Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

"SUDAH satu minggu, collection masih tak cecah seratus ribu." Phua membuat kompelin. Biasanya dalam sebulan, sindiket mampu meraih sekurang-kurangnya lima ratus ribu ringgit. Itu untuk operasi di Malaysia saja. Dicampur dengan operasi-operasi lain, memang berjuta pendapatan kumpulan sindiket dapat.

"Situasi sekarang dah tak macam dulu. Orang ramai pun dah mula alert dengan Macau Scam. Jadi susah sikit nak meyakinkan mereka." Marina segera mencelah, membela Leo, rakan sepasukan yang kini berada di Malaysia bagi memantau perjalanan aktiviti.

Phua sengih sinis, mengejek Marina yang sentiasa berdiri teguh di belakang Leo. Setiap kali Leo dikritik, Marina pasti membela tanpa belah bagi.

"Dari tiga puluh orang suruhan yang ada, takkan seorang pun tak boleh buat kerja?" pertikai Phua.

"Master Sheng... Bahasa Melayu budak-budak tu pelat teruk jadi Leo perlukan masa untuk latih mereka." Marina memberitahu ketua mereka. Harapannya Master Sheng sedia mempertimbangkan situasi.

"Oh, masalah bahasa. Tapi Leo kan ada? Takkanlah dia tak boleh latih orang-orang tu?" sinis Phua membalas.

"Mereka tu bukan Melayu dan bukan juga warga Malaysia. Jadi kau expect dua minggu sudah boleh fasih ke?" tempelak Marina. Geram betul dia dengan Phua yang tak sudah-sudah hendak memburuk-burukkan Leo.

"Aku bercakap berdasarkan fakta. Kau sendiri pun tahu collection kita masih lagi teruk. Aku ingatkan Leo hebat sangat." Seraya itu, ketua mereka, Master Sheng dikerling. Niatnya hendak menyindir ketuanya itu kerana dulu bila dia beri alasan yang sama, tapi ditolak mentah-mentah.

Marina pandang ketua mereka yang dari tadi tak bersuara apa-apa. Senyap saja dia. Entah apa yang dia fikirkan, Marina tak pasti. Risau juga Marina kalau Master Sheng terpengaruh dengan kata-kata Phua tadi.

"Master Sheng, tolong beri Leo sedikit masa lagi."

"Berapa lama? Sebulan? Dua bulan?" Phua segera mencelah.

"Silap hari bulan, kena cekup. Dengan Leo sekali masuk lokap." Kemudian Phua melepas tawa, mengejek Marina dan dalam masa yang sama mengejek abangnya juga.

"Melampau kau ni, Phua! Sebenarnya kau memang suka Leo kena tangkap, kan?" Kemudian dia toleh kepada Master Sheng lagi.

"Biar aku ke sana bagi membantu Leo," pinta Marina.

"Baik. Aku setuju." Master Sheng akhirnya bersuara.

"Tapi, Master Sheng..."

"Marina, aku bagi tempoh dua minggu untuk kau dan Leo atasi masalah di sana." Kata-kata Phua dipintas. Keputusannya muktamad dan tak boleh dibantah oleh sesiapa pun. Lagipun dia yakin gabungan Leo dan Marina pasti akan membuahkan hasil.

Marina pandang Phua yang terkulat-kulat. Sebaik sahaja bebola mata mereka bertembung, terus Marina hadiahkan senyuman sinis.

Padan muka kau, Phua!

Hati Phua semakin terbakar. Jari-jemari kanannya dikepal kuat sampai timbul urat-urat. Sungguh dia tak faham kenapa Leo sering saja menjadi pilihan.

Hebat sangatkah Leo? Namun ketidakpuasan hatinya itu cuma mampu dipendam. Master Sheng terlalu berkuasa dalam kumpulan manakala kata-katanya tak pernah laku dalam sindiket. Keputusan Master Sheng tak boleh dipertikai. Ia seumpama arahan veto yang tiada sesiapa boleh bantah lagi. Titik.

DURRAH menghampiri Nukman yang sedang menikmati makan malam di meja makan. Sebaik sahaja ternampakkan kakaknya itu, Nukman sudah mula tak senang duduk. Dia tahu pasti ada sesuatu yang hendak kakak dia katakan. Lebih tepat lagi hendak bebelkan.

"Kakak pergi jumpa adik tadi. Dia kirim salam."

Waalaikumussalam. Nukman cuma menjawab dalam hati. Langsung dia tak angkat kepala. Fokusnya masih pada mangkuk yang berisi mi segera yang dia masak sendiri.

"Siapa nama kawan Nukman tu?" Durrah terus kepada topik yang dia hendak bincangkan. Dengan Nukman, bukannya boleh sembang panjang. Silap hari bulan, dia boleh bangkit dan pergi begitu saja.

Nukman masih tak beri sebarang respons kepada Durrah. Mi segera di dalam mangkuk kemudiannya disudu ke mulut.

"Dia bukan Melayu, kan? Bangsa apa dia?"

Nukman menggeleng kepala seraya tersenyum senget.

"Sejak bila kena kawan dengan orang Melayu saja?" sindirnya. Namun dia masih tak angkat kepala. Seolah-olah muka kakaknya terlalu jijik hendak dipandang.

"Kakak tanya aje. Kalau bukan Islam, tak kesahlah dia bertatu. Tapi..."

"Sebab dia bertatu, kau terus nak cop dia jahat?" pintas Nukman sebelum kakaknya habis berkata.

"Bukan macam tu maksud kakak. Kakak cuma nak Nukman berhati-hati. Itu saja."

"Tak payahlah sibuk urusan orang. Tahulah aku nak pilih kawan yang macam mana," marah Nukman.

"Nukman tu adik kakak. Tanggungjawab kakak. Lagipun arwah mak dah pesan supaya kakak..."

"Aku dah besar, okey? Jadi aku bukan bawah tanggungjawab kau lagi. Lepas ni kau tak payah nak sibuk urusan aku." Nukman meningkah.

"Kenapa Nukman cakap macam ni?" Nukman dipandang seketika. Apa saja yang dia cakap selalu saja disalah tafsir oleh Nukman. Kadang-kadang Durrah merasakan yang Nukman sengaja hendak jadikan sebagai isu untuk membesarkan lagi jurang di antara mereka.

"Okey, kalau Nukman terasa hati pasal kawan Nukman tu, kakak minta maaf." Buat sekian kalinya Durrah beralah.

Nukman diam. Mi segera yang masih banyak di dalam mangkuk terus dinikmati.

"Apa kata Nukman ajak kawan Nukman tu datang makan kat sini? Kakak boleh masakkan. Nukman nak kakak masak apa?" Durrah memberi saranan. Dia ingin sangat berkenalan dengan kawan Nukman itu. Bila berjumpa depan-depan, dapatlah dia menilai bagaimana orangnya. Durrah bukan apa, dia tak mahu Nukman tersalah memilih kawan.

Prkkk!

Bunyi kerusi ditolak kasar. Tanpa mempedulikan kata-kata Durrah, Nukman bingkas dari kerusi dan beredar ke biliknya dengan membawa mangkuk berisi mi di tangan kanan manakala gelas berisi air di tangan kirinya. Dia lebih rela makan di dalam bilik daripada membiarkan telinganya terus disumbat dengan bebelan yang membingitkan telinga.

Durrah hanya mampu pandang saja Nukman pergi. Kemudian dia hela nafas panjang lagi berat. Ya Allah... Kau lembutkanlah hati Nukman agar dia dapat menerima aku semula.

Kring!

Telefon Durrah berbunyi membuatkan dia tersentak. Kemudian dengan segera dia berganjak ke ruang tamu di mana telefon bimbitnya diletakkan.

Telefon dicapai. Terpapar nama Izwan pada skrin. Lekas-lekas Durrah menjawabnya.

"Assalamualaikum, Abang Iz."

"Waalaikumussalam. Durrah okey?" Izwan bertanya di hujung talian.

"Okey. Kenapa Abang Iz call Durrah ni? Cemas aje bunyi?"

"Mestilah abang cemas. Mak abang kata Durrah kena ragut tadi."

"Aduh, Mak Cik Yam ni! Dah pesan tadi jangan bagi tahu..." Durrah merungut perlahan.

"Perkara penting macam ni, mana boleh mak abang nak berahsia. Lebih-lebih lagi kalau melibatkan soal keselamatan." Kedengaran suara Izwan marahkan Durrah di hujung talian.

"Durrah okeylah, Abang Iz... Luka sikit aje. Terkena batu jalan."

"Durrah kena hati-hati lain kali. Beg tangan jangan dihala ke jalan." Izwan mengulang apa yang dia pernah pesan kepada Durrah sebelum ini. Dulu dia sangat risaukan keselamatan Durrah yang pulang lewat malam setiap kali bekerja syif malam. Sebelum ini Durrah menjadi promoter di sebuah pasar raya. Sangkanya dia sudah boleh berasa lega setelah Durrah bekerja di Persatuan Pengguna kerana tidak lagi mempunyai dua syif kerja tapi sangkaannya meleset nampaknya. Bahaya tak mengira malam atau siang!

"Durrah tahu, Durrah cuai sikit tadi. Tapi Abang Iz jangan bimbang, peragut tu tak sempat ambil beg Durrah pun."

"Durrah dah pergi klinik?" Soalan diaju lagi.

"Tak... Luka sikit aje."

Sementara itu, dari celahan pintu bilik yang sedikit terbuka, Nukman memerhatikan kakaknya yang kelihatan rancak berbual di telefon. Sengaja dia merenggangkan sedikit pintu biliknya tadi kerana dia memang berniat hendak mencuri dengar perbualan kakaknya itu.

"Kakak kena ragut?" Berkerut-kerut dahinya. Dalam hati kecilnya timbul sedikit perasaan simpati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro