Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

SEMENTARA menunggu makanan yang dipesan tiba, Nadia ambil kesempatan membaca komen-komen di dalam page Jihad Ekonomi Networks. Agak hangat perbincangan di situ nampaknya. Semuanya gara-gara Durrah meninggalkan beberapa komen sehinggakan ahli-ahli Jihad Ekonomi Networks panas buntut.

"Weh, kau orang... Cuba kau orang masuk dalam page JENs. Dah macam cacing kepanasan seekor-seekor bila Durrah masuk mencemar duli." Nadia berkata kepada dua orang rakan sekerjanya.

"Apa jadi?" Amin yang baru sudah menyedut minumannya, bertanya. Kemudian tanpa bertangguh dia capai telefon lalu membuka akaun Facebook miliknya.

Durrah pula terus menikmati air minumannya. Dahaga sangat. Sesudah itu barulah telefonnya dibuka.

"Ada yang tak betullah tu. Sebab tu kepanasan." Amin berkata setelah dia meneliti beberapa komen di dalam page milik Jihad Ekonomi Networks itu.

"Baru-baru ni aku ada terima beberapa aduan pasal JENs tapi tak ada bukti sahih. Jadi, aku anggap sebagai desas-desus ajelah..." Durrah memberitahu.

"Tadi ada oder kuetiau tomyam dengan nasi goreng, kan?" Perbualan mereka terhenti apabila seorang pelayan restoran muncul membawakan semangkuk kuetiau tomyam dan dua pinggan nasi goreng.

"Ya, saya..." Durrah membalas. Pelayan meletakkan makanan yang dipesan satu per satu ke atas meja. Setelah itu dia pergi.

"Kalau tak ada bukti, tak boleh up dekat page. Nanti orang kata persatuan buat fitnah. Tak pasal-pasal persatuan kena saman nanti." Amin mengingatkan. Kemudian dia ambil pinggan yang berisi nasi goreng belacan.

"Aku tahu... Aku pun tak beranilah nak memandai-mandai. Bila Encik Azam dah approve, baru aku up." Durrah mengeyakan pandangan Amin. Sebarang maklumat yang hendak dimuat naik ke dalam page persatuan mereka akan disemak oleh Encik Azam terlebih dahulu. Setelah mendapat kebenaran darinya, barulah Durrah boleh letakkan pada status page Persatuan Pengguna Lembah Klang. Sebagai pentadbir page, Durrah bertanggungjawab mengemas kini segala status di situ.

"Weh kau orang! Apa hal mamat dua orang tu asyik usyar kita, eh?" Nadia tiba-tiba mencelah seraya memuncung mulut ke depan.

Durrah dan Amin segera menoleh, memandang ke arah yang dituding Nadia. Namun mereka tak tahu siapa yang dimaksudkan oleh Nadia kerana terlalu ramai pelanggan di restoran itu.

"Yang mana satu?" soal Amin. Bebola matanya masih tercari-cari.

"Yang dekat meja hujung tu! Seorang baju biru, seorang lagi hitam," beritahu Nadia. Apabila terperasankan ketiga-tiga mereka sedang memandang, dua lelaki yang Nadia maksudkan cepat-cepat toleh ke tempat lain.

"Kau pasti ke dia orang usyar kita? Entah-entah dia orang tu pandang orang lain." Amin bertanya.

"Memandai aje kau ni, Nadia... Dia orang tu entah-entah pandang orang lain, kau kata dia orang usyar kita." Durrah mencelah. Dia susah sikit nak percaya kerana Nadia sejenis yang suka buat kesimpulan sendiri berdasarkan apa yang dia rasa, bukan berdasarkan fakta.

"Memandai apa pula? Dari tadi aku tengok, tau! Bila aku pandang, dia orang cepat-cepat toleh tempat lain." Nadia tak mahu mengalah.

"Siapa yang usyar siapa sebenarnya ni?" Amin sindir Nadia. Langsung Durrah tergelak. Kemudian Durrah halakan pandangannya ke arah dua lelaki tadi yang sudah pun mulai melangkah keluar dari restoran.

"Betul! Tapi aku rasa dia orang macam pandang Durrah." Nadia tetap dengan pendiriannya.

"Mujur kali ni kau kata usyar Durrah. Selalunya kau perasan orang usyar kau." Amin mengusik lagi. Sekali lagi Durrah tergelak. Mudah terhibur nampaknya.

"Kau orang tak percaya sudah!" Nadia sudah kedengaran merajuk.

"Alololo... Janganlah merajuk. Dia orang tu dah pergi pun. Kes ditutup. Kita sambung makan, ya?" pujuk Durrah.

"MACAM mana, Sitam? Teruk sangat ke masalah dekat sini?" Leo bertanya kepada Sitam, pengawal sasa yang ditugaskan memantau keadaan di Vila Impiana. Leo baru saja tiba dari Thailand. Selepas menerima arahan dari Master Sheng melalui Marina, dia bergegas ke situ.

"Teruk, bos! Memang teruk." Sitam memberitahu seraya menggeleng kepala.

"Bahasa Melayu dia orang hauk gila! Memang susahlah nak yakinkan orang. Kadang tu, dia orang pula kena main balik dengan orang yang dipanggil. Parah macam ni, bos!" Sitam bersungguh-sungguh memberi laporan.

Leo senyap. Dia cuma mengurut dagu. Otak pula ligat memikir apa yang patut dilakukan untuk mengatasi masalah itu.

"Phua dah suruh dia orang hafal skrip. Pun tak jalan, bos!" Sitam berkata lagi. Meskipun Leo bukanlah ketua sindiket, tapi dia gemar memanggil Leo dengan panggilan bos.

"Dia orang tu first time datang sini, Sitam. Jadi dia orang perlukan masa untuk memperbaiki pertuturan dan belajar bagaimana hendak meyakinkan mangsa." Leo membalas. Dia faham dengan situasi orang-orang suruhan itu. Lagipun mereka bukan berbangsa Melayu sedangkan sasaran mangsa mereka ialah orang Melayu.

"Betul juga tu. Takkanlah datang-datang aje terus boleh cakap Melayu. Ya, tak?" Sitam bersetuju dengan apa yang Leo katakan.

"Kalau dah target orang Melayu, kenapa Master Sheng tak ambil aje orang Indonesia? Ambil orang Bangladesh pun okey apa? Dia orang tu cepat belajar cakap Melayu." Sitam berkata.

"Kau pergilah sarankan dekat Master Sheng." Leo mengusik.

"Aku ni jaga aje, bos. Lagi pun manalah aku kenal siapa Master Sheng." Sitam tertawa kecil.

"Eh, bos... Cik Marina tak datang?" soal Sitam pula.

"Aku tak pasti pula. Aku sebenarnya ni dari Thailand. Set up projek baru kat sana."

"Ooo... Patutlah bos datang sorang aje kali ni," balas Sitam. Selalunya mereka berdua itu umpama belangkas. Ke mana saja pasti berdua.

Leo pandang ruang tamu. Sejak dia melangkah masuk tadi, suasana vila sunyi sepi. Tak nampak orang melainkan Sitam.

"Errr... Sunyi aje vila? Mana yang lain-lain?"

"Budak-budak tu semua dekat atas. Phua dengan Kwan dah balik Macau." Sitam memberitahu.

"Eh, jomlah aku tunjukkan bilik bos. Bos mesti penat. Pergilah berehat." Kedua-duanya kemudian mengatur langkah menuju ke tangga.

PUAS membuat panggilan tapi tak diangkat, Marina menitip pula mesej melalui aplikasi WhatsApp.

"Kalau kali ni pun dia tak reply juga, tak tahulah nak cakap apa lagi..." Marina membebel geram.

"Apa pasal? Dia tak jawab call?" Phua bertanya. Dari tadi dia memerhatikan Marina membuat panggilan beberapa kali. Monyok saja mukanya.

"Kau jangan sibuklah!" Percuma saja Phua diherdik.

"Sengaja tak mahu jawablah tu..." Phua tak hiraukan herdikan Marina. Niatnya hendak menambahkan lagi sakit hati wanita itu.

"Busy dengan business dialah tu!" Phua terus berkata.

Marina lekas-lekas berpaling ke arah Phua.

"Business dia? Apa maksud kau, Phua?"

"Kau kan tahu dia tu bukan saja scammer tapi dia juga hacker."

"So?"

"Tak payah berlagak naiflah, Marina! Kalau dia bangunkan sistem diam-diam, tak siapa pun tahu, kan?"

Marina sudah berkerut dahi.

"So... Bolehlah dia bolot sorang-sorang." Sinis Phua berkata. Dia sudah lama sakit hati dengan Leo kerana Leo disayangi oleh Master Sheng disebabkan kepakarannya dalam bidang teknologi maklumat. Leo bukan saja mampu membangunkan aplikasi untuk memperdayakan pengguna Internet, bahkan dia juga mampu mengakses maklumat dalam jaringan. Pendek kata, semua maklumat di hujung jari Leo.

"Gila. Kalau kau jealous dengan Leo sekalipun, agak-agaklah sikit nak buat cerita!" tingkah Marina. Sakit hatinya mendengar tuduhan melulu Phua itu. Phua nampaknya tak pernah jemu berusaha memburuk-burukkan Leo.

"Kalau aku cakap pasal Leo, kau mesti kata aku jealous..." Phua mencemik muka. Apa saja yang dia cerita tentang Leo, semuanya Marina tolak mentah-mentah.

"Dah memang betul kau jealous. Mengaku ajelah, Phua. Kau sebenarnya takut kalau Leo jadi ketua, menggantikan tempat Master Sheng, bukan?"

Rahang Phua bergoyang tapi dia berusaha keras menahan diri dari menzahirkan amarah.

"Well, Phua... Terima ajelah hakikat yang Master Sheng memang sayangkan Leo. Kalau suatu hari nanti Leo yang menerajui kumpulan kita ni, aku tak hairan pun. Malah seratus peratus aku sokong." Marina berkata lagi. Sengaja dia mahu menyakitkan hati Phua. Tak sudah-sudah Phua dengkikan Leo.

"Sebab dia bakal jadi ketua, itu pasal kau syok sama dia, kan? Dan sebab itu kau tak pandang sama aku?" bidas Phua kali ini. Geram dengan Leo tak pernah habis, ditambah pula dengan sikap Marina yang berlagak sombong dengannya.

Terus Marina ketawa. Kata-kata Phua itu agak lucu pada pendengarannya. Memang taklah dia nak pandang Phua.

"Dah tentu aku tak pilih kau, Phua. Kau tu cuma anjing yang hanya pandai menyalak."

Phua tenyeh tepi hidungnya seraya merengus kasar. Bengang dihina Marina.

"Dan kau cuma bertepuk sebelah tangan. Tak usah berangan nak jadi puan dalam kumpulan kita!" Phua enggan mengalah.

"Diamlah kau! Semak," marah Marina. Terus Phua ketawa apabila Marina kedengaran marah. Berjaya juga dia membuat provokasi.

"Kau tahu apa yang membezakan Leo dengan kau?" Marina ajukan soalan kemudiannya.

Phua angkat bahu, tanda tak tahu.

"Apa dia?"

"Leo bukan jenis kawan yang makan kawan." Marina memberikan jawapan sinis. Ini bukan pertama kali Phua mempertikaikan kesetiaan Leo. Namun Marina sesekali tidak akan terpengaruh dengan kata-kata Phua itu. Mereka yang berada di dalam kumpulan sudah berikrar untuk taat setia sampai hujung nyawa. Marina yakin Leo tak akan memungkiri segala janjinya itu.

Sekali lagi Phua ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Dia tahu jawapan Marina itu hanya sekadar hendak menyindirnya.

"Kita tengok nanti, dia makan kawan ataupun tidak."

"You know what, Phua? Kalau Master Sheng dengar apa yang kau cakap ni, confirm dia marah. Kau cakap kosong, tak ada bukti. Itu fitnah namanya."

Phua merengus. Geram apabila dituduh cuba membuat fitnah terhadap Leo. Kemudian jaket kulit yang tersidai pada kerusi diambilnya lalu dia meletakkannya ke bahu. Sesudah itu dia pandang Marina dengan mimik muka tak puas hati.

"Sudah tentu aku akan dapatkan bukti. Dan aku akan pastikan Master Sheng menyesal percayakan Leo." Usai berkata, Phua beredar pergi.

Marina menggeleng kepala seraya memerhatikan saja Phua pergi. Beria-ia nampaknya Phua hendak menjatuhkan Leo.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro