Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PROLOG

Assalamualaikum, 'Inspektor Sabrina'. Sampai hati akak tipu saya. Akak tahu saya ni anak yatim dan mak saya bukan orang senang tapi akak tergamak nak tipu juga. Duit 50 ribu yang akak scam tu duit peninggalan arwah abah saya. Mak saya guna untuk kami adik-beradik tapi sekarang semuanya sudah habis.

Sia-sia saya bercerita. Sia-sia saya menumpahkan air mata demi menagih simpati akak. Namun semuanya tiada nilai pada akak pun, kan?

Thursday, 13 June. 15.15

Akak inspektor, tolonglah pulangkan duit mak saya! Saya tak tahu macam mana nak bagi tahu dia nanti. Mesti dia akan terkejut dan marah. Kesianlah kat mak saya. Dia susah payah kerja sebab nak sara anak-anak. Duit abah tu bukannya banyak mana. Hanya cukup untuk keperluan sekolah sehingga kami tamat belajar.

Thursday, 13 June. 15.20

Akak, tolonglah! Saya merayu kat akak. Kalau tak pulangkan semua, akak pulangkanlah separuh. Asalkan dapat cover perbelanjaan persekolahan saya dan adik-adik.

Thursday, 13 June. 16.00

'Inspektor Sabrina', mungkin sekarang akak dan kawan akak 'Sarjan Liew' sedang meraikan kejayaan akak menipu seorang budak naif. Mungkin juga akak dan kawan-kawan akak sedang seronok mentertawakan kebodohan saya. Ya, memang saya bodoh! Bodoh kerana percayakan akak tapi saya nak tanya akak... Akak rasa akak boleh bahagia ke dengan menipu orang? Akak kena ingat, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga...

Thursday, 13 June. 18.00

KAH-Kah... Berdekah-dekah tawa yang dilambakkan sehingga membuatkan teman di sebelahnya menoleh kehairanan.

"What's so funny?" Teman di sebelah mengajukan soalan. Mana taknya, tiba-tiba ketawa macam orang gila.

"That naive girl..."

"Which one?" Sekali lagi soalan dikemuka. Terlalu banyak memori yang tersimpan. Hari itu saja mereka telah berjaya mendapatkan sejumlah besar mangsa. Kesemuanya naif belaka. Sebab itulah senang-senang kena tipu.

"Alah... Yang drama menangis-nangis itu!"

"You mean, that school girl?" Kini baru dia boleh capai ruang memori tentang mangsa termuda mereka hari itu. Bahkan mungkin juga pemegang rekod mangsa paling muda sepanjang siri penipuan yang pernah dibuat. Kemudian kepala digeleng sedikit. Mulai berasa lucu dengan adegan 'drama sedih' pagi tadi.

"Yup... Rajin betul dia text. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga katanya..." Dalam nada sinis, mesej yang telah dihantar oleh mangsa diulang. Kemudian dia kembali tertawa. Seorang lagi rakan mereka yang duduk agak jauh sedikit pula menoleh. Turut tersengih sama.

"What do you mean dia text?" Kedengaran satu suara kasar bertanya. Betul-betul dari arah belakang. Baru sahaja perempuan yang ketawa tadi hendak menoleh, telefon di tangannya sudah dirampas.

Teks pada skrin telefon direnung dengan kening yang berkerut-kerut.

"How come she can text you? You jangan cakap you tak buang lagi itu SIM card!" Sebenarnya dia tak baca pun isi teks yang dihantar. Dia tak berminat. Apa yang dia tahu amat bahaya sekiranya kad sim itu masih aktif.

"Relaks la! Bukan aku reply pun." Perempuan yang tertawa tadi membalas.

"Baik kau buang sekarang! Kau nak polis kesan lokasi kita?" Suaranya kedengaran pada tahap lapan oktaf. Memang marah betul.

Telefon bimbit diambil semula. Mukanya pula masam mencuka. Tunjuk geram. Tak pasal-pasal kena herdik.

"Okey! Aku nak buanglah ni." Bahagian belakang telefon bimbit lantas dibuka. Tanpa bertangguh, dia mengeluarkan kad sim di dalamnya lalu mencampakkannya ke dalam tong sampah.

"Puas hati?" Soalan sinis diaju. Lelaki yang marah tadi terus berlalu. Manakala teman-teman yang lain hanya saling berpandangan.


BAB 1 

SUDAH dekat lima minit Durrah menunggu di luar pagar itu tapi tak seorang pun yang datang menjengah. Durrah terus menunggu dengan penuh kesabaran.

Ding-dong!

Tanpa jemu loceng ditekan lagi. Entah buat kali keberapa dia tak pasti. Tidaklah pula dia mengira. Beberapa saat kemudian barulah muncul seorang wanita separuh abad. Terkedek-kedek dia berjalan menuju ke arah Durrah.

"Neng... Puan pesan jangan ditekan lagi locengnya," kata wanita separuh abad itu sebaik sahaja dia menghampiri pagar. Pekat bunyi telor bahasanya yang menandakan dia dari tanah seberang.

"Saya nak jumpa Puan Aleesya, bik..." Durrah menyampaikan tujuan tanpa perlu ditanya. Sebelum ini dia pernah ke situ. Wanita yang sama jugalah yang menyambut kedatangannya.

"Puan bilang, dia lagi sibuk." Pembantu rumah itu memberitahu.

"Sibuk ke takut?" pertikai Durrah. Kali pertama dia datang dulu pun, Aleesya memberikan alasan yang sama. Sibuk tak sudah-sudah.

"Saya ni cuma orang gaji, neng... Puan minta neng pulang jadi, tolong pulang aja..." Sekali lagi Durrah disuruh pergi.

"Bikkk! Halau aje budak tu balik." Kedengaran pula suara laungan pemilik rumah mewah melalui interkom yang terlekat pada tiang batu pagar.

"Neng... Lebih baik neng pulang aja, ya?" Wanita yang dipanggil bibik itu menurut arahan. Cuma tidaklah pula dia menghalau. Dia sedar akan dirinya yang hanya menumpang di negara orang demi sesuap nasi.

"Puan Aleesya! Saya nak jumpa dengan puan. Sekejap pun jadilah." Melalui interkom, Durrah melaung kepada si empunya rumah.

"Bibik! Tak dengar apa arahan saya?" Semakin keras kedengaran suara Aleesya memarahi pembantu rumahnya itu.

"Aduhhh! Pulang aja, neng..." pinta pembantu rumah itu lagi. Apabila majikannya sudah menjerit, tandanya dia sudah marah.

"Puan Aleesya! Saya tahu puan sengaja nak mengelak dari berjumpa dengan saya..." Tanpa mempedulikan arahan pembantu rumah itu, Durrah terus melaung lagi.

"Tolong pulang aja, neng..." Serba salah dibuatnya. Majikan sudah marah-marah, tetamu pula keras kepala!

"Kalau tak ada appointment, sorry! I tak ada masa nak layan. I busy, okey?" Lantang kedengaran suara Aleesya membalas.

"Appointment apa ke benda kalau jadual penuh memanjang?" Durrah mengomel. Bukannya dia tak pernah cuba membuat janji temu sebelum ini tapi setiap kali dia mahu membuat janji temu, ada saja alasan yang diberikan oleh setiausaha Aleesya. Kalau tak mesyuarat, Aleesya outstation. Outstation ke luar negara pula tu. Sehari dua lagi baru balik. Pendek kata macam sibuk benarlah gayanya. Kalau nak tunggu jadual wanita itu kosong, alamat sampai tahun depan pun belum tentu ada. Sebab itulah dia terpaksa menerjah terus ke kediaman orang kuat Jihad Ekonomi Networks itu.

"I ni orang business. Dah tentulah jadual I penuh sentiasa." Aleesya membalas. Masih lagi enggan menemui tetamu yang tak diundang.

"Ah! Saya tak kira. Kalau puan tak nak keluar, biar saya yang masuk." Setelah itu, Durrah menolak pintu pagar. Apabila pintu pagar automatik itu tak dapat dibuka, lalu digoncangnya pula pintu pagar itu.

"Aduh, neng! Jangan begini..." Pembantu rumah sudah panik.

"Hei! Jangan nak tunjuk gengster dekat rumah I! Baik you berambus sebelum I panggil polis!" Aleesya menjerit pada interkom. Sakit hatinya apabila tetamu tak diundang cuba membuat kecoh di rumahnya.

"Kalau puan tak salah, keluarlah! Kenapa nak mengelak?!" Durrah memang sudah lama bersabar dengan Aleesya yang asyik mengelak saja. Sudah hampir sebulan dia cuba menghubungi Aleesya untuk mendapatkan maklum balas mengenai perniagaan syarikatnya yang berkonsepkan multi-level marketing itu. Menggunakan konsep multi-level marketing memang tak salah tapi yang memusykilkan Durrah apabila ahli-ahli mengadu orang atasan saja yang kaya-raya sedangkan ahli peringkat bawahan 'kayap'. Sudahlah mereka mengeluarkan caruman KWSP semata-mata hendak melabur. Bukan sikit-sikit, dua puluh ribu ringgit lebur. Sebab itulah Durrah mengesyaki Jihad Ekonomi Networks menggunakan skim piramid yang ternyata haram pada hukum syarak dan juga salah dari segi undang-undang negara.

"Bibik! Masuk!" Sakit hati dengan kata-kata tetamu tak diundang, pembantu rumahnya dipanggil masuk.

"Bibik... Baik bibik cari kerja kat tempat lain. Majikan bibik tu kaya sebab songlap duit orang ramai. Makan duit haram ni tak berkat. Nanti hidup bibik pun tak berkat, tau! Penat aje bibik datang dari jauh." Durrah berkata kepada pembantu rumah. Dek sakit hati dengan Aleesya, tak pasal-pasal pembantu rumah itu menjadi tempat dia melepas geram. Terkulat-kulat si pembantu rumah mendengarkan kata-kata Durrah itu.

"Bibik!!!"

"Iya... Iya, puan." Apabila suara majikannya sudah kedengaran teramat nyaring, pembantu rumah separuh abad itu dengan segera menurut arahan.

"Puan Aleesya! Puan dengan geng-geng puan tu menggunakan agama untuk kepentingan peribadi sebenarnya. Jihad ekonomilah sangat. Padahal jihad masuk poket sendiri!" Durrah bersuara lantang. Terus saja interkom dimatikan.

Durrah hela nafas. Dalam lagi panjang. Misi bertemu Aleesya gagal. Kecewa lagi nampaknya dia hari ini. Pandangannya ditala ke pekarangan rumah. Pembantu rumah dari seberang pun sudah tak nampak bayang. Cepat pula jalannya. Tadi terkedek-kedek. Kemudian, sekeliling pagar pula diperhati. Memang langsung tak ada jalan bagi Durrah hendak memasukinya. Nak panjat pun tak boleh. Tembok sekeliling terlalu tinggi. Melainkan kalau dia datang ke situ bawa tangga. Tapi gila nak bawa tangga naik Grab?

Pintu pagar ditendang, melepas geram.

"Kau ingat kau akan lepas?"

Jeda.

"Kau tunggu! Aku viralkan pasal Jihad Ekonomi Networks kau." Meskipun tak puas hati, Durrah sedar tak guna dia menunggu lagi di situ. Dalam pada dia berkira-kira hendak beredar, muncul pula sebuah kereta peronda polis. Berhenti betul-betul di depan Durrah.

MELALUI skrin kamera litar tertutup, Aleesya memerhatikan tetamu tak diundangnya memasuki kereta polis peronda. Sebaik sahaja kereta peronda itu pergi, dia melarik senyuman.

"Umur baru setahun jagung, ada hati nak tunjuk pandai. Merasalah kau hari ni check in kat balai."

Sebenarnya bukan perempuan itu saja yang datang mencarinya. Malah yang menelefon serta menghantar mesej kepadanya sudah tak terkira jumlahnya. Siap memaki hamun lagi. Namun dia tak peduli dan dia sedikit pun tak gentar. Mereka juga yang bersetuju membuat pelaburan. Segala surat perjanjian ada dalam simpanan.

Kringgg!!!

Telefon bimbitnya berbunyi. Terpapar nama Haji Kasran pada skrin. Cepat-cepat Aleesya menjawab panggilan.

"Semua dah settle, haji. Don't worry..."

"Siapa budak tu? I dengar ini kali kedua dia datang cari you." Lelaki yang dipanggil haji itu bertanya.

"Alah... Budak mentah. Tak ada apalah, ji..."

"You jangan ambil mudah saja, Aleesya. I tak nak budak tu kacau business kita."

"Haji jangan risaulah. Dah kena cekup pun budak tu. Confirm lepas ni dia tak berani dah." Aleesya memberi jaminan.

"Baik, I percayakan you. Lagi satu, Aleesya... I nak you handle pelabur-pelabur yang dah mula bising tu secepat mungkin."

"Baik, haji... I akan uruskan semua tu." Aleesya membalas penuh keyakinan. Dia sebenarnya sudah pun menyediakan alasan-alasan kukuh kenapa hibah dari hasil pelaburan mereka tertunda.

Tuttt... Talian dimatikan.

"Pelabur-pelabur ni pun satu! Tak tahu nak sabar langsung. Dia orang ingat hari ni melabur, esok duit tu boleh terus beranak?" rungut Aleesya sendirian.

"Masa dapat duit, bukan main lebar senyuman masing-masing. Tapi bila terbantut sikit, mulalah bising. Mulalah nak repot polis..." bebelnya lagi.

"Hmmm... Macam-macam ragam." Aleesya kemudiannya tersenyum seraya menggelengkan kepalanya sedikit. Lucu juga apabila mengingatkan ragam para pelabur yang rata-ratanya terdiri dari bangsa Melayu itu.

InspeKTOR Izwan mengatur langkah deras ke arah Durrah yang sedang menunggu di bangku. Gadis muda itu jelas kelihatan sedang kebosanan. Pasti dia sudah menunggu lama. Durrah melarik senyuman lebar sebaik sahaja terpandangkan Izwan. Dia sudah menjangkakan lelaki itu pasti akan datang menjaminnya. Cuma lambat sikit kali ini. Mungkin disebabkan jalan sesak. Lagipun jarak di antara ibu pejabat Inspektor Izwan bertugas dengan balai polis dia ditahan itu agak jauh juga.

"Durrah... Ini dah dua kali tau!" Durrah diingatkan.

"Alahhh... Abang Iz kan ada?" Senang saja Durrah menjawab meskipun masuk kali ini sudah dua kali dia diangkut ke balai. Kali pertama dulu kerana dia menerjah ke pejabat Teh Tarik Kaw, sebuah syarikat yang kononnya menawarkan pulangan lumayan kepada ahli yang menjual teh. Jual teh pun boleh kaya? Memang kaw-kaw kena tipulah orang-orang yang menjadi ahli.

Inspektor Izwan hela nafas dalam. Geram dengan sikap Durrah yang suka ambil mudah segala amarannya.

"Tolonglah dengar cakap abang kali ni..."

"Bukan Durrah buat apa pun. Goncang pagar sikit aje..." Durrah menyengih. Dia tahu inspektor muda itu tak suka dengan apa yang telah dia lakukan.

"Kalau dia dakwa Durrah menceroboh, macam mana? Durrah nak ke bermalam dalam lokap?"

"Kecohlah Puan Aleesya tu! Setakat goncang pagar pun nak panggil polis. Dia tu yang patut kena seret ke balai sebenarnya." Durrah mempertahankan tindakannya.

Inspektor Izwan menggeleng. Ada saja jawapan Durrah.

"Durrah dah cukup bukti ke nak tuduh orang?"

"Adalah!" Dengan bangganya Durrah membalas.

"Hanya setakat kompelin dari pelabur-pelabur tu tak cukup, Durrah."

Durrah mencemik muka. Memanglah tak cukup, sebab itu dia mahu berjumpa sendiri dengan Aleesya untuk mendapatkan penjelasan.

"Apa kata Durrah suruh saja para pelabur tu buat laporan polis? Biar pihak polis yang ambil tindakan." Cadangan diaju.

"Oh! Biar polis yang ambil tindakan? Kes scam 'kastam' yang rugi berjuta-juta ringgit tu, dah selesai?" Durrah mengejek.

Tahun lepas, ramai tertipu apabila ada kumpulan yang menyamar sebagai pihak kastam. Mereka menelefon mangsa dan memberitahu kononnya ada barang milik mangsa tiba di pelabuhan. Bagi mengeluarkan barang tersebut, mangsa perlu membayar sejumlah wang yang tertentu. Ramai yang tertipu akibat terpengaruh kononnya barang tersebut amat berharga dan ia akan dikembalikan jika tidak dituntut dengan segera.

Tak cukup guna taktik barang berharga, penipu turut menggunakan taktik GST tertunggak. Kononnya mangsa mempunyai sejumlah GST yang belum dibayar. Mangsa dikehendaki membayarnya dengan segera. Jika tidak, mangsa akan didakwa. Apabila mangsa terus melayan panggilan, akhirnya mangsa diperangkap pula dengan kes dadah dan kononnya akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Sudah tentulah mangsa akan berasa takut dan akhirnya menurut segala arahan si penipu.

"Pihak polis masih menyiasat. Benda ni bukan perkara kecil. Mereka yang terlibat bukan calang-calang orang. Semua tu profesional, Durrah."

"Herm... Dah bertahun-tahun, Abang Iz. Taktik yang dia orang gunakan lebih kurang sama aje. Just tukar nama jabatan," kompelin Durrah.

"Durrah cakap macam ni, macam pihak polis tak buat kerja aje. Kecil hati abang, tau!"

"Sorry..." Durrah berkata seraya tersengih kecil.

"Sorry naik lori. Jom, abang hantar balik ofis." Inspektor Izwan berkata. Kemudian kedua-duanya menapak keluar meninggalkan ruang lobi balai polis.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro