Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

"Jomlah mak cik kita karaoke. Bibah tak boleh tidurlah. Mata ni macam kena sendal dengan batang kayu!"

Jam sudah berdetik ke angka satu pagi. Puan Murni yang terbangun awal dari nyenyak tidurnya terasa ingin meneguk air bagi membasahkan tekak. Sebaik saja keluar dari bilik, telinga Puan Murni menangkap bunyi bising di tingkat bawah. Segera dia melihat apa yang sedang berlaku di ruang tamu itu.

"Along? Tak tidur lagi ke tu?" Lampu di ruang tamu dihidupkan.

"Astaghfirullahalazim!" Dada diurut laju saat matanya menjamah imej muka Aisya yang sudah berlumur dengan bedak putih.

"Along buat apa malam-malam ni? Kenapa belum tidur?" Kaca televisyen yang terpasang nyanyian karaoke dari kumpulan Spring dijelingnya sekilas. Alat kawalan jauh diambil lalu diperlahankan volum TV.

Along tak suka berjaga lewat malam macam ni. Dia juga tak suka layan lagu 90-an macam ni. Atau ini bukan along tapi... Hati Puan Murni sudah berkira-kira.

Diamati pakaian yang tersarung pada tubuh Aisya. Setelah dikenal pasti cara pemakaian gadis itu, Puan Murni hanya mampu menghela nafas panjang. Jadi benarlah yang berada di hadapannya sekarang bukan Aisya Farhana tetapi salah seorang alter daripada lima bersaudara itu.

"Jomlah mak cik, kita karaoke. Bibah tak boleh tidurlah. Mata ni macam kena sendal dengan batang kayu!"

Bibah Bebel.

Karakter yang berusia 20 tahun. Suka memakai baju kurung dipadankan dengan seluar trek. Sangat gemar berbedak sejuk pada malam hari. Seorang yang sangat suka membebel dan bercakap. Kumpulan nyanyian akhir 80-an dan awal 90-an menjadi kegilaannya. Sangat gemar berkaraoke. Set karaoke di rumah ini pun Bibah Bebel yang beli. Beli dengan duit Puan Murni sebetulnya.

Awal pertemuan Puan Murni dengan karakter ini adalah kira-kira 15 tahun yang lalu. Pada usia Aisya Farhana 13 tahun, wujud alter keempat ini.

Bibah Bebel akan muncul setiap kali Aisya ingin menghiburkan hatinya. Oleh kerana karakter sebenar Aisya Farhana suka memendam perasaan, maka watak Bibah Bebel dicipta untuk melepaskan semua yang terbuku dalam hati. Sebab tu Bibah Bebel sangat suka membebel dan tak makan saman.

"Bibah rupa-rupanya. Mak cik ingatkan siapa tadi," ujar Puan Murni seraya duduk di sebelah Bibah. Dia hanya mampu tersenyum nipis melihat jasad Aisya yang sudah dikuasai oleh personaliti yang lain. Andai ditanya pada Aisya esok apa yang sudah terjadi pada malam ini sudah pasti gadis itu tidak mengingati apa-apa. Aisya seakan-akan mengalami amnesia. Watak Bibah Bebel yang wujud ini tidak melekat dalam kotak memorinya.

"Mak cik tak ada beli CD lain ke? Kan Bibah dah pesan hari tu, belilah CD kumpulan lain pula. Kumpulan Wings ke, Spin ke, String ke. Ha, apa tu yang terbaru VE ke Ruffedge ke. Ini asyik-asyik Spring dengan Umbrella. Bosanlah!"

Puan Murni tersengih sumbing. Dia dah start dah.

"Nanti mak cik suruh anak mak cik pergi beli. Bibah tulislah senarai kumpulan yang Bibah nak."

Bibah mengangguk setuju. Diselongkar laci kaca di hadapannya. Mencari pen dan kertas.

"Hisy, payahlah nak tulis-tulis ni. Biar Bibah sendirilah yang pergi beli. Senang Bibah pilih yang mana satu Bibah berkenan. Lepas tu bolehlah Bibah pergi beli lolipop kegemaran Bibah sekali," ujar Bibah bersungguh-sungguh.

Puan Murni menggaru kepala. Haru jadinya kalau dia biarkan Bibah keluar dari rumah ni. Pernah beberapa kali Bibah keluar tanpa pengetahuannya. Sudahnya, ada lori dari kilang eletronik datang membawa satu set karaoke. Mahu tak mahu, terpaksa juga Puan Murni menerimanya kerana bayaran sudah diselesaikan oleh Bibah. Bibah ni licik. Dia dah bawa siap-siap duit tunai yang diambilnya dari bilik Puan Murni.

Nak marah pun tak guna. Puan Murni pening juga mula-mula dulu. Sekarang dia dah biasa dengan perangai Bibah Bebel. Tersangatlah berbeza dengan karakter sebenar Aisya Farhana yang sopan dan tak pernah sekali pun mengambil duit mamanya tanpa izin.

"Awal lagi ni, mak cik. Bibah nak keluarlah." Bibah bangun.

Pantas Puan Murni menarik lengan anaknya, memaksa gadis itu duduk semula.

"Eh, awal apanya? Dah pukul satu pagi ni, Bibah. Macam ni. Erm... Bibah tidur dulu. Esok kita sama-sama pergi ke kedai tu. Bibah belilah seberapa banyak CD yang Bibah nak. Mak cik belanja Bibah. Okey, sayang?" Pujukan dari Puan Murni membuatkan Bibah berfikir panjang.

"Okey. Bibah pegang kata-kata mak cik. Kalau esok mak cik mungkir janji, Bibah takkan maafkan mak cik sampai bila-bila!"

Puan Murni angguk. Digosok-gosok belakang Bibah.

"Ya, ya. Mak cik janji. Esok ya kita pergi?"

Entah esok masih wujud lagi ke tak karakter Bibah Bebel ni. Biasanya alter yang kurang dominan kemunculan mereka sekejap-kejap saja. Beberapa jam selepas ini mungkin saja Bibah Bebel tidak wujud lagi. Yang ada hanyalah Aisya Farhana yang asli. Kalau tidak pun alter lain pula yang muncul.

"Mak cik pergilah tidur. Bibah nak sambung karoks." Bibah tersengih. Dicapai mikrofon dengan laju. Ditekan-tekan alat kawalan jauh mencari lagu kesukaannya.

"Okey hadirin hadirat semua. Terimalah lagu dari Bibah yang bertajuk Butakah Cinta."

Wajah gadis itu mula bertukar serius. Dia cuba fokuskan penghayatannya. Feeling 'dicapai' dari atas. Tangannya melambai-lambai. Bibah Bebel tenggelam dalam lagu jiwang karat bertajuk Butakah Cinta.

Mahu tergelak pula Puan Murni melihat gelagat Bibah Bebel. Bibah, Bibah... Tak habis-habis dengan feeling-feeling nak jadi penyanyi tu.

Beberapa saat berlalu, tak semena-sema senyuman Puan Murni terhenti apabila menyedari hakikat sebenar kewujudan Bibah Bebel adalah disebabkan oleh trauma yang Aisya tanggung dek didera oleh bekas suaminya. Hati Puan Murni terasa sangat pedih. Kekecewaan dan penyesalan merajai jiwa.

Rashid, tengoklah apa yang dah kau buat pada anak kita. Kejamnya kau memukul dan menyeksa Aisya. Lihatlah sekarang keadaan anak kita, Rashid. Semuanya salah kau! Aku takkan maafkan kau, Rashid! Kau memang berhati binatang! Aisya hanya budak kecil yang tak tahu apa-apa. Kenapa kau sanggup seksa hidup dia sampai dia trauma macam ni sekali? Kau memang ayah yang tak berguna. Kejam!

Dalam diam, Puan Murni menitiskan air mata. Sungguh dia masih belum dapat melupakan apa yang sudah dilakukan oleh bekas suaminya itu kepada anak mereka, Aisya Farhana.

Seringkali timbul penyesalan dalam hati Puan Murni kerana terlalu mengikutkan hawa nafsunya sewaktu zaman mudanya dulu. Hubungannya dengan Rashid tidak mendapat restu kedua-dua orang tuanya. Namun demi cinta, ibu bapa diketepikan. Mereka berdua menikah di sempadan.

Rumah tangga yang pada mulanya bahagia mula retak sedikit demi sedetik. Rashid berubah sikap. Dari seorang yang penyayang, Rashid menjadi seorang suami kaki pukul. Tidak cukup memukul isterinya, Rashid mendera cahaya mata mereka pula.

20 tahun yang lalu...

"Jangan pukul Aisya, bang! Pukul aje Murni. Murni yang salah. Murni yang tak dengar cakap abang. Maafkan Murni, bang." Rayuan Murni tidak diendahkan oleh Rashid. Tubuh kecil anaknya yang berusia tujuh tahun itu terus ditibai dengan tali pinggang.

"Aku dah cakap jangan bergaul dengan budak-budak dekat taman sebelah tu. Yang kau degil sangat kenapa, hah?! Kau nak jadi liar macam dia orang ke?! Budak degil!"

Tidak sanggup melihat kesakitan anaknya, Murni mempertaruhkan tubuhnya melindungi tubuh kecil Aisya.

"Allah..." Isi tubuh Murni terasa berkecai. Kepedihan dan kesakitan yang dirasai amat sukar untuk digambarkan.

Rashid meludah ke sisi. Tali pinggang dibelit semula ke pinggangnya. Dia mengeluarkan amaran terakhir.

"Aku bagi kau amaran terakhir, Murni. Sekali lagi aku tengok Aisya main dengan budak-budak dekat situ, aku patah-patahkan tulang budak ni. Sekali aku kata jangan, sampai bila-bila kau jangan berani buat! Faham?!" Bergegar ruang tengah rumah setinggan itu dengan jerkahan Rashid.

Murni memeluk erat tubuh Aisya. Kepalanya diangguk-angguk penuh ketakutan.

"Ba... Baik, bang. Murni faham."

Usai melampiaskan nafsu amarahnya, Rashid keluar dari rumah. Mulutnya masih kedengaran menyumpah seranah.

"Sayang..." Murni mendakap kemas tubuh kecil Aisya. Dia menangis tersedu-sedan menangisi nasibnya. Sungguh dia tidak menyangka perangai Rashid berubah baran seperti ini. Kesusahan mereka menyara kehidupan di bandar besar ini telah berjaya mengubah Rashid menjadi seperti itu. Hilang sudah kebahagiaan dalam hati Murni.

Hancur hati Murni melihat wajah Aisya yang sudah lencun dengan air mata. Yang peliknya, tiada sebarang tangisan yang keluar. Hanya air mata yang berbicara. Aisya kelihatan bingung dengan apa yang baru menimpanya. Matanya tajam mencerlung ke arah pintu rumah. Penumbuk kecilnya dikepal kemas.

Bukkk.

Ingatan Puan Murni pada kenangan pahitnya 20 tahun yang lampau itu terhenti saat melihat jasad Bibah tiba-tiba tumbang menyembah lantai.

"Bibah? Bibah!" Dia meluru mendapatkan anaknya. Tubuh Bibah digoncang-goncang.

"Bibah, bangun! Bibah!" Pipi Bibah juga ditampar-tampar lembut. Kenapa Bibah boleh jatuh pengsan ni? Atau Bibah diserang sakit kepala?

"Bibah? Ya Allah, syukurlah Bibah dah sedar. Terkejut mak cik tadi." Melihat mata Bibah sudah celik semula, Puan Murni mula dapat tarik nafas lega.

"Mama?" Aisya bangun menegak. Dipandang ruang sekelilingnya. Pakaian yang tersarung di tubuh juga ditilik.

"Along?"

"Bibah ke yang 'keluar' tadi?" soal Aisya perlahan. Kepalanya masih berdenyut-denyut sakit. Melihat pakaian yang disarungnya, Aisya yakin Bibah Bebel yang muncul.

Melihat kaca TV terpasang lagu kumpulan Spring Butakah Cinta, dengan baju kurung yang dipakainya dan bedak sejuk yang tertempek pada mukanya, benar-benar melahirkan kebingungan dalam minda Aisya. Hanya Bibah Bebel yang gemar melakukan semua ini.

"Haah, along. Bibah yang keluar. Bibah suruh mama belikan dia lebih banyak CD. Dia dah bosan nyanyi lagu sama." Puan Murni tersenyum nipis. Rambut Aisya diusap-usapnya. Ya Allah, sampai bila keadaan anak aku akan macam ni? Kalau aku dah tak ada nanti... Macam mana keadaan dia, Ya Allah? Suara hati Puan Murni merintih. Sungguh, hanya pada Allah S.W.T sajalah tempat dia meluahkan segala kesedihannya.

Aisya pura-pura tertawa mendengar kata-kata mamanya itu. Matanya belum buta melihat kesuraman wajah mamanya. Mata mama juga berkaca-kaca menahan rasa. Aisya tahu mama sedang bersedih kerana penyakitnya ini.

Andai kematian itu lebih baik untukku, Ya Allah... Engkau matikanlah aku. Namun andai kehidupan adalah terbaik untuk aku teruskan, Engkau hadirkanlah kesembuhan untukku, Ya Allah. Engkau kuatkanlah aku. Engkau kuatkanlah aku, Ya Allah...

Andai dalam hati tidak terpahat teguh dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, rasanya sudah lama Aisya Farhana tewas dalam perjuangan ini.

Dan kalau bukan juga kerana mamanya terus berada di sisinya, Aisya pasti sudah kecundang awal dalam peperangan jiwa dan minda ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro