Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

19

Kᴇᴊᴀᴛᴜʜᴀɴ Sᴇʙᴜᴀʜ
Kᴇʀᴀᴊᴀᴀɴ Mᴀsʜʏᴜʀ

_______________________________________

Suasana di tempat itu sungguh kacau-bilau. Amukan dewa sudah menelan ribuan penduduk di kota itu. Api belerang masih belum berhenti turun dari langit menghancurkan keindahan pulau tersebut. Istana setinggi bukit dan bangunan yang mencakar langit sudah tidak ada rupa lagi hingga menyisakan puing-puing reruntuhan.

Api marak membakar hutan yang tumbuh menghijau di pulau itu hingga menghasilkan kepulan asap tebal. Ombak menghempas pantai dengan ganas hingga menarik sebahagian isi pulau itu ke tengah lautan dan memakan korban yang begitu banyak.

Dia mendongak melihat ke atas langit. Langit berubah menjadi warna merah darah. Warna yang sungguh menakutkan. Tanda sang Penguasa Dunia murka. Gumpalan awan gelap menghasilkan bunyi guruh dan petir silih berganti bersamaan dengan hujan api belerang yang masih aktif menghujani pulau itu.

Dia yang melihat kejadian ngeri itu tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Kakinya terasa begitu lemah hingga tidak dapat menampung tubuhnya yang saat itu tengah berdiri melihat kota mashyur yang sudah hancur.

Dari atas bukit sana dia dapat melihat kota besar yang menampung ribuan penduduk itu telah musnah membuatkan hatinya bertambah luluh dan sedih. Akibat tidak mampu berdiri lagi melihat kengerian itu, dia jatuh terduduk dan menangis mengenangkan nasib yang menimpa dirinya. Dia mendongak melihat ke atas langit. Api belerang gelombang terakhir sudah pun berhenti turun tapi tidak bermakna amukan dewa sudah mereda.

"Inikah dinamakan hukuman berat? Mengapa harus melibatkan manusia lain yang tidak terlibat dengan masalah ini?"

Air matanya mengalir semakin deras membasahi pipinya. Dadanya terasa sesak. Dia penat. Kekuatannya tidak cukup hendak melindungi penduduk kota yang berbekalkan satu orang penyelamat sahaja. Serangan ini adalah amukan dari dewa yang sudah murka! Satu orang yang bersalah semua orang kena hukumannya. Di mana letaknya keadilan? Itu yang pernah difikirkan oleh dirinya namun siapalah dia yang boleh melawan Penguasa Dunia...

_______

"G-argh!"

Aku langsung tidak punya apa-apa perasaan pada masa itu. Pisau itu aku tusuk lebih dalam ke dalam perutnya. Aku boleh rasa tanganku dilumuri darah panas yang keluar dari luka tusukan itu. Aku puas! Aku tahu ini salah tapi aku tidak punya pilihan lain untuk hancurkan hidup perempuan itu. Biar perempuan itu menanggung semua kesalahannya.

Aku menarik pisau itu keluar hingga dia terjerit kesakitan akibat rasa nyeri daripada tusukan pisau yang tajam itu. Aku melepaskan pelukan itu dan menolaknya sehingga jatuh. Dia kulihat memegang perutnya sambil melihat ke arahku dengan raut wajah yang tidak percaya. Di sebalik purdah yang aku pakai itu senyumanku begitu lebar. Aku memang puas melihat dia menderita di sana.

"Manusia ter...ku...tuk! Beraninya... kamu melakukan... hal terkutuk ini! Ugh..."

Aku tergelak melihatnya mengutuk aku. Ya, aku sudah melakukan kesalahan paling besar dalam hidup aku tapi... semua kesalahan itu bukan tertuju terhadap aku saat dia di hadapanku ini mati.

"Terlaknatlah... kamu-!"

Dia tidak sempat menghabiskan kata-katanya terhadap aku. Sungguh cepat! Dia sudah mati. Ya, dia sudah mati! Hahahaha. Dia mati! Perempuan itu akan mendapat hukumannya. Biar! Biar perempuan itu rasakan kesakitan yang aku rasa selama ini. Biar hidup dia hancur. Hahahahaha.

_______

Raja Una terbangun dari tidurnya. Keringat dingin jelas membasahi wajahnya saat baginda terjaga. Baginda lantas bangun dari pembaringannya dan mengambil posisi duduk. Baginda mengambil nafas beberapa detik dan cuba menenangkan dirinya.

Mimpinya barusan tadi benar-benar membuatkan detak jantungnya mengepam sangat laju. Baginda masih boleh merasakan jantungnya yang berdebar-debar itu seperti baru melalui suatu hal yang menegangkan.

Raja Una sedikit lega semuanya itu hanya mimpi namun baginda masih berfikir mimpinya tadi itu seperti sebuah petanda. Baginda risau kerajaan mashyur yang musnah kerana amukan dewa itu mungkin memberi petunjuk bahawa empayar kekuasaannya juga akan mengalami hal yang sama seperti dalam mimpinya. Raja Una tidak mahu semua itu terjadi.

Raja Una pun bangkit dan menuju ke arah balkoni ruang beradunya. Langsir panjang berwarna gelap yang menutup pintu keluar yang tidak berpintu diselak dan kelihatan matahari sudah pun terbit. Dingin pagi masih terasa hingga menggigit kulit wajahnya yang masih terasa mengantuk. Raja Una menguap sedikit lalu menutup kembali langsir itu dan kembali ke tempat tidurnya.

Tekaknya terasa haus dan baginda ingin membasahkan tekaknya yang kering. Sesudah baginda minum, Raja Una melanjutkan fikirannya itu sama ada mahu berjumpa penilik mimpi diraja atau hanya diam tidak mahu terlalu memikirkan mimpi itu. Baginya, mimpi tersebut sangat membekas di hatinya. Perasaan dan emosi yang Raja Una alami dalam mimpi itu bagaikan realiti. Ketegangan dalam mimpi itu juga seperti benar-benar berlaku terhadap dirinya yang sememangnya semua itu hanyalah mainan tidur.

"Patutkah aku jumpa penilik mimpi?"

Raja Una tertanya-tanya pada dirinya sendiri. Masih memikirkan pilihannya mahu berjumpa penilik mimpi atau biarkan sahaja mimpi itu dan tidak terlalu memikirkannya.

"Aku rasa... tidak perlu..."

Mulut berkata tidak hati berkata iya. Masih ada keraguan. Masih ada keresahan. Raja Una tidak pasti akan keputusannya. Pada akhirnya, baginda memutuskan untuk mengesampingkan terlebih dahulu mimpinya dan menumpukan sepenuh fokusnya terhadap pekerjaan sebagai seorang pemerintah. Tugasnya itu lebih penting jika dibandingkan dengan mimpinya sebentar tadi. Raja Una masih punya masa untuk memikirkannya masak-masak.

_______________________________________

Thanks For Reading
Keep Voted + Comment

Situasi dalam mimpi Raja Una lebih kurang macam ni :)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro