12
Cᴀᴛᴀᴛᴀɴ Sᴇᴏʀᴀɴɢ Tᴀʙɪʙ
_______________________________________
Hari ini aku bawa Gyzeem berjalan-jalan di Taman Oasis. Aku bawanya bersiar-siar atas alasan tugasku sebagai tabib yang harus merawat pesakitnya yang belum sembuh.
Gyzeem tidak ada masalah dengan saranku ini yang mengajaknya mengambil angin di taman itu. Dia kelihatan baik-baik sahaja dari pengamatanku. Tidak ada tanda-tanda dia sakit kepala atau terlalu lelah saat berjalan mengelilingi Taman Oasis.
Aku ada bertanya tentang memorinya namun masih tetap sama dia tidak mengingatinya. Tapi... dia ada katakan padaku, caraku ini mungkin sangat membantu untuk dia mengingat semula memorinya.
Dia berasa begitu santai saat berjalan-jalan di Taman Oasis hingga fikirannya tenang dan dada terasa lapang. Kalau boleh, dia mahu aku mengajaknya lagi berjalan-jalan di tempat lain bukan di Taman Oasis sahaja.
Ada bagusnya juga kalau dia dapat melihat dunia luar selain di taman ini. Kawasan yang sama sahaja dilihat tiap hari mungkin membuatnya bosan. Patutkah aku meminta saran daripada Yang Mulia, Raja Una?
Ditulis Pada ;
Bulan ke-2 musim Peret
(Bulan ke-6 : Pa-en-Mejer),
Hari ke-16,
Tahun 2350,
Raja Una-Khalfani,
Penguasa Empayar Padang Pasir Emas.
Gyzeem sudah tidur selepas minum ubat yang aku bawa dari Kota Memphis. Aku lega apabila Baniti sanggup meluangkan masanya yang sibuk itu membuatkan ubat yang aku pinta. Aku sebenarnya serba salah terhadap Baniti yang sesungguhnya tertekan dengan pekerjaannya ditambah lagi ada ramai pesakit yang mengalami gejala batuk-batuk yang tidak normal.
Mungkin aku harus menghantarkannya hadiah sebagai tanda terima kasihku padanya yang tidak sempat aku beri sewaktu mengambil ubat itu tiga hari yang lepas. Ubat herba yang aku beri pada Gyzeem itu bukanlah ubat yang mudah didapatkan kerana memerlukan bahan yang cukup langka dan mengambil masa 6 jam untuk membuat ubat itu.
Hari ini aku berasa sangat lega setelah Gyzeem menunjukkan tindak balas yang cukup baik. Sudah aku duga ubat herba itu memang mujarab!
Akar Emas merupakan suatu tumbuhan berbunga yang sungguh susah dicari bahkan dikatakan cukup langka. Aku cukup beruntung menjumpai tumbuhan itu di kawasan pemakaman Ibunda Ratu, Subira.
Aku... tidak seharusnya mengambil sesuatu di sana kerana sudah ditetapkan dari dahulu lagi tempat itu dilarang masuk. Raja Una sendiri yang tetapkan larangan itu. Sekarang... aku sudah melanggar aturan itu. Apa aku patut rahsiakan sahaja?
Tidak mungkin! Raja Una pasti tahu kerana baginda sudah semakin kerap datang ke sini. Yang Mulia juga sering meluangkan waktunya untuk melawat makam Ibunda Ratu, Subira. Aku yakin baginda pasti sedar akan kekurangan yang ada di kawasan pemakaman itu.
Ah, lebih baik aku berkata jujur sahaja! Jika aku sebut nama Gyzeem, baginda mungkin akan mengampuniku. Kalau aku memang harus dihukum kerana sudah melakukan pencurian di kawasan pemakaman itu, aku terima kerana memang sudah salahku sejak dari awal lagi.
Yang penting bagiku, aku menjalankan tugasku dengan baik sebagai seorang tabib. Tabib harus dahulukan nyawa pesakitnya. Itu adalah kod nombor satu kami sebagai seorang tabib. Tidak kira ianya berisiko melibatkan maruah dan nyawa kami, nyawa pesakit itu yang menjadi keutamaan.
Aku bangga dengan usahaku cuba merawat pesakitku, Gyzeem.
Ditulis pada ;
Bulan ke-3 musim Shemu,
(Bulan ke-12 : Apep),
Hari ke-12,
Tahun 2350,
Raja Una-Khalfani,
Penguasa Empayar Padang Pasir Emas.
Sudah hampir masuk ke tahun baru. Hari ini hari ketiga Hari Suci Para Dewa dan Dewi di empayar ini.
Ada satu hal yang masih aku runsing hingga sekarang. Aku tidak faham apa yang berlaku terhadap Gyzeem. Sepertinya... ingatan Gyzeem terlihat begitu pelik.
Sebelum aku datang bertemu Yang Mulia, Raja Una... aku mahu membuat catatan dahulu tentang kesihatan Gyzeem yang tidak begitu normal bagi aku mahu pun bagi seorang pesakit biasa.
Setelah pertemuan pertama Gyzeem dengan Dewi Cinta, aku masih tidak boleh lupakan kejadian itu. Apabila dia beritahu padaku tentang ubat yang diberi oleh Dewi Cinta itu beracun... aku tidak sangka ianya benar-benar beracun.
Aku pada mulanya memang meragukan Gyzeem yang mungkin pada pandanganku tidak menyukai Dewi Cinta. Siapa yang tidak mengenali dewi yang penuh rasa cinta pada pengikutnya. Dewi Cinta juga sudah banyak berjasa di padang gurun ini malah sangat rapat dengan Raja Una. Jika ada pengikutnya mendengar cerita ini, pasti mereka akan menuduh Gyzeem itu membenci Dewi Cinta!
Aku... salah sebenarnya yang mahu berprasangka buruk terhadap Gyzeem.
Aku ketepikan terlebih dahulu tentang hal yang tidak ada kaitannya dengan tugasku sebagai tabib.
Aku yang sudah lama berkhidmat sebagai tabib diraja langsung tidak merasakan apa-apa bahaya pun pada botol berisikan racun itu. Berkah yang aku dapat daripada Dewa Kesembuhan juga tidak cukup kuat mengesan keberadaan racun berbahaya.
Auranya juga tidak dapat aku rasakan. Baunya juga tidak ada yang mencurigakan. Mungkin... jika aku minum ubat yang dikatakan beracun oleh Gyzeem, rasanya sudah pasti rasa ubat herba yang biasa aku berikan pada pesakitku. Aku tahu dan aku kenal mana yang beracun dan boleh dimakan. Kali ini... satu racun aku terlepas pandang!
Kalau bukan disebabkan Gyzeem, aku tidak akan tahu itu adalah racun. Aku mungkin akan menjadi lebih rasa bersalah apabila Gyzeem minum racun itu tanpa aku tahu ianya memang racun.
Bagaimana racun itu dibuat?
Adakah sang dewi yang aku hormati selama ini... ah, tidak mungkin!
Aku tidak berani menuduh walaupun ada bukti kukuh dan aku saksinya. Miray Rutvi adalah dewi yang paling banyak pengikut di kawasan padang pasir emas dengan berkah cintanya itu. Siapa saja yang mahu percaya jika aku berkata benar di hadapan hakim dan Yang Mulia, Raja Una. Semua itu hanya membawa masalah besar kepada aku.
Aku mungkin perlukan bantuan Dewa Kesembuhan sekali lagi. Aku risau, kejadian seperti ini berulang lagi. Aku tidak mahu membiarkan pesakitku dalam bahaya.
Aku masih ingat, Gyzeem pernah katakan yang matanya itu dapat melihat air yang dulunya murni suci sudah dikotori. Dia maksudkan air itu adalah racun.
Di sini bahagian yang paling penting! Selesai sahaja aku buang racun itu, aku balik bertanya pada Gyzeem bagaimana dia boleh kesan aura racun itu tanpa aku sendiri dapat mengesannya.
Aku masih ingat butiran percakapannya dengan jelas dan aku senaraikannya di sini sebagai bukti tentang keadaan pesakitku :
'Di mana tetamu kita? Siapa lagi namanya... saya lupa.'
'Sejak bila? Ubat? Racun?'
'Saya yang cakap?'
'Bunga itu memang sudah lama layu. Kamu saja yang tidak perasan selama ini.'
Bayangkan betapa aku terkejut dan langsung aku tidak tahu hendak katakan apa lagi pada Gyzeem. Aneh!
Dia begitu cepat melupakan memorinya walaupun baru beberapa minit berlalu. Ianya seperti hanya aku sahaja yang ingat pada waktu itu dan Gyzeem... ingatannya lenyap begitu sahaja.
Aku ada cuba buat eksperimen terhadap Gyzeem selepas kejadian itu. Baru sehari lepas aku buat.
Kaedahnya ;
Jika aku cakap 'esok kita pergi ke Kota Emas jumpa Yang Mulia, Raja Una'. Ini apa yang aku cakap padanya.
Aku tunggu selama setengah jam dan tanya pada Gyzeem kembali. Aku tanya apa yang aku beritahu padanya.
Jawapannya,
'Saya tidak ingat...'
Aku langsung tidak dapat tidur hanya kerana masalah ini. Sebelum ini, Gyzeem tidak pernah menunjukkan gejala seperti itu melainkan sakit kepalanya. Apa aku ada terlepas pandang lagi? Di mana silap aku merawat dia?
Aku ada buat satu teori selepas membuat kesimpulan dari akar masalah ini tapi aku belum cukup pasti. Mungkin ya. Mungkin tidak. Aku hanya dapat fikir setakat satu sahaja jawapannya yang paling sesuai untuk sakit yang dialami Gyzeem.
Adakah ini dipanggil penyakit... Memori Jangka Pendek?
Lebih mudah untuk difahami ;
pesakit akan lebih mudah lupa apa yang didengari, dilihat atau lupa apa yang sedang dilakukannya beberapa waktu yang lalu.
Ditulis Pada ;
Hari Mesut-Necerhu,
(Hari Suci Dewa & Dewi : Heru-Renpet),
Hari ke-3,
Tahun 2350,
Raja Una-Khalfani,
Penguasa Empayar Padang Pasir Emas.
_______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro