Bab 2
"SERONOKNYA orang tu! Setiap kali kena angkut ke balai, ada abang inspektor handsome tolong lepaskan." Nadia, rakan sekerja Durrah mengusik. Durrah tak membalas sebaliknya dia tersengih saja.
"Kalau aku jadi kau, sepuluh kali ke balai pun aku sanggup." Nadia menyambung.
"Amboi gediknya! Kau ingat aku saja suka-suka minta diangkut ke balai?" Durrah bersuara kali ini.
"Ya, aku tahu. Kau tu nak membela mangsa-mangsa yang teraniaya," balas Nadia.
"Bukan setakat itu saja, Nadia. Kalau boleh, aku nak heret penipu-penipu tu ke muka pengadilan."
"Tapi, Durrah... Kau tak rasa bahaya ke apa yang kau buat ni?"
"Bahaya? Kenapa pula nak bahaya?" Durrah sudah berkerut kening. Kabur dengan maksud Nadia itu.
"Manalah tahu, kan? Dibuatnya orang-orang yang kau cuba siasat tu sakit hati. Kemudian dia orang apa-apakan kau ke..."
"Think positive. Dia orang tu scammers aje. Bukan pembunuh ke apa."
"Aku cuma nak kau berhati-hati aje."
Jeda.
"Durrah... Lepas ni kau tak payahlah nak terjah-terjah orang. Tulis kat page aje pun dah okey, apa? Orang pun tak kenal kita." Nadia menyaran pula.
"Aku kenalah dapatkan bukti yang kukuh sebelum tulis kat page. Lagipun, aku bukannya pergi terjah orang sembarangan. Aku pun tengok orang juga. Kalau dia tu perempuan macam Puan Aleesya tu, tak apa kut?"
"Kau jangan, Durrah! Perempuan pun ada yang ganas, tau."
"Eh? Baru goncang pagar dah kecut. Panggil polis, beb!" Durrah senyum sinis, mengejek.
"Eksyen kau, ya? Mentang-mentang ada backup baik punya dari abang inspektor!" Nadia mencemik muka.
"Tapi aku nak ingatkan kau. Bukannya abang inspektor tu nak berkepit jaga kau dua puluh empat jam!" Nadia meneruskan bebelan. Geram apabila Durrah ambil mudah saja segala nasihatnya. Durrah pula hanya tertawa saja. Geli hati dia mendengarkan Nadia membebel tak sudah.
"Gelaklah! Kena esok, baru tahu. Masa tu baru nak menagis tak berlagu." Nadia tunjuk geram apabila rakannya itu ambil lewa saja segala nasihatnya.
"Ada eh, orang menangis berlagu? Cuba kau menangis sambil nyanyi lagu Haqiem Rusli."
"Durrah! Aku serius ni, tau." Ternaik lapan oktaf suara Nadia. Sakit pula hatinya bila Durrah masih nak main-main pada ketika dia sedang serius.
"Tapi kau tu. Kut ya pun nak nasihat, janganlah doa yang bukan-bukan." Durrah berkata.
"Okey! Aku salah. Aku doakan kau selamat dunia akhirat. Puas hati?" Nadia masih bernada marah.
Durrah melarik senyuman manis. Kemudian tubuh Nadia dipeluknya.
"Aku aku tahu kau sayangkan aku. Kau tak nak jadi apa-apa kat aku, kan?"
"Tahu pun!"
"Insya-Allah. Aku akan berhati-hati."
Pelukan kemudian dilepaskan.
"Dan aku doakan kau juga selamat dunia dan akhirat." Durrah berkata lagi. Kali ini Nadia tersenyum. Terpujuk dengan doa yang jelas ikhlas itu.
"JEMPUT minum, Mak Cik Yam," pelawa Durrah setelah menghidangkan air kopi.
"Buat susah-susah Durrah aje..." Wanita yang dipanggil Mak Cik Yam itu berkata.
"Alah... Bukan susah pun nak buat air. Tapi kopi O ajelah, mak cik. Biskut dah habis." Durrah membalas seraya tersengih.
"Air pun dah cukup, Durrah... Lagipun mak cik datang ni bukannya nak makan tapi mak cik nak cakap sikit dengan kamu."
"Nak cakap banyak pun boleh, Mak Cik Yam. Macam tak biasa." Durrah membalas dalam gurauan. Dia memang selalu bergurau dengan Mak Cik Yam. Dia kenal Mak Cik Yam sejak kecil lagi. Mak Cik Yam merupakan kawan baik arwah emaknya. Mereka berjiran. Cuma Mak Cik Yam tinggal di tingkat enam. Dia pula di tingkat tujuh. Sejak arwah emak meninggal, Mak Cik Yamlah tempat dia mengadu.
"Tadi Iz kata kamu kena angkut ke balai lagi. Mujurlah kamu tak masuk lokap." Mak Cik Yam berkata.
"Abang Iz ni... Memang tak boleh simpan rahsia langsung!" omel Durrah. Di balai polis tadi, dia sudah berpesan agar lelaki itu tidak memberitahu Mak Cik Yam. Durrah tak mahu kawan baik kepada arwah emaknya, merangkap jiran itu berasa risau. Kali pertama dia dibawa ke balai dulu, bukan main risau lagi wanita itu.
"Dia tu risaukan kamu. Sudah-sudahlah tu, Durrah. Polis ada. Biar pihak polis yang menyiasat."
Aduh... Di pejabat tadi, Nadia sudah membebel pasal perkara yang sama. Bahkan sebelum itu, Izwan sudah terlebih dahulu mengasak telinganya dengan bebelan panjang. Bayangkanlah sepanjang perjalananan dari balai polis ke pejabat, tak sudah-sudah inspektor muda itu membebel. Sekarang ini, emaknya pula hendak memanjangkan lagi sesi bebelan. Boleh rabak telinga macam ni.
"Kamu dengar ke tak, ni?" Mak Cik Yam bertanya apabila Durrah senyap.
"Dengar, Mak Cik Yam." Durrah sebenarnya sudah malas hendak bercakap tentang perkara itu lagi. Sebab itulah dia malas hendak menjawab apa yang Mak Cik Yam bebelkan.
"Kamu tu perempuan. Bahaya. Buatnya ada yang sakit hati, dicarinya kamu. Lepas tu dia orang..."
"Bunuh Durrah?" Dalam pada hendak senyap, mulutnya memintas juga. Kemudian Durrah melarik sengih.
"Kamu jangan main-main, Durrah! Orang sekarang ni macam-macam fiil ada. Merompak, merogol, membunuh... Apa orang kata tu? Dah edvan?"
Langsung Durrah tertawa.
"Amboi, Mak Cik Yam! Mak Cik Yam pun dah advance sekarang. Cakap orang putih, gituuu..."
"Eh, budak ni! Orang risaukan dia, dia boleh ketawa pula. Kalau kamu tu pandai berkung fu, tak adalah mak cik nak risaukan sangat. Bolehlah kamu lawan penjahat-penjahat tu!" Mak Cik Yam sudah membebel panjang. Geram hatinya apabila Durrah tak ambil serius dengan peringatan yang dia beri.
"Ala... Mak Cik Yam janganlah risau. Durrah bukan buat apa pun. Durrah pergi jumpa dia orang hanya untuk dapatkan maklumat."
"Nak mendapatkan maklumat tu tak salah, Durrah tapi yang kamu sampai menceroboh rumah orang tu dah kenapa?"
"Mana ada ceroboh, Mak Cik Yam! Durrah tak buatlah kerja-kerja yang menyalahi undang-undang." Durrah mempertahankan dirinya.
"Kalau tak ceroboh, kenapa kena angkut ke balai?" pertikai Mak Cik Yam.
"Goncang pagar sikit aje pun..."
"Hah? Kamu goncang pagar rumah orang? Patutlah kena angkut ke balai. Kamu nak jadi gengster ke apa ni?" Terbeliak dua biji mata perempuan separuh abad itu mendengar. Durrah langsung tergelak.
"Mak Cik Yam... Mak Cik Yam tengok Durrah ni ada rupa gengster ke?" tanya Durrah kemudian.
"Tak adalah... Tapi perangai kamu pergi goncang pagar orang tu dah macam gengster." Mak Cik Yam terus membebel.
"Mana ada! Durrah ni gadis sopan santun, tau!" Durrah buat lagak ayu dengan kejip-kejip dua kelopak matanya.
Mak Cik Yam geleng kepala.
"Kalau orang cakap tu, ada aje nak menjawab."
"Alaaa... Janganlah marah, Mak Cik Yam. Durrah gurau aje." Muka jirannya itu dipandang. Kemudian dia melarik senyuman. Senyuman manis bagi meredakan kegusaran hati wanita separuh abad itu.
"Jemput minum, Mak Cik Yam. Sejuk karang air tu." Durrah berkata lagi.
Cawan berisi air kopi diambil. Setelah membaca basmallah, Mak Cik Yam menghirupnya sedikit. Setelah beberapa kali sisipan, dia meletakkan semula cawan ke atas meja. Kemudian dia memerhati ke sekeliling, seperti mencari sesuatu.
"Nukman mana?" soalnya.
"Ermmm... Selagi matahari tak terbenam. Bukan Mak Cik Yam tak tahu perangai dia macam mana?"
"Kamu kena pantau dia, Durrah. Jangan bagi dia berkawan dengan budak-budak nakal tu."
"Apa yang saya cakap bukannya dia nak dengar, Mak Cik Yam..."
"Kamu sebagai kakak kena juga nasihatkan dia."
"Nasihat tu ada, mak cik. Tapi kalau dia nak dengar tu, bertuah sangatlah."
"Memang keras hati betul budak tu. Sampai bilalah nak macam tu?"
Durrah tundukkan kepalanya sedikit. Persoalan itu tak mampu dia menjawabnya. Malah dia sendiri pun tertanya-tanya. Sampai bila?
JARUM jam sudah menunjukkan hampir pukul 11.45 malam, baru nampak muka Nukman.
"Nukman dari mana ni? Dah tengah malam baru balik?" soal Durrah kepada adiknya itu. Namun tiada jawapan diberi. Nukman meletakkan kasut yang sudah ditanggalkannya ke dalam rak kasut yang terletak di tepi pintu.
"Nukman, kakak tanya ni... Nukman dari mana?" Durrah bertanya lagi. Masih kedengaran lembut nadanya. Seperti tadi juga, Nukman membisu. Dia terus berganjak dari rak kasut. Selalunya begitulah. Durrah sudah masak dengan perangai Nukman. Jangankan hendak menyapa atau membalas sapaan, menoleh pun tidak terkadang itu.
Nukman diekori.
"Nukman, kakak tak sukalah kalau Nukman bergaul dengan budak-budak nakal." Durrah terus berkata seraya mengekori Nukman dari belakang. Dia bersengkang mata, menahan kantuk menunggu adiknya itu pulang meskipun esok, pagi-pagi lagi dia perlu keluar ke pejabat. Durrah mahu bercakap dengan Nukman dan menasihati adiknya itu. Dia tak mahu Nukman tersalah langkah.
"Daripada Nukman buang masa melepak dengan budak-budak tu, lebih baik Nukman sambung belajar. Ini untuk masa depan Nukman juga."
"Kau jangan sibuk pasal aku, boleh tak?!" Apabila Durrah tak henti-henti bercakap, terus Nukman menjerkah. Kuat jerkahannya sampai terangkat dua bahu Durrah akibat terkejut.
"Nukman kan adik kakak? Mana boleh kakak tak menyibuk. Kakak nak adik kakak berjaya." Intonasi suaranya masih kekal lembut biarpun tadinya baru lepas kena jerkah. Durrah tak pernah ambil hati dengan sikap biadab adiknya itu. Dia tetap melayan Nukman dengan baik kerana dia sayangkan Nukman. Amanat arwah emak mereka, Durrah tak pernah lupa. Sebagai anak sulung, memang tanggungjawabnya menjaga kebajikan adik-adik.
Nukman kembali membisu. Memang susah betul dia hendak bercakap dengan Durrah. Kalau bercakap pun sekali-sekala saja. Itu pun bukannya Nukman yang memulakan perbualan. Kalau nak tunggu Nukman memulakan perbualan, sampai kucing bertanduk pun belum tentu. Sebab itulah Durrah tak pernah jemu untuk cuba mendekati adiknya itu.
"Nukman dah makan? Kakak ada simpankan lauk untuk Nukman. Bawah tudung saji. Pergilah makan." Durrah berkata lagi apabila adiknya terus saja ke bilik.
Bam! Kuat kedengaran bunyi daun pintu bilik dihempas. Sekali lagi dua bahu Durrah terangkat. Buat beberapa ketika, dia terus pegun di situ, di ruang tamu itu. Merenung dengan penuh sayu ke arah pintu bilik yang kini sudah tertutup rapat.
"Sampai bila, Nukman? Sampai bila Nukman nak marah dekat kakak?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro