Bab 11
DUCATI Supersport S berwarna kelabu titanium diparkir di halaman vila. Setelah enjin dimatikan, Leo menjatuhkan tongkat dan turun dari motosikalnya. Tanpa menanggalkan topi keledar yang dipakai, Leo mengatur tapak ke arah pintu masuk vila. Tiba saja di depan pintu, Leo masukkan kunci, membukanya dan masuk ke dalam.
Pintu utama dikunci semula. Vila sunyi sepi. Orang-orang suruhan itu sudah pastinya sedang berehat di dalam bilik. Atau mungkin juga sudah tidur. Leo tak benarkan mereka membuat sebarang operasi pada sebelah malam. Orang ramai sudah semakin bijak dan lebih berhati-hati sekarang ini. Membuat panggilan pada waktu malam kononnya dari mahkamah atau pejabat kastam, hanya akan menjadi bahan gelak saja.
Laju langkah diatur menaiki anak tangga. Leo mahu segera ke biliknya yang terletak di aras dua vila mewah itu.
"Baru balik, bos?" Sitam yang terpandangkan Leo, menegur.
"Ah, Sitam... Thanks sebab tolong tengokkan budak-budak tu tadi." Tadi Leo terpaksa meminta tolong kepada Sitam untuk mengendalikan sesi latihan memandangkan dia ada urusan di luar.
"Benda kecil, bos. No hal. Kalau bos perlukan apa-apa bantuan lagi, bos cakap aje." Sitam membalas.
"Okeylah, Sitam. Aku masuk bilik dulu. Dah berlengas gila badan aku ni." Leo meminta izin untuk beredar. Dia mahu pergi mandi.
"Errr... Bos nak minum? Aku buatkan air." Sitam bertanya. Selalunya selepas sesi latihan, mereka akan borak-borak sambil minum kopi.
"Tak payahlah. Aku ingat lepas mandi aku nak terus tidur. Letih." Sehari suntuk dia berada di luar tadi untuk menguruskan penginapan serta kenderaan buat Marina yang akan tiba tak lama lagi.
"Okey bos, selamat beristirahat." Sitam berkata.
Leo kemudiannya berganjak ke bilik tidurnya.
BANDAR RAYA Macau kelihatan begitu sibuk meskipun jarum jam sudah menunjukkan ke angka sebelas. Bukan sebelas pagi tapi malam. Matahari sudah pun menyorok tetapi bandar raya Macau tetap cerah dengan sinaran lampu neon. Kenderaan di atas jalan raya juga masih banyak. Seakan-akan Kota Macau tak pernah beradu.
Di dalam kondominium kediamannya, kelihatan Phua sedang tercegat berdiri di depan pintu gelangsar. Pandangannya dihala keluar, menyaksikan lampu-lampu neon yang mewah dengan cahaya. Manakala di tangan kanannya tergenggam sebotol wiski yang sudah pun tinggal separuh kandungannya.
Wajah Phua tampak keruh. Keindahan malam yang dilimpahi cahaya sedikit pun tidak menyeronokkan hati Phua. Punah harapannya hendak pergi menguruskan operasi di Kuala Lumpur. Walaupun cuma sebuah negara kecil tapi peluang untuk mendapatkan mangsa sangat luas. Malaysia sangat berpotensi. Silapnya, orang-orang suruhan itu terlampau lembab. Tak makan diajar.
"Kau tak adil, Sheng!" jerit Phua. Sia-sia dia mencadangkan Kuala Lumpur. Dan sia-sia juga usahanya mendapatkan orang-orang suruhan untuk ditugaskan di sana, tapi akhirnya Leo juga yang menerima kredit.
"Tuan dah minum terlalu banyak, ni..." Chan, pembantu rumahnya berkata. Botol wiski pada tangan tuannya itu cuba diambil tetapi cepat-cepat Phua jauhkan botol dari capaian Chan. Dia cuba ambil sekali lagi. Dia tak mahu Phua minum terlalu banyak sehingga merosakkan tubuh serta pemikirannya.
"Jangan ganggu aku, Chan!" marah Phua.
Lelaki bergelar Chan itu mengundur beberapa langkah. Memikirkan dia cuma pekerja bawahan, tak berani dia hendak menegur lebih-lebih. Jadi dia menelefon Madam Wong untuk melihatkan anaknya itu. Madam Wong pun sudah berpesan agar dia tengok-tengokkan Phua.
Phua tak macam abangnya, Sheng yang sangat berkaliber. Sebab itulah, tampuk pemerintahan kongsi gelap yang ditubuhkan oleh mendiang bapa mereka diterajui oleh Sheng.
Beberapa jam sebelum...
"SHENG! Aku tak faham kenapa kau lebih percayakan orang luar dari darah daging kau sendiri?"
"Kau panggil aku apa?" Percuma saja Phua ditengking apabila terlupa pada protokol iaitu memanggil ketua sindiket dengan gelaran master.
Phua membongkokkan sedikit badannya. Dalam masa yang sama, kepalanya turut ditundukkan sekali. Itu merupakan tanda hormat yang biasa dilakukan terhadap orang yang lebih tua ataupun lebih berpangkat.
"Maaf, Master Sheng..." Phua membetulkan cara panggilan. Sebenarnya dia tak lupa tentang protokol tapi dia memang sengaja tidak memanggil abangnya dengan gelaran master.
"Tapi tolonglah bagi aku peluang. Aku yakin, aku boleh perluaskan empayar kumpulan kita di Malaysia." Bersungguh-sungguh Phua meminta. Kerana terlalu ingin membuktikan kebolehannya, Phua datang menemui abangnya itu. Kalau perlu dia melutut, dia akan lakukan juga.
"Aku dah putuskan Leo. Kau tak faham lagi?"
"Tolong bagi aku peluang. Sekali ini saja..."
"Aku dah banyak bagi kau peluang, Phua. Tapi semuanya gagal!" Master Sheng mengherdik. Garang lagi cengil.
"Kau selalu lebihkan orang luar. Apa masalahnya kau pilih aku? Kita sedarah sedaging."
"Walaupun Leo orang luar, tapi aku lebih percayakan dia." Tegas Master Sheng memberikan kata putus. Tiada kompromi. Titik.
"Aku tahu, kau pilih Leo sebab dia sebenarnya anak Ratana, bekas kekasih kau, kan?"
"Keluar!" Kata-kata Phua tadi hanya menambahkan jeriji yang memagari perhubungan mereka sebenarnya.
DING-Dong! Sebaik sahaja loceng pintu berbunyi, Chan lekas-lekas pergi membukanya. Di luar, berdiri seorang wanita separuh abad yang anggun bergaya.
"Mana Phua?" soal wanita itu setelah melangkah masuk. Kemudian beg tangan yang dia pegang dihulur.
"Ada di dalam, madam..." Chan berkata seraya mengambil beg tangan yang dihulur lalu meletakkannya ke atas meja.
"Kenapa dengan kau ni, Phua?" marah Madam Wong.
"Aku dah buat semua yang mama suruh tapi Sheng nak juga pilih budak pungut tu!" Phua berkata seraya memulakan langkah, menghampiri ibunya. Meliang-liuk, seperti api lilin yang ditiup angin. Sekejap tubuhnya condong ke kanan, sekejap ke kiri. Langkahnya benar-benar tak stabil. Dia sudah terlalu mabuk. Pun begitu dia masih mahu meneguk wiski.
Madam Wong menggeleng kepala. Dia kecewa melihat keadaan Phua yang sudah mabuk teruk itu.
"Jadi dengan mabuk macam ni, Sheng akan pilih kau?" sindirnya kemudian. Tanpa mempedulikan kata-kata ibunya, Phua teguk lagi air wiski dalam botol. Gelojoh gayanya sampai meleleh ke tepi bibir. Phua kesat dengan belakang tangannya.
Madam Wong mendekati. Botol di tangan anaknya diambil, tapi cepat-cepat Phua melarikannya.
"Bagi mama botol arak tu, Phua!" jerit Madam Wong. Sia-sia. Sedikit pun Phua tak endahkan. Dia teguk lagi wiski. Tunjuk protes.
Madam Wong cuba rampas lagi botol wiski tetapi tindakannya itu cuma menaikkan kemarahan Phua. Terus ditolaknya tubuh ibu yang melahirkannya. Kuat, sehingga wanita itu terdorong ke tepi dan hampir terjatuh.
"Madam Wong!" Mujur cepat disambut oleh Chan.
"Phua! Kau fikir dengan hanya minum sampai mabuk macam ni, masalah dapat diselesaikan?" marah Madam Wong setelah dia membetulkan posisi tubuhnya.
"Sudahlah, mama! Apa saja yang aku cuba buat untuk kumpulan, Sheng tak akan pandang punya. Sampai bila-bila pun dia tak akan pilih aku!" herdik Phua.
"Kau ni terlalu cepat mengalah!" Anaknya itu dimarahi lagi. Susah payah dia berusaha untuk menaikkan nama anaknya tapi senang-senang saja anaknya itu hendak mengalah. Dia tak akan benarkan. Dia tak akan berhenti berusaha sehinggalah kumpulan dapat diterajui oleh Phua.
"Bila mama nak terima hakikat yang anak mama ni cuma mampu jadi kuli saja?" Percuma saja Phua ketawakan ibunya yang terlalu bercita-cita tinggi, mahukannya menerajui kumpulan.
"Kan mama dah kata? Jangan cepat mengalah. Mama sentiasa ada di belakang kau. Bantu kau untuk dapatkan kumpulan ini." Phua diingatkan. Namun percuma saja dia diketawakan oleh Phua. Pada Phua, cita-cita ibunya itu hanyalah angan-angan kosong. Dan dia sudah penat berangan.
Air wiski diteguk lagi.
"Berhenti minum, Phua!" perintah Madam Wong tapi Phua sengaja tunjuk degil. Lagi diteguknya wiski.
"Jangankan nak jadi ketua kumpulan, nak uruskan operasi pun aku tak akan dapat. Sheng tak akan benarkan sama sekali. Mama tahu kenapa?" Phua berkata.
"Sebab kau lembik!" Madam Wong membalas geram. Geram melihat sifat mudah menyerah Phua.
"Salah, mama! Sebab aku cuma anak perempuan simpanan." Phua berikan senyuman mengejek. Dia sudah lali digelar sebagai anak perempuan simpanan Master Wong. Meskipun orang tua itu sudah lama mati namun gelaran itu kekal sehingga ke hari ini.
Naik turun dada Madam Wong, menahan amarah. Benci dia mendengar perkataan perempuan simpanan. Dan kerana itulah dia berusaha keras untuk mendapatkan haknya.
"Kedudukan anak pungut lebih tinggi daripada anak luar nikah. Betul kan, mama?"
Pang!
Phua ditampar. Dia boleh terima kalau kata-kata itu keluar dari mulut Sheng tapi bukan Phua. Darah dagingnya sendiri.
Langsung Phua terdiam. Pipinya berasa perit akibat tamparan Madam Wong.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro