Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

MENARA CELCOM 82, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia.

Hello, assalamu'alaikum, kami dari pejabat manara CELCOM KLCC. Hari ini kami menyambut hari jadi company manara CELCOM yang ke 29 tahun. Ibu pejabat saya kembali memberi ganjaran hadiah kepada seluruh pengguna CELCOM, satu Malaysia, dengan mengadakan cabutan bertuah Congratulatios nombor sim card anda "019804XXXX" Terpilih berjaya pada barisan ke 3, memenangi hadiah wang sebanyak RM 5000.(LIMA RIBU RINGGIT)

Pemenang boleh tebus hadiah ini di mesin ATM, menggunakan kad ATM sahaja, pemenang tak payah membahagi nombor akaun atau nombor pin, sebab mana itu nombor maklumat rahsia keselamatan bank anda. nantinya pejabat kami bagi arahan cara cara tekan terimah hadiah di mesin ATM, menggunakan headphone.

Jika mana anda berminat buat tebus hadiah ini, sila mesej whatsApp "011-2062-2897" buat kami bagi pencerahan.

Terimah Kasih ...

INSPEKTOR Izwan menayang satu slide mesej dari penipu siber.

"Cabutan bertuah merupakan salah satu daripada modus operandi yang agak popular digunakan oleh scammers untuk menipu mangsa. Kita menerima satu kes pagi tadi yang melibatkan kerugian sebanyak lima ribu ringgit. Mangsa merupakan seorang pesara wanita. Ini menjadikan tujuh kes di sekitar Selangor setakat pada hari ini. Kerugian total mencecah lima angka." Izwan memberi taklimat kepada pegawai-pegawai bawahannya yang terlibat dalam operasi Ops Macau. Operasi ini untuk membanteras Penipuan Macau yang lebih dikenali sebagai Macau Scam.

"Tak faham betul macam mana mangsa-mangsa boleh percaya? Dengan struktur ayat yang lintang-pukang. Dahlah banyak kesalahan ejaan." Koperal Lina bersuara. Hairan dia kenapa begitu mudah masyarakat tertipu.

"Alamat pun merapu," sampuk Sarjan Isa.

"Mereka menggunakan nama-nama syarikat terkenal untuk menarik perhatian mangsa. Biasanya nama-nama syarikat yang digunakan itu ditulis dalam huruf besar. Secara psikologinya, mangsa akan melihat apa yang ditulis dalam huruf besar terlebih dahulu. Mangsa akan terus jadi kelabu mata sebaik sahaja melihat jumlah wang ganjaran yang diterima. Kalau diperhatikan, jumlah ganjaran juga ditulis dalam huruf besar."

"Bijak betul mereka memanipulasi minda mangsa." Koperal Lina berkata.

"Dalam apa juga bentuk penipuan, memang itulah teknik yang digunakan. Memanipulasi mangsa. Sebaik sahaja mangsa menelefon ke nombor yang dinyatakan, bermakna mangsa sudah masuk perangkap." Izwan memberitahu.

"Siap suruh guna headphone tu, tuan..." Koperal Lina mencelah lagi.

"Itu taktik supaya orang lain tak mendengar perbualan mereka." Sarjan Isa berkata.

"Betul. Scammers hanya mahu berkomunikasi dengan mangsa sahaja supaya lebih mudah mereka mempengaruhi mangsa. Mereka ini sudah dilatih dengan skil kejuruteraan sosial untuk mempengaruhi mangsa. Sebab itu mangsa terpedaya dengan mudah." Inspektor Izwan menjelaskan.

"Hebat betul mereka ni. Tapi itulah... Menggunakan kepakaran di jalan yang salah." Koperal Lina berkata. Geram betul dia dengan para penipu itu.

"Tukang buat panggilan hanya konco bawahan. Bila ada tangkapan, mereka inilah yang kena tangkap sedangkan mastermind terlepas." Sarjan Isa pula berkata.

"Betul tu, sarjan. Mastermind akan merekrut pula konco-konco baru. Sebab itulah lepas satu sindiket dihapuskan, muncul pula sindiket yang lain." Inspektor Izwan mencelah.

"Semakin menjadi-jadi scammers sekarang ni. Dengan Macau Scamnya, MLM, penipuan jualan atas taliannya lagi. Sudah semakin kronik manusia sekarang." Koperal Lina menyatakan kekesalannya.

"Sebab itu matlamat kita sekarang ialah menjejak penjenayah siber hingga ke akar umbi." Inspektor Izwan membalas. Orang-orang bawahannya kelihatan terangguk-angguk, tanda bersetuju.

"SERIUSLAH, beb? Cabutan bertuah pun ada?"

"Ada!"

"Macam gores dan menang tu?"

"Yang tu dah jarang rasanya tapi yang terkini guna panggilan telefon. Kadang-kadang tu dia orang cuma hantar SMS aje beritahu menang hadiah."

"Kejap! Aku tak faham macam mana boleh kena? Hebat sangat ke hadiah yang ditawarkan?"

"Hebatlah, beb! Ada yang mencecah ratusan ribu ringgit."

"Serius?" Sampai berkerut kening Nadia. Sukar hendak percaya dengan jumlah wang yang ditawarkan.

Durrah cuma mengangguk kali ini, membenarkan jumlah hadiah yang ditawarkan.

"Dan orang senang-senang aje percaya? Eee... Tak faham aku!" Nadia menggeleng-geleng kepala.

Jeda.

"Tamak lagi. Kan dah kena?" Nadia berkata semula.

"Ermmm... Mungkin sebab teruja. Menang duit ratus ribu, kut!"

"Tamaklah tu! Hujung-hujung, duit sendiri yang lesap."

Durrah hela nafas. Ada betulnya juga kata Nadia. Kalau tak tamak, macam mana boleh kena? Menurut apa yang disampaikan oleh Izwan kepadanya, taktik cabutan bertuah merupakan taktik yang agak popular.

Mangsa menerima panggilan telefon kononnya memenangi cabutan bertuah berjumlah sekian-sekian daripada syarikat di luar negara. Pemanggil kemudian memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya mangsa mahu menuntut hadiah berkenaan. Selepas bersetuju, mangsa dikehendaki membayar cukai dan insurans dengan memindahkan wang ke akaun tertentu bagi menuntut hadiah. Caj yang dikenakan bukan sikit-sikit. Ada yang mencecah sepuluh ribu ringgit. Namun, selepas transaksi dibuat, pemanggil gagal dihubungi.

DENGAN dua cawan di tangan, Sitam mendapatkan Leo yang sedang tekun bekerja di bilik komputer. Sitam bukannya faham sangat apa yang lelaki itu sedang lakukan. Monitor saja ada empat buah di sekelilingnya. Apa yang dia tahu, lelaki itu mempunyai kepakaran dalam bidang komputer. Dia merupakan orang yang bertanggungjawab mengawal sistem yang digunakan oleh pihak sindiket seperti mengekstrak data yang telah dicuri dari dalam jaringan dan kemudiannya dinyahkod ke bentuk yang difahami.

Dengan kepakaran Leo, mereka mampu memperdaya mangsa, kononnya panggilan dibuat dari pejabat agensi kerajaan. Mangsa percaya kerana nombor yang tertera pada telefon mereka menepati nombor sebenar pihak agensi. Tidak hairanlah kenapa ketua sindiket sayang dengannya. Leo adalah aset penting dalam kumpulan.

Di sudut tepi, terdapat mesin pencetak yang sedang sibuk bekerja. Senarai mangsa yang telah diekstrak, dicetak dan kemudiannya diagihkan kepada orang-orang suruhan untuk dihubungi. Begitulah liciknya mereka bekerja.

Sitam perhatikan skrin. Macam dia kenal logo yang terpapar pada skrin itu.

"Wah, bos! Projek baru ke tu?" Sitam menegur.

"Projek lama yang diperbaharui," balas Leo. Kemudian dia menoleh ke arah Sitam. Terus Sitam hulurkan cawan kopi.

"Thanks." Cawan diambil.

"Tapi aku rasa kita patut gunakan semula taktik ni dengan sedikit pengubahsuaian," lanjut Leo. Kemudian dia sisip air kopi dalam cawan. Ah! Lega dapat minum kopi panas malam-malam. Hilang rasa mengantuk.

"Pengubahsuaian macam mana tu, bos?" Sitam tarik kerusi lalu melabuh duduk. Kopi kepunyaannya masih belum dihirup. Dia lebih teruja hendak tahu tentang sistem berbanding kopi.

"Menggunakan taktik yang sama, cuma aku tambah lagi dengan kaedah phishing." Leo membalas.

"Dah macam bunyi fishing aje, bos." Sitam ketawa.

Leo tersengih.

"Lebih kuranglah. Konsepnya kita bawa pengguna siber masuk ke dalam jaringan kita. Dari situ segala maklumat peribadi mereka dapat dikail."

"Wow! Boleh main kail-kail, ya?" Sitam tertawa lagi.

"Apa yang kau nampak dekat skrin ni, dah biasa digunakan oleh kumpulan-kumpulan sindiket. Bezanya dengan kaedah aku, kita tak perlu lagi membuat sebarang panggilan telefon. Sistem akan menghantar SMS kepada sasaran meminta mereka klik pada satu link. Once dia orang klik masuk saja ke dalam fake website yang aku telah sediakan, dia orang akan terus masuk ke dalam server kita." Leo memberi penerangan mudah. Tak perlu cerita dari sudut teknikal, bukannya Sitam faham. Cuma dia seronok bercerita kerana Sitam rajin bertanya. Sekurang-kurangnya ada juga teman berbual.

"Faham. Bila dia orang dah masuk dalam kita punya server, bos pun terus kail!" Sitam membalas. Sudah arif apa yang akan berlaku selepas itu.

"Bingo!" Leo melarik senyuman kecil. Penerangan ringkasnya difahami Sitam.

"Aku mempelbagaikan lagi syarikat-syarikat yang boleh digunakan sebagai umpan." Leo menyambung kata.

"Bagus juga guna taktik ni. Pelbagaikan kaedah," sokong Sitam.

"Lebih banyaklah lagi yang masyukkk!" lanjut Sitam. Kemudian dia ketawa. Leo pun turut ketawa sama.

Cawan yang sudah kosong, Leo letakkan ke atas meja kecil di tepinya. Kemudian dia berpaling ke arah komputernya semula. Dan suasana menjadi senyap selepas itu. Leo meneruskan kerja-kerjanya manakala Sitam menghirup air kopi yang masih berbaki

"Bos... Bos tak cuba hack sistem bank? Kalau dapat tu, perghhh! Tujuh keturunan makan tak habis, bos." Sitam memecah kebisuan di antara mereka.

"Betul kata kau. Kalau aku berjaya tembus sistem bank, bolehlah aku pencen jadi scammer." Leo membalas tanpa menoleh kepada Sitam. Jemarinya sibuk menyusun kertas yang keluar dari mesin pencetak.

"Nak pencen? Serius ni? Bos nak pencen?" Sitam sedikit terkejut. Sangkanya Leo akan terus jadi scammer sampai ke tua. Duit senang-senang masuk. Tak payah kerja keras. Lainlah dia yang cuma kuli. Jadi jaga kepada scammer seumur hidup.

"Tapi bagus juga kalau bos nak pencen. Lepas tu bolehlah bos buat kerja-kerja halal. Barulah berkat hidup." Sitam mengusik Leo pula. Walaupun Leo berdarah campuran Siam dan Cina serta bukan beragama Islam tapi Leo pernah dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Jadi tak hairanlah bahasa Melayunya begitu fasih. Malah, Leo juga tahu serba sedikit tentang Islam. Apa yang haram dan apa yang halal. Leo tak memberi sebarang komen, sebaliknya dia tersengih saja.

Sitam kerling jam di tangannya.

"Errr... Bos, aku pergi pantau kat luar tu." Usai berkata, Sitam bingkas dari duduknya. Sudah lama mereka berborak. Masa untuk dia membuat rondaan di sekitar vila.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro