BAB 7
"WHY are you here?"
Awina bertanya sebaik sahaja pintu pagar terbuka dan dia benar-benar berdiri di hadapan Hid Johar. Hid terkebil-kebil memandangnya.
Awina mengangkat kening, "Anything? You need?" Sebiji sebiji ayat keluar dari bibir. Rasa hairan bercambah-cambah di dalam hati.
Melihat Hid hanya sekadar memandang ke kiri dan ke kanan, Awina mula sedar lelaki itu tiada tujuan untuk muncul ke sini.
"Pukul berapa dah ni?" Awina mengangkat tangan kirinya dan menilik jam. Hid turut serentak menilik jam di tangan.
"11 malam." Bibir Hid menggumam.
"Ya, 11 malam. Awak muncul kat sini tapi pukul 11 malam." Awina menekan suara.
"I'm so sorry." Luah Hid Johar dengan rasa bersalah.
Awina mengangkat bahu tersenyum kecil. "Saya tak boleh jemput awak ke rumah pukul 11 malam. Parents saya dah rest kat dalam. Dan untuk ajak awak keluar minum pun, rasanya tak dapat kut. Lewat sangat."
"Again, I'm so sorry." Hid bersuara dengan nada bersalah mengakui kekhilafan sendiri. Dia pun tak pasti kenapa dia berada di situ selewat ini.
"Eh, tak apa. Saya tak marah." Awina menggaru pipi kirinya beberapa saat. Pelik tapi tak juga menyalahkan Hid Johar.
"Tapi mesti ada sebabkan awak datang ke sini?"
"Saya lepak dengan kawan, tiba-tiba aje saya kat sini."
Kening Awina bertaut. "Awak mabuk?"
Hid tersenyum senget. "Macam tengah mabuk ke saya ni?" Tidak menyangka sampai begitu sekali Awina berfikir.
"Of course not." Awina tersengih-sengih tahu dia teka main aci redah saja. Sebenarnya ingin bergurau tapi gurauan itu tidak menjadi kerana berbaur nada serius. Entah-entah dia dah kecilkan hati Hid Johar tadi.
"Instict nak datang ke sini ya?" Sambung Awina mengendurkan suara.
"Pardon?"
Awina menggenggam kedua-dua tangannya. Sejuk. Dia melirik ke arah lelaki di hadapannya. Tidak sejukkah? Rambut Hid Johar sedikit kusut ditiup angin yang agak kuat malam ini.
"Maksud saya naluri. Kadang-kadang tu saya pun pernah pergi ke satu tempat walaupun awalnya nak pergi ke tempat yang lain dengan tujuan lain. Tiba-tiba aje. Macam kena pukau tapi lepas dah sampai blurr tak tahu nak buat apa.." Awina cuba memahami Hid Johar dari sudut pandangannya. Bila diingat semula Awina pernah juga ke rumah lama walau dia tiada tujuan untuk ke sana. Cuma mengikut perasaan tanpa berfikir panjang. Mana tahu Hid Johar pun begitu juga, menjejak kaki ke sini sekadar suka-suka tanpa niat yang pasti.
"Saya kena pukau?" tanya Hid Johar menyembunyikan senyumannya. Kena pukau siapa? Awina?
Tahukah Awina maksud di sebalik kata-katanya sendiri? Awina seolah-olah menyatakan bahawa dia mempunyai perasaan pada wanita itu. Tapi Awina tetap berdiri tegak di situ dengan muka 'saya tak tahu apa-apa' sambil memandangnya dengan renungan kosong.
"Mungkin saya teringatkan awak kut Awina." Dia kembali bersuara menyedari lurusnya Awina saat ini.
Awina mengangguk kecil masih gagal untuk membaca fikiran lelaki itu. "Mungkin..."
"Hmm. Saya pun tak faham dengan diri sendiri. Maaf dah mengganggu awak malam-malam ni. Saya ingat awak takkan sedar saya ke sini."
"Aha. Kadang-kadang saya tak faham dan tak kenal diri saya juga. Don't worry about that. Kalau tak ada apa-apa saya masuk dululah. Awak pun kena balik rumah juga sebab dah lewat." Awina menarik hingus yang hampir keluar. Sejuk!
Hid Johar mengangguk kecil.
"Thanks Awina." Hid senyum. Awina mengangkat tangan tanda dia tidak kisah.
Sebaik sahaja pintu pagar terkunci dan Hid melihat Awina bersahaja memasuki perkarangan rumah, Hid mengusap wajahnya berkali-kali. Mujur Awina tu blurr. Kalau dia tahu apa yang bermain di mindanya saat ini pasti wanita itu tak percaya.
Ni dah kira teruk sangat Hid. Biar betul rindu kat dia sampai bawa kereta malam-malam setakat untuk melihat jendela bilik wanita itu...
Mujur Awina tak melatah biarpun di wajahnya seperti timbul seribu satu persoalan.
Hid melangkah masuk ke dalam kereta Jihana dan memandu secepat yang mungkin untuk keluar dari kawasan perumahan elit Awina. Dia perlu mengawal angaunya agar tidak kelihatan gila di mata wanita itu mulai sekarang.
*******
"HAH? Teruknya!" Lisa menjegil mata.
"Ha'ah. Teruk, kan?" Awina mengeluh besar.
"Berparut dah tangan princess princess ni. Tangan macam baby." Lisa menolak tangan Awina.
Awina tersengih kecil. Salah dia melebih-lebih dengan bekas luka di tangan sedangkan parut itu bukannya masalah besar.
"Husband kau tak marah ya Lisa kau datang ke rumah aku ni?"
"Kenapa dia nak marah?" Berkerut kening Lisa.
"Yalah, masa majlis tu aku buat kecoh. Glamour pula aku masa tu."
"Serius lepas tu memang kau betul-betul glamour. Ramai yang tanya kat aku pasal kau. Nak kata dia orang berminat nakkan kau jadi menantu tak pula."
Awina menghembus nafas kesal. Mata dipejam dan dibuka berkali-kali supaya dia tidak terikut perasaan.
"Aku punyalah malu. Gila malu. Nak bunuh diri aje masa tu. Belum dengan orang lain, tapi bila tengok muka husband kau masa tu aku dah macam terbang ke syurga."
"Kau ke syurga?"
"Mesti. InsyaALLAH. Walaupun aku tak berapa nak baik tapi hajat serta cita-cita masih menggunung tinggi." Awina tertawa kecil.
"Win, eloklah kau berbaik-baik dengan Nadia kalau nak sangat masuk syurga. Kita seumat seIslam ni mana boleh bergaduh-gaduh." Lisa menyindir.
Awina termangu kecil.
Lisa sengih, "Lagipun Azri dah tak ada."
"Tengoklah macam mana. Bila aku fikir banyak kali, aku tak kenal sangat peribadi Nadia. Tup-tup aku benci kat dia. Walhal dia dan aku jumpa pun boleh kira dengan jari. Eh kau pula apa cerita? Best tak Turki. Sampai sekarang lagi aku tak jejak Turki, negara impian tu."
"Turki best. Romantik gila hot air ballon, kalau kau pergi mesti pergi dengan orang yang tercinta sebab pemandangan kat sana superb babe aku cakap. Dah naik rasa tak nak turun-turun walhal mula-mula naik tu aku sumpah-sumpah juga laki aku dalam hati." Cerita Lisa bersungguh-sungguh.
"Jealous sungguh aku sebab kau kaya-raya. Kalau aku jadi kau dah lama aku mengembara satu dunia." Sambung Lisa kepada Awina.
"Mana ada. Aku biasa-biasa aje..." Awina membalas pendek.
Lisa menjulingkan mata. Awina tak sedarkah dia tu kaya juga? Walaupun setakat harta mak bapak tapi mana boleh diabaikan harta benda yang memang dah sah-sah jadi warisan Awina satu hari nanti. Tapi memandangkan Lisa tak mahu mood Awina kembali gloomy, dia tak berani nak provok lebih-lebih nanti jadi lain pula.
Sejak dah berkahwin dengan Azri dan selepas Azri meninggal dunia, Awina agak berbeza dengan Awina yang dikenalinya dahulu. Kalau dulu, Lisa rasa dia dan Awina tiada gap. Sangat rapat. Dia memahami Awina, dan begitu juga sebaliknya. Namun sekarang, kadang-kadang sukar untuk Lisa tebak fikiran temannya itu. Kadang-kadang dia gerun dengan Awina. Awina enggan dunianya dijejaki sesiapa. Awina lebih suka memendam rasa. Lisa tahu walaupun Awina berlagak ceria, namun sebenarnya ada bebanan berat yang tak mampu dialih oleh wanita itu.
"Dulu kata tak berani naik flight... Sekarang excited pula kau ke sana ke mari." Awina menjeling hairan. Hilang sudahkah trauma Lisa setelah menjejak kaki ke negara orang?
"Wina, lepas aku pergi Turki tu fobia aku dah hilang dah. Sebab kapal terbang naik tinggi sangat kut, langsung tak rasa apa-apa gegaran. Kat atas clear sangat. Sedangkan bila turun nak mendarat kuat juga gegaran. Sempat merasa juga salji. Alahai, salji tu la yang ditunggu-tunggu."
Awina mengukir senyuman lebar melihat anak mata Lisa bercahaya. Ini rupanya kebahagiaan berkahwin.
Cemburu?
Tidak. Dia tumpang gembira kerana Lisa berjaya mendapatkan kebahagiaan hidupnya.
"InsyaALLAH aku nak pergi..."
"Dengan siapa? Dah ada calon tak?"
Awina menggeleng kepala.
"Aku pelik dengan Hid adik Kak Jihana." Terbayang ketika Hid muncul tiba-tiba di depan rumahnya.
"Wow ada cerita baru!" Lisa teruja.
"Tak ada yang baru, biasa aje."
"Jadi kenapa nama dia muncul tiba-tiba ni?"
Awina termangu kecil. Perlukah dia ceritakan pada Lisa tentang kemunculan lelaki itu tiga malam yang lepas?
Mungkin esok lusa ajelah. Sebab Lisa pun sudah jadi isteri Azamri merangkap bekas adik iparnya. Kalau arwah masih ada mungkin mereka sedang berbesan saat ini. Risau juga Awina jika Lisa lain hati bila mendengar kisah Hid daripadanya.
"Tak ada apalah." Awina buat tak tahu.
Lisa menarik tangan Awina dan menepuk kuat.
"Baik kau cerita, sekarang. Sebelum aku merajuk." Ucap Lisa sedikit garang. Awina terkulat-kulat memikirkan cara yang terbaik untuk bercerita tentang Hid Johar kepada Lisa.
"Aku pelik aje sebab dia tak minta nombor aku."
Lisa berdiri dan memetik jari di depan wajah Awina. Awina yang terkejut terus menyandar spontan.
"Aku dah cakaplah tempoh hari tapi otak kau tu yang lambat loading!" Jerit Lisa dengan mata yang membulat besar. Awina mengukir senyuman perlahan-lahan, senyuman terkejut melihat tingkah Lisa yang tiba-tiba jadi teruja tak tentu pasal.
"Aku cakap kat kau ae, lepas ni kalau kau jumpa dia, silalah beri nombor telefon kat dia. Kalau tak kau yang menyesal nanti! Sungguh..." Lisa mencapai bahu Awina dan digoncang berkali-kali.
"Aku faham. Aku faham." Awina mengangguk dan cuba melepaskan tangan Lisa dari bahunya.
"Seriuslah, kau jangan sampai tutup mata hati bila arwah Azri dah tak ada. Jangan sesekali lepaskan lelaki handsome di depan mata!"
"Lisaaaa." Awina menyeringai kesakitan apabila bahunya ditepuk dan dicengkam kuat.
"Eh, sorry. Terlebih pula aku ni." Lisa berdeham kecil seraya kembali duduk di atas sofa. Tangannya di angkat ke atas apabila melihat Awina mengurut bahu tanda sakit.
"Aku belum tua lagi, kau tak payah risau sangat macam aku ni tak boleh nak laku." Gumam Awina separuh mengusik.
"Alah Win, peluang sekali je jatuh bergolek. Lagipun Hid tu not bad apa. Kacak pun boleh tahan, tinggi pun tinggi, walaupun dia tak ada kerja tetap tapi rajin tolong famili... Bertimbang rasa dan ringan tulang nak membantu orag."
"Tapi orang macam tu rasanya dah ada makwe, mesti ramai peminat." Rasa rendah diri tidak mampu lari dari hati kecil Awina.
"Dia single lagi tu, percayalah." Lisa tersenyum-senyum kecil.
"Tapi dia tak stabil. Macam yang kau cakaplah dia tak ada kerja tetap." Awina memberi alasan.
"Kau kan dah kaya kenapa nak tengok dia kerja apa pula?"
Awina tersedak air liur. Lisa ni kenapa? Takkan main redah aje pilih orang jadi suami walaupun dia cukup kaya?
"Lagipun, Win... Aku teringin sangat nak tengok kau bahagia. Lepas aku kahwin, baru aku sedar kebahagiaan bila ada orang kat sisi kita berkongsi setiap perkara. Aku nak kau dapat kebahagiaan tu juga."
Awina melempar senyuman lebar. Lisa benar. Bahagia apabila berkongsi setiap perkara dengan orang yang kita sayang. Seperti mami dan papa. Kalaupun orang lain enggan berkongsi dengannya, mami ada... papa ada...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro