Bab 3
PAGI itu, Izwan menghadiri taklimat dari ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman bagi membincangkan tentang jenayah siber yang semakin berleluasa.
"Kegiatan penipuan siber terutamanya jual beli barang secara atas talian adalah antara jenayah komersil tertinggi yang diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. Namun demikian pihak polis sukar melakukan tindakan kerana kebanyakan mangsa enggan membuat laporan kerana beranggapan jumlah kerugian adalah kecil, sedangkan mereka tak sedar mungkin penjenayah terbabit sudah mengaut keuntungan jutaan ringgit kerana melibatkan ramai mangsa." Timbalan Pengarah JSJK itu berkata. Para anggota polis yang menghadiri taklimat itu memberikan sepenuh penumpuan.
"Kes penipuan jual beli barang secara atas talian sebenarnya bukan sahaja melibatkan penjual tetapi ada juga beberapa kes di mana penjual ini ditipu oleh pembeli. Pembeli datang menemui mangsa dan menunjukkan resit palsu kononnya wang sudah dipindahkan ke akaun bank mangsa. Tanpa membuat sebarang pemeriksaan, mangsa percaya dengan dakwaan suspek dan menyerahkan barangan. Mangsa mula menyedari ditipu selepas mendapati tiada sebarang pemindahan wang di dalam akaunnya."
Izwan kelihatan mencatatkan sesuatu ke dalam buku nota miliknya. Setiap kali menghadiri seminar mahupun taklimat, dia akan mencatit perkara-perkara penting untuk dijadikan rujukan.
"Hasil siasatan mendapati jenayah itu dilakukan oleh sindiket selain orang perseorangan yang lazimnya menggunakan laman web seperti Mudah.my dan Lelong.my sebagai platform untuk menipu mangsa. Lebih seratus kes dicatatkan setiap minggu sejak awal tahun ini dengan membabitkan kerugian puluhan juta ringgit. Oleh yang demikian, kita perlu memandang serius kes penipuan jual beli barangan secara dalam talian." Ucapan diteruskan.
"Selain daripada ini, pihak jabatan juga memandang berat tentang kegiatan spoofing yang melibatkan anggota polis. Dalam tahun ini, sebanyak tiga puluh kes membabitkan kerugian dua puluh satu juta ringgit berhubung kes menyamar polis telah dicatatkan di Lembah Klang sahaja. Ini menunjukkan peningkatan yang sangat tinggi."
Kedengaran bunyi suara beberapa orang anggota polis yang menghadiri taklimat itu bercakap sesama sendiri. Masing-masing sudah tentunya berasa kesal dengan apa yang berlaku. Bukan sikit-sikit nilai yang telah ditipu.
"Dalam kejadian terbaru, seorang suri rumah kerugian sepuluh ribu ringgit selepas ditipu suspek yang menyamar sebagai Inspektor Wong. Suspek menghubungi mangsa dengan menggunakan nombor telefon milik anak lelaki mangsa. Suspek mendakwa anak lelaki mangsa yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di Subang ditahan polis atas kesalahan memiliki dadah." Timbalan Pengarah JSJK itu berkata lagi.
"Mangsa berusia lima puluh tahun mendakwa menerima panggilan telefon jam 12.30 tengah hari kelmarin daripada 'pegawai polis' dikenali sebagai Inspektor Wong. Penipu meyakinkan mangsa berikutan panggilan itu dibuat menggunakan nombor telefon bimbit anak mangsa," lanjut Timbalan pengarah itu lagi.
"Sindiket itu membuat panggilan kepada mangsa dengan menggunakan perisian komputer dan perkakas yang dipanggil 'magic jack'. Perisian ini ada kaitan dengan rangkaian Voice over Internet Protocol."
VoIP... Izwan mencatat lagi pada buku nota kecilnya.
"Berdasarkan laporan, lapan daripada tiga puluh kes menyamar polis ini melibatkan tipu culik di mana sebanyak empat ratus tujuh puluh lima ribu ringgit kerugian telah dicatatkan. Mereka menefon mangsa, memberitahu ahli keluarga mangsa diculik dan kemudiannya meminta wang tebusan."
Izwan menggeleng kepala. Licik sungguh para penipu itu.
"Memandangkan penipuan menyamar sebagai pegawai polis semakin menjadi-jadi, kita perlu membanteras penipuan ini dengan segera. Jika tidak, nama baik jabatan akan terjejas."
Assalamualaikum.
KENAPA ANDA PATUT SERTAI KAMI DI JENs?
Anda yang ingin tingkatkan ekonomi diri dan keluarga anda.
Anda yang tak pandai berniaga, tiada masa dan langsung tiada pengalaman.
Anda yang mahukan kebebasan masa dan lebih masa berkualiti bersama keluarga.
Anda yang ingin melangsaikan segala hutang-hutang lama seperti kad kredit, PTPTN, kereta dan rumah dengan cepat.
Anda yang selalu kesempitan wang tetapi mahu bebas masalah kewangan.
Anda yang terpaksa menanggung kos/komitmen bulanan yang amat tinggi.
Anda yang inginkan kereta dan rumah dibiayai secara PERCUMA.
Anda yang ingin membantu saudara-mara yang susah.
Anda yang berhasrat menghantar kedua-dua orang tua menunaikan haji dan umrah.
Anda yang ada impian ingin miliki perusahaan sendiri, menjadi majikan kepada pekerja dan membantu menyelesaikan masalah ramai orang.
Anda yang ingin KAYA dan MEMBANTU RAMAI ORANG.
Maka bertindaklah sekarang! Kuasa tindakan itu pasti membuahkan hasil.
Makin CEPAT anda bertindak, makin CEPAT anda capai apa yang anda impikan.
"Tengok! Ayat tak boleh blah. Sepesen aje semuanya. Nak kaya, kaya, kaya!" Durrah membebel. Bengang betul dia dengan apa yang dibacanya pada status yang dimuat naik dalam page Jihad Ekonomi Networks itu.
"Hujung-hujung kayap." Nadia yang duduk di sebelah membalas.
"Salah orang ramai juga. Ada otak tak nak fikir. Bila dah kena tipu, barulah nak cari persatuan pengguna." Amin, seorang lagi rakan setugas pula menyampuk.
"Sebab itu aku nekad nak bagi kesedaran kepada masyarakat. Jangan ada lagi yang tertipu." Durrah membalas.
"Nak bagi kesedaran tu memang aku sokong seratus peratus. Tapi kalau nak pergi terjah orang tu, a big no, ya!" Nadia bersuara kembali, mengingatkan Durrah.
"Yang tu, aku pun setuju. Lain kali kalau kau nak pergi terjah orang, bawa aku sekali. Apa guna aku jadi hero dalam pejabat ni?" Amin sekali lagi menyampuk.
"Tak payah nak berangan! Durrah dah ada hero dia sendiri. Abang polis handsome." Nadia lekas-lekas mencelah.
"Aduh! Aku memang tak ada chance langsung ke ni?" soal Amin.
"Inilah lelaki! Depan bini, pijak semut pun tak mati. Belakang, kemain merenyam," marah Nadia. Terus Durrah ketawa. Dia tahu, Amin bukannya serius. Dia cuma melawak. Dekat rumah Amin, anak berderet menunggu.
"Senang hati nampak masing-masing! Kerja dah jalan?" Tiba-tiba kedengaran suara Encik Azam, bos mereka. Entah bila pula dia masuk ke pejabat, mereka bertiga langsung tak perasan. Encik Azam seorang yang tegas tapi hati dia baik. Apa yang buat Durrah suka bekerja di situ ialah, selain dari rakan sepejabat yang sporting, Encik Azam pun tidaklah begitu cerewet. Janji kerja berjalan.
16 Januari - Balakong
Mangsa: Suri rumah
Jumlah: RM20,000
Kes: Pinjaman bank, bersubahat menyeludup dadah
22 Januari - Sg Besi
Mangsa: Pensyarah
Jumlah: RM160,000
Kes: Hutang kad kredit, bersubahat menyeludup dadah
11 Febuari - Bandar Tun Razak
Mangsa: Pengurus
Jumlah: RM52,000
Kes: Tipu culik anak
3 Mac - Gombak
Mangsa: Suri rumah
Jumlah: RM45,000
Kes: Pinjaman bank, bersubahat menyeludup dadah
INSPEKTOR Izwan memerhatikan tampalan nota pada dinding. Setiap satu merekodkan tarikh, lokasi, mangsa serta jumlah wang yang ditipu.
Dagunya yang sudah mulai ditumbuhi bulu-bulu nipis digosok perlahan. Sudah agak lama juga dia tak bercukur. Dia terlalu sibuk menguruskan jenayah siber yang semakin meningkat sekarang ini sehinggakan tiada masa untuk mengemas diri. Dari sekecil-kecil kes seperti kehilangan duit dari bank sehinggalah kepada kes penipuan atas talian. Namun fokus utamanya sekarang ialah menjejaki kumpulan penipu yang melibatkan penyamaran polis. Bukan sikit-sikit kerugian yang dialami. Ia hampir mencecah seratus juta ringgit!
Nota-nota yang ditampalnya diperhati kembali. Sejak Januari sehingga kini, hampir kebanyakan kes penipuan melibatkan dadah.
"Rata-rata mangsa berasa takut kemudian transfer duit untuk lepaskan diri dari pertuduhan," tuturnya sendirian. Apa yang membuatkan dia sakit hati ialah para penipu itu bukan sahaja menipu wang mangsa, bahkan mereka turut mendera emosi mangsa. Mangsa yang berasa tertekan dan bimbang menurut sahaja kemahuan penipu dengan harapan masalah mereka dapat diselesaikan.
Satu sticky note ditanggalkan dari dinding.
10 Mac - Balakong
Mangsa: Ahli Perniagaan
Jumlah: RM100,000
Kes: Tipu culik anak
Matanya kembali ke dinding, membaca nota yang seterusnya.
25 April - Cheras
Mangsa: Suri rumah
Jumlah: RM63,000
Kes: Tipu culik anak
Izwan berjeda. Sementara itu otaknya ligat berputar. Memikir tentang taktik yang digunakan oleh ahli-ahli sindiket penipuan siber itu. Kemudian jari telunjuk kanannya laju bergerak pada setiap nota yang tertampal. Kali ini dia hanya mahu mencari kes tipu culik.
"Lapan Jun... Kes... Tipu culik isteri. Tapi mangsa belum sempat memindahkan wang."
"Sebelas Jun... Tipu culik adik..."
Kesemua sticky notes yang mencatatkan kes tipu culik ditanggalkan lalu dikumpulkan setempat. Sejak bulan dua sehingga kini sudah ada lapan kes tipu culik. Satu selamat kerana mangsa belum lagi memindahkan wang. Isterinya yang dilaporkan diculik tiba-tiba membuat panggilan. Ternyata panggilan sebelum ini merupakan panggilan palsu. Mangsa terpedaya kerana nombor tersebut betul-betul nombor milik isterinya.
Herm... Nampaknya kes tipu culik semakin meningkat. Tak mustahil mereka akan menggunakan taktik tipu culik sebagai modus operandi yang terbaru, omel hati kecilnya.
Inspektor Izwan menarik kerusi lalu melabuh duduk. Pen yang terletak di atas meja dicapai pula. Kemudian dia menulis sesuatu pada sticky note yang kosong. Usai mencatat, sticky note ditampal pada dinding.
Modus Operandi:
1. Cabutan bertuah.
2. Spoofing. (pegawai bank negara/bank komersil,polis/agensi kerajaan)
3. Tipu culik dan minta tebusan.
Jeda. Mata melekat kepada nota yang tertampal. Sudah setahun dia mengurus kes Penipuan Macau. Meskipun beberapa orang telah ditangkap namun mereka sekadar barua. Dalang sebenar masih lepas bebas. Apa yang Izwan tahu, mereka bergerak dalam beberapa kumpulan yang berbeza. Mungkin setiap kumpulan ada perkaitan dan mungkin juga tidak.
Nafas dihela.
Izwan tahu, para penipu itu bukan calang-calang orang. Mereka mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro