Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

"WEH, Dominic anak Gundok... Bila aku boleh start kerja ni?" Nukman bertanya kepada rakannya. Sudah lama dia menunggu kerja yang dijanjikan oleh rakannya itu.

"Habis sekarang, bukan kau sedang kerja, bah?" Dominic bertanya balik. Kemudian dia celup kain ke dalam baldi yang berisi air sabun.

"Memanglah tengah kerja! Maksud aku, kerja yang kau cakap dekat Thailand dulu tu." Nukman mengingatkan. Dia sebenarnya sudah tak sabar mahu bekerja di Thailand. Selain dari gaji besar, dia mahu melihat negara orang. Selama dia hidup, mana pernah dia pergi ke luar negara. Jangan kata luar negara, dalam negara sendiri pun dia tak habis melawat lagi.

"Oh, bilanglah kerja di Thailand... Aku ingatkan apa bah, tadi." Seraya berkata, tangannya mengelap badan kereta dengan menggunakan kain yang sudah dicelup dengan sabun tadi.

"Aku tak sabar nak kerja dekat sana. Bosanlah kerja cuci kereta. Gaji ciput!" kompelin Nukman. Tangannya juga rancak mengelap tayar. Kini sudah lebih dua bulan dia bekerja di kedai mencuci kereta. Gaji yang diterima berdasarkan gaji hari dan tak berapa mahal tapi bolehlah daripada tak ada langsung.

"Tu hari aku suda tanya sama Leong. Dia bilang, tunggu dulu. Buat masa ni, nda papa berita lagi dari sana."

"Duhhh! Lambat lagi ke?" Nukman kedengaran kecewa.

"Nda usah risau. Nda lari gunung dikejar. Nanti bila Leong sudah update sama aku, aku kasi tahu sama kau."

"Aku bukan apa, Dominic... Malaslah nak dengar kakak aku membebel hari-hari. Bingit telinga aku ni, tahu tak?"

"Teda-teda bah kau ini, Nukman! Dia suruh sambung skula, kau ndak mau."

"Malaslah aku!"

"Kalau malas, kau terus kerja saja bah. Jangan banyak complaint."

Nukman berdiri setelah selesai mengelap tayar.

"Aku tak nak susahkan kakak aku. Kalau aku sambung belajar, dia nak kena tanggung aku pula. Sepatutnya aku yang jadi ketua keluarga sebab aku lelaki."

Dominic tepuk bahu kanan Nukman.

"Mimang tagap gini... Aku bangga sama kau."

"Apa tu?" Nukman tak faham. Dominic berasal dari Sabah dan berketurunan Kadazan. Dia sering bertutur dalam dialek Sabah. Adakalanya Nukman langsung tak faham.

"Maksudnya... Lelaki kuat memang kena sara keluarga." Dominic membalas. Elok pula pertuturan bahasa Melayunya kali ini. Langsung tak kedengaran dialek Sabahnya yang pekat.

MADAM Wong berbincang dengan dua orang suruhan yang masih setia dengannya. Kedua-duanya merupakan orang harapannya untuk membantunya mengetengahkan Phua. Kalau boleh sehingga Phua ambil alih kumpulan sindiket.

Hari itu, mereka berkumpul dan berbincang bagi mencari jalan bagaimana hendak menyingkirkan Leo kerana selagi lelaki kepercayaan Sheng itu berada dalam sindiket, selagi itulah anaknya, Phua tak akan mendapat tempat dalam hati Sheng.

"Madam jangan risau, aku sudap upah orang untuk perhatikan dia." Kwan, orang harapan Madam Wong berkata. Ke mana saja Phua pergi, pasti Kwan akan turut serta, memantau.

"Bagus, Kwan. Aku tak akan benarkan Leo jadi orang penting dalam sindiket sebab Phua yang lebih layak."

"Betul, madam. Sepatutnya Phua yang uruskan operasi di Kuala Lumpur. Tapi Sheng utamakan orang luar." Lee, orang harapan Madam Wong yang seorang lagi mencelah.

"Kalau kita biarkan, tentu Leo akan menguasai sindiket suatu hari nanti." Kwan, atau nama panjangnya Ah Kwan pula berkata.

"Itu yang aku bimbangkan. Sheng pun satu hal! Lebih percayakan orang luar." Madam Wong sudah lama sakit hati dengan Sheng. Dia mengharapkan Phua yang menggantikan tempat Master Wong setelah Master Wong meninggal dunia, malangnya segala usahanya gagal. Master Wong tak makan dipujuk!

"Tapi bukankah Phua darah daging dia?" Lee bertanya. Dia sebenarnya tak tahu apa masalah sebenar di antara Madam Wong dengan Sheng. Wanita itu seperti terlalu bencikan Sheng.

"Sebab Sheng tak pernah anggap Phua adik dia!" Madam Wong membalas dalam nada keras. Raut mukanya turut berubah sekali, jadi cengil.

Orang suruhan yang bernama Lee itu pandang Kwan. Raut muka penuh keliru tapi tak berani bertanya. Dia sebenarnya tak tahu apa sebenarnya yang telah terjadi sebelum ini sehinggakan Madam Wong dan Sheng seakan-akan bermusuhan.

MESKIPUN telah diberi latihan, para operator panggilan itu tidak menunjukkan prestasi yang baik sehingga menggusarkan Master Sheng. Jadi malam itu, Leo mengadakan pertemuan dengan mereka bagi berbincang dari hati ke hati dan mendengar permasalahan mereka. Pertemuan malam itu turut dihadiri oleh Marina yang baru saja tiba dari Macau.

"Apa yang aku nampak cuma masalah bahasa. Jadi, aku nak kau orang betulkan gaya percakapan. Kalau bunyi pelat sangat, orang akan suspek dan akan terus letak panggilan." Leo berkata.

"Macam mana mahu kasi betul? Kami memang tak berapa pandai cakap Melayu." Salah seorang dari operator itu menjawab. Muda lagi orangnya. Dari roman mukanya, menunjukkan dia yang paling muda di situ. Mungkin belasan tahun atau awal dua puluhan.

"Kalau dah tahu pelat, janganlah guna skrip mengarut! Yang pergi cakap dari Mahkamah Terengganu, Kelantan semua tu kenapa? Dengan pelat kau orang tu, mampuslah orang nak percaya!" Marina mencelah dengan herdikan. Setahunya dekat mahkamah belah Pantai Timur sana rata-rata staf berbangsa Melayu. Kalau ada bangsa lain pun, mereka selalunya sudah berasimilasi dengan penduduk tempatan. Malah lebih fasih berdialek tempatan berbanding orang Melayu dari negeri luar.

"Bila kena permainkan balik, boleh pula kau orang maki hamun. Siapa ajar?" marah Marina lagi. Geram betul dia dengan orang-orang baru itu. Tak makan diajar. Tidak seperti dia masa mula-mula menyertai sindiket dulu.

"Kami cuma hafal itu skrip, lorrr!" Lelaki Cina yang paling muda tadi kembali bersuara.

Kerusi lelaki itu ditendang. Marina memang pantang bila ada yang menjawab. Terus tersentak dia. Sedikit pun dia tak menyangka perempuan seksi bergaya itu ganas orangnya.

"Eh, apek! Jangan jadi pembaris nak kena ikut semua skrip. Ubahlah untuk sesuaikan dengan keadaan. Takkanlah itu pun nak kena ajar?" Marina mengherdik kasar.

"Apa bengap sangat kau orang ni?" sambungnya lagi dengan muka menyinga.

"Let me handle this." Leo menahan Marina yang sudah naik berang. Dia tak mahu berlaku sebarang kekecohan. Tujuan mereka adakan pertemuan itu untuk mencari penyelesaian masalah, bukannya menambahkan lagi masalah.

"Tak boleh bagi muka dekat dia orang ni, Leo!" Marina enggan berganjak. Sekarang baru dia tahu kenapa Phua gagal dalam tugasnya.

"Please, Marina..." Lengan Marina ditarik. Leo meminta Marina mundur.

"Training dah bagi. Itu pun susah nak buat? Kalau dah bodoh tu, bodoh juga!" Marina merungut-rungut, tunjuk tak puas hati. Namun dia mengalah juga dengan kehendak Leo lalu berganjak sedikit ke belakang.

Leo maju ke depan. Bebola mata menilik setiap wajah di depannya. Masing-masing memang nampak stres. Mungkin tertekan dengan cabaran bertutur dalam bahasa asing.

"Aku faham masalah kau orang semua. Jadi aku nak kau orang praktis untuk memperbaiki sebutan bahasa Melayu kau orang. Practice makes perfect, right?" Leo berkata kepada para operator itu.

"Encik Leo... Dulu Phua cakap, kerja kami tipu sama orang Cina tapi sekarang kenapa kami kena call orang Melayu? Susah maaa mahu belajar bahasa Melayu!" Operator yang paling berusia pula mencelah. Sebenarnya kalau diberi pilihan, mereka semua mahu pulang saja ke negara asal.

"Tapi sasaran kita memang orang Melayu. Nak tak nak, kau orang semua memang kena belajar cakap Melayu." Leo berkata.

Kedengaran bunyi suara mereka bercakap-cakap. Riak muka mereka kelihatan seperti sudah berputus asa hendak meneruskan tugasan.

"Kau orang jangan risau. Aku akan berada di sini untuk guide kau orang semua. Kita bekerja bersama-sama dalam satu kumpulan." Leo berkata lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro