Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

15

Dᴇᴡᴀ Bᴜʟᴀɴ
ᴅᴀɴ
Hᴀʀᴛᴀ Kᴀʀᴜɴ ᴅᴀʀɪ Kᴇʀᴀᴊᴀᴀɴ Kᴜɴᴏ

_______________________________________

Penduduk di Kota Thoth berkumpul di jalanan melihat kemunculan Dewa Bulan yang baru pulang dari penjelajahannya yang sangat jauh dan lama. Pada malam itu, penduduk yang tinggal di sana berduyun-duyun melihat dewa mereka yang sudah pulang ke tanah air. Mereka bersorak dengan gembira apabila melihat kemunculan kembali sang dewa di tempat itu.

Lah Djehuty nama sebenar Dewa Bulan baru pulang dari penjelajahannya selama sepuluh tahun. Selama sepuluh tahun itu, Kota Thoth berada di bawah pengawasan Raja Una atas permintaan Dewa Bulan sendiri sewaktu kota itu tidak berada di bawah perlindungan seorang dewa.

Raja Una tidak ada masalah dengan permintaan Dewa Lah Djehuty kerana Kota Thoth juga merupakan salah satu kota yang berada di bawah pemerintahannya. Penduduk di Kota Thoth juga sangat menghormati Raja Una dan sangat mengalu-alukan kedatangannya jika baginda datang ke tempat itu.

Khabar kepulangannya itu tersebar sangat cepat hingga ke Empayar Hutan Hujan Vanubha. Dewi Hutan, Hollis Gautier yang mendengar khabar itu pun turut bersukacita apabila temannya sudah pulang ke padang gurun. Dia berencana mahu bertemunya dalam masa yang terdekat jika dia punya masa yang terluang dan mahu berkongsi cerita dengan Dewa Bulan, Lah Djehuty. 

Raja Una yang mengetahui hal itu juga ikut bersukacita apabila Dewa Bulan dikhabarkan sudah pulang ke Kota Thoth. Raja Una sangat menghormati Dewa Bulan kerana Dewa Lah Djehuty merupakan dewa penting di padang pasir emas. Sejak dari dahulu lagi, Dewa Bulan dianggap sebagai pelindung raja dan rakyat jelata di padang gurun dari ancaman roh-roh jahat.

Jnari yang berada di Taman Oasis turut sama berkongsi rasa senang dengan penduduk yang tinggal di taman itu. Dia sendiri juga sudah lama menunggu kepulangan Dewa Bulan. Kebetulan pada masa itu dia mempunyai seorang pesakit yang memerlukan kesembuhan dan dia mahu meminta pertolongan daripada sang dewa.

Dewa Lah Djehuty juga dianggap dewa penyembuhan tapi hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja. Tidak seperti Dewa Kesembuhan yang selalu disembah oleh tabib-tabib di padang gurun setiap hari tidak kira waktu. Dewa Bulan pula akan dianggap dewa penyembuhan apabila cahaya bulan muncul di waktu malam. Cahaya bulan dianggap sakral oleh penduduk padang pasir kerana pada waktu mereka meminta kesembuhan pada Dewa Lah Djehuty saat cahaya bulan sangat terang, sang dewa akan menurunkan berkah kepada mereka yang menyembahnya pada waktu itu. Mereka yang meminta kesembuhan juga akan sembuh tidak lama selepas mereka berdoa pada malam cahaya bulan menyinar terang.

"Selamat kembali ke tanah air cahaya malam kami Dewa Bulan, Lah Djehuty."

Tiba sahaja sang dewa malam di kuil kebanggaannya iaitu Kuil Khonsu, dia disambut penuh hormat oleh para pelayan kuil dan para pendeta yang masih menjalankan tugas di tempat itu. Malam masih terlalu awal untuk mereka tidur. Masih ada pekerjaan yang belum selesai lagi harus mereka siapkan.

Dewa Bulan, Lah Djehuty berjalan penuh dengan pesonanya malam itu hingga pelayan muda yang terdiri daripada kaum wanita terpesona dengan ketampanannya. Auranya begitu kuat menarik perhatian mereka hingga mata yang memandangnya tidak mahu melepaskan pandangan mereka. Dewa Lah Djehuty sempat melemparkan senyuman menggodanya kepada pelayan-pelayan muda di sana.

Dia tahu para pelayan muda terkagum-kagum melihat ketampanannya hingga ada yang terlepas tawanya kerana malu dengan senyuman itu. Ketua pelayan yang melihat ketidaksopanan para pelayan muda pun berdehem keras hingga mereka berhenti ketawa dan tidak membuat bising. Dewa Lah Djehuty kelucuan melihat perubahan spontan mereka yang menjadi serius saat ketua pelayan berdehem keras menghentikan perbuatan mereka yang memalukan.

Dia melanjutkan perjalanannya itu menuju ke ruang beradunya tanpa menghiraukan mata-mata nakal pelayan muda di sana. Dia tidak mahu mengusik dan menggoda mereka lagi kerana fikirannya pada saat itu sedang memikirkan harta karun yang dia jumpa di sebuah kerajaan kuno yang ditinggalkan. Kerajaan kuno yang terletak di sebuah pulau tidak bernama. Harta karun yang Dewa Bulan temukan itu begitu berharga hingga dia tidak sabar mahu pergi ke tempat penyimpanan harta.

_______

Dewa Bulan memandang dua bilah pedang berkembar berbentuk bulan sabit di dudukan pedang itu tanpa berkedip. Usai dia makan malam, dia tidak terus pergi berehat kerana dia masih teringat akan pedang unik yang dia jumpa di sebuah pulau tidak bernama. Tempat terakhir sang dewa menjelajah sebelum dia kembali ke padang gurun.

"Ini pertama kalinya saya melihat pedang yang mempunyai bentuk seperti bulan sabit. Penempa pedang ini mesti orang yang berpengalaman jauh dalam bidang penempaan..."

"......"

Dewa Lah Djehuty hanyut dalam lamunannya saat ketua pendeta itu sedang rancak berbicara dengannya. Ketua pendeta memuji-muji keindahan pedang berkembar tersebut. Pedang bulan sabit itu dipajang di ruangan senjata. Ianya terletak betul-betul di tengah ruangan tersebut yang kebetulan di atasnya terbuka luas tanpa ada bumbung. Cahaya bulan yang muncul pada malam itu menyinar di atas pedang tersebut menambahkan lagi keindahannya pada waktu malam.

"....sungguh rugi kalau dewa tidak menggunakannya."

Dewa Lah Djehuty menghembus nafasnya dan berkata,

"Aku tidak mahu menggantikan pedang kesayanganku dengan pedang itu."

Bukan itu sebenarnya yang dia mahu katakan kepada ketua pendeta.

<Pedang itu mencari tuannya...>

Dia menyambung kata-katanya di dalam hati. Dia masih ingat saat dia tiba di sebuah pulau tidak bernama, dia menemukan sebuah kerajaan kuno yang telah lama ditinggalkan. Di sebalik keindahan pulau tersebut, dia tidak menyangka akan melihat pemandangan yang begitu menakjubkan. Dia juga pernah berfikir, sungguh sayang kerajaan kuno itu tidak pernah ada lagi di zaman ini. Waktu hanya meninggalkan sisa-sisa reruntuhan yang sudah tidak berpenghuni.

Dewa Lah Djehuty menemukan pedang itu tersimpan di sebuah reruntuhan lama yang dia anggap bangunan itu adalah sebuah kuil suci. Dia mengambil kesimpulan itu kerana terdapat kesan peninggalan orang zaman dahulu yang melakukan beberapa ritual penyembahan di tempat tersebut dan melakukan upacara penting.

Lebih mengejutkan lagi, rupanya orang-orang yang pernah hidup di kerajaan kuno itu pernah menyembah sesusuk dewi yang dia pasti dewi itu bertanggungjawab melindungi tempat tersebut. Malangnya, dia bukanlah hidup di zaman kerajaan kuno ini masih ada. Dia berfikir kerajaan kuno itu sudah ada sejak dia belum dilahirkan lagi. Berapa lama? Dia pun tidak tahu. Dia masih dikategorikan golongan dewa yang masih muda. Dia hanyalah penerus Dewa Bulan, Khonsu. Dewa yang sangat dia idolakan itu hingga kuil kebanggaannya yang dia duduk sekarang merupakan nama yang diambil daripada Dewa Khonsu.

Sewaktu dia mahu mengambil pedang berkembar itu sebagai harta karunnya nanti setelah tiba di padang gurun, dia mendengar bisikan-bisikan aneh yang mengulang perkataan yang sama iaitu Maiden.

Dewa Lah Djehuty tidak faham akan maksud perkataan itu. Dia juga merasakan pedang itu seperti hidup. Saat tangannya bersentuhan dengan pedang itu, dia boleh rasakan bulu romanya meremang. Aura pada pedang itu membuat dirinya mengalami sakit kepala yang mencucuk-cucuk kulit kepalanya namun dia tahan sahaja rasa sakit itu. Dia menganggap pedang itu tidak mahu menerimanya lalu memberikan rasa yang sangat menyakitkan untuk menghentikan perbuatannya itu.

Dia sungguh bernasib baik, dia masih hidup hingga sekarang. Tidak ada apa-apa hal buruk yang terjadi selepas dia mengambil pedang bulan sabit itu di atas sebuah mazbah berbatu yang terletak di sebuah reruntuhan kuil kuno.

<Apa ertinya Maiden itu? Adakah pedang ini sedang memanggil nama tuannya?>

Bisik Dewa Lah Djehuty. Dia menghela nafas berat. Siapapun orang itu yang diseru oleh pedang tersebut, dia pasti orang itu sungguh penting di era kerajaan kuno itu masih ada...

_______________________________________

Thanks For Reading
Keep Voted + Comment

▪️Dewa Bulan, Lah Djehuty▪️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro