29
Tᴀғsɪʀᴀɴ Mɪᴍᴘɪ
[ Bᴀʜᴀɢɪᴀɴ 1 ]
Hari pun semakin gelap, petanda siang mahu berganti malam. Kini di ruang beradu Gyzeem, Raja Una sedang menantikan dengan sabar tafsiran mimpi yang ditilik oleh sang penilik mimpi. Sesudah baginda menceritakan tentang mimpi aneh yang dialami oleh Gyzeem, penilik mimpi diraja yang dikenali sebagai Titi meminta izin kepada sang penguasa padang pasir untuk menyentuh kepala Gyzeem.
Raja Una membenarkannya kerana baginda tahu memang sudah tugas sang penilik mimpi untuk melakukan segala cara bagi mendapatkan tafsiran yang tepat tentang mimpi aneh yang dialami oleh Gyzeem. Raja Una sudah terbiasa dengan cara kerja yang dilakukan oleh Titi yang terkadang cukup aneh tapi hasilnya memuaskan hati sang raja.
Gyzeem pada waktu itu sedang terlelap. Dia langsung tidak terganggu sedikit pun apabila Titi menyentuh kepalanya. Wanita itu tidur nyenyak bagaikan bayi yang sedang tidur di atas buaian. Sesudah mendapat rawatan Jnari tadi sebelum matahari terbenam, Gyzeem sudah diberi ubat herba untuk sakit kepalanya. Kata tabib diraja, ubat itu sangat kuat hingga membuatkan pesakit akan mengalami rasa mengantuk dalam masa lima minit.
Seperti yang dikatakan oleh Jnari kepada Gyzeem, ubat herba itu berhasil membuatkan dia rasa mengantuk. Gyzeem lantas tertidur sebaik sahaja matanya tertutup rapat. Raja Una tidak perlu khuatir lagi kerana baginda percaya pada hasil rawatan Jnari. Kerja yang dilakukan oleh tabib itu tidak pernah mengecewakannya. Usai merawat Gyzeem, Jnari meminta izin untuk kembali ke tempat tidurnya kerana ingin membuat persiapan sebelum berangkat ke Kota Thoth pada hari esok seperti yang dijanjikannya kepada Raja Una.
"Hmm..."
"Sudah selesai?"
"Belum, Yang Mulia. Saya perlukan air yang banyak. Ada satu hal lagi yang perlu saya pastikan."
Sejak dari tadi, mata Raja Una tidak beralih sedikit pun daripada memandang wajah Titi yang tampak gelisah. Jelas wajahnya kelihatan risau setelah selesai menyentuh kepala Gyzeem.
"Boleh beta tahu apa yang terjadi saat kamu menyentuh kepalanya?" tanya Raja Una ingin tahu.
Melihat raut wajah Titi yang tadinya nampak tenang berubah penuh kerisauan membuatkannya berfikir yang bukan-bukan.
"Anak ini... punya masa lalu yang kelam. Untung nasibnya bergantung pada kekuatan hatinya sama ada dia mahu terus melangkah menempuh halangan di hadapannya atau pun berhenti dan menerima beban takdirnya tanpa ada pengakhiran."
Titi tahu Raja Una sedang bingung maksud yang dia sampaikan kepada rajanya itu. Raja Una yang bingung terus bertanya lagi tentang maksud tafsiran mimpi yang Titi dapatkan setelah menyentuh kepala Gyzeem.
"Apa maksud kamu tentang beban takdir yang tiada pengakhiran? Adakah beban takdir itu sangat berat untuk dia pikul dalam hidupnya?"
"Ianya bukan beban takdir biasa Yang Mulia. Beban takdir yang saya maksudkan ini jauh lebih berat berbanding beban takdir Yang Mulia pegang. Terlalu berat hingga air matanya menjadi kering."
Raja Una terdiam buat seketika. Beban takdir yang jauh lebih berat berbanding beban takdir yang baginda pegang. Beban takdir apa yang berat sekali hingga air mata pun menjadi kering? Baginda tertanya-tanya di dalam batinnya.
"Apa beban takdirnya, Titi?"
"Beban karma."
Raja Una terpempan. Beban karma? Pertama kalinya dia mendengar hal itu dalam hidupnya.
"Beban karma. Sumpahan. Kutukan. Itulah yang dimaksudkan dengan beban takdir. Dia hidup penuh dengan beban karma. Beban yang diturunkan kepada pendosa berat. Sebab itulah saya memerlukan air yang sangat banyak bagi memastikan satu hal lagi berkaitan mimpinya itu. Saya mahu dapatkan kebenaran yang tepat mengenai mimpinya. Yang saya lakukan ini belum cukup. Masih ada lagi yang belum terungkap."
Raja Una semakin penasaran dengan identiti sebenar Gyzeem yang dianggap membawa beban karma itu oleh Titi. Hembusan nafas dilepaskan lalu baginda pun berkata,
"Baiklah. Jika itu yang kamu inginkan, beta izinkan kamu menggunakan Kolam Ketenangan yang terletak di Gua Enna. Mari pergi ke tempat itu."
"Terima kasih atas keizinannya Yang Mulia."
Raja Una hanya menganggukkan kepalanya lalu pandangannya dialihkan ke arah Gyzeem pula. Terlalu banyak persoalan yang mengasak fikirannya. Terlalu banyak fikiran hingga menjadi padat otaknya. Persoalan sentiasa bermain di mindanya namun jawapan kepada persoalan tersebut masih belum ada. Yang baginda mahukan sekarang adalah jawapan. Jawapan ke arah kebenaran.
______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro