30
Tᴀғsɪʀᴀɴ Mɪᴍᴘɪ
[ Bᴀʜᴀɢɪᴀɴ 2 ]
Aku masih ingat pada wajahnya yang aku temukan di Chafulumisa beberapa bulan yang lalu sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kota Emas. Wajahnya penuh dengan derita yang disebabkan oleh penghidratan. Tidak ada tanda-tanda dia diserang. Tidak ada luka di tubuhnya. Dia hanya keletihan di tempat yang panas itu. Aku hairan mengapa wanita sepertinya begitu berani datang ke tempat seperti itu tanpa ada pengawal.
Adakah dia seorang pelarian? Adakah dia seorang banduan? Atau mungkin... seorang hamba abdi yang melarikan diri dari tuannya? Aku sudah pernah menghantar para perisik terbaik untuk mencari maklumat tentang dirinya namun hasilnya menghampakan aku.
Tidak ada maklumat tentang dirinya. Aku hanya risau dia itu mata-mata yang dihantar oleh kerajaan musuh untuk menjatuhkan aku tapi Asnofre berkata, sepanjang waktu ini tidak ada pergerakan yang mencurigakan.
Jnari yang aku tugaskan untuk merawatnya juga berkata, dia tidak menemukan hal yang mencurigakan tentang dirinya. Aku hanya mendapat khabar daripada Jnari bahawa dia mengalami sakit-sakit yang aneh terutama sekali berkaitan dengan memorinya. Tidak ada sedikit pun yang dia ingat melainkan namanya iaitu Gyzeem Ezlyn.
Setelah beberapa waktu aku membiarkan Jnari memantau seraya merawat Gyzeem, kewaspadaan aku padanya juga menurun setelah Jnari memastikan bahawa Gyzeem hanyalah orang biasa yang memiliki penyakit aneh dan memori yang lemah. Aku tidak lagi menaruh rasa curiga padanya dan menganggap dia hanyalah wanita yang bernasib malang ditemukan oleh seorang raja di tengah padang pasir.
Namun begitu... selama aku membiarkan dia tinggal di Taman Oasis dan dijaga oleh Jnari, aku mulai merasakan suatu perasaan asing di dalam hati ini. Perasaan ini akan muncul saat aku bertemu dengannya. Pertama kali dalam hayatku sebagai pemerintah di empayar ini merasakan hal yang tidak pernah aku fikirkan. Pernah aku bertanya pada Asnofre tentang perasaan ini dan yang membuat aku tidak habis memikirkannya adalah Asnofre berkata aku sedang dilamun cinta.
Cinta?
Aku tidak pernah memikirkan hal ini kerana aku sibuk dengan tugas aku sebagai seorang pemerintah. Aku banyak menghabiskan waktu aku dengan pekerjaan dan tidak pernah sedikit pun aku memikirkan tentang hubungan percintaan.
Sejak hadirnya dia, aku telah menemukan kehidupan yang baharu. Aku seperti baru dilahirkan ke dunia dan menjalankan kehidupan keduaku dengan baik dan tidak mensia-siakan peluang yang sudah diberikan. Timbulnya perasaan yang indah ini telah menambahkan terang di hatiku. Dia seolah-olah diumpamakan telah diutus oleh Utusan Langit yang membawa dalam tangannya nikmat cinta kepadaku.
Haruskah aku katakan perasaan ini padanya?
Tidak. Mungkin ini terlalu awal untuk aku bertindak. Aku tidak harus terburu-buru. Aku harus cari waktu dan situasi yang sesuai untuk hal ini supaya aku cukup bersedia jika balasan yang aku mahukan bukanlah apa yang aku harapkan. Persediaan itu wajar...
Una-Khalfani
Titi dan Raja Una menuju ke gua Enna dengan diiringi oleh Kanebti serta sepuluh orang pengawal diraja di belakang mereka. Perjalanan mereka ke tempat itu mengambil masa selama 15 minit dengan berjalan kaki. Setibanya mereka di gua itu, Raja Una mengarahkan Kanebti berjaga di luar gua bersama dengan pengawal yang lain sementara baginda dan penilik mimpi masuk ke dalam.
"Kalian tunggu di sini. Kami akan kembali setelah ritual di Kolam Ketenangan sudah selesai." ujar Raja Una ke arah Kanebti yang sedang menunggu arahannya.
"Baiklah, Yang Mulia." balas Kanebti singkat.
Setelah mendengar balasan Kanebti, Raja Una pun melihat ke arah Titi dan berkata,
"Mari kita masuk ke dalam. Kolam Ketenangan tidak terlalu jauh dan tempat ini juga tidak ada binatang berbisa. Beta jamin perjalanan kita ke kolam itu akan baik-baik sahaja." kata Raja Una.
Titi mengangguk faham lalu dia pun mengikut Raja Una masuk ke dalam gua itu. Masing-masing memegang obor di tangan mereka untuk menerangi jalan di dalam gua yang gelap. Tidak perlu mengambil masa yang lama, mereka pun tiba di Kolam Ketenangan dan di tempat itulah satu-satunya yang diterangi cahaya matahari.
Ini disebabkan ada sebuah lubang yang besar dari atas gua yang membolehkan sinaran cahaya matahari masuk ke dalam gua. Hanya di kawasan Kolam Ketenangan sahaja yang ditumbuhi tumbahan hijau dan berbunga indah.
Raja Una sudah lama sekali tidak datang ke tempat itu. Kali terakhir dia datang sewaktu Ibunda Ratu, Subira masih hidup. Ibunda Ratu kebiasaannya akan datang ke tempat itu ketika baginda mahu melakukan meditasi. Pada usia mudanya, Raja Una kerap kali melihat Ibunda Ratu melakukan meditasi selama berjam-jam hingga kehadirannya ke tempat itu langsung tidak disedari sang ibu.
Raja Una masih ingat sewaktu Ibunda Ratu dibuang ke Taman Oasis dan tidak dibenarkan kembali ke Kota Emas, kebanyakan waktu sang ibu dihabiskan bermeditasi di Kolam Ketenangan. Sang raja yang dahulunya masih bergelar putera kecil hanya mampu melihat kesedihan sang ibu. Baginda tidak dapat berbuat apa-apa dan mampu berharap sang ibu berhenti bersedih.
"Yang Mulia?"
Raja Una yang sudah jauh dari lamunannya tersedar saat Titi menegur baginda. Baginda berpaling dan melihat ke arah sang penilik mimpi.
"Maaf, tuanku. Boleh saya lanjutkan tugas saya?"
Raja Una yang sudah sedar sepenuhnya setelah mengimbau masa lalu pun mengiyakan permintaan sang penilik mimpi. Baginda juga sememangnya tidak sabar mahu mengetahui tentang diri Gyzeem yang dianggap Titi memikul beban karma. Semakin baginda tertanya-tanya di benak fikirannya, makin baginda rasa Gyzeem itu penuh dengan 1001 misteri.
"Teruskan. Boleh ambil tempat yang kamu rasa sesuai untuk kamu lakukan ritual. Beta tidak akan mengganggu kamu hingga kamu selesai. Tetap fokus pada pekerjaan kamu." kata Raja Una dan membenarkan Titi menggunakan Kolam Ketenangan.
Raja Una memilih gua Enna kerana tidak mahu menarik perhatian orang ramai yang tinggal di Taman Oasis. Baginda juga tidak mahu Titi kehilangan fokus menilik mimpi saat ada banyak pasang mata melihat ke arah mereka. Bukankah itu terlihat pelik dan menjadi bualan orang saat melihat penilik mimpi melakukan ritual aneh di tempat yang terbuka. Raja Una tidak suka menimbulkan kekecohan di tempat yang damai itu.
Jika berlaku di luar dugaannya yang membuatkan orang ramai panik sudah pasti khabar angin akan tersebar dengan cepat. Hanya orang-orang yang berstatus tinggi sepertinya sahaja yang mengetahui tentang cara aneh yang dilakukan oleh Titi untuk melakukan ritual menilik mimpi jika dia sudah serius dengan hal-hal tertentu.
"Terima kasih, Yang Mulia."
Sesudah mengucapkan terima kasih pada Raja Una, Titi pun mula melakukan aksinya sebagai penilik mimpi. Dia menutup matanya dan fokus pada keheningan di dalam gua itu dan berdiri tegak berhadapan dengan Kolam Ketenangan. Raja Una seperti biasa menanti dengan sabar dan melihat cara aneh apa lagi yang digunakan Titi untuk menilik mimpi Gyzeem...
_____________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro