Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

"Jangan kau berani sentuh aku. Tangan kau sangat jijik dan kotor, Dr. Naim!"

Seminggu kemudian...

"DonAt Karamel ada lagi ke, dik?" Belum pun sampai betul-betul di hadapan gerai Aisya, Nura Alia terus bertanya dengan tidak sabar. Matanya melilau-lilau mencari kelibat kuih kegemarannya itu.

"Alamak, dah habislah, Kak Lia. Sorry sangat-sangat." Dengan wajah bersalah, Aisya memohon maaf.

Wajah Nura Alia terus dilanda kesuraman. Perutnya yang sudah membuyung diusap-usap sedih.

"Dah habis? Serius ke dah habis, dik?" Ditilik satu per satu bekas kuih yang tersusun kemas atas di meja. Wajah bulat lagi gebu si Donat Karamel sudah tidak lagi kelihatan.

"Kak Lia customer tetap Aisya kut. Hari-hari Kak Lia singgah sini. Hmmm... Kempunan nak merasa donat karamel hari ni." Dengan selamba, Nura Alia melabuhkan duduk di atas kerusi plastik. Wajah sugulnya terus terpamer.

"Maaf, kak. Lain kali Aisya akan simpan untuk Kak Lia. Aisya janji!" Bagi memujuk hati si pelanggan tetapnya itu, Aisya cuba menghulurkan kuih seri muka kepada Nura Alia.

Sepanjang setahun lebih dia dan mamanya meniaga di hadapan rumah mereka ini, Nura Alia dan suaminya, Syed Azwan sudah menjadi pelanggan tetap mereka berdua. Boleh dikatakan setiap hari perempuan yang cukup peramah itu datang membeli kuih di gerainya. Rumah Nura Alia dengan kawasan perumahan ni tak jauh mana.

"Sedap juga kuih ni, dik. Resipi baru ke? Eh, dekat atas ni keladi ke?" Kuih seri muka yang dihulurkan kepadanya dimakan dengan cukup penghayatan. Sedapnya! Yummy!

"Ini resipi baru mama, kak. Kuih Seri Muka Keladi." Aisya tersengih. Dia mengucap syukur kerana rajuk Nura Alia tidak berpanjangan lama. Kalau tidak, mahu dia rasa sedih. Bukan saja dia akan kehilangan pelanggan tetap bahkan dia akan kehilangan seorang kenalan yang peramah seperti Nura Alia a.k.a Kakak.

"Sayang? Makan apa tu? Macam sedap aje. Nak sikit." Syed Azwan muncul di situ setelah memarkirkan kereta tidak jauh dari situ. Dipimpin kemas tangan anak sulung mereka, Syed Riezqi.

"Boboy tak boleh makan kuih ni. Kuih ni hanya untuk wanita cantik seperti Lia yang ingin menambah keserian wajahnya. Syed Boboy sila makan kuih bakar aje. Bako bako bako. Hahaha..." Nura Alia tergelak kuat.

Syed Azwan yang geram disakat oleh isterinya pantas mencubit hidung mancung Nura Alia. Terus terdiam mak buyung tu.

Aisya dan Syed Riezqi hanya menjadi pemerhati kepada kedua-dua mereka.

"Kak Aisya, nak nasi ni. Laparlah." Rengekan dari Syed Riezqi yang berusia lima tahun itu menerbitkan senyuman di bibir Aisya. Pantas dicapai nasi lemak kegemaran anak kecil itu.

"Adik nak berapa bungkus?"

"Satu aje, dik." Nura Alia bersuara.

"Eh, satu mana cukup. Bagi dua, Aisya. Kesian anak papa ni." Syed Azwan usap kepala anaknya penuh kasih.

Nura Alia dah menjeling. Syed Azwan tayang muka selamba.

Aisya tergelak kecil melihat telatah kedua-dua pasangan suami isteri ini. Bahagianya hidup Kak Lia dan Abang Wan. Moga-moga kebahagiaan yang sama dapat Aisya kecapi suatu hari nanti. Kebahagiaan bersama insan tersayang.

Dalam bingit Boboy dan Kakak bergaduh memilih kuih yang hendak dibeli, mata Aisya sesekali menjeling ke kiri dan kanan jalan. Kelibat seseorang ditunggu-tunggu sedari tadi. Sejujurnya sudah hampir seminggu dia ternanti-nanti kehadiran seseorang.

Hampir seminggu dia menanti kehadiran si dia.

Ah... Naim tak pernah berjanji pun nak datang. Akukah yang salah kerana terlalu menaruh harapan?

Suara hati Aisya berbisik lemah. Ada harapan yang berputik di tangkai hatinya untuk melihat jasad Naim singgah di gerainya ini.

Ini kali pertama Aisya menyimpul harapan pada seorang lelaki. Kali pertama juga Aisya tertunggu-tunggu kehadiran seorang lelaki seperti ini.

Entah kenapa dengan hati dan fikirannya. Momen-momen yang tercipta antara dia dan Naim bermain-main dalam mindanya. Kenangan singkat itu membuatkan Aisya tersenyum seorang diri. Penderitaan tidak lagi menghuni kantung hatinya. Aisya Farhana mula berani untuk mengait angan.

"Jadi maksud kau, gadis yang kau tolong dekat Tesco hari tu penghidap DID?"

Naim mengangguk.

Bob tersandar lemah ke kerusi.

"Aisya Farhana ada DID?"

Sekali lagi Naim mengeyakan.

"Dan kau sanggup gantikan tempat abah kau untuk rawat dia?"

Naim angguk perlahan-lahan.

"Kenapa? Sebab kau dah jatuh hati dengan dia?" Bob meneka.

Tidak memberi sebarang respons, Naim cuma diam.

Bob tergelak. Naim dah menjeling malas.

"Sah kau dah suka dia. Kalau tak, kau takkan jadi macam ni, Naim."

"Apa kau merepek ni, Bob? Salah ke aku nak tolong dia?"

"Tak salah. Siapa yang cakap salah? Aku happy kalau kau dah kembali dalam bidang kau ni. Pengalaman kau sangat diperlukan, Naim. Dan aku bertambah happy bila kau dah jumpa cinta hati kau." Bob mengenyitkan mata.

Tak mampu menyembunyikan senyumannya, Naim senyum dalam diam. Dia buat-buat sibuk menelaah kertas di hadapannya.

"Eleh, buat-buat sibuk konon. Hey, kau jangan nak propa, eh? Apa yang nak dimalukan? Kau dah besar panjang kut. Dah memang layak sangat pun jatuh cinta, kahwin. Nanti tak payah bertunang. Terus aje akad nikah," saran Bob beria-ia.

Terhambur tawa Naim mendengar idea Bob itu.

"Amboi, sampai ke situ kau fikir. Aku... Aku dalam proses nak kenal-kenal dialah."

Sejujurnya Naim memang dah jatuh hati pada Aisya. Kali pertama dia melihat wajah gadis itu, dia sudah jatuh hati. Klise, kan? Tapi ini soal hati. Hati boleh suka seseorang dalam sekelip mata. Boleh benci juga dalam sekelip mata.

Bagi Naim, dia ingin menjadi pelindung Aisya. Ingin dihilangkan segala derita Aisya. Ingin dirawat dan dijaga Aisya sepenuh perhatian. Dia ingin mencipta banyak kenangan indah bersama gadis itu. Naim ingin membahagiakan gadis itu dengan kasih sayang yang melimpah-ruah.

Pada usianya yang sudah menjangkau 31 tahun, Naim tak rasa ingin bermain-main cinta seperti sewaktu dia masih muda belia dulu. Naim pernah bercinta dan bertunang sebelum ini. Namun semuanya berhenti sekerat jalan. Belum jodohnya untuk mendirikan rumah tangga agaknya. Ada saja halangan.

Tetapi lain ceritanya dengan Aisya Farhana. Kalau boleh dia ingin cepat-cepat menjadikan gadis itu yang halal buatnya. Naim sangat berharap moga akan ada 'happy ending' untuk dia dan gadis itu. Tapi macam mana caranya untuk dia nyatakan perasaannya ini kepada Aisya Farhana? Gadis itu terlalu pemalu orangnya.

"Terus masuk meminang dia, Naim. Ada jodoh kau dengan dia, insya-Allah Allah akan mudahkan segala-galanya." Bagaikan mengerti apa yang Naim risaukan, Bob a.k.a Dr. Azizul mendoakan yang baik-baik untuk sahabatnya.

"Amin-amin. Aku aminkan doa kau tu, Bob. Tapi kan, Bob. Tak ke mengejut sangat? Aku kenal dia baru seminggu lebih. Nak ke dia terima lamaran aku ni? Nanti dia mesti ingat aku nak main-mainkan perasaan dia."

"Seminggu ke sehari ke, tak menjadi ukuran. Yang penting, niat kau ikhlas nak jadikan dia isteri. Lepas dah kahwin nanti, kau boleh fokus betul-betul untuk rawat dia. Eh, kejap. Dia dah tahu ke kau ni psychiatrist?"

Soalan Bob mendapat jawapan bisu dari Naim. Perlahan-lahan kepalanya digeleng lemah.

Bob dah picit dahi.

"Alamak. Dia belum tahu? Kau rasa dia boleh ke terima kau?"

"Entahlah. Itu yang aku tengah runsing sekarang. Abah cakap, banyak kali juga Aisya tak nak datang sesi terapi. Kalau dengan abah pun dia cuba jauhkan diri, andai betullah aku dan dia ada jodoh dan kami berkahwin, kau rasa boleh ke dia terima aku nak rawat dia? Suami dia sendiri psychiatrist." Kerisauan jelas terpancar pada wajah Naim.

Faham dengan kerisauan hati Naim, Bob cuba memberi pendapat yang boleh menyenangkan sedikit hati Naim.

"Pada Allah kau minta pertolongan, Naim. Hati kita Dia yang pegang. Buat solat hajat dan banyakkan berdoa. Okey, bro?"

Senyuman pendek Naim hadiahkan untuk Bob. Kepalanya diangguk lemah. Memang itu saja cara yang terbaik. Minta daripada Dia. Insya-Allah, Dia pasti akan mengabulkan. Allahu samad. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

"Along, makan ni dulu. Dari pagi along tak makan. Nanti perut masuk angin susah." Puan Murni hulurkan roti Gardenia perisa coklat kegemaran Aisya. Aisya menyambut huluran mamanya dengan lemah. Plastik roti dikoyak tak bertenaga.

"Kenapa tak ada selera ni? Hmmm? Berdebar ke nak jumpa doktor baru?"

Aisya angguk. Perlahan-lahan dia cuba juga menelan roti coklat itu. Tapi tak luak banyak, lantas dia hanya meneguk air mineral.

"Insya-Allah doktor tu baik. Along janganlah fikir banyak sangat." Puan Murni cuba memujuk. Diusap-usap kepala Aisya penuh kasih.

Usai meniaga pada paginya, Puan Murni dan Aisya terus bergerak ke Klinik Pakar Dr. Hanafi untuk melanjutkan terapi Aisya. Dua bulan sekali Aisya akan ke sini untuk menghadiri janji temu dengan doktor. Ubat-ubatan untuk penyakit Aisya juga Puan Murni beli di sini. Walaupun harganya agak mahal namun Puan Murni sedaya upaya berusaha untuk mendapatkan ubat itu demi anaknya.

"Assalamualaikum." Seorang lelaki agak gempal tubuhnya menyapa mesra Aisya dan Puan Murni. Bob ukir senyum kepada kedua-dua mereka. Sudah menjadi tabiat Bob memberi salam kepada orang yang tak dikenalinya. Cuba menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W yang hampir dilupakan oleh orang sekarang.

"Aisya Farhana."

Saat nama Aisya Farhana dipanggil oleh pembantu perubatan, langkah Bob terkaku di situ. Wajah Aisya Farhana ditatap tanpa berkelip.

"Mak cik masuk dulu," ujar Puan Murni juga mesra. Bob senyum sumbing. Matanya masih tak lepas memandang jasad Aisya.

"Jadi, inilah Aisya Farhana. Oh, Naim. Patutlah kau dah jatuh cinta dengan dia. Ayu, sopan. Memang kau, Naim," ucap Bob sambil tersengih riang.

"Ya Allah, kuatkanlah jodoh sahabatku Naim dengan Aisya Farhana. Bahagiakanlah mereka dalam ikatan yang Engkau redai." Sempat doa itu dipanjatkan.

Melihat wajah ayu lagi sopan Aisya Farhana, tak mungkin orang akan terfikir derita yang sedang dia tanggung. Bob dah berdepan dengan banyak kes masalah jiwa seperti Aisya Farhana alami. Hanya satu yang boleh dia cakap. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Rasa simpati Bob tertumpah untuk Aisya.

Tok-tok.

Daun pintu diketuk lalu ditolak dari luar. Puan Murni dan Aisya menapak masuk.

"Assalamualaikum, doktor."

Aisya di belakang hanya membuntuti dengan diam. Wajahnya tunduk ke bawah. Tangannya tak lepas menggamit tangan mamanya. Aisya Farhana benar-benar diserang cemas. Perkara inilah yang melanda Aisya sewaktu kali pertama dia bertemu dengan Dr. Hanafi kira-kira 20 tahun yang lalu. Kini perasaan itu muncul lagi.

"Waalaikumussalam, mak cik. Jemput duduk." Naim mempelawa. Hatinya dilanda debar. Entah bagaimana reaksi Aisya nanti apabila melihat dia berada di atas kerusi ini.

"Doktor. Kenalkan ini anak mak cik, Aisya Farhana." Puan Murni bergerak ke tepi. Tangan Aisya ditarik mendekati meja.

Dengan takut-takut Aisya angkat muka untuk memandang sekilas wajah doktor barunya.

Dalam sepintas lalu itu dia agak terkejut kerana imej wajah Naim terpapar di hadapannya. Kurang percaya dengan apa yang dilihat, buat kali kedua Aisya memandang ke hadapan.

Betapa kagetnya dia melihat Naim benar-benar berdiri di hadapannya kini.

"Naim?" Dalam diam Aisya sudah diserang sakit kepala. Tangannya memaut kuat sisi meja.

"Aisya... Awak okey ke?" Naim menyoal dengan bimbang. Wajah Puan Murni ditatap dengan riak bersalah. Puan Murni hanya angguk dan senyum nipis. Si ibu cuba menenteramkan si anak.

"Along duduk dulu. Tarik nafas dalam-dalam." Saranan si ibu tidak mampu Aisya lakukan.

Dalam kesakitan itu, matanya tak lepas memandang wajah Naim. Tanpa sebarang amaran, wajah Aisya tersembam ke meja.

"Along? Ya Allah, along!" Puan Murni cuba membangunkan Aisya.

Sudah biasa dengan keadaan panik dan cemas, Naim bertindak tenang menyarungkan sarung tangan lalu diperiksa nadi di pergelangan tangan Aisya.

Dalam dia mengira detik nadi gadis itu, tiba-tiba tangan Naim ditepis kuat oleh Aisya. Naim dan Puan Murni sama-sama tergamam.

Aisya tiba-tiba sedar dari pengsan. Dipandang sekelilingnya dengan sinar mata yang cukup berbeza dari sinar mata milik Aisya Farhana.

"Jangan kau berani sentuh aku. Tangan kau sangat jijik dan kotor, Dr. Naim!" Aisya mendengus penuh kasar. Dia bangun menegak.

"Aku tak perlukan pertolongan daripada lelaki macam kau, Naim." Tajam jelingan mata Aisya menikam wajah Naim. Lelaki itu terkaku menatap sinar mata Aisya Farhana yang cukup berbisa dan penuh dengan kebencian itu.

"Mama tak perlu tunggu aku. Mama boleh balik. Aku ada hal nak buat." Pesanan terakhir itu ditujukan kepada Puan Murni. Aisya menapak keluar dari ruangan itu tanpa berpaling ke belakang lagi.

"Itu... Itu bukan Aisya kan, mak cik?" Naim menyoal dengan nada tersekat-sekat.

Puan Murni angguk. Lemah.

"Itu Amira Natrah. Alter terawal yang muncul dalam hidup along."

Jawapan daripada Puan Murni menyebabkan Naim terduduk di atas kerusinya. Dia masih kaget dengan keadaan yang baru saja terjadi itu. Sudah terlalu lama dia tidak berdepan dengan situasi switching ini.

Switching. Proses pertukaran antara karakter asal pesakit dengan karakter alternya. Satu proses yang boleh berlaku dalam sekelip mata. Satu proses yang tidak boleh dijangka.

Amira Natrah dah muncul. Akhirnya Naim dapat bertemu juga dengan alter Aisya.

Amira Natrah.

Gadis seusia Aisya Farhana. Muncul sewaktu Aisya berusia lapan tahun.

Gemar berpakaian serba hitam. Sangat kuat memberontak. Tak suka disekat kebebasannya. Suka mencipta masalah. Tidak suka orang menasihatinya. Kurang baik hubungannya dengan sesiapa saja kecuali dengan Puan Murni.

Merupakan alter dominan yang sangat negatif lagi pendendam. Musuh ketat Amira Natrah adalah seorang psychiatrist!

"Mak cik balik dulu. Saya nak kejar dia," ucap Naim tiba-tiba.

Puan Murni tidak melarang. Cuma sebaris pesanan dititipkan untuk anak muda itu.

"Naim..."

"Ya, mak cik."

"Tak mudah untuk lembutkan hati Amira Natrah. Naim jangan putus asa ya, nak?"

Naim angguk mengerti. Untuk tidak kehilangan jejak Amira Natrah, pantas Naim meluru keluar mencari kelibat gadis pendendam itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro