Bab 14
"Aku Maria. Maria Mariana."
Enjin kereta dihidupkan. Doa kenderaan dibaca. Tali pinggang keledar dipakai dengan cermat. Bob bersedia meninggalkan pekarangan bangunan Klinik Pakar Dr. Hanafi.
Baru hendak memulas stereng ke kanan, mata Bob bagai mahu tersembul keluar saat terpandangkan wajah seseorang yang baru saja dilihatnya di dalam klinik sebentar tadi.
"Aisya? Aisya Farhana ke tu?" Bob menampar pipinya sendiri. Tidak percaya dengan pandangan matanya, dia meluru keluar dari perut kereta.
Baru hendak memanggil nama Aisya, gadis itu sudah pun dibawa pergi oleh sebuah teksi. Bob termangu di situ.
"Bob!" Mendengar namanya dipanggil, Bob segera berpusing ke belakang. Kelihatan Naim berlari laju ke arahnya.
"Kau ada nampak Aisya tak tadi?" soal Naim dengan wajah cukup serius.
Bob angguk tapi dia juga geleng selepas itu.
"Ada. Tapi... Dia..."
"Dia naik apa?" Naim bergerak ke arah keretanya.
"Bob! Dia naik apa?" soal Naim lagi sekali apabila Bob kelihatan masih blur.
"Dia naik teksi. Arah sana."
Naim angguk. Enjin kereta dihidupkan. Dia segera meninggalkan tempat parkir itu demi mengejar Amira Natrah.
"Tapi, Naim... Kenapa Aisya tak pakai tudung?" Itu yang ingin Bob beritahu atau lebih tepat tanyakan kepada Naim.
Adakah Aisya Farhana sudah berubah karakter? Bob membuat andaian sendiri.
"Ya Allah... Maksudnya ada alter Aisya yang tak bertudung?"
Rasa simpati Bob pada Aisya makin menebal.
Kring-KRING.
Amira Natrah buat bodoh. Panggilan dari si pemanggil bernama Naim tidak diendahkan.
Kring. Kring. Kring.
Telefonnya masih berbunyi minta diangkat.
Sakit hati dengan gangguan Naim, akhirnya Amira Natrah jawab juga panggilan itu. Namun tiada kata manis yang keluar. Hanya ada perkataan yang kurang enak didengar dihadiahkan untuk Naim.
"Hoi, jantan! Yang kau tak habis-habis call aku apasal, hah?! Bising tau tak?! Jangan ganggu hidup aku boleh tak, hah?!" Terjerit-jerit Amira Natrah memarahi Naim.
Dua orang pelayan kedai yang berada berhampiran dengan Amira Natrah, mula berbisik sesama mereka. Mereka berdua menjauhkan diri dari Amira Natrah saat gadis itu menjeling tajam pada mereka.
"Awak dekat mana ni? Boleh kita jumpa?" soal Naim dengan nada lembut.
"Hoi, lelaki tak guna. Kau jangan nak bercakap lemah gemalai dengan aku. Aku takkan tertipulah!"
Pap!
Panggilan segera Amira Natrah matikan. Dia mendengus.
"Tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku. Blahlah!" Dia membebel seorang diri. Lolipop yang sedari tadi dijilatnya dilempar selamba ke atas lantai. T-shirt berwarna hitam dan seluar jean yang sudah siap dipilihnya dibawa ke kaunter. Beg tangan milik Aisya Farhana diselongkar.
"Sengkek punya orang. Ada dua ratus aje?" Amira Natrah menghempas kuat tas tangan ke meja kaunter. Terkejut budak cashier yang sedang menjaga kaunter.
"Berapa?" soal Amira Natrah kasar.
"Errr... Se... Semuanya RM122.90." Tergagap-gagap Ali menjawab. Seram dia tengok perempuan berbaju kurung di hadapannya ini. Pakai baju tradisional punyalah ayu. Muka pun boleh tahan lawa. Tapi sayang perangai kasar nak mati.
"Hei, kau jual baju ke jual emas, hah?! Apasal yang mahal nak mampus ni?! Tak ada-tak ada. Aku nak bayar 50 ringgit aje. Nah, ambil ni!" Sekeping not RM50 dilempar ke muka budak lelaki tu. Ali tak berdaya nak memprotes. Sesungguhnya dia insan yang lemah.
Amira Natrah senyum sinis pada semua yang berada di kedai itu. Baju dan seluar dibawa ke tandas. Tak kuasa dia nak salin pakaian di sini. Karang kena hambat dengan tauke kedai mati dia.
Tak cukup dirembat baju dan seluar tanpa harga yang sepatutnya dia bayar, dengan cukup berani Amira Natrah mengambil jaket kulit yang tersarung pada badan patung. Sepantas kilat dia melarikan diri. Kelicikan gadis itu melarikan diri menyebabkan Ali dan kawan-kawannya gagal menjejaki Amira Natrah. Mereka hanya mampu melihat dengan penuh geram gadis itu melarikan diri semakin jauh.
"Welcome back, Amira Natrah!" Penampilannya di hadapan cermin kaca ditatap dengan penuh kemegahan.
Pakaiannya serba hitam. Rambutnya yang ikal panjang dilepas bebas. Merasa tidak selesa dengan wajahnya yang tercalit solekan nipis dan lip gloss milik Aisya Farhana, segera dia membersihkan mukanya dengan air paip.
"Ini baru Amira Natrah! Bukannya macam si lembik Aisya tu!" Cermin kaca di hadapannya disimbah dengan air. Amira Natrah menapak keluar dari tandas dengan perasaan yang cukup bebas.
"Tunggu."
Suara seseorang menerjah ke gegendang telinga Amira Natrah. Dia tidak memusingkan keseluruhan tubuhnya sebaliknya dia hanya memalingkan kepalanya separuh. Rasanya dia tahu siapa yang memanggilnya.
"Aisya Farhana?" Betapa terperanjatnya Naim melihat penampilan Aisya Farhana saat ini. Tidak berkelip matanya melihat Aisya Farhana yang sudah tidak lagi bertudung. Yang ada hanyalah rambut gadis itu yang terlepas bebas.
Hati Naim dilanda debar. Adakah Aisya tahu bahawa alter bernama Amira Natrah ini tidak bertudung atau lebih tepat Amira Natrah tidak menutup aurat sepertimana Aisya Farhana menutup aurat?
"Amira Natrah?" Naim masih terpaku dan terkaku memandang ke arah Aisya Farhana a.k.a Amira Natrah.
Amira Natrah mencebik. Akhirnya dia berpaling sambil memeluk tubuh.
"Ya. Ada masalah ke, Dr. Naim?"
Naim yang berdiri di tepi dinding menapak perlahan-lahan mendekati Amira Natrah. Ingat, Naim. Yang berdiri depan kau sekarang bukan Aisya Farhana. Tapi Amira Natrah, si pendendam tu.
"Macam mana awak boleh tahu nama saya sedangkan ini kali pertama kita berjumpa?" Cukup berpengalaman mengendalikan pesakit DID, Naim bertindak mengikut rentak Amira Natrah. Dia takkan sesekali memaksa gadis itu mengikut katanya. Cukup dia berjaya membuat gadis itu bercakap-cakap dengannya.
Meluat dengan soalan Naim, Amira Natrah menonong pergi. Tak kuasa dia nak menjawab soalan tak ada kepentingan macam tu.
"Tunggu dulu. Awak belum jawab soalan saya." Naim berjalan beriringan dengan Amira Natrah.
Benci dengan kehadiran Naim di sisinya, Amira Natrah berhenti melangkah. Wajah Chinese look milik Naim ditatap dengan perasaan menjengkelkan.
"Kau boleh tak..." Mata dijeling. "Jangan ikut aku? Rimaslah!" marah Amira Natrah dengan bengis.
"Maaf. Tapi tak boleh ke saya jadi kawan awak?" Naim terus-terusan bersuara lembut, memujuk.
"Kawan? Kau nak jadi kawan aku atau kau nak jadi orang yang akan 'bunuh' aku? Hei, aku tak bodohlah, Naim. Aku tak bodoh macam Aisya tu!"
Amira Natrah kembali meneruskan langkah. Melihat Naim tetap berdegil mahu mendampinginya, akhirnya dia bertindak berlari ke balkoni. Menjerit macam nak gila Naim cuba menghentikan Amira Natrah yang bertindak mahu terjun dari balkoni kaca.
"Aisya, jangannn! Aisya!!!"
Jeritan maha kuat dari Naim membuatkan Amira Natrah menghentikan lakonannya. Dia tergelak sinis. Kepalanya digeleng-gelengkan. Jasad Naim yang sudah terduduk kaku didekati. Dibongkokkan tubuhnya lalu dibisikkan sesuatu ke telinga lelaki itu.
"Kalau kau tak nak kekasih hati kau mati, kau jangan ikut aku lagi. Aku terlalu benci dan meluat tengok muka kau, Naim. Naim? Huh... Pandainya kau berlakon. Bodohnya Aisya kalau dia boleh terima kau semula. Kau hadir dalam hidup dia sekarang sebagai penyelamat dia? Kelakar sangat, Naim. Kelakar!"
Anak mata mereka berdua saling menikam. Kata-kata yang Amira Natrah ucapkan sedikit pun tidak difahami dengan jelas oleh Naim. Kenapa gadis itu berkata-kata seakan-akan sudah cukup lama mengenali dirinya? Dia dikatakan berlakon? Naim dilanda rasa buntu yang menebal.
Naim memandang sepi langkah Amira Natrah yang semakin menjauh darinya. Gadis itu melangkah pergi dari situ tanpa berpaling ke belakang lagi.
Namun beberapa tapak sebelum Amira Natrah menuruni tangga esklator, tiba-tiba gadis itu rebah ke bumi.
Terkejut dengan apa yang dilihatnya, Naim pantas mendapatkan gadis itu.
"Arghhh! Tak! Dendam aku belum terbalas! Jangan! Aku tak nak masuk dalam dunia tu lagi!" Meronta-ronta Amira Natrah seorang diri. Dia bercakap seorang diri sambil meramas-ramas rambutnya.
"Amira? Amira?!"
Tanpa sebarang amaran, leher Naim diterkam oleh Amira Natrah. Naim yang panik cuba melepaskan dirinya dari cengkaman gadis itu. Tak sangka kuat juga tenaga gadis ini.
"Aku benci kau, Naim! Aku benci kau! Aku benci a... Arghhh!" Sekelip mata tangan Amira Natrah yang sedang mencekik kuat leher Naim mula terkulai layu. Gadis itu rebah di pangkuan Naim.
"Amira?" Sedar batas yang perlu dijaga, dengan berhati-hati Naim mengalihkan tubuh Amira Natrah. Kesakitan lehernya tidak diendahkan. Dia terlalu risau memikirkan keadaan Amira Natrah. Paling tepat, Naim cemas memikirkan tentang cinta hatinya, Aisya Farhana.
Orang di sekeliling yang terkejut dengan apa yang berlaku, bercakap-cakap sesama mereka. Suasana menjadi gamat sehinggalah dua orang pengawal keselamatan muncul di situ untuk menenteramkan keadaan.
"Bersurai semua. Bersurai." Arahan dari pengawal keselamatan tidak dituruti oleh pengunjung-pengunjung yang menjadi saksi drama sebabak antara Amira Natrah dan Naim. Siap ada yang rekod dengan video dan ambil gambar lagi.
"Bersurai semua. Harap bagi kerjasama," arah pengawal keselamatan itu, masih cuba meleraikan keadaan.
Beberapa minit berlalu, suasana mula tenang seperti biasa. Naim langsung tidak menghiraukan keadaan sekeliling, dia hanya sibuk memikirkan jasad Aisya Farhana yang sudah pengsan tidak sedarkan diri.
Telefon bimbit segera dikeluarkan. Nombor Puan Murni ingin didailnya.
Tidak sempat tangannya menekan butang Call, tiba-tiba tubuh Aisya Farhana bangun menegak. Terkejut dengan keadaan itu, Naim terduduk di sisi Aisya.
"Aku dekat mana ni?" Gadis itu bersuara lemah.
"Amira? Errr... Aisya?" Sungguh Naim keliru dengan keadaan gadis di hadapannya sekarang ini. Melihat dari sinar mata, tiada lagi sinar kebencian dari mata bundar itu. Mungkinkah Amira Natrah sudah pergi dan Aisya Farhana sudah kembali?
"Kau siapa?" soal gadis itu tiba-tiba.
Dahi Naim sudah berkerut. Baik Aisya Farhana mahupun Amira Natrah kedua-duanya sudah mengenali siapa Naim. Tapi kalau gadis di hadapannya ini masih bertanya dia siapa, Naim dapat rasakan dia sedang berdepan dengan alter yang baru. Persoalannya, alter yang mana satu? Maria Mariana? Ustazah Jamilah? Bibah Bebel? Atau Han Ji Ha?"
"Saya... Saya Naim. Awak?"
Sambil memicit-micit kepalanya, gadis itu berdiri.
"Aku Maria. Maria Mariana."
Naim berfikir sejenak. Maklumat tentang alter bernama Maria Mariana cuba diingatinya.
Maria Mariana.
Berusia 30 tahun. Karakter ini muncul sewaktu Aisya berusia 12 tahun.
Seorang yang lasak. Berperwatakan tomboi. Suka menaiki motosikal berkuasa tinggi. Telah membeli sebuah motosikal Velocita 250cc di Mudah.My berharga RM5000 menggunakan duit simpanan Aisya Farhana.
Berita baiknya adalah Maria Mariana boleh diajak berbincang dan dia kurang memberontak. Itu akan memudahkan kerja Naim untuk menyingkap dengan tepat trauma yang dialami oleh Aisya Farhana.
Oh, terlupa pula Naim pada satu point tidak kurang pentingnya. Maria Mariana adalah peminat nombor satu Awie Wings dan Ziana Zain. Ya, itu adalah fakta.
"Hantar aku balik, Awie. Aku ada perjumpaan dengan kawan-kawan motor besar aku. Hantar aku balik sekarang." Maria Mariana menapak meninggalkan Naim.
Naim cuba menahan tawanya. Geli pula hatinya mendengar dia dipanggil Awie. Ini semua poyooo!
Maklumat tambahan.
Maria Mariana akan memanggil semua lelaki kacak dengan panggilan Awie. Entah kenapa Naim tak tahu. Kena tanya Maria Mariana sendiri kalau nak tahu.
"Aku Awie? Jadi aku ni kacak jugalah, ya?" Dia tergelak kecil.
"Awie! Lekas!" Maria Mariana memanggil serius. Keningnya dijongket sebelah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro