Bab 4
"MEMANDANGKAN semua orang tak mencapai target jadi aku cuma bayar separuh sahaja untuk bulan ini." Phua berkata.
"Mana boleh ini macam! Kami sudah buat kerja kami." Salah seorang daripada operator panggilan itu membantah. Dari raut muka, nampak sudah berumur. Mungkin dia yang paling tua dalam kalangan para operator panggilan itu.
"Kerja apa?" Phua menengking.
"Kalau kau orang semua buat kerja betul-betul, collection sudah lama naik. Tapi berapa saja kau orang dapat collect? Separuh target pun tak sampai. Apa macam mahu bayar sama kau orang?" lanjut Phua.
"Ini tak adil lorrr! Kami kerja siang malam. Mana boleh potong gaji kami." Dia bersuara lagi. Seolah-olah dia telah dilantik untuk menjadi jurucakap kepada para operator panggilan yang diupah itu.
"Kerja siang malam pun tak guna kalau kau orang tak capai target." Phua, orang kuat sindiket itu membalas.
"Dulu tak ada cakap potong gaji. Kalau macam ini, susah lorrr," kompelin operator panggilan itu lagi.
"Kau orang semua diberi makan percuma, tempat tinggal pun percuma. Itu sudah cukup baik aku bayar separuh. Jangan sampai aku tolak lagi duit kau orang!" Phua mengugut pula.
"Kalau macam ni, kami tak mahu kerja sini. Biar kami balik Taiwan." Operator yang lebih muda bersuara.
"Ya! Kami mahu balik Taiwan." Kawannya yang duduk di sebelah menyokong. Siap bangun hendak tunjuk protes.
Dengan segera Phua beri isyarat kepada pengawal yang sedang berdiri tak jauh dari situ. Pengawal berbadan sasa terus meluru ke arah operator panggilan yang tunjuk protes tadi. Baju operator itu dicekak kasar. Terkulat-kulat operator itu.
"Lu sudah dibayar untuk selesaikan tugas di sini, jadi lu jangan ingat boleh balik suka-suka hati. Faham?" Pengawal sasa memberi amaran. Kemudian dengan kasar dia tolak operator yang tunjuk protes tadi sehingga terduduk. Terus tak berkutik operator panggilan itu. Gerun dia melihat pengawal sasa, bermisai tebal. Tambah pula dengan kulitnya yang gelap dengan secalit parut melintang empat puluh lima darjah di pipi. Tampak bengis dan ganas.
Sejak dia menjejakkan kaki di vila itu kira-kira sebulan yang lalu, lelaki itu sentiasa tercegat di situ, memerhatikan mereka bekerja. Sebenarnya ada dua orang pengawal tetapi yang seorang lagi turun ke bawah, membantu mengeluarkan makanan dari van yang baru tiba.
Pengawal sasa merengus. Dengan muka bengis dia memandang ke arah operator upahan itu. Pap! Penumbuk dihentak pula ke meja sebagai tanda amaran. Terus bergegar jantung semua orang upahan itu. Terkejut.
"Kau orang dengar sini! Kau orang sudah sign kontrak untuk bekerja dengan sindiket bagi tempoh lima bulan. Selagi projek dekat sini belum selesai, selagi itu kau orang tak boleh tarik diri." Phua kembali berkata.
"Ingat! Pasport kau orang ada dengan aku, jadi jangan cuba-cuba hendak melarikan diri. Sesiapa yang didapati berdegil, aku tak akan teragak-agak untuk bunuh kau orang!" lanjut Phua lagi.
Tunduk menikus kesemua operator panggilan itu. Mereka tidak lagi berani hendak memprotes apa-apa.
TEKUN Durrah membaca berita dalam surat khabar tentang serbuan ke atas sebuah kilang yang menjalankan aktiviti haram Penipuan Macau. Seramai empat puluh lapan orang berjaya ditangkap. Ada di antara mereka merupakan wanita tempatan yang berbangsa Melayu.
"Perempuan tempatan ni mesti sebab ikut pakwe dia join sindiket. Bodoh betul!" Durrah membebel, geram.
"Tak juga. Kadang-kadang disebabkan desakan hidup. Tapi tak dinafikan, kebanyakannya join sindiket sebab ikut kenalan." Inspektor Izwan berkata.
"Kut ya pun terdesak, carilah kerja yang halal. Yang tak menipu orang. Kerja dekat fast food restaurant pun okey apa?" Durrah membalas. Dia cukup tak setuju kalau orang mendakwa terpaksa melakukan kerja haram disebabkan desakan hidup. Durrah lebih rela jadi tukang cuci tandas daripada makan duit haram. Durrah sentiasa ingat pesan arwah bapanya. Kata arwah, orang yang memakan benda-benda haram, amal ibadahnya tertolak, manakala doanya tidak akan dimakbulkan.
"Kalau semua orang berfikiran macam Durrah, aman dunia ni." Inspektor Izwan berkata.
"Tapi macam mana pihak polis tahu kilang tu digunakan untuk aktiviti scam?" Bagaikan wartawan yang sedang mendapatkan maklumat bagi berita yang hendak disiarkan, Durrah ajukan soalan lagi.
Inspektor Izwan melarik sengih. Soalan Durrah itu tidak dijawabnya, sebaliknya dia meneguk air minuman di dalam gelas yang berada di depannya. Durrah pula menunggu dengan sabar. Mukanya penuh berharap untuk mendapatkan cerita penuh tentang kejayaan penangkapan tersebut.
"Sama ada pihak polis kesan lokasi panggilan yang scammers buat ataupun dari aduan orang ramai."
"Ooo..." Bulat muncung Durrah.
"Tapi polis taklah main terjah macam tu aje. Kenalah siasat dulu. Bila dah confirm, baru boleh dapatkan waran tangkap." Inspektor Izwan berkata lagi.
"Tapi yang selalu keluar kat surat khabar cakap, polis cuma dapat tangkap orang bawahan. Ketua semua lepas," kompelin Durrah.
"Itulah masalahnya, Durrah. Mastermind ni selalunya tak duduk kat Malaysia."
"Tak boleh trace?"
"Boleh. Tapi kena ada kerjasama dengan pihak polis di mana dia tinggal. Ketua sindiket ni pandai. Bila anak buah dah kena tangkap, dia orang lari sekejap. Bila dah reda, dia orang buat operasi baru, di lokasi baru."
Durrah hela nafas dalam lagi berat. Nampaknya kerja-kerja menangkap dalang dalam kes Penipuan Macau ini bukanlah semudah abc...
Selama ni kita orang Islam terutamanya, bangsa Melayu cuma ada kuasa beli aje... Kalau orang Islam berpecah, sampai kiamat pun kita tak akan maju. Sebab itulah JENs berjihad atas tiket ekonomi. Kami nak kumpul orang Islam di bawah satu payung. Dengan kekuatan ekonomi, orang Islam boleh bangkit agar tidak lagi mudah dijajah, ditindas. Kita kena kuat dalaman dan luaran (ekonomi). - Aleesya
Kumpul orang Melayu ramai-ramai, payung orang atas. Memanglah boleh kaya. Orang bawahan macam mana? - Durrah.
Scam ke ni, korang? - Noura.
Bukan scam... Kami meniaga guna sistem MLM. Yuran pun tak mahal. RM100 aje, dik. Untuk seumur hidup, dapat bebas hutang lagi. Mana nak cari business macam ni? - Aleesya.
Bila Melayu nak perkasakan ekonomi, cepat ajelah kena tuduh scam. Yang syarikat Cina jual macam-macam produk tu bukan main laku, lagi! - Razak.
Apek scammer kata dia dari balai polis, boleh pula dia percaya. Tapi bila orang Melayu nak berjihad ekonomi. Scam katanya! - Ellie
Hehe... Tak apa... Dia orang tak faham tu. - Aleesya.
Hahaha... Betul tu, Ellie. Apek tongkang sudah kaut juta-juta, MELAYU cuma boleh melopong ajelah! Kita cuma minta seratus, siap tolong langsai hutang, lagi mahu soal banyak. - Dino.
Tolong langsaikan hutang aku sat, cik kak! Hutang aku 100K aje... - TheJoker.
Haha... Langsaikan hutang aku sama. - PolisPencen.
Bila dah bayar hutang, tak habis ke duit tu? Macam mana nak bayar hutang ahli-ahli lain? Ce cite... - Durrah.
Duit yang terkumpul tu, syarikat akan jadikan modal perniagaan bagi mengukuhkan perniagaan dan menambahkan keuntungan. Hibahnya nanti dapat dirasai oleh setiap ahli. Jumlah hibah bergantung kepada jumlah modal yang ahli keluarkan. Dalam masa yang sama, syarikat akan gunakan bagi melangsaikan hutang-hutang ahli, jika mereka berhutang. - Aleesya.
Jangan nanti ahli-ahli terawal saja yang dapat bayar hutang. Ahli-ahli yang masuk terkemudian melopong. Jadi tukang selesaikan hutang korang. - Durrah.
Sebab itu saya kata, kita kena buat payung. Makin lebar payung, makin kukuhlah ekonomi syarikat. - Aleesya.
Sounds fishylah sistem ni! - Noura.
Tak, dik... Ini sistem betul. Bukan main-main. Datang ke pejabat kami ataupun boleh sertai seminar kami pada 25 hingga 28 hari bulan ni. Kami akan terangkan satu per satu. - Aleesya.
Makin lebar payung, makin buncitlah perut masing-masing. Tak gitu? - Durrah.
"SIAPA Durrah, ni?" Haji Kasran sudah merah muka. Mendidih rasa hatinya apabila ada orang pertikaikan skim yang dia cuba perkenalkan itu.
"Saya kurang pasti, haji. Akaun Facebook dia private tapi dia aktif dalam page Persatuan Pengguna Lembah Klang." Aleesya memberitahu.
"Persatuan Pengguna?" Haji Kasran berkerut dahi. Memikir.
"Suruh orang kita siasat siapa budak tu." Arahan kemudian diberi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro