21
Rᴜᴍɪɴᴀᴛᴇ
_______________________________________
"Saya pernah terfikir sesuatu."
"Hmm? Apa yang kamu fikirkan?"
"Fikir tentang mati."
Gyzeem berpaling melihat ke arah Rosalie. Rosalie berdiri di atas batu-batu besar yang berlumut seraya tangan kanannya menempel di sebatang pokok mati. Tinggal menunggu waktu sahaja pokok itu tumbang dan mereput dimakan anai-anai. Pada masa ini, akar pokok itu masih kuat mencengkam tanah seperti belum mahu kalah dari kematian walau pokok itu sudah tidak berbuah dan berdaun hijau. Di sana, Gyzeem melihat wajah sayu Rosalie. Dia... sangat mengasihani gadis itu. Hidupnya penuh dengan liku-liku kehidupan yang penuh duri. Pernyataan yang dikatakan oleh Rosalie barusan tadi buat dia terkejut.
"Mengapa kamu berfikir begitu?"
"Saya ingin sekali mahu bebas dari kutukan dewa. Mungkin dengan cara saya mengakhiri hidup ini saya akan bebas dari rasa sakit."
Kata-kata Rosalie membuatkan hati Gyzeem tidak tenteram. Bicaranya itu sungguh mendalam hingga bulu romanya meremang hingga ke tengkuk belakang. Rosalie tidak melihat ke arahnya saat dia berkata-kata. Matanya tertumpu ke arah sebuah kota yang pesat membangun kira-kira 2 kilometer dari tempat mereka berada. Sebuah istana megah yang terletak di tengah-tengah kota merupakan bangunan yang paling menonjol di antara bangunan-bangunan lain di kota itu membuatkan hati Rosalie dicengkam rasa sakit.
"Saya tidak suka hidup di dunia ini yang penuh dengan kekejaman." ujar Rosalie. Matanya kian berair mengenangkan nasibnya.
"Saya ingin mati. Bukankah lebih baik mati daripada terus hidup dan membiarkan saya menderita. Mengapa mereka semua suka melihat orang-orang terkutuk seperti kami ini menderita?"
Gyzeem tidak suka bicara ini dilanjutkan lagi. Dia sudah tahu apa yang ingin Rosalie cuba sampaikan padanya. Ianya sebuah kisah keputusasaan. Keputusasaan Rosalie yang tidak sanggup meneruskan hidupnya yang penuh duka. Perit untuk dia katakan, dunia ini memang kejam bagi para manusia terkutuk. Anehnya, perasaan itu mengingatkannya pada sesuatu namun dia langsung tidak ingat bahkan memorinya juga kelihatan kabur. Sudah satu tahun berlalu namun memorinya masih belum pulih. Hanya emosi yang memainkan peranan kuat pada dirinya hingga dia merasakan semua itu pernah dia alami. Emosi Rosalie telah menggamit emosi Gyzeem.
"Tidak ada ertinya lagi untuk saya hidup kalau manusia terkutuk seperti saya tidak diterima oleh kerajaan itu. Bukan! Di mana pun saya berada mahu pun di kerajaan lain, dengar sahaja ada manusia terkutuk datang pijak ke tanah mereka walau hanya sekejap... mereka menghalau manusia terkutuk seperti saya dengan pelbagai cara hingga hampir meragut nyawa saya. Kenapa tidak mereka bunuh saja? Bukankah itu jalan terbaik untuk hentikan ketakutan mereka terhadap kami?"
Rosalie jeda. Dia mengesat air matanya yang semakin deras mengalir. Dadanya sakit. Sungguh sakit hingga mahu bernafas pun sedikit sukar. Dia mengambil beberapa detik untuk menenangkan dirinya sebelum dia menyambung percakapannya itu lagi. Sepanjang gadis itu bercakap, Gyzeem tidak berniat mahu menghentikannya walaupun dia sebenarnya tidak suka mendengar kata mati. Perkataan itu mencetus kegusaran hatinya sepanjang Rosalie berkata-kata.
"Saya pernah terfikir lagi."
Gyzeem kembali fokus pada wajah sedih Rosalie. Kini, mata mereka bertaut. Tatapan sedih itu masih ditunjukkan oleh Rosalie.
"Saya pernah terfikir... mengapa saya dilahirkan ke dunia ini? Mengapa saya tidak boleh hidup bahagia seperti anak-anak gadis lain yang tidak perlu terbeban dengan kutukan dewa? Entah bila kali terakhir saya dapat mimpi indah hidup penuh dengan kebahagiaan. Kalau boleh saya mahu tetap tinggal di dalam mimpi itu dan tidak mahu ke alam realiti. Realiti lebih menyakitkan ditambah lagi saya ini manusia terkutuk dibenci oleh kaum manusia itu sendiri. Kami manusia terkutuk juga lahiriah manusia. Mereka tidak pandang kami ini manusia tapi pandang kami seperti seekor raksasa yang mahu makan daging manusia."
Sesungguhnya, kata-kata Rosalie sungguh menusuk ke hati Gyzeem hingga dia juga mahu ikut sama menangis. Melihat wajah sedih Rosalie menambahkan lagi rasa pilu di hatinya. Emosi gadis itu begitu kuat hingga menarik emosi Gyzeem untuk turut serta menangisi kedukaan Rosalie. Gyzeem tidak sanggup menatap lama mata sedih Rosalie. Dia alihkan matanya ke tempat lain agar dia tidak menangis. Dia mahu bertahan sampailah Rosalie selesai berbagi cerita sedihnya.
"Gyzeem?"
"Ya."
Hening seketika setelah Gyzeem menyahut singkat panggilan Rosalie.
"Kamu mahu menjadi saksi kematian saya?"
Gyzeem terpempan. Matanya terbuka luas saat mendengar permohonan gila Rosalie itu.
"Saya mahu mati secepatnya agar penderitaan ini langsung berakhir."
Gyzeem tidak terima. Dia tidak mahu menjadi saksi kematian Rosalie. Dia tidak mahu Rosalie membunuh diri hanya kerana dia itu manusia terkutuk.
"Tidak!"
Gyzeem meninggikan suaranya hingga Rosalie memandangnya penuh rasa terkejut. Ini pertama kali dia melihat Gyzeem begitu marah padanya selama satu tahun mereka berteman.
"Tidak mungkin saya akan membiarkan kamu mati Rosalie apa lagi menjadi saksi kematian kamu! Cukup! Hentikan bicara bodoh kamu yang mahu mati." kata Gyzeem yang penuh dengan emosi marah, kesal dan sedih.
Gyzeem tidak suka cara berfikir Rosalie sekarang yang mahu mati. Itu bukanlah jalan yang terbaik untuk hentikan kutukan dewa.
"Tidak ada ertinya lagi untuk saya terus hidup kalau dilayan seperti sampah! Hidup hamba yang diperbudak oleh golongan atasan lebih baik jika dibandingkan hidup saya. Mereka masih tetap dipandang manusia walau diseksa oleh golongan atasan. Saya? Saya ini dipandang seperti raksasa tapi tidak pernah dibunuh sampai mati. Apa yang mereka buat adalah menyeksa batin dan mental saya hingga saya tidak sanggup untuk hidup lebih lama lagi. Mereka sangat suka lihat saya mati dalam keadaan menderita seperti ini! Kamu tidak rasa apa yang saya rasakan sekarang sebab kamu itu bukan seperti kami yang dikutuk dewa!"
Di akhir bicara Rosalie itu dia meninggikan suaranya sekuat hati. Dia benar-benar sudah muak dengan hidupnya. Dia mahu secepatnya mati. Air matanya semakin deras mengalir. Dadanya berombak. Degupan jantung terasa cepat berdetak menghentam dinding dadanya. Dia begitu tertekan.
"Bukan begini caranya untuk hentikan kutukan dewa itu. Pasti ada cara lain."
"Cara lain? Kamu kata cara lain? Hahahaha. Tidak ada cara lain, Gyzeem. Jangan berikan saya harapan kosong. Dunia ini kejam. Terlalu kejam. Sekuat mana pun kamu merayu pada dewa atau berusaha mencari cara untuk hentikan kutukan dewa, mereka tidak mahu mendengar doa kamu. Sama seperti kisah kuno di masa lalu. Kamu hanya membuat dewa bertambah murka. Kita ini hanya penerus dosa dari masa lalu. Kutukan yang saya dapat ini adalah kutukan masa lalu. Tidak ada penawarnya. Kata dewa itu adalah kata sakral. Satu patah kata sahaja membuatkan hidup kamu hancur." kata Rosalie. Dia mengesat air matanya dengan kasar lalu menyambung kata-katanya lagi.
"Maaf tapi mungkin ini yang terbaik. Bermula dari sekarang gadis yang bernama Rosalie si manusia terkutuk ini... memutuskan persahabatan yang terjalin selama satu tahun. Selamat tinggal... Gyzeem."
_______
Gyzeem terbangun dari mimpinya. Dia tercungap-cungap setelah bangun dari tidur. Mimpinya itu membuatkan dirinya mengeluarkan peluh dingin. Suasana terasa panas padahal diluar sana masih dingin. Fajar pula masih belum membuka tirai.
Gyzeem terus mengambil posisi duduk dan memegang kepalanya yang tiba-tiba muncul rasa sakit. Kulit kepalanya seperti dicucuk-cucuk. Dia mengerang kesakitan apabila bayangan gadis yang berada di dalam mimpinya muncul. Sungguh ngilu dan sakit hingga dia menjerit kesakitan.
"Arrrghhhh!"
Teriakan itu didengari oleh pengawal yang menjaga di luar pintu ruang beradu Gyzeem. Lantas, pintu terbuka dengan kasar saat Gyzeem masih menahan rasa sakit.
"Cik Gyzeem?"
Pengawal yang bertugas malam berlari mendapatkan Gyzeem apabila melihat wanita itu menderita sakit kepala. Gyzeem pula cuba mendapatkan pengawal itu dan memohon bantuan.
"Cik? Cik?"
"T...Tolong panggil Jnari. Kepala... saya sakit!"
Mendengar kata-kata Gyzeem meminta Jnari dipanggilkan, dia pun lantas merehatkan tubuh Gyzeem di katil itu semula sambil berkata,
"Mohon tenangkan diri kamu cik Gyzeem. Baring dan tahan sakit kepala kamu sementara saya memanggil tabib. Apa kamu masih boleh bertahan?" soalnya meminta kepastian.
Gyzeem mengangguk perlahan. Pengawal itu pun sedikit lega lalu dia pun meninggalkan Gyzeem dan mencari Jnari si tabib diraja.
Kutukan akan selalu bersama kamu walau di mana pun kamu berada...
Kepalanya bertambah sakit apabila ada suara-suara misteri berbisik di telinganya. Ayat yang sama diulang berkali-kali hingga kepala Gyzeem semakin sakit teruk sampai Gyzeem menangis menahan sakit.
"SAKIT!"
Suaranya perlahan hampir ke arah berbisik namun diberi penekanan saat menyebut perkataan sakit.
Kita ini hanya penerus dari dosa masa lalu...
"Gyzeem! Gyzeem!"
Kata dewa itu adalah kata sakral...
"...wahai Dewa Kesembuhan... kumohon..."
Dewa murka...
"Oh tidak! Pengawal... tolong panggil pelayan dan bawakan air bersih dengan segera."
Itulah kata-kata terakhir Jnari yang didengari oleh Gyzeem sebelum dia tidak sedarkan diri...
_______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro