Bab 2
"Alhamdulillah. Tak ada 'sesiapa' yang muncul, sayang. Along masih tetap along."
"Mama?" Sebaik saja dia mencelikkan mata, wajah mama kesayangan terpapar di depan mata. Aisya pandang lama wajah mamanya. Terselit sama segunung perasaan bersalah terhadap wanita tua itu.
"Alhamdulillah, along dah sedar." Puan Murni mengucup penuh kasih dahi si anak. Ubun-ubun Aisya dibelai-belai manja.
"Along pengsan lagi ke, ma?" Soalan itu disoal dengan nada kepayahan. Aisya sedaya upaya menahan air matanya daripada mengalir. Argh! Ternyata dia tewas lagi.
Hanya satu anggukan yang Aisya terima daripada Puan Murni. Wanita awal 60-an itu cuba menghadiahkan senyuman terindah untuk anaknya. Moga-moga dengan senyuman itu anak gadisnya tidak terlalu bersedih dan kesal dengan apa yang sudah terjadi.
"Adik mana, ma? Dia... Dia mesti dah balik dari hostel, kan? Mana dia sekarang? Dia merajuk tak dengan along? Dia marah along tak sebab tak siapkan kek yang dia nak tu?"
Bertubi-tubi persoalan muncul dari mulut Aisya. Tak tertahan lagi, air matanya merembes jua ke pipi. Saat ini hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia sangat kecewa dengan dirinya sendiri. Kau lembik, Aisya! Kau lembik! Kau tetap tak berjaya lawan sakit kau!
"Along memang tak boleh diharap kan, ma? Along kakak yang tak berguna..."
"Ya Allah, along! Apa yang along cakap ni? Tak baik along keluarkan kata-kata macam tu." Puan Murni bukan berniat hendak memarahi anaknya. Cuma kata-kata Aisya cukup tidak menyenangi hatinya. Tiada sesiapa yang menginginkan semua ini terjadi.
Tubuh Aisya didakap dengan lembut. Dibelai-belai belakang Aisya penuh rasa sayang.
"Ini semua ujian untuk kita, along. Ujian untuk menguji sejauh mana kesabaran kita. Ujian yang hendak menguji sejauh mana keimanan kita menerima qadak dan qadar-Nya."
Makin laju air mata Aisya luruh mendengar kata-kata dari mamanya itu. Hatinya semakin sebak. Pelukannya dikemaskan. Erat.
Mama... Kalaulah along seorang diri hadapi semua ni, along tak yakin along mampu bertahan, ma. Terima kasih sebab selalu berada di sisi along. Suara hatinya berbisik.
"Ma..." Pelukan kedua-dua mereka terpisah.
"Ya, sayang." Puan Murni menyeka air mata si anak.
"Ada sesiapa yang 'muncul' ke?" Penuh erti soalan itu ditanyakan.
Puan Murni yang cukup faham akan maksud sebenar anaknya, hanya menggeleng seraya menghadiahkan sekuntum senyuman.
"Alhamdulillah. Tak ada 'sesiapa' yang muncul, sayang. Along masih tetap along," jawab Puan Murni penuh makna.
Aisya menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak menambah kerisauan dalam dada mamanya.
Sesungguhnya penyakit yang dihidapi olehnya ini tersangat aneh. Pada mulanya Aisya terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan penyakit ini. Penyakit yang menyapa dirinya semenjak dia berusia lapan tahun lagi. Kini usianya sudah menjangkau 27 tahun. Diam tak diam, sudah hampir 20 tahun penyakit ini membelenggu dirinya. Pada usia lapan tahun, doktor telah mengenal pasti Aisya Farhana menghidap penyakit yang diberi nama split personality (personaliti berpecah) atau juga dikenali sebagai dissociative identity disorder (kecelaruan identiti berpisah).
Ya, itulah hakikat yang harus Aisya tanggung pada usianya yang masih terlalu mentah.
Terlalu banyak yang harus dirungkaikan. Dan terlalu banyak juga yang Aisya masih tak faham tentang penyakit jiwa yang dihadapi olehnya ini. Sungguh setiap kali dia memikirkan tentang penyakitnya ini, hanya kekecewaan yang akan menghuni hatinya.
"Ma..."
"Ya, along."
"Siapa yang tolong hantar along balik rumah? Mama pergi ambil along ke tadi?" Tiba-tiba saja soalan itu terlintas di benaknya. Kerana seingatnya, sebelum dia pengsan tadi ada seseorang yang muncul di sisinya. Tapi sayangnya dia tak berapa ingat sama ada orang tu lelaki atau perempuan.
"Ada orang yang baik hati tolong hantarkan along tadi." Puan Murni bersuara dengan nada agak ceria. Kesedihan dan penderitaan yang menyapa si anak, cuba diusir pergi.
Sebagai ibu, sudah pelbagai cara diusahakan oleh Puan Murni untuk menyembuhkan masalah mental yang dihidapi oleh Aisya. Pada mulanya, difikirkan Aisya telah terkena buatan orang. Maka cara alternatif seperti menemui ustaz diusahakan oleh Puan Murni dan arwah suaminya. Namun, tetap saja Aisya mengalami masalah yang sama berulang-ulang. Apabila diperiksa ke hospital, Aisya Farhana disahkan menghidapi penyakit jiwa yang jarang-jarang disebut itu.
"Siapa? Orang mana, ma? Lelaki ke perempuan?" Aisya bertanya cukup polos. Sungguh dia ingin berterima kasih kepada orang yang sudi menolongnya. Dengan penyakitnya yang aneh ini, tak ramai yang berani mendekatinya. Ramai yang takut menolongnya apatah lagi ingin menjadi kawannya. Rata-rata yang tahu akan rahsia besarnya ini akan menggelarnya dengan pelbagai panggilan yang meluluhkan hati. Tak sanggup Aisya mengingatinya.
"Mama ada minta nombor telefon dia tadi. Along call la dia sendiri. Tak pun SMS aje. Cakaplah terima kasih dekat dia. Baik budaknya. Kalau jadi menantu mama, confirm mama berkenan!" Puan Murni sengaja wujudkan mood ceria. Dia tak mahu anaknya bersedih lagi. Aisya Farhana layak bahagia. Sungguh dia sangat berharap andai kiranya jodoh Aisya muncul secepatnya. Hadir ibarat seorang adiwira yang menjadi penyelamat kepada Aisya Farhana.
"Eh, mama ni ke situ pula dah. Jadi menantu? Maknanya orang yang tolong along tu lelaki?" Dalam diam Aisya dah cemas. Lelaki yang tolong dia? Siap hantar ke rumah? Macam mana dia boleh tahu alamat rumah ni?
"Macam mana dia..."
"Dah-dah. Tak aci tanya mama macam-macam," ujar Puan Murni memotong percakapan Aisya. Dia bangun dari birai katil. Kepala Aisya diusap lembut.
"Mama dah save nombor dia dalam handphone along. Nama dia Naim. Mama nak along cakap terima kasih sendiri dekat dia. Okey, long?" Puan Murni tersenyum ceria. Dia melangkah pergi tanpa bersuara lagi.
Mata Aisya terkedip-kedip memandang langkah mamanya. Call dia?
Telefon bimbit yang terdampar di atas meja dicapai laju. Skrin telefon ditekan-tekan. Dalam senarai kenalan, nama Naim dijejaki.
"DIA tak call aku?" Naim yang baru muncul dari bilik mandi terus mendapatkan telefon bimbitnya. Hatinya entah kenapa agak hampa melihat tiada sebarang panggilan masuk daripada seseorang yang ditunggu-tunggu sedari tadi.
"Dia belum sedar dari pengsan ke?" Soalan itu bermain di bibirnya.
Telefon ditinggalkan di atas katil. Naim bersiap-siap memakai pakaian tidur. Berbaju T dan berseluar tidur kotak-kotak. Telefon kembali dicapai. Dia masih menunggu panggilan dari si dia.
"Mungkin dia segan nak call aku. Dah tengah malam kut." Naim terus membuat telahan sendiri. Jam sudah menginjak ke angka 12 malam. Sah-sah perempuan tu segan. Takkan nak menggedik telefon lelaki ajnabi malam-malam buta macam ni?
Tubuh direbahkan ke atas tilam. Buat sekian kalinya skrin telefon ditilik.
"Okay, fine! Dia takkan call. Tunggu esok ajelah. Naim, Naim. Kau dah kenapa, bro?" Naim menunjal kepalanya sendiri. Dia kemudian tersengih seorang diri.
Telefon kesayangan akhirnya diletakkan di atas meja. Naim sudah bersiap-siap untuk melelapkan mata.
Sebelum dia benar-benar terlelap, fikirannya terimbau mengenang kembali apa yang sudah terjadi di Pasaraya Tesco petang tadi. Dia telah membantu seorang gadis yang tiba-tiba saja rebah tidak sedarkan diri. Tak ada sesiapa yang sudi menolong. Perasaan simpati dan kasihan membuatkan Naim menghulurkan bantuan kepada gadis bertudung itu.
"Awak? Awak tak apa-apa ke? Awak, bangun!"
Naim cemas melihat keadaan gadis di hadapannya ini. Ingin ditampar pipi gadis itu, dia sedar batasnya sebagai lelaki bukan mahram. Ingin dipegang, dia juga serba salah. Walau berlapik namun, ah! Dia tak biasa!
Akhirnya dia meminta bantuan dari seorang wanita yang lalu di situ untuk menjaga Aisya buat seketika sementelah dia pergi mendapatkan kerusi roda.
Dengan bantuan kakak itu dan seorang lagi budak perempuan, tubuh Aisya diletakkan ke atas kerusi roda. Naim bergegas menghantar Aisya ke rumahnya setelah dia bercakap dengan mama Aisya memberitahu keadaan gadis itu. Bagaimana dia boleh bercakap dengan mama Aisya?
Ceritanya panjang. Buat masa sekarang, Naim tidak mahu memikirkannya lagi. Dia cuma ingin tahu keadaan Aisya Farhana yang terkini.
"Aisya Farhana." Wajah milik Aisya terlakar kemas dalam ingatannya. Jika diizinkan Tuhan, ingin sekali dia bertemu dengan gadis itu dalam keadaan gadis itu sedarkan diri. Bukannya dalam keadaan pengsan macam tu.
"Astaghfirullahalazim! Tak baik kau berangan pasal anak dara orang tengah malam buta ni, Naim!" Pipinya ditampar kedua-dua belah. Naim tak mahu melayan jiwa lagi. Bimbang akan membawa ke dalam mimpi.
Fikiran dikosongkan. Doa tidur dibaca. Lafaz syahadah terucap di bibir. Ayatul kursi juga menjadi pendinding. Naim memujuk mata supaya tidur. Moga esok akan ada panggilan dari si dia. Ah, hatinya masih sempat menyimpul harapan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro