Bab 5
BEBERAPA buah meja elok tersusun dalam beberapa kumpulan. Di atas setiap meja pula terdapat sebuah telefon talian tetap dan beberapa buah telefon bimbit. Setiap kumpulan, terdiri dari tiga ke empat orang. Ada lelaki dan juga perempuan. Masing-masing kelihatan sedang sibuk bercakap di telefon dengan kertas di tangan. Majoriti dari mereka berbangsa Cina, mereka bercakap dalam bahasa Melayu yang pelat.
Dalam jarak beberapa kaki di ruang depan, kelihatan pula seorang lelaki berbadan sasa sedang mundar-mandir, memantau aktiviti yang sedang berlangsung. Sebagai pengawal di situ, dia diberi tanggungjawab memastikan setiap orang suruhan itu membuat kerja seperti yang disuruh. Orang-orang suruhan itu mesti digertak agar mereka menjalankan tugas mereka sebaik mungkin. Itu arahan yang diterimanya.
Puas mundar-mandir, Sitam, pengawal keselamatan itu memberhentikan langkah. Dia cuba memasang telinga, mendengar perbualan salah seorang dari orang-orang suruhan itu.
"Saya buat panggilan dali Mahkamah Telengganu. Saya hendak belitahu encik yang encik ada saman tertunggak."
"Saman tentang apa?" Pemuda Cina yang sedang berbicara dalam talian telefon itu terus diperhati. Kelihatan dia meneliti kertas di tangannya.
"Saman GST, encik." Kedengaran lelaki itu menjawab setelah kertas di tangannya itu dibaca.
"Helo, encik... Helo, encik..."
Sitam menggeleng kepala. Sah! Orang yang dipanggil sudah letak telefon. Mana taknya, panggilan dari Mahkamah Terengganu kononnya tapi cakap Melayu pelat gila! Setahu Sitam, rata-rata penduduk berbangsa bukan Melayu di Terengganu boleh bercakap Melayu. Apatah lagi yang bekerja di agensi kerajaan. Ada di antara mereka boleh bercakap dalam loghat Terengganu yang pekat, sampai kalah orang Melayu yang datang dari luar Terengganu. Sitam sendiri pun sukar hendak faham loghat orang belah Pantai Timur.
Sebenarnya ini bukan kejadian pertama kali. Dan bukan juga orang pertama yang tak dapat meyakinkan mangsa. Pendek kata, hampir kesemua orang-orang suruhan itu gagal mendapatkan mangsa. Sehingga ke hari ini, kutipan belum lagi mencecah ke lima angka.
Kringgg!
Baru sahaja Sitam hendak pergi mendapatkan lelaki Cina itu, telefon bimbitnya berbunyi. Lekas-lekas dia keluarkan dari saku seluarnya. Apabila dia terpandangkan nama Phua, ketua sindiket terpapar pada skrin, Sitam cepat-cepat keluar dari bilik itu.
"NAK tipu pun agak-agaklah, apek... Ini hari Ahad, bank mana ada buka."
"Lu duduk mana? Sini Kedah, semua orang kerja hari Ahad maaa..."
"Haiya, apek! Sana Kedah memang kerja Ahad tapi bank sana tak buka hari Ahad. Satu Malaysia, bank tak ada buka hari Sabtu, Ahad."
"Lu tak tau ka? Untuk kes emergency, pejabat buka dua puluh empat jam. Kalau tak buka, macam mana customer mahu buat repot?"
"Apek, apek... Hari minggu pun lu kerja ke? Ada manyak untung ke lu kerja hari minggu?"
"Untung! Ramai orang bodoh. Hari ini saja gua sudah dapat lebih dua ratus ribu."
"Wah! Untung manyak wooo... Tapi apek arrr... Gua nak kasi tahu sama lu... Lu sebenarnya yang bodoh. Lu jadi pencacai sampai mati pun lu talak kaya. Yang kaya lu punya tokeh. Nanti kalau polis ambush, lu juga yang kena tangkap. Tokeh lu lepas maaa!"
"%$#@lah lu!"
Tettt...
Talian dimatikan.
Berdekah Amin, Durrah dan Nadia ketawa. Geli hati mereka mendengarkan rakaman perbualan di antara Amin dan penipu yang cuba menipunya.
"Tak dapat tipu orang terus maki!" Nadia berkata setelah tawanya reda sedikit.
"Berani juga kau nak balas balik. Kalau aku, aku off aje phone." Durrah pula berkata.
"Mangkuk-mangkuk tu bukan hebat mana. Kita kena psiko dia orang balik." Amin berkata penuh bangga. Selama dia memburu penipu-penipu ini, dia belum pernah menerima sebarang panggilan. Jadi sebaik sahaja dia dapat panggilan itu semalam, memang dia tak lepaskan peluang keemasan itu.
"Bagus, Amin. Selalu yang terkena ni bila cepat panik. Lebih-lebih lagi bila diugut dengan hukuman penjara, gantung sampai mati dan sebagainya." Encik Azam, Presiden Persatuan Pengguna Lembah Klang, merangkap bos mereka bersuara.
"Kita kena viralkan rakaman ni supaya orang ramai tahu bagaimana nak handle scammers." Nadia pula mencelah.
"Itu sudah semestinya!" Amin membalas. Memang itulah tujuan dia merakam perbualan dengan penipu itu.
"Betul. Upload dalam page kita." Encik Azam memberi arahan.
Amin melarik senyum. Kemudian dia pandang Durrah.
"Macam biasalah... Itu tugas kau."
"APA?! Tak sampai enam angka? Budak-budak tu buat kerja atau tak buat kerja?" Master Sheng, ketua sindiket Penipuan Macau yang berpangkalan di Macau, memarahi Phua setelah diberitahu tentang kutipan mereka yang tak memuaskan. Dia hantar Phua ke Kuala Lumpur untuk menguruskan operasi di situ tapi nampaknya kutipan tidak memberangsangkan.
"Kerja, Master Sheng. Aku sudah kerah dia orang kerja siang malam..."
"Habis tu, kenapa collection teruk?" herdik Master Sheng. Dia benar-benar tak puas hati dengan apa yang berlaku.
"Mungkin sebab ada masalah bahasa juga, Master Sheng. Budak-budak tu cakap pelat teruk. Susah mahu yakinkan orang ramai." Phua memberi alasan.
"Skrip ada, kenapa tak ikut skrip? Atau kau yang tak latih dia orang betul-betul?"
"Latih, Master Sheng tapi..."
"Sudahlah, Phua! Aku tak nak dengar sebarang alasan lagi. Budak-budak tu kau juga yang cari dulu. Mana kau kutip budak-budak lembab tu? Semuanya tak boleh diharap! Kau pun sama!" Master Sheng terus meningkah. Phua memang tak boleh diharap!
"Tolong bagi aku sikit masa lagi, Master Sheng. Aku akan ajar dia orang cukup-cukup."
"Aku sudah rugi besar disebabkan kau, Phua. Kau nak aku tanggung lagi kerugian?" Sekali lagi Phua dimarahi.
"Tolong bagi aku peluang, Master Sheng. Aku akan pastikan semuanya okey lepas ni." Phua merayu.
"Aku sudah bagi kau banyak peluang, Phua. Tapi kau selalu gagal!" Master Sheng berkata. Kemudian dia toleh pula kepada Marina yang berdiri di belakangnya. Marina merupakan salah seorang daripada ahli sindiket yang boleh diharap dan dipercayai selain daripada Leo.
"Marina! Mana Leo?"
"Leo ada di Thailand, Master Sheng," beritahu Marina.
"Kau call Leo. Suruh dia ke Kuala Lumpur untuk tengok-tengokkan budak-budak tu." Usai memberi arahan, ketua sindiket itu bingkas dari duduknya lalu beredar pergi.
Marina pandang skrin. Sesi perbualan video nampaknya masih belum dimatikan. Phua masih lagi di situ mendengar keputusan ketua mereka dengan muka tak puas hati.
"Marina, kau tolonglah pujuk Master Sheng bagi aku satu lagi peluang."
"Sorry, Phua. Aku hanya menjalankan arahan." Usai berkata, Marina padam monitor.
PRANG! Berderai kaca pada skrin apabila menerima tumbukan Phua. Dek terlalu marahkan tindakan Master Sheng, Phua melepaskan rasa sakit hatinya pada komputer riba yang tak berdosa.
"Kenapa kau pecahkan monitor tu? What happened?" Kwan, rakan sindiket bertanya kehairanan.
"Aku sakit hati! Master Sheng memang selalu lebihkan Leo. Dia langsung tak nak beri peluang dekat aku." Phua membalas dalam nada geram.
"Maksud kau, Leo akan ambil alih tempat ni?" soal Kwan. Dia tak tahu apa yang telah terjadi kerana dia tak berada sama ketika perbualan video sebentar tadi berlangsung.
Phua diam. Pandangannya dihala kepada jari-jemarinya yang mulai berasa pedih. Apabila terpandangkan darah merah pada jari-jari Phua, cepat-cepat Kwan keluarkan sapu tangan lalu dia hulurkan kepada rakannya itu.
"Jari kau luka, tu," beritahu Kwan.
Huluran sapu tangan diambil lalu darah yang mulai mengalir segera dilap.
"Apa saja yang aku lakukan, Sheng tak pernah nak pandang. Dia cuma nampak silap aku saja, Kwan." Phua meluahkan rasa tak puas hatinya.
"Mesti Marina pun dihantar ke mari," teka Kwan lagi.
"Perempuan tu memanglah lagi suka nak mengekor Leo!" omel Phua. Dia tahu Marina sengaja tak mahu membantunya memujuk Master Sheng pertimbangkan semula keputusan yang dia telah ambil. Marina sebenarnya lagi suka kalau Leo yang ambil alih operasi di Kuala Lumpur.
"What to do? Master Sheng lebih percayakan dia orang berdua dari kau," kata Kwan. Dia juga sudah arif dengan sikap ketua mereka itu.
"Tapi salah kau juga sebab tak train budak-budak tu betul-betul," lanjut Kwan lagi.
"Eh, kau ni menyebelahi Leo, nampak? Sepatutnya sebagai kawan aku, kau menyebelahi aku, bukan Leo!" marah Phua apabila Kwan kedengaran seperti merestui tindakan ketua mereka.
"Aku cuma cakap benda yang betul. Kalau kau nak bersaing dengan Leo, kau kenalah buktikan yang kau lagi hebat daripada dia." Kwan berkata. Jujur dari hati.
Semua orang tahu Leo dan Marina mempunyai kepakaran yang tak mampu ditandingi. Leo dan Marina kedua-duanya merupakan orang kepercayaan dan kesayangan Master Sheng. Kedua-duanya merupakan aset terbesar dalam sindiket kerana mereka mempunyai kepakaran yang sangat diperlukan oleh sindiket. Leo mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat. Tambah pula dia boleh menguasai empat bahasa dengan begitu baik sekali iaitu bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Thailand. Manakala Marina pula mahir dalam bidang komunikasi. Dia bijak memanipulasi minda mangsa. Seperti mana Leo, Marina juga mampu menguasai lebih dari satu bahasa. Cuma dia tak boleh berbahasa Thailand.
"Aku akan buktikan yang aku juga mampu buat lebih baik, Kwan." Phua berkata dalam amarah yang masih tertahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro