Bab 14
HARI itu, pejabat Persatuan Pengguna Lembah Klang didatangi oleh seorang wanita berumur yang baru saja ditipu oleh sindiket Penipuan Macau. Dengan ditemani oleh anak perempuannya, wanita berusia lima puluh tujuh tahun itu datang untuk membuat aduan. Kelihatan jelas raut wajahnya yang sugul. Wang KWSP sebanyak tiga ratus ribu lesap sekelip mata. Segala penat lelah bekerja selama dua puluh tahun, sia-sia.
"Dia orang cakap dia orang polis. Nak datang tangkap mak cik sebab terlibat dengan sindiket dadah." Puan Amnah bercerita.
"Rupa-rupanya menyamar." Sarina, anak perempuan Puan Amnah mencelah.
Durrah telan liur. Melihat Puan Amnah, mengingatkan Durrah kepada arwah ibunya. Bezanya Puan Amnah masih punya suami, punya anak-anak yang sudah berkerjaya. Sedang arwah ibunya, ibu tunggal yang bersusah payah menyara keluarga setelah pemergian suami tercinta. Dan akhirnya arwah ibunya kecundang jua. Semuanya kerana kesilapan Durrah yang mempercayai penipu-penipu itu!
"Siap suruh mak akak check nombor telefon dekat Internet. Nak pastikan betul dari pejabat polis katanya. Tapi mak cakap, memang sebiji nombor Balai Polis Perak." Sarina berkata lagi.
"Ya, kak... Memang nombor sebiji tapi sebenarnya nombor palsu. Dia orang guna perisian untuk ubah nombor yang dia orang gunakan tu." Durrah bersuara. Begitulah yang diterangkan kepadanya oleh Izwan dulu. Cuma Durrah tak retilah nak jelaskan dari segi teknikal.
"Cara dia orang ugut dan gertak tu, buatkan mak cik takut. Inspektor yang bernama Yap tu langsung tak bagi peluang. Dia herdik mak cik. Dia cakap mak cik simpan duit dadah dua juta kat dalam bank. Tapi mak cik tak ada buka pun akaun bank tu. Mak cik cuma ada satu aje akaun," lanjut Puan Amnah.
Durrah hela nafas. Panjang lagi dalam. Kisah mereka serupa. Sama plot cuma berbeza watak. Inspektor Sabrina, Inspektor Raymond dan Sarjan Liew. Tiga watak itu tak akan pernah pergi dari memori. Setiap kali watak-watak itu muncul, pasti membangkitkan rasa sedih, kesal dan benci. Bercampur aduk dan mendongkol dalam hati.
"Sebenarnya mak cik, kes Penipuan Macau ni dah viral dekat media sosial. Dalam page PDRM pun ada beritahu. Polis minta orang ramai lebih berhati-hati." Durrah berkata kemudiannya.
"Mak akak memang tak aktif, cik. Masa kerja dulu adalah juga dia update status Facebook. Tapi sejak dah pencen, password pun dah hilang. Ada pun grup WhatsApp ajelah." Sarina berkata.
"Dah tua-tua ni, tak kuasa nak main Facebook semua tu. Baiklah main dengan cucu-cucu." Puan Amnah menyampuk.
"Saya faham, mak cik. Selalunya orang-orang berumur macam mak cik, manalah minat dengan media sosial. Scammers ni pun tahu orang-orang pencen atau suri rumah selalunya tak begitu peka dengan media sosial. Sebab tu dia orang target golongan macam mak cik. Ramai dah yang jadi mangsa. Saya kesian sangat. Penat-penat kerja berpuluh tahun, habis macam tu saja." Durrah menzahirkan rasa simpati.
"Kenapalah mak cik bodoh sangat pergi percaya dengan penipu tu?" Puan Amnah meluahkan kekesalan.
"Mungkin sebab mak cik panik kena gertak..." Durrah berkata. Sebenarnya itulah yang dia rasa enam tahun yang lalu. Tak sanggup dia memadankan muka atau melabel bodoh kepada mangsa. Apatah lagi mangsa merupakan wanita berusia. Sedangkan orang yang bijak pandai serta berkerjaya hebat pun tertipu jua. Durrah pernah melaluinya dan dia faham apa yang dirasai oleh mangsa pada ketika itu. Bahkan sehingga kini, Durrah masih merasakan traumanya. Hilang wang dan hilang ibu tersayang!
"Kalaulah mak cik lebih peka, tentu tak kena tipu..." Puan Amnah berkata dalam sebak yang ditahan.
"Benda dah nak jadi, mak cik... Tapi mak cik boleh jadikan apa yang berlaku dekat mak cik ni sebagai iktibar kepada orang lain. Mak cik juga boleh membantu mencegah jenayah Penipuan Macau ni dengan memberitahu orang lain. Misalnya beritahu orang-orang terdekat dengan mak cik ataupun dengan ahli kariah masjid, jiran-jiran mak cik. Biar semua orang peka pasal ni dan tak jadi mangsa seterusnya."
"Betul. Sebab tu akak ajak mak datang sini." Sarina mencelah.
"Lepas ni mak cik akan beritahu kawan-kawan mak cik suruh follow page Scammer Alert. Biar semua orang peka tentang penipuan ni." Puan Amnah pula berkata.
"Terima kasih kak, mak cik. Kalau kita sama-sama prihatin dan mengambil berat, insya-Allah jenayah dapat dikurangkan." Durrah membalas.
HARI itu, Izwan sengaja pulang awal untuk luangkan masa bersama emaknya. Kesian juga dia dengan emaknya kena makan sorang-sorang. Izwan anak tunggal, jadi selepas bapanya meninggal, emaknya sendirian di rumah. Mujurlah Durrah sering datang temankan. Izwan tahu Durrah pun sudah menganggap Mak Cik Yam seperti emaknya sendiri.
"Rindu masakan maklah tu." Mak Cik Yam mengusik. Seronok dia melihat anaknya makan bertambah. Macam orang mengidam.
"Eh, memanglah rindu. Mana ada orang boleh lawan masakan mak." Izwan mengeyakan. Kemudian dia ketawa kecil. Air tangan emak sendiri, siapa boleh lawan? Walaupun menunya biasa-biasa tapi apa saja yang dihidang semuanya terasa sedap belaka.
"Ha, itulah kamu! Sibuk memanjang. Mujurlah Si Durrah rajin temankan mak."
"Kerja, mak... Penjahat mana pernah berehat."
"Habis, kamu sorang aje polis dalam Malaysia ni?" Mak Cik Yam mencemik muka.
"Hesy! Ke situ pula mak, ni..." Izwan tertawa apabila emaknya sudah marah.
"Kamu tu, sibuk aje memanjang. Bila nak kahwinnya?" Mak Cik Yam marahkan anaknya lagi.
"Aduh! Kena lagi..." Izwan tepuk dahi. Topik yang paling dia takut nak bincang tapi itulah topik yang paling emaknya suka nak utarakan.
"Dah kenapa pula tepuk dahi? Mak ni dah lama teringinkan cucu, tau?"
Kali ini Izwan diam.
"Kalau kamu malu sangat nak cakap, biar mak aje yang tolong cakapkan dekat Durrah." Mak Cik Yam berkata lagi.
"Eh, jangan buat kerja gila, mak!" Lekas-lekas Izwan melarang.
"Kerja gila kamu kata?"
"Kalau mak yang bagi tahu Durrah, tak gentlemanlah anak mak ni. Silap hari bulan, Durrah ingat mak aje yang beria-ia, bukan Iz," lanjutnya lagi. Dia cuba meyakinkan emaknya itu untuk tidak memberitahu Durrah.
"Habis tu, bilanya kamu nak berterus terang? Tunggu orang lain yang masuk meminang? Meloponglah kamu nanti!" Mak Cik Yam kedengaran mendesak.
"Nanti-nantilah, mak. Durrah tu dah tentunya belum bersedia nak kahwin sekarang ni. Macamlah mak tak faham dia tu macam mana? Selagi urusan adik-adik dia belum selesai, confirm dia tak akan kahwin." Izwan berkata. Sudah terlalu arif dengan sikap Durrah. Adik-adiknya merupakan prioriti dalam hidup Durrah.
"Kalau kahwin sekalipun, boleh aje dia nak jaga adik-adik. Bukannya bila dah kahwin terus putus ikatan dan tanggungjawab."
"Tahu... Tapi..."
"Kalau mak yang cakapkan, mesti dia tak tolak punya..." Mak Cik Yam mencelah. Dia memang tak sabar-sabar hendak bermenantukan Durrah.
"Tak payahlah, mak. Iz tak nak letak Durrah dalam dilema. Dia dah cukup tertekan dengan perangai Si Nukman tu." Izwan tak mahu nanti Durrah serba salah kalau emaknya tiba-tiba masuk meminang. Dia tahu Durrah mesti tak sampai hati hendak tolak pinangan dari emaknya itu nanti. Sebab itulah Izwan tak pernah bercakap soal hati dengan Durrah. Dia tak mahu menambahkan lagi beban kepada gadis itu. Biarlah dia tunggu sehingga masa yang sesuai. Lagipun Durrah masih muda lagi. Baru dua puluh tiga tahun.
"Atau kamu sebenarnya takut Durrah tolak cinta kamu?" duga Mak Cik Yam. Durrah dan anaknya berkawan sejak kecil. Hubungan mereka memang rapat. Mungkin juga anaknya itu takut kalau Durrah hanya menganggapnya sebagai kawan ataupun abang.
"Izwan, Izwan... Dengan penyagak bukan main lagi kamu berani. Tapi dengan Durrah, takut pula nak luahkan perasaan. Orang nak tolong cakapkan, tak nak!" Mak Cik Yam sindir anaknya.
"Macam inilah, mak... Kita pegang pada satu aje. Kalau dah jodoh, tak ke mana." Izwan mahu segera menghentikan perbualan tentang kahwin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro