Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

04

Bᴇʀᴀɴɪ Mᴇɴɢᴀɴɢᴋᴀᴛ Sᴜᴍᴘᴀʜ

_______________________________________

"...sampaikan pesan ini kepada Asnofre."

Itulah pesan sang raja penguasa padang pasir kepada Kanebti. Sungguh dia tidak menyangka baginda akan bermalam sehari dua di Taman Oasis hanya kerana mahu menunggu Gyzeem bangun yang entah bila wanita itu akan sedar.

Tiba sahaja di laman utama istana raja yang dihiasi dengan patung kemegahan baginda dan leluhurnya, Kanebti akhirnya menjumpai Asnofre. Penasihat Raja I itu kelihatan sedang berbicara dengan serius ke arah Adofo iaitu Ketua Tentera Darat yang bertanggungjawab menjaga keamanan wilayah pemerintahan Raja Una pada masa kini. Kanebti tidak terus mengganggu perbincangan mereka yang serius itu. Dia menanti dengan sabar sehingga mereka berdua selesai berbincang.

"...pastikan ketua pemberontak itu ditangkap hidup-hidup. Saya tidak mahu Yang Mulia, Raja Una murka lagi setelah mendapat berita tentang kegagalan misi kalian di Desa Yamun tempoh hari. Ramai penduduk yang tinggal di sana menjadi korban pemberontakan disebabkan kecuaian kalian. Yang Mulia sangat percayakan kamu, Adofo. Jangan buat Yang Mulia hilang kepercayaannya terhadap kamu." Kanebti yang mencuri dengar perbualan mereka dapat dengar dengan jelas nada intonasi Asnofre berbicara terhadap Adofo.

Jika berkaitan dengan keamanan empayar ini, Asnofre memang akan bertegas terhadap semua tentera tidak kira yang berada di bawah atau berada di tingkat paling atas dalam organisasi kententeraan. Asnofre lebih mementingkan kekuatan dan kedisiplinan ketenteraan yang menjadi tulang belakang empayar.

"Baiklah. Demi keamanan Empayar Padang Pasir Emas, yang dibawah pemerintahan Yang Mulia, Raja Una, saya selaku Ketua Tentera Darat bersumpah tidak akan melakukan kesalahan lagi. Saya terima segala hukuman berat daripada Yang Mulia jika saya gagal memberikan berita baik kepada Yang Mulia sekali lagi."

Adofo mengangkat sumpahnya di hadapan Asnofre dan melalui sumpahnya itu Asnofre tahu bahawa jika Adofo gagal melaksanakan tugasnya, Raja Una berhak memberikan hukuman setimpal kepadanya untuk diberi pengajaran kepada seluruh tentera yang lain bahawa baginda tidak akan bermain-main dengan sumpah yang sudah dilafazkan oleh seseorang.

"Kamu begitu berani mengangkat sumpah, Adofo. Hmm. Baiklah. Saya akan sampaikan kata-kata kamu kepada Yang Mulia setelah dia kembali ke singgahsana. Lakukan yang terbaik kalau tidak mahu termakan dengan sumpah yang telah kamu katakan itu tadi. Saya sejujurnya tidak mahu kehilangan orang seperti kamu. Yang Mulia sangat percaya terhadap kamu begitu juga saya dan Penasihat Raja II. Sudahlah. Saya tidak mahu membawa tekanan berat kepada kamu lagi. Pulanglah dan beristirahat. Tenangkan fikiran kamu dahulu agar kamu dapat buat strategi yang lebih baik untuk usir para pemberontak di tanah kekuasaan Yang Mulia."

Setelah bicara empat mata itu berakhir, Kanebti perhatikan Adofo yang sudah pun beredar dari tempat itu. Dia juga tidak sangka kata-kata itu akan keluar daripada mulut Adofo sendiri. Dia begitu yakin saat mengangkat sumpahnya di hadapan Asnofre.

"Sungguh orang yang berani mengambil risiko..."

Asnofre yang melihat pemergian Adofo itu terus menoleh ke arah Kanebti. Dia langsung tidak sedar akan kehadiran lelaki itu di sana dan dia berfikir mungkin lelaki itu sudah dengar perbualannya bersama dengan Adofo.

"Maaf. Saya begitu kurang sopan mendengar perbicaraan kalian tadi."

Asnofre yang dengar permintaan maafnya itu hanya melemparkan senyuman tawar. Kanebti berfikir mungkin dia masih terkejut dengan sumpah Adofo sebentar tadi. Siapa juga tidak terkejut apabila Adofo mengangkat sumpah begitu. Adofo merupakan orang yang diberi kepercayaan penuh oleh raja selain Bomani yang bertanggungjawab menjaga keamanan di kawasan perairan di empayar itu.

"Tuan masih memikirkan tentang sumpah Adofo itu?"

"Iya."

Suasana sepi seketika. Keadaan itu menjadi terasa canggung.

"Maaf, kalau kedatangan saya ini tidak kena pada waktunya. Saya datang kerana ingin menyampaikan pesan Yang Mulia. Itu sahaja."

Akhirnya, pengawal peribadi Raja Una pun membuka bicara dengan mengubah topik perbualan. Dia datang ke sana pun ingin bertemu dengan Asnofre, Penasihat Raja I.

"Oh, ehem. Sila teruskan." Asnofre pun memberikan sepenuh perhatiannya kepada Kanebti yang berperanan menyampaikan pesan raja.

"Yang Mulia berpesan tolong ambil alih terlebih dahulu segala tugasnya sementara baginda tidak ada di istana. Baginda mahu berehat dan bermalam sehari dua di Taman Oasis. Jika ada perkara mustahak yang memerlukan kehadiran baginda di sini, sila hantarkan pesanan itu kepada Yang Mulia dengan segera."

Apabila pengawal peribadi Raja Una mengatakan hal itu kepada Asnofre, dia mulai berasa hairan. Tidak ada angin dan tidak ada ribut tiba-tiba sahaja Raja Una ingin bermalam di Taman Oasis, tempat Ibunda Ratu, Subira beristirahat. Sudah lama sejak kali terakhir Raja Una pergi ke tempat itu. Apakah mungkin...

"Tidak sangka Yang Mulia akan bermalam di sana. Adakah baginda bermalam kerana mahu mengubat rasa rindu terhadap Ibunda Ratu, Subira yang sudah lama meninggalkan kita? Atau... adakah disebabkan wanita itu... siapa namanya?"

Asnofre tidak begitu ingat nama wanita itu yang diselamatkan oleh Raja Una sebulan yang lalu. Dia cuba beranggapan hanya dua fakta ini sahajalah yang menjadi penyebab mengapa raja mereka itu pergi ke Taman Oasis. Semua orang di istana ini sudah tahu kisah sang raja menyelamatkan seorang wanita yang hampir mati di padang pasir.

"Gyzeem, Tuan. Namanya, Gyzeem Ezlyn. Dua-duanya benar, Tuan Asnofre. Yang Mulia ingin melihat tempat pemakaman Ibunda Ratu, Subira setelah sekian lama tidak datang ke Taman Oasis. Pada masa yang sama juga... baginda ingin melawat wanita itu mahu bertanya khabar tentang kesihatannya. Kebetulan, wanita itu masih belum sedarkan diri setelah dijumpai pengsan di bilik beradu ibunda Yang Mulia. Baginda mahu menunggu wanita itu sedar terlebih dahulu sebelum kembali ke Kota Emas." kata Kanebti dengan panjang lebar.

Asnofre mengangguk. Pandangannya dialihkan ke arah air pancut yang berada di tengah-tengah laman istana. Dia mengangkat tangan kanan dan menggosok hidungnya sambil berfikir buat beberapa detik. Tidak lama kemudian, dia tersenyum. Senyuman itu Kanebti tidak lihat kerana pandangan matanya terarah kepada pelayan diraja yang sedang melalui laman istana itu sambil membawa kain putih yang sudah dilipat kemas.

"Terus... apa yang tabib diraja kita katakan tentang wanita itu? Bila dia akan sedarkan diri?" soal Asnofre.

"Tabib juga tidak pasti bila wanita itu akan sedarkan diri. Katanya, dia beranggapan wanita itu pengsan disebabkan terlalu memaksakan diri mengingat kembali memorinya yang hilang itu." balas Kanebti dengan jujur tentang keadaan wanita itu dan jawapan yang diberikan oleh Jnari selaku tabib diraja.

"Baiklah. Pesan baginda saya akan laksanakan. Sampaikan salam saya pada wanita itu jika dia sudah sedar. Mungkin saya juga patut datang melawat ke Taman Oasis. Sudah lama juga sejak kali terakhir saya datang ke tempat itu. Kamu boleh pergi sekarang. Saya ada hal penting hendak diuruskan lagi." kata Asnofre. Kanebti angguk lalu meminta diri.

"Baik, Tuan Asnofre. Salam Tuan saya akan sampaikan nanti." sesudah berkata demikian, Kanebti pun beredar dan meninggalkan Asnofre sendirian di tempat itu.

Apa agaknya reaksi Dewi Miray bila mendapat tahu Yang Mulia menjumpai wanita itu?

Asnofre berkata-kata di dalam hatinya. Dia terlupa tentang kedatangan Dewi Miray di Kota Emas pada hari ini, yang dikenali sebagai Dewi Cinta...

_______________________________________

Thanks For Reading
Keep Voted + Comment

▪️Asnofre▪️

▪️Adofo▪️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro