kedengaran menegur beberapa orang di situ. Bob memang peramah sangat orangnya.

Bila pastikan Bob betul-betul dah balik, pantas huruf M ditekan. Nombor telefon Aisya Farhana dicari oleh Naim. Harap-harap Bob tak buat lawak bodoh dengan dia. Bukan boleh percaya sangat bakal bapak orang tu.

Semua nama yang bermula dengan huruf M dibacanya dengan teliti. Akhirnya dia menemui nama Aisya Farhana di celah-celah senarai kenalannya yang bermula dari huruf M.

Tak dapat Naim menyembunyikan tawanya saat melihat nama yang Bob simpan bagi nombor telefon milik Aisya Farhana itu.

"Bob, Bob. Kau memang senget!" Tersenyum-senyum dia macam kerang busuk.

Nombor 'Miss U Aisya Farhana' didail tanpa ragu-ragu. Naim perlu menelefon Aisya Farhana dengan segera dan jelaskan apa yang sebenarnya sudah Bob lakukan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro