Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

DENGAN senyuman tersungging manis, Damia berlari-lari anak mendapatkan kakaknya yang sedang menunggu di bilik tetamu. Dua tangannya dari jauh lagi sudah mendepa, menunggu masa untuk memeluk.

"Kakak! Rindunya dengan kakak." Sebaik sahaja mendekati, tubuh kakaknya itu dipeluk kejap. Hampir seminit mereka berpelukan, melepas kerinduan.

"Kakak sihat?" Soalan diaju sebaik sahaja pelukan dirungkai. Kemudian kedua-duanya melabuh duduk di atas sofa yang disediakan bagi tetamu yang datang berkunjung.

"Alhamdulillah, sihat. Adik?" Durrah pula bertanya.

"Nampak tak pipi adik dah tembam ni?"

Pipi kanan adiknya dicubit perlahan.

"Memang semakin tembam!" ejek Durrah. Kemudian kedua-duanya saling tertawa.

Damia pandang pula beg plastik di atas meja.

"KFC!" Damia sudah teruja. Beg plastik yang berlogokan jenama makanan segera terkenal itu cepat-cepat diambil.

"Haah... Untuk adik. Makanlah..." Durrah mempelawa. Dia tahu adiknya itu pasti gembira. Sudah agak lama juga dia tak membelikan ayam goreng KFC buat Damia. Demi adik bongsunya itu, Durrah ikat perut selama dua hari. Dia cuma makan buah sahaja selama dua hari itu. Duit makan selama dua hari itu dia gunakan untuk membeli ayam goreng kegemaran adiknya itu.

"Terima kasih, kakak..." Lebar senyuman Damia. Setiap bulan, kakaknya itu pasti akan datang menjengahnya di rumah anak-anak yatim. Setiap kali datang, tak pernah kakaknya datang dengan tangan kosong. Pasti ada saja yang dia bawa. Selalunya makananlah.

Damia keluarkan seketul ayam goreng dari kotak. Setelah membaca basmallah, dia terus menggigitnya dengan laju. Durrah melarik senyum. Seronok dia melihat Damia makan.

"Abang Iz tak datang ke, kak?" soal Damia dengan mulut yang penuh. Mulut penuh dengan daging ayam pun dia nak bercakap juga.

"Abang Iz kerjalah. Lagipun kakak malas nak kacau dia selalu. Dia kan sibuk," balas Durrah. Selalunya Durrah datang pada hujung minggu dengan Inspektor Izwan. Kadang-kadang Mak Cik Yam pun datang sekali. Entah kenapa tiba-tiba saja dia rasa rindu sangat dengan Damia sehinggakan kerinduannya itu tak boleh ditangguhkan lagi ke hujung minggu. Sebab itulah dia minta cuti separuh hari daripada Encik Azam.

"Mesti Abang Iz sibuk sebab nak tangkap scammer, kan?" Damia meneka. Kali ini Durrah sengih saja.

"Kalau Abang Iz dapat tangkap Inspektor Sabrina, adik nak jumpa penipu tu dan lempang muka dia laju-laju! Sebab dialah mak meninggal. Abang Nukman pula marahkan kakak. Kesian kakak." Damia berkata lagi.

"Dah! Tak payah fikir lagi pasal tu. Kakak nak adik fokus pada study. Tahun ni nak PT3, kan?" tegur Durrah. Dia tak mahu Damia memikirkan hal yang sudah bertahun-tahun berlalu, sebaliknya Durrah mahu adiknya itu fokus kepada pelajaran.

Damia menyedut minuman. Setelah membasahkan tekaknya, dia pandang Durrah.

"Oh ya kak, adik terlupa nak cakap. Abang ada datang semalam." Damia membuka cerita.

"Ya? Abang datang dengan Adib, ya?" Durrah sedikit terkejut. Seingat dia, Nukman tak pernah lagi menjejakkan kakinya ke rumah anak yatim itu sejak menamatkan persekolahan. Sebenarnya, Nukman memang jarang menjenguk adiknya itu. Dulu adalah beberapa kali saja Nukman mengikutnya.

"Bukan! Dengan kawan baru abang." Damia memberitahu.

Dua kening Durrah sudah bercantum.

"Kawan baru?"

"Haah..." Damia membalas ringkas. Ayam goreng di tangan, digigit lagi.

"Budak flat kita ke?"

"Entah... Adik tak tanya pula." Ayam goreng yang sudah hancur dikunyah kini ditelan pula.

Durrah ketap bibir. Otaknya mula memikir.

"Muka boleh tahan... Handsomelah juga." Damia memberitahu lagi sebelum dia meneguk air yang dibawa oleh kakaknya.

Durrah tepuk lengan Damia.

"Haip! Jangan nak menggatal!"

"Mana ada! Adik puji aje..." balas Damia setelah menjauhkan cawan dari mulutnya. Mujurlah kakaknya cuma menepuk perlahan. Kalau kuat tadi, mahu terpelanting cawan kertas di tangannya itu.

"Muka handsome tapi perangai haprak pun tak guna, dik..." Durrah mengingatkan kemudian.

"Haaa... Inilah adik nak cerita ni!" Bersemangat bukan main Damia hendak memberitahu kakaknya tentang kawan baru Nukman.

Durrah menggeleng. Adik bongsunya itu memang kecoh. Sebab itulah bila dia tak ada, Durrah rasa sunyi. Tak ada kawan hendak dilawan bicara. Nak harapkan Nukman? Kirim salam ajelah. Entah-entah langit nak runtuh pun Nukman buat derk saja.

"Kawan abang tu kan, kakak... Ada tatu!"

"Hah?" Membundar luas dua biji mata Durrah.

LAJU langkah yang diatur menuju ke stesen LRT. Durrah mahu segera balik ke rumahnya. Tak sabar dia hendak bertanyakan kepada Nukman siapa kawan baru yang diperkatakan oleh Damia di rumah anak-anak yatim tadi. Durrah tak sabar bukan sebab kawan baru Nukman itu kacak bak kata Damia, tapi hati Durrah tak senang kerana takut kalau kawan baru Nukman itu orang jahat.

"Tapi kan, kak... Tak cantik pun tatu kawan abang tu. Ada ke letak gambar daun terup?" Teringat-ingat Durrah bebelan Damia ketika dia bercerita tentang tatu kawan Nukman itu tadi.

Tapi dah kenapa letak gambar daun terup? Durrah berkata-kata dalam hatinya. Menurut cerita Damia tadi, ada dua tatu daun terup dicacah pada lengan kiri kawan Nukman itu. Kedua-duanya berbentuk daun sped cuma satu bernombor dua dan satu lagi bernombor tiga. Kedua-dua tatu bersaiz sederhana. Tidaklah sampai menutup keseluruhan lengan. Ia disusun sebaris, memanjang ke atas iaitu dari pergelangan tangan hingga ke lengan. Namun kata Damia lagi, sebelah kanan kosong. Dia tak nampak pula sebarang tatu. Sebegitu sekali telitinya Damia. Kalau Durrah, memang taklah dia nak pandang lengan orang. Apatah lagi lengan orang lelaki yang tak dikenali.

"Hodoh kak, tatu dia! Nasib baik muka tak hodoh." Teringat lagi Durrah akan bebelan Damia. Mulut adiknya itu boleh tahan celopar.

"Nukman, Nukman... Dengan siapalah kau berkawan? Jangan dengan ahli kumpulan gengster sudah!" Seraya berjalan, Durrah mengomel sendirian. Fikirannya terganggu dek penangan kawan baru Nukman itu. Ikutkan hati, dari rumah anak-anak yatim tadi mahu saja dia terus pulang ke rumah dan bertanyakan Nukman tentang itu tapi memikirkan ada kerja di pejabat yang dia perlu buat, Durrah tangguhkan dulu niatnya. Lagipun hari itu dia cuma meminta cuti separuh hari. Nanti marah pula Encik Azam. Walaupun Encik Azam seorang yang bertimbang rasa, tapi Durrah tak mahu ambil kesempatan.

Tak semena-mena Durrah merasakan badannya seperti tertarik ke tepi. Durrah menoleh. Baru dia sedar beg tangannya ditarik oleh seorang lelaki yang sedang membonceng motosikal.

"Hei!" Durrah menjerit. Dengan beg masih kemas dipegang, Durrah lekas-lekas merendahkan posisi tubuhnya, seperti hendak mencangkung. Begitulah tip yang diajar oleh Inspektor Izwan jika diragut. Apabila tubuh direndahkan, pusat graviti turut menjadi rendah. Manakala pusat graviti peragut menjadi lebih tinggi seterusnya mengakibatkan peragut tidak stabil dan jatuh dari motosikal.

Motosikal diberhentikan. Rakan peragut yang menunggang turun dari motosikalnya. Sangka Durrah, dia mahu pergi membantu rakannya yang terjatuh tadi tapi rupa-rupanya dia datang dekat bagi mendapatkan Durrah. Masih tak berputus asa hendak merampas beg kepunyaan Durrah nampaknya. Si pembonceng yang terjatuh kini bangkit bagi membantu rakannya.

"Tolong!" Durrah menjerit, minta bantuan. Beg tangannya kekal di dalam genggaman. Durrah enggan melepaskan. Durrah tak kesahkan kad pengenalan yang ada di dalam beg tangannya. Kalau hilang, boleh buat baru. Tapi Durrah kesahkan kad bank dan duit tunai yang berjumlah lapan puluh ringgit. Durrah baru saja keluarkan seratus ringgit tadi. Dua puluh ringgit sudah digunakan untuk membeli ayam goreng buat Damia. Durrah tak bersedia untuk mengalami kehilangan lagi. Mana boleh senang-senang rampas hak orang! Harta yang tak seberapa itu tetap dia pertahankan.

Geram kerana Durrah berdegil, salah seorang daripada peragut itu menendang perut Durrah. Langsung Durrah terjelepok ke atas jalan. Beg tangan yang dikawal rapi tadi terus terpelanting dan jatuh ke tanah, kira-kira lima meter jauhnya.

Pin! Pin!

Belum pun sempat beg Durrah diambil, kedengaran bunyi hon. Muncul sebuah motosikal besar berkuasa tinggi. Melihatkan itu, peragut mendapatkan motosikal mereka dan terus lari.

Orang yang baru muncul itu mengambil beg tangan Durrah. Kemudian Durrah yang masih lagi terjelepok di atas jalan itu dihampiri.

"Cik okey?"

Durrah angguk.

Lelaki tak dikenali menghulurkan pula tangannya, mahu memberikan bantuan. Namun Durrah tolak. Bukan kerana dia sombong tapi dia tak mahu bersentuhan dengan lelaki ajnabi.

Perlahan-lahan, Durrah bangkit. Selagi dia mampu bangun, dia akan bangun sendiri.

"Awww!" Durrah mengaduh kesakitan apabila tangannya berasa pedih.

"Tangan cik luka." Lelaki itu berkata seraya menuding jari telunjuknya ke arah tangan Durrah.

Cepat-cepat Durrah pandang telapak tangannya. Sudah merah dengan darah. Patutlah dia berasa pedih. Lelaki tak dikenali mengeluarkan sapu tangan dari kocek seluarnya lalu dia hulurkan kepada Durrah. Kali ini Durrah tak menolak. Sapu tangan diambil lalu darah pada telapak tangan dikesat.

"Cik nak pergi mana?" Soalan diaju.

"Balik rumah."

"Nak saya hantarkan?"

Durrah geleng.

"Atau saya panggilkan Grab." Telefon bimbit lantas dikeluarkan dari kocek seluar.

"Eh, tak payahlah, encik. Saya naik tren kat stesen depan tu aje."

"Betul cik okey ni?" Lelaki itu tampak terlebih risau walhal mereka bukannya saling mengenali.

"Ya, saya okey." Kemudian Durrah hadiahkan senyuman. Ikhlas dari sanubari. Itu saja yang Durrah mampu balas atas bantuan yang dihulur. Selebihnya biarlah Allah yang kurniakan ganjaran.

"Oh, saya kena pergi dulu. Takut terlepas tren." Seraya berkata, Durrah kembalikan sapu tangan. Kalau tak dipulangkan sekarang, bila lagi? Entah-entah kalau terjumpa lagi selepas ini, mereka dah tak kenal pun. Durrah memang tak akan kenal sebab mukanya bertutup. Tak nampak langsung. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro