20
Kᴇᴛᴀᴋᴜᴛᴀɴ Sᴀɴɢ Dᴇᴡɪ Bᴜɴɢᴀ
_______________________________________
"Buat atau kamu akan kehilangan semuanya."
"Tapi ini sudah keterlaluan. Saya-!"
"Kamu sahabat saya bukan?"
"Memang ya saya sahabat kamu tapi-!"
"Sebab kamu sahabat sayalah kamu kena tolong saya."
"Ini kerja gila Dewi Miray. Saya tidak mahu terlibat dengan masalah kamu lagi."
"Hoo... sekarang kamu hendak menentang saya?"
"Sudahlah, Dewi Miray. Hentikan rancangan ini."
"Tidak. Saya tidak mahu. Perempuan itu harus mati. Mati!"
"Kamu sudah bukan diri kamu lagi Dewi Miray. Obsesi kamu itu membuatkan kamu gila!"
_______
"Dewi? Dewi?"
Dewi Bunga tersedar dari lamunannya yang panjang apabila Anaya datang menegurnya. Dia lihat ke arah Anaya dengan raut wajah yang kebingungan. Anaya yang melihat wajah bingung Dewi Bunga pun melanjutkan percakapannya yang dia sangka tadi didengari oleh Dewi Bunga tapi rupanya tidak.
"Dewi baik-baik saja?" soal Anaya.
Dewi Calla mengangguk perlahan dan membalas soalan Anaya.
"Iya. Maaf, saya tidak beri perhatian penuh tadi."
Dewi Calla hanya memberikan senyuman simpul setelah berkata demikian.
"Perlukah saya lanjutkan perbincangan ini dewi?"
Dewi Calla menggelengkan kepala lalu berkata,
"Tidak. Kita tangguhkan dahulu. Boleh simpan tentatif majlis itu di meja saya. Malam nanti saya baca semula."
Anaya yang mendengar kata-kata Dewi Bunga pun mengangguk faham.
"Baiklah, kalau begitu saya kembali semula ke Artemisia. Urmm... sebelum tu... saya mahu tanya sekali lagi. Benarkah dewi baik-baik saja? Hari ini saya lihat dewi begitu banyak mengelamun."
Tepat setelah Anaya menamatkan percakapannya, angin petang bertiup membelai wajah mereka berdua di sana. Dewi Calla yang mendengar soalan itu lagi pun melemparkan senyumannya yang paling manis untuk dilihatkan kepada Anaya. Senyuman palsu untuk menutup keresahan hatinya sejak pertemuannya dengan Dewi Cinta, Miray Rutvi pagi tadi. Dewi Calla pun berbohong pada Anaya agar wanita di hadapannya itu tidak terus bertanya lagi.
"Iya. Saya baik-baik saja, Anaya. Tidak perlu risau jika saya hari ini terlalu banyak mendiamkan diri. Hari ini saya mahu meluangkan masa untuk diri sendiri. Oh ya, nanti beritahu Boneset tolong hantarkan minuman petang untuk saya di taman ini ya." dia berpura-pura penuh dengan keceriaan saat bercakap dengan Anaya.
Untungnya, wanita itu memberi reaksi positif. Anaya tidak bertanya lagi malah terus akur akan permintaan Dewi Bunga.
"Baguslah. Saya senang mendengarnya. Kalau begitu saya mengundur diri dahulu. Permintaan dewi akan segera saya sampaikan kepada Boneset. Selamat menikmati waktu petang." kata Anaya lalu dia pun tunduk memberikan hormat kepada Dewi Bunga. Sesudah itu, dia pun beredar meninggalkan Dewi Bunga.
Setelah memastikan wanita itu sudah tidak ada lagi di Taman Pushpah Abadi, Dewi Calla pun menghela nafas lega tetapi tidak sepenuhnya dia berasa lega. Ada suatu hal lagi yang membuatkan dia risau. Ianya berkaitan dengan Dewi Cinta.
Suasana indah di taman itu memang menenangkan jiwa sesiapa sahaja yang datang ke Taman Pushpah Abadi jika mahu melihat matahari terbenam sambil minum teh. Namun begitu, suasana hati sang dewi tidaklah seindah pemandangan di sana. Dia sungguh runsing memikirkan nasibnya yang sudah jauh terlibat dengan masalah Dewi Cinta.
Obsesinya mahu mengejar cinta Raja Una telah membuatkan Dewi Miray mengambil risiko yang berbahaya. Niatnya mahu menggagalkan rancangan gila Dewi Cinta tidak berakhir dengan baik. Dia gagal menghentikan Dewi Miray yang sudah semakin obses dengan cinta. Dia gagal mempertahankan dirinya apabila diancam oleh Dewi Miray. Kelemahannya yang terlalu menjaga hati sahabatnya itu membawanya lebih dalam lagi ke arah dosa besar bagi para dewa dan dewi.
"Saya boleh buat apa sahaja untuk jatuhkan kamu Dewi Calla. Kamu tidak fikirkan pengikut setia kamu selama ini? Apa akan jadi sekiranya Dewi Hollis mendapat tahu kamu menanam bunga terlarang? Sebelum kemunculan perempuan itu pun kamu sudah lama tanam bunga itu untuk tujuan penyelidikan kamu. Pasti dia murka bila dapat tahu kebenarannya. Kamu tidak ada bukti yang kukuh untuk tuduh saya buat kesalahan sebab... racun itu berasal dari bunga yang kamu tanam sejak dari dulu lagi. Semua rahsia kamu saya tahu dan saya baik hati mahu menyimpan rahsia itu untuk kamu. Mengapa tidak kamu membalas jasa saya hanya untuk rancangan ini?"
Dewi Bunga berasa takut. Ada banyak sebab dia harus takut.
Pertama, dosanya.
Kedua, obsesi Dewi Cinta.
Ketiga, Dewi Hutan.
Keempat, Hukuman Langit.
Terakhir, bencana.
Semua yang tersenarai dalam senarai ketakutannya itu menghimpit emosi dan mentalnya. Dia terpaksa berhadapan dengan semua masalah ini. Dia lebih takut sekiranya hukuman dijatuhkan daripada Penguasa Dunia. Perasaannya sudah bercampur aduk setelah terlibat dengan masalah Dewi Cinta dan mengancamnya untuk membocorkan rahsia besarnya itu kepada Dewi Hutan.
_______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro