Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

"Kalau macam tu, esok Naim akan jumpa dia. Naim akan terus terang dengan dia. Abah rasa dia boleh terima ke?"

Dr. Hanafi makan dengan cukup berselera. Lauk-pauk yang dibeli dari Warung Mak Piah benar-benar memenuhi cita rasanya. Hidup menduda macam inilah. Isteri tak ada nak masak sedap-sedap.

"Dah kenapa tak jamah nasi tu, Naim? Duk termenung dari tadi. Tak lapar ke perut tu?"

Mendengar leteran si ayah, barulah tangan Naim bergerak. Sedikit kuah dari lauk sotong masak kicap dicedok. Naim makan tak berapa berselera.

Naik pelik Dr. Hanafi melihat keadaan anaknya. Sejak pulang tadi lelaki itu seakan-akan berada dalam dunia lain. Termenung panjang. Tak banyak bercakap. Atau Naim stres fikir pasal...

"Apa perkembangan kes Aisya Farhana? Naim dah dapat kumpul maklumat baru?" Sedia maklum dengan kesudian Naim menerima kes Aisya Farhana, cukup membuatkan Dr. Hanafi berasa senang hati. Syukur Alhamdulillah. Moga-moga Naim kembali bersemangat untuk meneruskan kariernya sebagai seorang doktor. Moga kes Aisya Farhana menjadi pencetus semangat untuk Naim menerima pesakit-pesakit lain selepas ini.

"Naim? Dr. Naim?" Dua kali dipanggil namanya barulah Naim tersedar dari lamunan. Terus dia menoleh ke arah ayahnya.

"Ya, abah?"

Dr. Hanafi senyum nipis.

"Fikir pasal apa? Pasal pesakit ke atau pasal hati yang sakit menanggung cinta dan rindu?"

Naim yang baru meneguk air terus tersedak. Perit tekaknya.

"Ya Allah, budak ni. Boleh pula dia tersedak. Abah tanya aje pun," ujar Dr. Hanafi seraya menepuk-nepuk belakang Naim.

Tak senang duduk Naim menerima pertanyaan ayahnya itu. Soalan memerangkap betul.

"Tak adalah, bah. Naim fikir pasal Aisya."

"Hah, betullah tu dah jatuh cinta." Dr. Hanafi menyakat.

"Eh, bukan. Bukan macam tu maksud Naim." Naim dah gelabah. Dijeling ayahnya yang sedang enak mentertawakannya.

"Maksud Naim, Naim fikir tentang penyakit dia. Sampai sekarang Naim dengan dia belum betul-betul boleh declare sebagai kawan. Dia pendiam, dia perahsia. Naim tanya sepatah, dia jawab sepatah. Macam manalah Naim nak tahu pasal masa lalu dia, bah."

Dr. Hanafi mengangguk-angguk. Tanpa memberi sebarang komen, dia bangun lalu pergi membasuh tangannya di singki. Seminit kemudian dia kembali ke kerusi lalu melontarkan pendapatnya.

"Abah rasa Naim dah pernah berdepan dengan patient macam ni, kan?"

Naim angguk.

"So maknanya Naim dah ada pengalaman tu. Cuba guna pendekatan yang sama."

Naim geleng pula kali ni.

"Tak boleh, abah. Sebab patient Naim sebelum ni lelaki. Kalau lelaki, bolehlah Naim ajak main futsal ke, keluar lepak ke. Aisya perempuan. Pemalu pula tu. Naim buntulah."

Masing-masing mendiamkan diri. Dr. Hanafi berfikir demi membantu anaknya.

"Kalau susah sangat, apa kata kalau Naim terus terang dengan Aisya? Terus terang tentang tujuan Naim muncul dalam hidup dia."

"Maksud, abah?"

"Maksud abah, beritahu dia Naim psychiatrist yang akan gantikan abah. Dengan cara tu saja Aisya tak ada pilihan selain bagi ruang untuk Naim dekati dia."

Jadi, abah pun fikir macam aku fikir. Memang itu saja cara yang ada untuk dekati Aisya. Mulakan perkenalan dengan gadis itu sebagai pesakit dan doktor. Namun jauh dalam sudut hati Naim, dia agak kurang gemar memperkenalkan dirinya sebagai psychiatrist kepada pesakit yang bakal dirawatnya. Kalau boleh dia ingin menjadi kawan terlebih dahulu. Setelah hubungan telah terjalin, maka akan mudah baginya untuk memberi rawatan kepada pesakit.

"Kalau macam tu, esok Naim akan jumpa dia. Naim akan terus terang dengan dia. Abah rasa dia boleh terima ke?"

Dr. Hanafi menggelengkan kepala. Naim kurang mengerti maksud gelengan abahnya itu.

"Tak perlu. Malam ni abah sendiri yang akan call Puan Murni. Abah akan suruh Puan Murni beritahu Aisya kononnya Dr. Hanafi akan diganti oleh seorang doktor lain. Minggu depan appointment Aisya dengan abah. Dia dengan mama dia akan datang ke klinik untuk beli ubat dan buat terapi hipnotis. So, minggu depan Naim ambil tempat abah. Okey?"

Naim mengangguk faham. Baiklah. Minggu hadapan akan dia memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Naim kepada Aisya. Akan terkejutkah gadis itu nanti? Akan mudahkah jalannya untuk mendekati Aisya selepas ini?

Moga-moga jawapannya adalah ya.

"Ya baiklah, Dr. Hanafi. Terima kasih sebab beritahu. Waalaikumussalam."

Puan Murni meletak cermat telefonnya ke atas meja. Pada Aisya, dia senyum pendek.

"Siapa, ma? Dr. Hanafi? Kenapa dia call mama malam-malam ni?" soal Aisya sambil tangannya sibuk menekap karipap pada acuan.

"Haah, Dr. Hanafi yang call. Dia beritahu ada doktor baru yang akan gantikan dia."

"Maksudnya?"

"Maksud dia, dia dah tak boleh uruskan kes Aisya. Minggu depan Aisya akan dapat psychiatrist baru." Puan Murni menerangkan serba ringkas. Sejujurnya dia sudah tahu siapa doktor baru itu. Tidak lain tidak bukan adalah lelaki baik hati lagi sopan, Dr. Naim bin Dr. Hanafi.

Aisya hanya angguk lemah. Mimik mukanya menggambarkan dia agak kecewa.

"Kenapa muka monyok? Takut rindu dekat Dr. Hanafi ke nanti?" Puan Murni mengusik.

Terus Aisya tergelak. Laju dia gelengkan kepala.

"Bukan tapi along cuma takut along tak boleh nak ngam dengan doktor baru tu. Along dah cukup selesa dengan Uncle Hanafi. Uncle Hanafi baik. Dia dah cukup faham keadaan along macam mana."

Puan Murni menggamit tangan anaknya. Dia perlu menenangkan hati Aisya supaya tidak banyak berfikir.

"Insya-Allah, doktor yang baru tu pun akan dapat faham keadaan along. Kutlah dia muda lagi kacak bergaya. Untung-untung bermenantukan doktor mama nanti." Puan Murni tergelak.

Aisya juga ketawa riang. Mama ni bab berangan boleh tahan juga.

"Siapalah boleh terima keadaan along ni, ma? Along... Along dah macam orang kurang siuman, ma. Mana ada yang sudi nak jadikan along isteri."

Berkecai rasanya hati Puan Murni mendengar luahan perasaan anaknya itu. Hatinya disapa sayu.

"Tak baik along cakap macam tu. Setiap manusia Allah dah janjikan kebahagiaan mereka masing-masing. Allah dah tetapkan waktu yang paling tepat untuk seseorang tu kecapi bahagia. Allah dah tetapkan dengan siapa orang tu akan hidup dengan gembira. Semuanya dah tertulis di lohmahfuz. Yang tinggal hanya usaha kita untuk mengejar bahagia tu. Mama yakin akan ada seseorang yang dah Allah tetapkan untuk bahagiakan hidup anak mama ni. Seseorang yang boleh terima keadaan along, baik buruk along. Akan ada seseorang tu, along. Percayalah cakap mama."

Aisya menundukkan wajahnya. Tak mampu dia membalas renungan mamanya yang sudah mulai berkaca-kaca itu.

Dalam hati, Aisya mengaminkan doa kudus dari mamanya. Moga-moga akan benar-benar hadir seseorang yang akan menoktahkan cinta dan rindu ini. Atau lebih tepat lagi seseorang yang akan menjadi penguat untuk dia. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang pesakit kecelaruan personaliti sepertinya.

Ramai yang tidak percaya dengan individu yang disahkan menghidap penyakit DID ini. Masyarakat beranggapan mereka yang menghidap DID hanya berlakon dan berpura-pura. Masyarakat juga tidak menganggap DID adalah sebahagian daripada masalah mental. Hal ini adalah mungkin disebabkan oleh peratusan masalah kecelaruan personaliti ini sangat rendah iaitu sekitar satu atau dua peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan. Penyakit DID jarang-jarang disebut.

Disebabkan oleh hal itulah Aisya lebih gemar mengasingkan dirinya daripada masyarakat. Baginya, biarlah masyarakat sekelilingnya tidak menyedari akan kewujudannya. Lebih mudah dan lebih baik begitu. Bagi Aisya, hidupnya hanya ada mama, adik dan arwah abahnya sahaja. Aisya tidak punya kawan-kawan lain.

Keadaan Aisya yang sering bertukar personaliti membuatkan dirinya yang sebenar disalah tafsir dan sering dipersalahkan. Padahal bukan dia yang membuat segala masalah itu. Karakter yang wujud itulah yang menjadi punca kepada masalah yang timbul.

Ramai yang keliru apabila hari ini Aisya kelihatan baik namun keesokannya atau setelah beberapa jam atau setelah beberapa hari selepas itu Aisya menjadi terlalu agresif atau terlebih pasif.

Keadaan itu menyebabkan Aisya sangat tertekan dan dia sering merasakan dirinya seperti orang kurang siuman. Betapa dia sangat tertekan dengan penyakit ini.

Kerana itulah lama-kelamaan, Aisya tidak mahu lagi meneruskan persekolahannya. Dia berhenti sekolah pada usianya 12 tahun. Aisya tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia. Aisya hidup terasing dari semua orang.

Kini apabila meningkat dewasa, barulah Aisya cuba-cuba untuk berkawan dengan orang lain. Dia sudah mampu untuk keluar membeli-belah sendiri. Dia sudah boleh melakukan urus niaga dengan pelanggan-pelanggan yang singgah membeli kuih di gerainya.

Aisya hanya mampu bekerja dengan mamanya sahaja. Dia cuba untuk bekerja dengan orang lain. Namun keadaan yang sama menimpa dirinya. Pada saat dia bertukar karakter, ramai yang salah anggap padanya.

Akhirnya satu lagi keputusan nekad dibuat. Aisya tidak akan bekerja dengan sesiapa lagi selain dari mamanya. Titik!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro