Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

28

Pᴇɴɪʟɪᴋ Mɪᴍᴘɪ
&
Lᴀɴɢᴋᴀʜ Sᴇʟᴀɴᴊᴜᴛɴʏᴀ

Setelah Gyzeem tersedar dari pengsannya selama tiga hari berturut-turut, akhirnya Jnari dan Raja Una dapat menghela nafas lega melihat wanita itu membuka matanya. Berkuranglah rasa cemas dan risau dalam diri mereka melihat Gyzeem membuka matanya pada hari yang ketiga. Sementara menunggu Jnari memeriksa keadaan Gyzeem yang kelihatan masih lemah dan tidak bermaya, Raja Una mengarahkan pelayan menyediakan makanan dan air minum kepada Gyzeem. Baginda yakin mesti wanita yang dicintainya itu sedang haus dan kelaparan kerana sudah tiga hari Gyzeem terbaring di atas ranjangnya.

"...bagaimana? Kamu sudah rasa lebih baik sekarang?"

"Iya. Sakit kepala saya sudah berkurang. Terima kasih sudah merawat saya, Jnari."

"Sudah tugas saya sebagai seorang tabib merawat pesakitnya hingga sembuh."

Gyzeem tersenyum pahit dan menundukkan kepalanya seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya pada masa itu. Jnari yang melihat senyuman Gyzeem yang kelihatan bagaikan orang yang tengah kecewa itu pun bertanya,

"Ada sesuatu yang mengganggu fikiran kamu, Gyzeem? Kalau ada apa-apa masalah silakan beritahu saya sekiranya ianya berkaitan dengan kesihatan kamu." kata Jnari. Tangannya memegang tangan Gyzeem yang terasa dingin bagaikan mayat hidup. Dia merenung wajah sugul Gyzeem.

Gyzeem yang ditanya oleh Jnari pun melepaskan keluhan. Tidak ada baiknya jika dia terus mendiamkan dirinya sedangkan orang-orang di sekitarnya sedang risau dengan dirinya itu. Dia pun mengangkat kepalanya dan memandang Jnari. Dia tidak berbasa-basi lagi. Gyzeem terus membuka cerita tentang mimpi aneh yang dialaminya tiga hari yang lalu. Mimpi aneh yang menjadi punca dia mengalami sakit kepala yang teruk.

"Tiga hari yang lalu, saya mimpikan sesuatu yang aneh bahkan mimpi itu terasa bagaikan realiti."

"Mimpi? Mimpi tentang apa?"

Perbualan itu menarik perhatian Raja Una yang sejak dari tadi hanya mendiamkan diri. Baginda langsung tidak mengganggu pekerjaan Jnari yang sedang menjalankan tugasnya sebagai seorang tabib. Baginda memberikannya ruang untuk periksa keadaan Gyzeem. Raja Una hanya perlu menunggu dengan sabar dan pasti ada masa yang tepat untuk dirinya berbual kembali dengan Gyzeem. Buah hatinya yang sangat baginda rindukan.

"Mimpi tentang seorang perempuan bernama Rosalie yang mahu mengakhiri hidupnya."

"Mengapa dia mahu mengakhiri hidupnya?"

Gyzeem membiarkan soalan itu tidak dijawab dalam beberapa detik. Suasana menjadi hening seketika. Jnari sudah mula rasa ada sesuatu yang benar-benar mengganggu fikiran pesakitnya itu. Sekali lagi dia menyoal untuk memastikan yang difikirkannya itu benar.

"Kamu ada di dalam mimpi itu?" soalnya.

Jawapan itu mendapat anggukan Gyzeem. Benarlah dugaan Jnari bahawa memang ada Gyzeem di dalam mimpinya itu selain perempuan yang bernama Rosalie.

"Kamu kenal perempuan dalam mimpi itu?" soal Jnari lagi.

Dia bertanya demikian kerana ingin memastikan lagi bahawa berkemungkinan perempuan yang ada di dalam mimpi Gyzeem itu adalah orang yang Gyzeem kenal. Mungkin juga rapat dengannya. Jika pesakitnya itu mengenali perempuan yang ada di dalam mimpinya, dia yakin pasti mimpi itu memberikan tanda-tanda ingatan Gyzeem yang hilang muncul dalam bentuk mimpi.

"Susah saya hendak jelaskan tapi... hati saya memberikan tindak balas yang tidak biasa. Saya tidak ingat saya pernah mengenali perempuan itu. Cuma perasaan ini yang membuatkan saya seperti rasa... putus asa, kecewa yang mendalam dan... penuh dengan kehampaan." jawab Gyzeem dengan jujur.

Dia tidak ingat pernah mengenali perempuan yang bernama Rosalie. Dia sudah berusaha untuk memanggil kembali memorinya dan mencari ingatan tentang Rosalie. Sayang sungguh, otaknya seperti diselubung kabus putih yang kosong. Tidak ada ingatan yang terpampang di fikirannya. Hanya kekosongan mengisi akalnya itu.

"Boleh kamu jelaskan soalan saya tadi tentang alasan perempuan itu mahu mengakhiri hidupnya?" tanya Jnari lagi tentang soalan yang belum dijawab itu tadi.

"Kutukan yang berasal dari masa lalu."

Jawapan itu membuatkan Raja Una semakin tertarik dengan cerita Gyzeem. Kutukan yang berasal dari masa lalu. Baginda seperti pernah mendengar tentang istilah itu yang berasal daripada kutukan sakral dewa tapi baginda lupa di mana dan bila baginda pernah mendengar tentang hal itu. Jnari pula semakin tertanya-tanya dengan maksud kutukan yang berasal dari masa lalu. Dia pun bertanya,

"Apa maksud kamu tentang kutukan yang berasal dari masa lalu?"

"Rosalie... perempuan yang ada di dalam mimpi itu adalah manusia malang yang dilahirkan terkutuk. Bukan hanya dia seorang saja tapi ada ramai lagi. Dia tidak tahan hendak teruskan hidup lagi sebab batin dan mental sudah benar-benar terseksa. Dia tidak diterima oleh masyarakat. Mereka yang dilahirkan terkutuk dipandang seperti raksasa. Katanya lagi... mereka yang dilahirkan terkutuk itu adalah penerus dosa dari masa lalu. Saya yang ada dalam mimpi itu cuba memberikan dia harapan. Mungkin ada cara lain hendak batalkan kutukan dewa tapi katanya lagi... kutukan itu tidak ada penawar. Merayu atau berdoa macam mana sekali pun mereka terhadap dewa, mereka hanya akan membangkitkan amarah dewa sahaja. Rosalie beritahu saya di dalam mimpi itu, kata dewa adalah kata sakral."

Sesudah Gyzeem habis berbicara, Jnari pun melihat ke arah Raja Una. Kebetulan Raja Una memandang ke arahnya juga. Baginda memberi isyarat kepada Jnari untuk mereka keluar sebentar memandangkan pelayan-pelayan yang diperintah sudah pun tiba menghantar makanan dan air minum untuk Gyzeem. Mereka punya kesempatan untuk berbincang di luar sementara menunggu Gyzeem selesai makan. Jnari yang faham akan isyarat itu pun segera bercakap ke arah Gyzeem yang kelihatan sedang melayan fikirannya itu.

"Gyzeem, saya dan Raja Una tinggalkan kamu sebentar di sini ya? Kamu makanlah terlebih dahulu. Isi perut yang kosong. Sudah tiga hari kamu terlantar di atas ranjang tidak sedarkan diri. Pasti kamu sedang lapar." kata Jnari. Gyzeem pun mengangguk kepalanya.

Dia sudah tidak larat hendak bertanya banyak soalan memandangkan dirinya itu penat dan lapar. Dia mahu makan. Dia haus. Dia lemas dan mahu berehat.

"Tolong jaga Gyzeem di sini sementara beta dan Jnari keluar sebentar. Jika berlaku sesuatu di luar dugaan kami, segera panggil kami di luar." kata Raja Una kepada pelayan-pelayan yang bertugas pada waktu itu.

"Baik, Yang Mulia." jawab pelayan-pelayan itu dengan patuh.

Tanpa membuang masa Jnari pun mengikut Raja Una keluar dari bilik beradu Gyzeem. Sesudah mereka keluar, Jnari pun berkata,

"Boleh saya tahu apa yang tuanku fikirkan sekarang?"

Raja Una pun alihkan pandangannya pada Jnari. Tabib itu sedang tunduk. Tanda dia menghormati rajanya.

"Angkat kepalamu dan pandang beta." arah Raja Una.

Jnari pun lantas mengangkat kepalanya dan memandang Raja Una.

"Apa kamu ada saranan terbaik untuk masalah ini?" soal Raja Una. Baginda sebenarnya sudah tahu langkah selanjutnya tetapi sengaja dia bertanya pada Jnari.

"Saya sarankan Yang Mulia panggil penilik mimpi diraja. Hanya itu saja yang dapat saya sarankan memandangkan masalah ini berkaitan tentang mimpi. Jika berkaitan tentang kesihatan, saya bercadang hendak pergi ke Kota Thoth dengan segera. Saya risau penyakit Gyzeem akan bertambah kambuh dan saya mahu pun Dewa Kesembuhan tidak dapat menolong lebih banyak lagi. Hanya Dewa Bulan, Lah-Djehuty satu-satunya harapan kita." kata Jnari menjawab pertanyaan Raja Una.

Raja Una mengangguk faham. Seperti yang difikirkannya memang baginda mahu memanggil penilik mimpi diraja dan menilik mimpi aneh tersebut. Sejak Gyzeem membuka cerita tentang mimpinya, baginda sudah punya firasat buruk tentang mimpi tersebut.

"Ambil kalung ini dan tunjukkan pada Dewa Bulan, Lah-Djehuty sekiranya dewa menolak untuk membantu kamu. Kalung yang mempunyai lambang beta ini akan membuatkan Dewa Bulan berubah fikiran. Beta harap pertemuan kamu dengannya berjalan dengan lancar. Beta dengar dari Penasihat Raja II, Dewa Lah-Djehuty anginnya tidak baik-baik sahaja sejak akhir-akhir ini. Jaga percakapan kamu sewaktu meminta bantuannya. Jangan mengundang kemarahan dewa. Faham." kata Raja Una sambil membuka kalung yang menjadi lambang kekuasaannya di padang pasir itu.

Kalung itu baginda berikan pada Jnari sebagai langkah kedua untuk memujuk Dewa Bulan, Lah-Djehuty datang ke Taman Oasis dan membantunya. Adanya kalung itu bermakna titah sang raja ada bersama dengannya.

"Baiklah, Yang Mulia. Saya akan gunakan kalung ini dengan baik." kata Jnari seraya menyambut kalung itu dengan hati-hati.

"Beta percayakan kalung ini kepada kamu, Jnari. Jangan hampakan beta."

"Ya, Yang Mulia. Saya akan usahakan."

______________________________________

Thanks For Reading
Keep Voted + Comment

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro