Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

08

Mᴀʟᴀᴍ Gᴏᴅʜᴜᴍᴀ

_______________________________________

Rumah Heimat Kurencia merupakan sebuah tempat perkumpulan para dewa dan dewi yang menetap di Empayar Hutan Hujan Vanubha untuk merayakan sesuatu festival di tempat itu.

Tidak lama lagi Festival Godhuma akan berlangsung dan ianya pada esok hari. Festival Godhuma merupakan pesta menuai gandum. Seluruh rakyat di empayar ini sudah tidak sabar mahu menyambut pesta tersebut dan meminta berkah daripada Dewa Kesuburan.

Sewaktu festival sedang berlangsung, Dewa Kesuburan memainkan peranan untuk memberikan berkah kepada petani-petani yang sudah bertungkus-lumus bekerja di bawah teriknya panas matahari.

Tidak hanya Dewa Kesuburan sahaja yang berperanan dalam memberikan mereka berkah pada hari festival tersebut. Dewi Hutan juga turut memberikan mereka berkahnya atas kesungguhan dan kesabaran para petani yang bekerja keras menanam gandum sehingga tibanya musim menuai.

Dewi Hutan dan Dewa Kesuburan memberikan berkah tanah yang menjadi tempat bercucuk tanam para petani di seluruh empayar tersebut. Melalui berkah itu, tanah tempat mereka bercucuk tanam akan sentiasa memberikan tanaman yang baik dan berkualiti tinggi. Berkah yang mereka dapat melalui Dewi Hutan dan Dewa Kesuburan sangat menguntungkan penduduk yang tinggal di hutan hujan tersebut. Mereka tidak kekurangan makanan kerana sudah diberkahi oleh kekuatan Dewi Hutan dan Dewa Kesuburan.

Malam Godhuma merupakan malam persediaan bagi para petani untuk menyambut Festival Godhuma pada esok hari. Para petani yang menanam gandum akan memberikan persembahan makanan kepada Dewi Hutan dan Dewa Kesuburan di Kuil Suramandira. Mereka menghantar persembahan makanan itu pada waktu petang sebelum waktu malam. Waktu malam merupakan waktu para dewa dan dewi berkumpul di Rumah Heimat Kurencia.

Makanan persembahan itulah yang akan dibawa ke tempat perkumpulan tersebut untuk dijamu bersama teman-teman Dewi Hutan dan Dewa Kesuburan. Malam Godhuma adalah malam para dewa dan dewi berpesta-pora.

"Terima kasih teman-teman sekalian kerana sudi hadir ke perjamuan malam ini. Saya sebagai pemerintah empayar ini dengan rasminya memberkati malam ini yang penuh dengan rasa syukur para petani di seluruh empayar agar pada hari-hari akan datang, hasil tanaman mereka tumbuh dengan subur dan lebih baik lagi."

Dewi Hollis pun mengangkat cawan tinggi-tinggi dan bercakap dengan lebih lantang.

"Demi kesuburan tanah yang berpanjangan!"

Demi kesuburan tanah yang berpanjangan!

Para tetamu yang hadir ikut melaungkan kata-kata tersebut. Dewi Hollis tersenyum gembira lalu memandang ke arah Dewa Kesuburan. Dewa Kesuburan juga turut terhibur pada malam itu. Dia juga mengangkat cawannya dan bersulang bagi menghormati penguasa hutan hujan tersebut.

"Sila menjamu selera teman-teman sekalian."

Tetamu yang hadir di perjamuan Malam Godhuma itu pun tidak menunggu lama. Makanan dan minuman yang sudah terhidang di atas meja mereka jamah dengan penuh selera.

"Jangan minum terlalu banyak Dewi Hollis, nanti kamu akan mabuk pada hari esok."

Dewi Hollis pandang ke arah Dewa Kesuburan yang menggelar dirinya Cere Demeter. Dia tergelak kecil apabila ditegur oleh Dewa Cere. Dia pun langsung membalas semula kata-katanya.

"Kamu juga jangan terlalu banyak minum wahai Dewa Kesuburan. Tahan hati kamu terlebih dahulu. Sejak dari tadi lagi kamu lihat ke arah wain terbaik tahun ini."

Dewa Cere tergelak. Dia tidak menyangka bahawa Dewi Hutan itu perasan bahawa sejak dari tadi lagi dia sedang melihat ke arah meja yang penuh dengan wain tersebut.

"Kalau bukan disebabkan esok adalah hari penting kita berdua, sudah pasti saya akan menghabiskan seluruh wain itu malam ini." ujar Dewa Cere.

"Tahan hati kamu dahulu. Sabar. Usah risau. Saya sudah simpan selebihnya untuk kamu sebelum semua persembahan itu dibawa ke tempat ini. Besok, kamu datang ke sini semula dan jumpa Sarai. Saya sudah beritahu padanya bahawa wain-wain yang saya simpan itu adalah wain Dewa Kesuburan." kata Dewi Hollis.

"Sungguh baik pemerintah empayar ini ya. Siap simpan untuk saya lagi wain-wain itu. Terima kasih. Saya bersyukur dapat teman yang baik seperti kamu Dewi Hollis. Semoga umur pemerintah Empayar Hutan Hujan Vanubha berpanjangan." kata Dewa Cere dengan diselitkan sebuah doa kepada Dewi Hollis.

Dewi Hollis tersenyum-senyum mendengar doa itu. Dia pun tidak lagi melanjutkan bicaranya dengan Dewa Cere apabila dewa itu dipanggil oleh temannya yang lain untuk menjamu selera bersama mereka.

"Semoga tanah di empayar ini sentiasa subur dan diberkahi hasil panen yang banyak. Dewi Hollis, marilah makan bersama kami. Saya sejak dari tadi menunggu kamu selesai bicara bersama dengan Dewa Cere."

Dewi Hollis tersenyum lebar apabila teman baiknya datang menegur. Dia juga sejak dari tadi mencari-cari temannya.

"Dewi Bunga, Calla Ijana. Gembira bertemu dengan kamu malam ini. Kamu semakin cantik sejak pulang dari pertapaan ya." Dewi Hollis memuji Dewi Calla yang pada masa itu kelihatan berseri-seri.

"Hahaha. Penguasa hutan hujan ini ada-ada saja. Kecantikan saya ini biasa-biasa saja. Tidak ada yang berbeza pun selepas pulang dari pertapaan. Saya tidak setanding dengan kecantikan yang Dewi Cinta dan Dewi Hutan miliki. Kecantikan kamu berdua selalu menjadi idola saya. Saya tidak akan dapat menandingi kecantikan kamu." kata Dewi Calla. Dia merendah diri.

Dia sudah tersipu-sipu malu apabila dipuji oleh Dewi Hutan. Dia boleh rasakan pipinya merona merah pada masa itu.

"Ah, kamu ini! Kamu juga adalah dewi tercantik di empayar ini. Semua teman-teman di sini akan setuju pada saya kalau saya mengatakan kamu itu cantik jelita seindah bunga yang bermekaran." kata Dewi Hollis. Pujiannya itu tidak berhenti malah membuat Dewi Bunga itu bertambah malu.

"Usah memuji saya berlebih-lebihan. Saya boleh rasa pipi saya semerah buah epal yang sudah masak ranum. Hentikannya." Dewi Calla menutup wajahnya yang sudah merah habis.

Dewi Hollis tertawa lucu apabila melihat Dewi Calla begitu malu. Baru puji sedikit sudah merah pipinya. Dia pun lantas memeluk temannya itu dan meminta maaf padanya.

"Maaf ya. Bukannya selalu dapat buat teman saya malu begini. Kamu itu memang sensitif sangat. Puji sedikit sudah merah pipi itu. Ayuh, kita jamu selera. Di mana Dewi Miray? Kamu kata mahu ajak saya makan bersama dengan kamu berdua." kata Dewi Hollis sambil matanya tercari-cari Dewi Cinta itu. Salah satu teman baiknya selain Dewi Bunga.

"Dia ada di taman. Saya sudah menyuruh pelayan membawa makanan ke tempat itu. Marilah ke sana. Sudah pasti Dewi Miray sedang menunggu kita. Jangan buatnya merajuk pada kita." kata Dewi Calla dengan mengajak Dewi Hollis ke kawasan taman.

"Oh, kalau begitu kita gerak ke taman sekarang."

Dewi Bunga dan Dewi Hutan pun menuju ke kawasan taman di mana Dewi Cinta sedang menunggu.

_______

"Dewi Miray?"

Dewi Hollis sejak dari tadi lagi perasan Dewi Cinta terlalu banyak mendiamkan diri. Dia akan menjawab apabila soalannya begitu penting sahaja dan sesudah itu dia terus mendiamkan diri. Dewi Cinta kelihatan tidak bersemangat pada malam itu.

Hal tersebut membuatkan Dewi Hutan hairan dengan sikap yang ditunjukkan oleh Dewi Cinta. Selalunya jika mereka berkumpul bersama-sama, Dewi Cinta yang sering terlebih dahulu membuka cerita.

Tapi... malam ini kelihatan berbeza. Dewi Cinta, Miray Rutvi kebanyakan melamun. Makanan yang ada di atas meja tidak dijamah sedikit pun. Air wain juga langsung tidak dicicip sedikit.

Dewi Bunga yang melihat situasi itu pun terus menyiku Dewi Cinta hingga membuatkan dewi itu kembali ke alam realiti. Dia toleh ke arah Dewi Bunga dan terlihat Dewi Bunga sedang memuncungkan mulutnya ke arah Dewi Hutan.

Sedar dirinya telah membuatkan Dewi Hutan terpanggil-panggil dirinya itu pun meminta maaf.

"Maaf, saya melamun sekejap. Saya tidak dengar kamu panggil nama saya tadi."

"Melamun sekejap hingga kami berdua sudah hampir selesai makan? Apa kamu baik-baik sahaja Dewi Miray? Mengapa kamu kelihatan tidak begitu bersemangat malam ini? Ada sesuatu mengganggu fikiran kamu?" soal Dewi Hollis.

Dewi Miray terdiam. Dia tidak membalas malah larut dalam fikirannya kembali. Dewi Hollis pandang ke arah Dewi Calla meminta bantuannya pula. Dia tahu Dewi Calla sangat rapat dengan Dewi Miray bagaikan adik-beradik kandung. Dia yakin, pujukan Dewi Calla mungkin dapat menarik perhatian Dewi Miray kembali.

Dewi Calla yang tidak mahu Dewi Hutan tersinggung dengan perbuatan kurang sopan yang ditunjukkan oleh Dewi Miray pun cepat-cepat memujuknya.

"Dewi Miray... cuba tenangkan fikiran dulu dan jamah makanan yang terhidang di hadapan kamu. Senyumlah sikit. Janganlah tunjuk muka macam tu. Senyum. Se-!"

"Maaf, saya mahu ambil angin segar dahulu. Kepala saya pening. Saya pergi dulu."

Tiba-tiba sahaja Dewi Miray meminta diri untuk mengambil angin segar. Dewi Calla yang mahu memujuknya itu tersentak apabila Dewi Miray memotong percakapannya. Dia pandang ke arah Dewi Miray yang sudah pun berlalu pergi.

"Sungguh menghairankan. Jarang sekali saya melihat dia begitu tidak bersemangat seperti malam ini." kata Dewi Hollis yang masih hairan dengan perilaku Dewi Miray itu.

Dewi Calla mengalihkan pandangannya ke arah Dewi Hollis. Dia pun membuka cerita yang tidak diketahui oleh Dewi Hutan itu.

"Dewi Hollis pasti belum tahu tentang cerita yang sedang hangat di kawasan padang pasir emas kekuasaan Yang Mulia, Raja Una."

Dewi Hollis mengerutkan dahi. Dia tidak faham. Apa kaitannya cerita hangat itu dengan Dewi Cinta? Dia pun bertanya.

"Apa kaitannya cerita itu dengan Dewi Miray?"

Dewi Calla pun menceritakan hal sebenar kepada Dewi Hollis tentang wanita misteri yang diselamatkan oleh Raja Una. Dia tahu kisah itu daripada Penasihat Raja II. Katanya, penguasa padang pasir itu sepertinya punya perasaan terhadap wanita tersebut hingga sanggup memberikannya tempat tinggal di Taman Oasis, tempat peristirahatan Ibunda Ratu, Subira. Terkadang, dia terlihat Raja Una membawa wanita itu berjalan-jalan di Kota Memphis dan membelikan wanita itu pakaian yang mahal lagi indah.

Setelah mengetahui kisah itu, barulah Dewi Hutan faham akan kaitannya dengan Dewi Cinta. Dalam batinnya dia berkata,

Aku harap... dia tidak melakukan hal-hal bodoh yang memalukan dirinya sendiri.

_______________________________________

Thanks For Reading
Keep Voted + Comment

▪️Dewi Bunga, Calla Ijana▪️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro