Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

CHAPTER 36- KE MANA KAU PERGI

Langit sudah semakin gelap, tapi bayang Asha pun tak kelihatan lagi. Hatiku semakin gusar, takut apa-apa yang akan terjadi padanya.

Dari beranda rumah kelihatan Hawa dan Siti jalan berdua. Memang mereka bersahabat baik. Tak pelik kalau melekat ke hulu ke hilir. Tapi aku perasan sesuatu yang pelik pada mereka berdua. Mereka terlalu rancak berbual saja dari tadi.

Aku lantas berjalan menuju ke arah mereka.

"Eh, Indra," tegur Hawa sambil tersenyum. Siti terus membetulkan selendang di kepalanya.

"Kalian ke mana ni? Lewat petang begini merayau-rayau? Bahayakan. Kalau pontianak tu muncul lagi bagaimana?"

"Tak adalah. Kami dari rumah Kak Sarah tadi. Buat persiapan untuk majlis tahlil lepas maghrib nanti."

"Amboiii Abang Indra ni, risau betul dengan Hawa, ya? Hihihi," tegur Siti pula. Hawa lantas mencubit lengan Siti sebelum Siti menepis tangan Hawa. Aku cuba tersenyum bila disapa begitu.

"Abang bukan risaukan Hawa saja. Abang risaukan kamu juga ni Siti. Lewat petang begini merayau keliling kampung. Sudahlah kampung kita ada masalah."

"Iyalah, bang. Lepas ni kami balik ya," jawab Siti.

"Eh, apa yang kau pegang dari tadi ni? Cuba aku tengok," ucap Hawa lantas mengambil sanggul di tanganku. Dia terus membelek-belek sanggul itu.

"Cantiknya," ucap Hawa.

"Untuk siapa ini Abang Indra?" tanya Siti pula. "Untuk buah hati Abang Indra kah?"

"Hahaha. Abang mana ada buah hati," jawabku lalu cepat-cepat mengambil sanggul itu dari tangan mereka berdua.

"Iyakah abang tak ada buah hati ni? Jangan-jangan abang malu tak? Saja tak nak kongsi rahsia dengan kami. Iyalah, takkanlah beli sanggul ni untuk diri sendiri, mestilah belikan untuk perempuan, kan?"

"Hahaha, ada saja Siti ni, kan? Betullah abang mana ada buah hati. Ni abang nak belikan untuk Mak indang."

"Hurmm. Iyalah tuuu..."

"Haaa... Hawa, kau ada nampak Asha? Dia tak balik-balik ke rumah dari tadi," soalku.

Senyuman pada bibir Hawa hilang.

"Asha? Ke mana dia pergi?"

"Aku tak tahulah. Tadi aku balik dia sudah tak ada di rumah. Kau ada nampak ke mana dia?"

"Tak ada pula. Aku tak nampak langsung Asha."

"Eh, bukan tadi kau..." sampuk si Siti.

"Eh, marilah.  Kau kata mahu pulang, kan? Kami pulang dulu ya Indra. Kita jumpa lagi," ucap Hawa lalu tergesa-gesa mereka pulang.

Aku memandang mereka dari belakang. Hawa menepuk lengan Siti sambil bercakap-cakap sesuatu. Siti pula menepuk dahi. Cara mereka seolah-olah ada sesuatu yang mereka sembunyikan.

Tiba-tiba, hatiku rasa tak tenang.

................

Kedengaran azan Isyak sudah berkumandang dari masjid kampung. Aku masih menjenguk-jenguk dari beranda rumah. Semua rumah sudah bertutup pintu dan tingkap. Tiada siapa yang kelihatan merayau-rayau di sekitar kampung.

Hatiku semakin gusar. Tak boleh jadi! Aku mesti cari Asha sekarang juga. Bagaimana kalau terjadi apa-apa pada dia?

Aku lantas masuk semula dan mengambil parang di belakang pintu. Setelah itu, aku ikat pada pinggang. Dan sebilah pisau belati aku sematkan di betis dan aku sembunyikan di balik seluar.

"Indra," tegur Pak Ghazal dari belakang. Aku lantas menoleh.

"Ya, Pak Ghazal."

"Kau nak ke mana ni?"

Aku terus menyambung membalut kepala dengan kain lalu aku sematkan hujung kain itu pada lipatan.

"Indra."

"Saya mahu cari Asha, Pak."

"Ke mana kau nak cari? Sudah malam ni. Besok sajalah."

"Saya harus cari dia malam ni juga."

"Mungkin saja dia sudah balik ke dunia dia."

Kerjaku terhenti seketika. Asha balik?

"Tapi dia mana tahu jalan balik," sambungku lagi.

"Tak mustahilkan kalau dia tahu. Aku tengok budak tu lain macam sikit. Dia tu nampak berani," sambung Pak Ghazal lagi sambil menggulung rokok.

"Kau carilah Asha tu, Indra. Mak Indang risau dia kena apa-apa," celah Mak Indang yang baru datang dari dapur.

"Kau tahukan malam dah ni, Indang. Sekarang ni bahaya. Aku rasa dia dah balik ke dunia dia tu. Kau ingat dia mahu tinggal sini lama-lama lepas apa yang terjadi semua ni."

"Iyalah, bang. Kalau dia balik. Kalau tidak bagaimana? Apa-apa jadi pada dia kesian dia."

"Habistu, mana dia pergi lewat begini kalau bukan dia balik ke dunia dia? Ha, Indra. Dia ada kawan selain kau di sini?"

Aku terdiam seketika. Cuba berfikir siapa yang dia kenal selain aku di sini.

Tak silap aku, yang dia kenal cuma aku dan Hawa saja. Tapi Hawa kata dia tak nampak Asha sejak petang tadi.

Atau mungkin dia betul-betul sudah pulang? Siapa yang bagitahu dia jalan pulang? Takkanlah dia cari sendiri?

"Assalamualaikum..." kedengaran suara orang memberi salam dari luar rumah.

"Ha, siapa pula tu? Jangan-jangan Asha," kata Pak Ghazal.

Aku cepat-cepat membuka pintu. Kelihatan Bunga dan ayahnya Pak Jaafar di bawah rumah.

"Waalaikumussalam. Ada apa ni Pak Jaafar? Bunga?" jawabku.

"Waalaikumussalam. Ha Jaafar. Kenapa malam-malam datang ke rumah aku ni?" tanya Pak Ghazal pula.

"Ghazal, aku nak mintak tolong kau sikit. Kau tolong carikan Ibrahim boleh tak? Dari petang dia tak ada. Sampai ke malam, tak balik-balik lagi."

"Lah, ke mana dia pergi?"

"Tadi dia ada di rumah aku sedang betulkan kandang kambing aku yang rosak tu. Tapi kawan Ibrahim ni kata ada perempuan datang jumpa dia dan ajak dia ke mana entah. Ha, perempuan yang kau bawa tula, Indra. Dia datang jumpa Ibrahim, lepas tu mereka hilang."

"Asha? Asha jumpa Ibrahim?"

"Betul, Indra. Kawan Ibrahim kata tadi dia datang. Lepastu dua-dua hilang. Aku risaulah, Indra. Lagi satu, bagaimana Asha kenal dengan Ibrahim?" kata Bunga pula.

"Tak apa. Pak Jaafar sama Bunga balik rumah dulu. Biar saya pergi cari mereka berdua, ya," balasku lalu terus turun ke bawah rumah.

"Eh, Indra. Nanti dulu. Kalau ya pun, sebaiknya kita kumpul orang kampung. Kita cari mereka sama-sama," balas Pak Ghazal.

"Pak Ghazal kumpul orang kampung. Biar saya pergi cari dulu," balas aku lalu berlari keluar dari halaman rumah.

Ya Tuhan, ke mana mereka pergi?

Asha, kau tahukan aku risaukan kau. Kenapa kau pergi begini?

Sorry sangat-sangat for those yang menunggu sambungan cerita ni😭😭😭 saya sebenarnya mengalami writer block. Saya tak tahu nak sambung dari 1 point ke point yang lain. Otak saya tiba-tiba stuck huwaaa😭😭😭😭

Sorrryyyyy jugak sebab tak balas comment korang. Bukan tak nak balas. Saya tak tahu nak balas apa, sebab tak tahu bila saya bole update cerita ni. Saya tak nak berjanji, then tak tepati. Tapi saya akan try buat yg terbaik tuk cerita ni.

Thanks banyak-banyak korang yang menunggu cerita ni diupdate. Korang baik sangat-sangat. Love youall so muchhh emmuah😘😘💖💖💖

For your information, saya ada buat satu buku tentang resepi masakan. Hahaha, masakan simple, cepat dan murah je. Sebab saya pun student, soo memang akan masak masakan yang simple jela. Kalau korang berkelapangan bolela jenguk-jenguk buku saya tu. Hihi.

Ok let's stop chit chat. Daaa~~~

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro