03
Bɪʀᴜ Lᴀᴜᴛ
_______________________________________
"Beri laluan kepada Yang Mulia, Raja Una!"
Semua orang yang berada di Taman Oasis terus sahaja memberikan ruang kepada Raja Una apabila terdengar suara lantang Kanebti. Apabila penguasa padang pasir itu tiba, mereka segera berlutut memberikan tanda hormat kepada raja mereka.
Raja Una melalui jalan itu dengan tenang. Dia yang sudah lama tidak datang ke Taman Oasis itu mulai timbul rasa kerinduan terhadap sesusuk tubuh yang bergelar seorang ibu bagi dirinya. Orang itu adalah Ibunda Ratu, Subira.
Matanya tidak lekang melihat kawasan taman itu. Tidak ada yang berubah. Tetap sama sejak kali terakhir dia datang ke tempat itu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Ibunda Ratu, Subira. Setelah kemangkatan ibunda Raja Una, baginda sudah tidak pernah lagi menginjakkan kaki ke tempat itu.
"Tetap sama seperti dahulu. Mereka yang bekerja di sini harus diberi penghargaan kerana sudah menjaga tempat ini dengan baik walau beta tidak pernah sekali pun datang menjenguk ke tempat ini setelah kemangkatan ibunda. Ingatkan beta tentang hal ini, Kanebti." kata Raja Una kepada Kanebti.
Kanebti akur akan pesanan Raja Una. Dia pun membalas kata-kata baginda.
"Bagaimana mereka yang sudah tiada? Adakah kita patut memberikan hadiah penghargaan kepada keturunan mereka yang pernah bekerja di tempat ini? Pada pandangan saya, mereka juga harus diberi penghargaan terutama orang-orang yang pernah bekerja di bawah pemerintahan ibunda Yang Mulia." ujar Kanebti sambil memberikan pandangan kepada Raja Una.
"Pandangan yang bagus. Beta tidak terfikirkannya. Ingatkan beta juga tentang hal ini." kata Raja Una.
"Baik, Yang Mulia." balas Kanebti.
Apabila mereka sudah tiba di lorong masuk menuju ke arah bangunan utama, tiba-tiba sahaja Raja Una dan Kanebti terlihat Jnari datang menemukan mereka yang baru tiba ke tempat itu. Dengan segala hormatnya, Jnari segera berhenti dan terus berlutut di hadapan Raja Una.
Raja Una yang melihat kedatangan Jnari yang menjemput mereka di tempat itu pun segera menyuruh Jnari bangkit.
"Sila bangkit, Jnari."
"Baik, Yang Mulia."
Jnari pun segera bangkit apabila Raja Una menyuruhnya berbuat demikian.
"Maaf kerana kedatangan beta ini sangat mendadak tanpa pengetahuan kalian di sini. Hari ini beta tidak sesibuk seperti hari-hari lainnya. Beta mahu luangkan masa untuk datang ke tempat ini lagi setelah sekian lama tidak berpijak di tanah peristirahatan ibunda." kata Raja Una kepada Jnari.
Baginda melanjutkan perjalanannya menuju ke bangunan utama di Taman Oasis itu. Kedatangannya ke tempat itu bukan setakat mahu kembali berpijak ke tanah peristirahatan Ibunda Ratu, Subira tetapi baginda juga mahu melawat Gyzeem yang sudah lama tidak dia jumpai. Niatnya mahu bertanya khabar.
"Tidak mengapa Yang Mulia. Saya yang sepatutnya memohon maaf sebab tidak menjemput tuanku dengan cara yang lebih baik." kata Jnari.
"Usah risau tentang hal itu. Boleh beta tahu, apa yang dilakukan oleh wanita itu sekarang? Adakah dia baik-baik sahaja?" apabila soalan itu dilontarkan kepada Jnari, tabib itu pun mulai menceritakan hal sebenar kepada Raja Una.
"Jikalau tuanku mahu berjumpa dengan Gyzeem, dia...belum sedar sejak dia pengsan dua hari yang lalu selepas Kanebti pulang ke istana setelah membawa hadiah pemberian Yang Mulia kepada Gyzeem. Saya sudah periksa keadaannya. Saya dapat rasakan yang Gyzeem mungkin sedang mengalami sakit kepala yang teruk hingga membuatkan dia pengsan. Yang Mulia juga sudah jelas, memori Gyzeem masih belum pulih sepenuhnya. Saya beranggapan mungkin dia memaksa dirinya untuk ingat semua memori yang telah hilang itu. Saya sudah mengingatkannya sebelum ini, jangan terlalu memaksakan diri." kata Jnari dengan panjang lebar. Namun apa yang dibalas oleh Raja Una mengejutkan Jnari.
"Gy...zeem? Itukah nama wanita itu yang beta pernah selamatkan sebulan yang lalu?"
"Iya, Yang Mulia. Kanebti tidak pernah beritahu nama sebenar wanita itu?"
Jnari pandang ke arah Kanebti yang kelihatan tersengih di sebelah Raja Una.
"Maaf, Yang Mulia, Raja Una. Yang Mulia tidak pernah bertanya pada saya nama sebenar wanita itu jadi... saya cuma mampu berdiam diri selagi Yang Mulia tidak bertanya."
Raja Una diam. Baginda tidak menyalahkan Kanebti tetapi dirinya sendiri. Kanebti yang sentiasa memberikan laporan tentang khabar Gyzeem setiap kali baginda bertanya tentang keadaannya tidak pernah sekali pun bertanya nama wanita itu. Apabila tabib yang bertanggungjawab merawat Gyzeem menyebut namanya, barulah dia ingat dan perasan bahawa selama dia mendapat laporan daripada Kanebti, dia tidak pernah bertanya nama wanita itu. Memang wajarlah Kanebti tidak membuka mulut tentang nama sebenar Gyzeem.
"Tidak mengapa. Beta yang tidak bertanya, wajarlah kamu diam. Jnari, bawa beta ke tempat wanita itu. Beta mahu melawat." kata Raja Una.
"Baik, Yang Mulia." balas Jnari.
_______
Apa ini?
Mengapa aku rasa panas.
Panas. Sangat panas.
"Api! Api! Tolong."
Mengapa pandangan mata aku sangat kabur? Tubuh aku... rasa sakit. Aku tidak dapat bergerak tapi tangan kananku merasakan aku memegang sesuatu. Ianya lembut dan dingin.
Apa yang aku pegang? Aku mahu lihat.
"Di sini! Di sini! Cepat angkat dia keluar dari kawasan kebakaran."
Tiba-tiba aku rasa tubuhku diangkat seseorang. Siapa yang angkat aku?
"Si-Siapa?"
suaraku ketika bercakap kedengaran serak namun orang itu tidak membalas pertanyaan singkatku.
Oh ya! Aku hampir lupa. Aku abaikan pertanyaan tentang 'siapa' yang mengangkat aku sekarang. Aku mahu lihat ada apa di tangan kananku. Aku masih memegangnya dan terasa ianya sedang menyentuh kulit tubuhku yang lain.
Apabila aku cuba lihat...
Ini...kain? Aku memegang kain dan warnanya...biru. Biru seperti biru laut tapi sudah dikotori dengan warna merah dan kotoran tanah.
Merah?
Adakah itu darah?
Apa sebenarnya yang berlaku?
_______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro