Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

09

Kᴇᴍᴜɴᴄᴜʟᴀɴ Dᴇᴡɪ Cɪɴᴛᴀ ᴅɪ Tᴀᴍᴀɴ Oᴀsɪs

_______________________________________

Setelah begitu lama menahan hati, Dewi Cinta, Miray Rutvi akhirnya memutuskan untuk datang sendiri ke Taman Oasis bersemuka secara terang-terangan dengan Gyzeem Ezlyn, saingan cintanya itu.

Dia sudah tidak tahan. Hatinya begitu gundah apabila Raja Una makin kerap bertemu dengan Gyzeem berbanding dirinya. Dia mahukan perhatian itu daripada Raja Una!

Pesaingnya bernama Gyzeem Ezlyn itu harus disingkirkan dengan kadar segera. Dia tidak mahu kalah oleh wanita itu. Dia itu Dewi Cinta. Dewi Cinta seharusnya tidak boleh kalah dengan manusia fana sepertinya.

Kedatangannya ke Taman Oasis itu langsung tidak diketahui oleh Raja Una mahu pun Penasihat Raja I. Sebelum ini, jika dia datang ke padang gurun kekuasaan Raja Una, Dewi Miray akan datang ke Kota Emas terlebih dahulu untuk bertemu buah hatinya. Memastikan kedatangan Dewi Cinta ke tempat itu diketahui oleh sang penguasa padang pasir emas.

Kali ini, Dewi Miray langsung ke Taman Oasis tanpa terus ke Kota Emas mahu pun menghantar pesan kepada Raja Una akan kedatangannya di padang gurun itu.

Setibanya dia di Taman Oasis, Dewi Miray lihat tidak ada perubahan pun sejak kali terakhir dia datang ke tempat itu. Dahulu, setiap kali Dewi Cinta datang melawat Ibunda Ratu, Subira, ibunda Raja Una akan menyambutnya dengan penuh rasa gembira di wajahnya. Hubungannya dengan Ibunda Ratu, Subira dikatakan rapat dan ibunda Raja Una sangat menyukainya hingga mahu mengahwinkan anaknya itu kepada Dewi Cinta. Ibunda Ratu, Subira memang sudah lama tahu bahawa Dewi Cinta menaruh perasaan cinta terhadap Raja Una dan sering mengusiknya apabila perbualan mereka itu berkaitan dengan Raja Una.

Namun, semua itu hanya tinggal kenangan. Ibunda Ratu, Subira sudah lama pergi dan tidak berkesempatan melihat kejayaan Raja Una yang sudah menaiki takhtanya menggantikan kakandanya, Raja Asesa.

Hatinya sakit apabila mendapat tahu Raja Una memberikan tempat itu kepada Gyzeem setelah begitu lama Taman Oasis itu tidak bertuan. Dahulu, masih segar di ingatannya, Ibunda Ratu, Subira ingin memberikan tempat itu kepada Dewi Cinta jika suatu saat nanti maut menjemputnya. Pada akhirnya, Ibunda Ratu, Subira tewas di tangan raja tirani akibat diracun.

Tinggallah taman yang indah itu tidak bertuan dan Dewi Cinta tidak berniat mahu menuntut Taman Oasis. Dia tidak mahu menyinggung perasaan Raja Una yang pada waktu itu tengah berduka setelah kehilangan ibunda yang tercinta.

"Kita sudah tiba di Taman Oasis. Mahu saya hantarkan dewi ke sana?"

"Tidak usah. Kamu tunggu di sini bersama pengawal yang lain. Biar saya saja yang pergi."

"Baik, dewi."

_______

Tok! Tok! Tok! Tok!

"Masuk!"

Suara yang kedengaran lantang itu menyuruh orang yang mengetuk pintu tersebut masuk. Pintu terbuka dan kelihatan penyambut tetamu yang bertugas pada waktu itu masuk.

Jnari yang baru selesai melakukan sesi terapi terhadap Gyzeem lantas bercakap ke arah penjaga pintu itu.

"Ada apa?"

"Ada tetamu terhormat datang ke tempat ini mahu bertemu dengan cik Gyzeem."

"Siapa? Yang Mulia, Raja Una?"

"Bukan. Ianya Dewi Cinta, Miray Rutvi. Dewi sedang menunggu di ruang tamu."

Jnari agak terkejut apabila mendengar berita itu. Tiba-tiba sahaja mereka didatangi seorang dewi yang sangat dihormati di padang pasir tersebut. Siapa saja yang tidak mengenal Dewi Cinta yang merupakan salah satu kenalan rapat Raja Una yang sudah banyak memberi jasa kepada kejayaan Raja Una di masa lalu.

"Beritahu pelayan yang bertugas hari ini sediakan hidangan kepada Dewi Cinta. Kejap lagi saya akan menyusul. Beritahu padanya, Gyzeem perlukan waktu untuk bersiap kerana dia baru selesai sesi terapi." ujar Jnari kepada penyambut tetamu itu.

"Baik, tabib." sesudah mendengar arahan tabib diraja itu, penyambut tetamu itu pun lantas pergi.

Jnari pula terus mengemas ubat-ubatannya yang dibawa ke ruang beradu Gyzeem. Tangannya pantas menyusun barang-barang yang dibawanya itu sambil berkata kepada Gyzeem.

"Kamu pergi bersiap sekarang. Kita didatangi oleh tetamu terhormat. Biar saya saja dulu bertemu dengannya." kata Jnari.

Gyzeem yang sedang meregang-regangkan tubuhnya mula bertanya pada Jnari tentang tetamu terhormat itu.

"Siapa tetamu terhormat kita itu? Tadi saya ada dengar namanya disebut. Kalau tidak salah dengar... Dewi Miray? Betul tidak?"

"Iya. Dewi yang tinggal di tanah kekuasaan Dewi Hutan. Namanya Miray Rutvi dan digelar sebagai Dewi Cinta. Tidak sangka dia datang ke sini.  Dia itu sebenarnya kenalan lama Raja Una dan dia juga banyak berjasa kepada empayar ini sewaktu menggulingkan raja tirani dahulu. Kalau bukan disebabkan bantuannya, hingga sekarang mungkin padang gurun ini masih dibawah kekuasaan raja tirani. Cukup bertanya itu dan ini. Saya harus segera ke sana. Kamu pergilah bersiap terlebih dahulu sebelum bertemu dengannya." Jnari pun langsung bangkit dan keluar dari ruang beradu itu meninggalkan Gyzeem di sana.

Gyzeem menghembus nafasnya. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini semakin ramai pula mahu bertemu dengannya. Kali ini, seorang dewi pula yang datang bertamu. Entah apa yang ingin dibicarakan oleh dewi tersebut terhadap dirinya.

_______________________________________

Thanks For Reading
Keep Voted + Comment

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro