Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

2013

KRING!!! Rumah flat kecil dua bilik yang sunyi itu tiba-tiba jadi bising dengan bunyi telefon. Di atas katil kecil di dalam bilik, Durrah menarik selimut, menutupi keseluruhan tubuhnya. Dia enggan mendengar bunyi telefon yang mengganggu tidurnya itu. Pagi itu sepatutnya dia ke sekolah tetapi disebabkan dia demam, ibu menyuruhnya berehat di rumah saja. Selepas bersarapan pagi tadi, dia makan ubat dan kembali tidur.

Kringgg!!! Kringgg!!! Deringan itu terus-terusan memekak, bagaikan tak mahu berhenti selagi tiada sesiapa yang menjawab.

"Adoi! Ibu ni nak apa?" Ikutkan hati, Durrah malas hendak bangun tetapi memikirkan ibunya yang menelefon, Durrah bangkit juga dari perbaringannya. Kemudian dengan langkah longlai, dia pergi ke ruang tamu bagi mendapatkan telefon bimbit yang suka benar memekak itu.

"Assalamualaikum, ibu... Durrah ngantuk lagi ni. Ibu nak apa?" Dalam mamai, Durrah bertanya. Kepalanya masih berasa berat, kesan dari ubat demam serta antibiotik yang dia telan.

"Boleh saya bercakap dengan Puan Nusaibah?" Si pemanggil bertanya tanpa menjawab salam.

Durrah berkerut kening. Bukan ibu rupa-rupanya! Berdasarkan kepada pelat dan nada suara pemanggil, Durrah yakin pemanggil itu berbangsa Cina. Patutlah dia tak menjawab salam yang Durrah beri tadi.

"Puan Nusaibah tak ada." Durrah memberitahu kemudiannya.

"Oh... Boleh saya tahu siapa yang bercakap ni?" Si pemanggil bertanya lagi di hujung talian.

"Saya Durrah, anak dia. Ada sebarang pesanan? Nanti saya bagi tahu ibu saya."

"Ya, memang ada pesanan penting untuk Puan Nusaibah. Mungkin cik... Errr... Cik nama apa?"

"Durrah."

"Cik Dulah umur berapa?" Langsung tergelak Durrah apabila namanya disebut pelat. Terus segar biji mata. Dulah pun boleh...

"Errr... Tujuh belas," jawab Durrah setelah tawanya reda.

"Form five? Kenapa tak pergi sekolah hari ni?"

"Saya demam."

"Ooo... Saya Wendy. Saya buat panggilan dari Hong Leong Bank. Dari rekod kami, Puan Nusaibah mempunyai pinjaman tertunggak sebanyak tiga ribu ringgit."

"Biar betik?" Entah bilalah pula ibunya buat pinjaman. Tak masuk akal langsung!

"Cik Wendy salah orang ni. Okeylah, bye!" Durrah mahu segera menamatkan perbualan dan pergi menyambung tidurnya semula.

"Betul kan nama ibu cik, Nusaibah binti Hassan? Nombor kad pengenalan..." Langsung tak jadi Durrah mematikan talian apabila segala maklumat tentang ibunya tepat diberikan termasuklah nombor kad pengenalan dan juga alamat kediaman.

"Errr... Boleh tak Cik Wendy call balik petang nanti? Bercakap sendiri dengan ibu saya."

"Pukul berapa ibu Cik Dulah balik?"

"Biasanya dia sampai rumah dalam pukul enam macam tu..."

"Pukul enam sudah lewat. Puan Nusaibah mesti menjelaskan hutang sebelum pukul dua petang hari ini. Jika tidak, mahkamah akan membekukan aset Puan Nusaibah."

"Bekukan aset? Maksudnya?" Durrah berkerut kening, kabur.

"Maksudnya segala simpanan di dalam bank Puan Nusaibah akan dibekukan. Dalam erti kata lain, dia tak boleh membuat sebarang pengeluaran."

"Aik? Pinjam tiga ribu saja dah nak kena beku segala duit dalam bank? Gila!" Ternaik lapan oktaf pic suara Durrah, terperanjat campur bengang.

"Sebenarnya Puan Nusaibah telah membuat pinjaman peribadi dengan pihak bank sebanyak lima puluh ribu ringgit."

"Lima puluh ribu ringgit? Tadi kata tiga ribu aje?!" pertikai Durrah pula.

"Tiga ribu ringgit yang saya beritahu tadi merupakan jumlah tunggakan semasa. Maksudnya sejak pinjaman dibuat, Puan Nusaibah gagal membuat sebarang pembayaran sehingga tertunggak sebanyak jumlah yang tersebut. Sebab itulah pihak bank telah membuat permohonan di mahkamah supaya membekukan aset Puan Nusaibah."

"Cik Wendy dah silap ni. Ibu saya tak pernah buat sebarang pinjaman," balas Durrah. Mustahillah ibunya ada membuat pinjaman peribadi. Takkan tak cukup duit peninggalan arwah abah?

"Berdasarkan rekod yang ada dengan saya sekarang ni, Puan Nusaibah telah membuat pinjaman peribadi di Hong Leong Bank cawangan Ipoh sebanyak lima puluh ribu ringgit pada tarikh sembilan Januari 2013. Pinjaman beliau telah diluluskan pada dua puluh Januari 2013." Wendy menjelaskan.

"Ipoh? Tapi ibu saya tak pernah pergi Ipoh. Lagipun tarikh tu rasanya kita orang sekolah. Ibu saya mana pernah tinggalkan kami adik-beradik kecuali pergi kerja." Durrah cuba meyakinkan Wendy.

"Kalau macam tu, kemungkinan data Puan Nusaibah telah disalah guna oleh orang lain."

"Maksud Cik Wendy, ada orang menyamar jadi ibu saya?"

"Lebih kurang begitulah. Ibu cik pernah tak memberikan maklumat peribadi dia kepada sesiapa sebelum ini?"

"Herm... Yang tu saya tak pasti."

"Ada buat pembelian secara online? Atau memasuki peraduan secara online?" Wendy bertanya lagi.

"Tak ada. Telefon mak saya tak ada Internet."

"Oh... Tapi tak mustahil juga kalau data peribadi Puan Nusaibah telah diceroboh dan disalah guna."

"Habis tu macam mana sekarang ni, Cik Wendy? Takkanlah ibu saya pula yang kena bayar hutang?" Durrah mengajukan pertanyaan.

"Saya boleh bantu Puan Nusaibah tapi dia perlu membuat laporan polis di balai polis Ipoh. Kemudian Puan Nusaibah boleh fakskan kepada saya laporan tersebut sebelum pukul dua supaya saya boleh buat laporan ke pihak bank pula."

"Hah? Kena pergi Ipoh?" Durrah sedikit terperanjat.

"Ya, sebab kes berlaku di Ipoh, jadi Puan Nusaibah kena buat laporan di pejabat polis yang berhampiran." Wendy membalas di hujung talian.

"Tapi masalahnya ibu saya tak ada di rumah sekarang ni. Macam mana kalau tak sempat?" Durrah bertanya. Masa sekarang pukul 10 pagi. Cuma tinggal empat jam saja lagi untuk ke Ipoh, membuat laporan. Memang mustahil!

"Boleh tangguh esok tak, Cik Wendy?" Durrah melanjutkan dengan harapan Cik Wendy akan membuat pertimbangan.

"Kami pihak bank tak boleh buat apa-apa sebab ini perintah mahkamah. Melainkan laporan polis dibuat, barulah kami boleh meminta pihak mahkamah membatalkan perintah pembekuan aset Puan Nusaibah."

"Tolonglah, Cik Wendy! Kita orang ni bukannya orang senang. Gaji ibu saya bukan besar mana." Durrah menagih simpati.

"Macam inilah, cik... Apa kata cik sendiri yang pergi buat laporan polis?"

"Saya pula yang kena pergi pejabat polis Ipoh?"

"Ya."

"Tapi manalah saya tahu nak pergi sana! Lagipun saya demam hari ni."

"Oh, masalah juga macam ni. Takkan awak nak pergi Ipoh sorang-sorang dalam keadaan tidak sihat? Tapi kalau nak tunggu ibu awak, saya takut tak sempat!"

"Tolonglah, Cik Wendy! Takkan tak ada cara lain?" Durrah mengharapkan pertolongan atau alternatif bagi menyelesaikan masalah yang tiba-tiba saja muncul itu.

Perempuan Cina yang bergelar Wendy itu tak menjawab, sebaliknya Durrah mendengar suara perbualan dalam bahasa Cina yang sepatah pun dia tak faham.

"Cik Dulah... Awak masih di dalam talian?" Suara Wendy kedengaran.

"Ya, saya masih ada ni..."

"Tadi saya sudah bincang dengan bos saya. Dia cakap, awak boleh call pejabat polis Ipoh untuk membuat laporan."

"Maksudnya saya tak perlu pergi Ipoh?" Durrah mahukan kepastian.

"Ya, betul. Nanti saya sambungkan talian ini terus ke balai polis Ipoh. Cik bercakap dengan pegawai polis yang bertugas. Tapi sebelum tu, awak catat maklumat tentang pinjaman Puan Nusaibah yang akan saya berikan. Nanti awak beritahu dengan polis tentang maklumat ini."

"Okey. Terima kasih, Cik Wendy." Lega hati Durrah kerana dia tak perlu bersusah payah ke Ipoh. Mudah-mudahan masalah ibunya itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

2019

DURRAH tak akan pernah lupa sejarah hitam hampir enam tahun dulu. Bermula dengan panggilan dari pihak bank, kemudian disambungkan ke balai polis. Sangkanya masalah selesai apabila laporan pencerobohan dan penyalahgunaan data dibuat, rupa-rupanya masalah yang mendatang lebih berat lagi. Tiba-tiba pula dikatakan menyimpan wang haram sebanyak dua juta ringgit hasil penglibatan dengan sindiket dadah dan boleh disabit dengan hukuman gantung sampai mati. Gila!

Plot yang sama cuma nama watak berbeza. Begitulah yang dia kena dulu dan Puan Amnah kena baru-baru ini. Malah beribu lagi mangsa di luar sana. Taktik yang digunakan oleh pihak sindiket Penipuan Macau sama saja.

Bezanya dulu dia cuma menerima surat mahkamah melalui MMS kerana pada ketika itu telefon ibunya tiada capaian Internet. Ibunya tak mampu nak langgan. Zaman sekarang pula, sindiket berkomunikasi dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp. Siap letak gambar polis memakai pakaian seragam sebagai gambar profil. Tujuan untuk meyakinkan mangsa. Entah gambar siapalah yang mereka kebas. Tapi bila duit sudah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga, gambar profil hilang serta-merta. Hantar mesej pun 'single tick' saja.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Durrah sudah alaminya jadi dia faham sangat apa yang mangsa rasa. Perasaan ketika digertak oleh 'pihak polis' itu hanya empunya diri saja yang tahu. Kadang-kadang rasa seperti dipukau pun ada. Jadi bodoh tiba-tiba sampai mengikut saja segala arahan para penipu itu. Durrah hela nafas panjang. Kemudian dia ambil telefon bimbitnya. Dia mahu mencari sesuatu.

Surat perintah yang kononnya dari mahkamah itu masih lagi Durrah simpan. Kerana surat itulah dia terpedaya dan akhirnya memindah masuk kesemua wang ke dalam akaun simpanan milik ibunya kepada satu akaun yang didakwa milik pekerja mahkamah.

"Inspektor Sabrina... Kau sangat jahat. Mulut bukan main manis konon simpati tapi akhirnya kau tipu aku! Aku tak akan maafkan kau. Sampai bila-bila pun tak akan." Durrah berkata sendirian.

Selepas menerima aduan daripada Puan Amnah, perasaan Durrah terus kacau-bilau. Bagaikan orang kemurungan, dia lebih kerap mengelamun pada hari itu sampaikan ditegur oleh Nadia. Dan kini, sendirian di dalam biliknya, semakin kuat pula rasa sayu itu bertandang. Kesedihannya masih bersisa. Walau sudah banyak aduan mengenai Penipuan Macau diterimanya sebelum ini, namun kisah Puan Amnah benar-benar menggamit kenangan silam.

Enam tahun yang berlalu seakan-akan baru semalam saja berlaku. Setiap kali teringat, setiap kali itulah rasa bersalah menghimpit diri. Dan kerana itu jugalah dia pasrah terus dihukum Nukman. Memang selayaknya.

Matanya sudah berkaca. Tiba-tiba Durrah rindukan arwah. Meskipun dia juga telah kehilangan ayah tapi rindu kepada emaknya lebih dalam lagi. Mungkin juga disebabkan oleh rasa bersalahnya yang tak akan pernah pudar. Durrah bukan saja tak akan memaafkan para penipu itu, Durrah juga tak dapat memaafkan dirinya sendiri.

Durrah seka air mata yang sudah jatuh ke pipi. Kemudian gambar pada skrin ditutup dan dia tekan pula ikon mesej. Satu mesej pesanan ringkas dititip. Selesai menghantarnya, dia bingkas dari duduk. Mahu pergi mengambil al-Quran dan menghadiahkan ayat-ayat suci kepada arwah kedua-dua ibu bapanya. Begitulah yang sering Durrah lakukan bila ada kesempatan yang terluang. Lebih-lebih lagi apabila kerinduannya datang mencengkam. Dalam masa yang sama, kalam-kalam Tuhan mampu mengembalikan semula kekuatannya yang agak goyah sejak tengah hari tadi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro