Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

DURRAH melangkah perlahan-lahan memasuki kawasan tanah perkuburan. Boleh dikatakan setiap bulan Durrah akan ke situ, menziarahi pusara kedua-dua orang tuanya. Meskipun ditempatkan di tanah perkuburan yang sama tetapi kubur bapanya terletak ke dalam sedikit.

Ayah Durrah pergi dua tahun lebih awal dari emaknya. Ayahnya itu dilanggar lari ketika dia sedang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat subuh. Kemalangan itu telah meragut nyawa ayahnya itu serta-merta. Manakala emak Durrah pula meninggal secara mengejut tapi sempatlah juga dia berpesan kepada Durrah agar menjaga adik-adik.

"Assalamualaikum, mak..." Durrah memberi salam sebaik sahaja dia tiba di pusara milik arwah emaknya itu.

Durrah duduk bertinggung. Kemudian dia capai jambangan teluki yang diletakkan di tengah-tengah pusara. Masih segar lagi nampaknya, menunjukkan jambangan bunga itu baru lagi diletakkan di situ.

Durrah menoleh ke sekeliling, mahu mencari siapa yang meletakkan jambangan bunga itu. Atau jika ada sesiapa di situ, mahu juga dia pergi bertanya andai orang itu ada ternampak sesiapa datang ke kubur emaknya sebelum ini.

Kosong. Tiada sesiapa pun berada di tanah perkuburan pada ketika itu melainkan Durrah. Dia cuba mengingati pula sama ada tadi dia ada terserempak dengan sesiapa yang baru saja keluar dari tanah perkuburan. Juga tiada, rasanya.

Jambangan bunga kemudian dibelek. Durrah mahu mencari kad pengirim. Namun seperti sebelum ini, tiada sebarang kad diletakkan.

"Siapa pengirim bunga ni? Rajin betul dia letak bunga."

Durrah sering tertanya-tanya siapa pengirim bunga misteri itu. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sudah lebih dari sepuluh jambangan teluki diletakkan di atas kubur arwah emaknya itu tapi tanpa nama pengirim.

Durrah meletakkan semula jambangan bunga ke atas tanah kubur. Kemudian Durrah mengeluarkan pula buku Yasin dari dalam beg yang dibawanya. Seperti selalu, setiap kali datang berziarah, pasti Durrah menghadiahkan bacaan al-Fatihah serta Yasin kepada kedua-dua arwah ibu bapanya. Sama ada hadiahnya sampai atau tidak kepada mereka, itu tidak penting. Apa yang penting ialah dia membacakan kalam-kalam suci Ilahi. Bukan di kubur saja Durrah baca, di rumah pun dia tak lupa.

Dulu, arwah ayah Durrah sering berpesan agar tidak meninggalkan amalan membaca al-Quran. Kalau boleh, khatamkan al-Quran sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun, pesan ayahnya. Namun sejak Durrah mula bekerja, masa yang dia peruntukkan untuk al-Quran semakin berkurangan. Dia tidak lagi dapat mengkhatamkan Quran seperti pada zaman persekolahan dulu. Jadi, apa yang dia lakukan ialah membaca surah-surah lazim yang biasa diamalkan sesudah solat.

Selesai saja menghadiahkan bacaan al-Fatihah dan Yasin, Durrah membersihkan tanah kubur. Begitulah yang sering Durrah lakukan setiap kali datang menziarahi pusara emaknya. Durrah berasa tenang berada di tanah perkuburan itu. Seraya membersihkan kubur, dia akan bercerita. Selalunya cerita tentang dirinya dan adik-adik menjadi topik utama. Seolah-olah emaknya itu sedang memerhati dan mendengar.

"Mak... Adik dah nak PT3 tahun ni..." Durrah berkata seraya mencabut rumput-rumput kering di atas tanah kubur.

"Adik budak pandai tau, mak? Pengetua pun kata adik budak pandai dan rajin belajar. Durrah yakin adik akan dapat keputusan cemerlang dalam PT3 dia nanti." Durrah terus bercerita. Adik bongsunya, Damia seorang yang sangat memahami. Meskipun usianya baru lima belas tahun tapi fikirannya matang. Damia tak kesah tinggal di rumah anak yatim. Malah Damia tak pernah menyalahkan Durrah atas apa yang berlaku. Syukur, alhamdulillah.

"Mak... Kalaulah Nukman macam adik, alangkah seronoknya." Mengingatkan sikap Nukman terhadapnya, Durrah berasa sedih.

"Durrah dah cuba buat yang terbaik tapi nampaknya Nukman masih marahkan Durrah. Macam dah tak ada ruang langsung dalam hati dia untuk Durrah ni, mak..." Durrah meluahkan perasaan. Setiap kali hatinya berasa gundah dan setiap kali rindunya terhadap emaknya menggamit, pusara emaknya menjadi tempat Durrah meluahkan apa yang terpendam.

Nafas berat dihela. Hubungan Durrah dengan Nukman renggang sejak emak mereka meninggal dunia. Meski sudah lebih dari lima tahun berlalu, namun Nukman tetap seperti itu. Dingin dan terus menyalahkannya atas apa yang berlaku.

"Durrah risau kalau Nukman tersalah pilih kawan. Apa patut Durrah buat, mak?" Durrah tahu kata-katanya hanya sehala. Namun, itu saja cara Durrah meredakan tekanan yang sedang dia rasakan.

Enam tahun yang lalu...

"APA?! Habis semuanya?!" Nusaibah terperanjat besar setelah mengetahui kesemua duit peninggalan arwah suaminya telah dipindahkan ke akaun yang tak dikenali.

Tiada apa yang dapat Durrah katakan lagi. Nasi dah jadi bubur. Semuanya salah dia. Kenapalah dia begitu mudah terpedaya dengan kata-kata penipu itu tadi? Sumpah! Kalau bukan kerana emaknya, Durrah tak akan pindahkan wang itu. Anak mana yang sanggup melihat emaknya yang tak bersalah ditangkap atas dakwaan bersubahat mengedar dadah? Dihukum gantung pula tu! Durrah tak sanggup. Sebab itulah dia mengikut saja segala arahan 'Inspektor Sabrina' tadi dengan harapan emaknya dibebaskan dari segala pertuduhan. Kata perempuan yang mendakwa sebagai Inspektor Sabrina itu, duit emaknya perlu dipindahkan ke akaun sementara untuk diaudit. Jika didapati bersih dari sebarang aktiviti dadah, duit akan dikembalikan semula ke akaun emaknya. Malangnya itu semua hanya janji-janji kosong. Sedikit pun Durrah tak menyangka 'Inspektor Sabrina' hanyalah sebuah watak rekaan, ciptaan sindiket penipuan yang telah menipu ribuan mangsa lain.

"Kenapa otak tu tak boleh fikir?" marah Nusaibah lagi.

"Durrah minta maaf, mak! Durrah minta maaf..." Walau apa pun alasan yang Durrah beri, semua itu tak akan dapat mengembalikan wang berjumlah lima puluh ribu ringgit yang ditipu. Duit yang ditipu merupakan duit baki simpanan arwah ayahnya hasil berniaga runcit.

Dada Nusaibah tiba-tiba terasa mencucuk-cucuk. Sakit. Nusaibah hela nafas tapi tak mampu dia menghela nafas panjang. Dadanya seakan-akan ketat. Lantas dadanya itu ditekan kejap dengan harapan dapat meredakan sedikit kesakitan. Namun kesakitannya masih tak reda. Sebaliknya pernafasannya semakin tersekat.

"Ya Allah!" Nama al-Khaliq diseru apabila pandangannya tiba-tiba kelam. Nusaibah rebah ke atas lantai simen yang beralaskan tikar getah.

"Mak! Kenapa, mak?" Durrah bingkas dari kerusi lalu mendapatkan emaknya.

"Mak! Kenapa ni, mak?" Durrah bertanya lagi setelah meletakkan kepala emaknya ke atas ribaan. Kemudian pipi emaknya ditepuk perlahan. Bergetar kali ini nada suaranya, menggambarkan kebimbangan.

"Allah..." Dalam tercungap-cungap itu, Nusaibah menyebut lagi nama al-Khaliq.

"Mak!" Durrah sudah berasa takut andai berlaku perkara yang tak diingini terhadap emaknya itu. Damia yang turut berada di situ datang menghampiri.

"Kenapa dengan mak, kakak?" Damia bertanya. Berasa hairan melihatkan emak mereka yang tiba-tiba rebah.

"Durrah minta maaf, mak... Durrah betul-betul minta maaf... Mak, janganlah tinggalkan kita orang, mak!" Tanpa menjawab pertanyaan Damia, Durrah terus berkata dalam esak tangis.

Apabila emak mereka kelihatan tercungap-cungap, Durrah menoleh kepada Damia.

"Adik... Pergi panggil Abang Nukman balik. Lekas!" Durrah menyuruh. Petang-petang begitu, Nukman selalunya bermain di bawah dengan kawan-kawannya.

Tanpa soal jawab, Damia terus bingkas dari duduknya. Dia hendak pergi memanggil abangnya, Nukman.

"Adik! Karang panggil Mak Cik Yam sekali." Durrah berpesan lagi.

HANGAT pipi Durrah dibasahi air mata. Namun Durrah biarkan saja air matanya terus mengalir. Tangisan adakalanya diperlukan bagi merawat rawan. Masih terbayang-bayang lagi dalam ruang ingatan Durrah tentang peristiwa hitam itu. Peristiwa yang bukan saja meragut nyawa emaknya bahkan turut meragut kasih Nukman sekali gus.

"Nukman tak salah. Durrah yang bersalah. Kalau bukan sebab Durrah, semua ni tak jadi..." Durrah berkata dalam sebak.

"Memang patut pun Nukman marahkan Durrah. Disebabkan kebodohan Durrah, kita orang hilang mak, hilang duit. Dan hilang adik..." Durrah berbicara lagi.

"Kesian adik. Durrah tak mampu nak jaga dia. Durrah minta maaf, mak..."

Kata maaf tak pernah lekang dari bibirnya. Durrah tahu, meskipun sejuta kali dia memohon kemaafan, apa yang telah berlaku tak mungkin akan kembali seperti dulu. Sampai bila-bila Durrah akan terus dihimpit sesalan.

"Tapi Durrah janji, bila adik habis SPM nanti, Durrah ambil adik balik." Durrah seka air mata yang sudah hampir masuk ke mulut.

"Durrah akan pastikan adik dan Nukman masuk universiti dan belajar setinggi yang boleh. Itu kan harapan mak dengan abah?"

"Durrah... Janji dengan mak, Durrah akan jaga adik-adik..." Begitulah pesanan arwah emaknya sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir. Durrah tak akan sesekali melupakan amanat itu. Namun Durrah akui, bukan mudah untuk dia melaksanakannya. Selagi Nukman masih terus mahu membenci dan menyalahkan Durrah, selagi itulah amanat itu tak mampu Durrah penuhi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro